Breaking News

SYIAH

SUNNAH

SAJAK

MAHASISWA

Sunday, 2 June 2013

JANDA ATAU GADIS. MANA SATU PILIHAN ANDA?

Oleh : Abu Numair Nawawi B. Subandi

Dalam sebuah hadis di Sunan Ibnu Majah, Rasulullah Shallallahu ‘alaihi wa Sallam bersabda:

عَلَيْكُمْ بِالْأَبْكَارِ فَإِنَّهُنَّ أَعْذَبُ أَفْوَاهًا وَأَنْتَقُ أَرْحَامًا وَأَرْضَى بِالْيَسِيرِ

“Nikahlah dengan gadis, kerana mereka itu lebih manis bibirnya, lebih subur rahimnya, dan lebih redha dengan yang sedikit.” (Sunan Ibnu Majah, no. 1851. Dinilai hasan oleh Al-Albani)

Hadis ini menunjukkan keutamaan dan anjuran Nabi Shallallahu ‘alaihi wa Sallam agar mendahulukan memilih untuk bernikah dengan gadis berbanding janda. Sebagaimana kata Syaikh ‘Amr ‘Abdul Mun’in Salim:

“Dalam persoalan ini, dapat dibezakan di antara wanita yang janda dengan yang gadis kerana mungkin sahaja wanita yang janda ini sudah memiliki anak yang perlu dijagai dan memerlukan lebih perhatian kepada anaknya. Atau mungkin ingatannya terhadap suami silamnya masih mendalam. Selain itu, mungkin juga dia sudah beberapa kali hamil dan akan memiliki kebarangkalian keletihan untuk hamil lagi dan memiliki hasrat untuk tidak mahu memiliki anak lagi. Mungkin juga ia mampu mengganggu hubungan seksual suami dan isteri kerana kebiasaannya wanita yang berstatus janda sudah agak bosan dengan hubungan seksual. Berbeza dengan gadis yang masih belum pernah berkahwin, ia lebih mudah terangsang dan redha dengan layanan walaupun yang sedikit.” (Lihat: Indahnya Menikah ‘Ala Sunnah Nabi, m/s. 53 – Daar an-Naba’)

Namun ini bukanlah bermaksud dibenci jika bernikah dengan seorang janda. Ini dijelaskan pula sebagaimana hadis berikut.

Daripada Jabir B. ‘Abdillah radhiyallahu ‘anhu, beliau berkata:

هَلَكَ أَبِي وَتَرَكَ سَبْعَ بَنَاتٍ أَوْ تِسْعَ بَنَاتٍ، فَتَزَوَّجْتُ امْرَأَةً ثَيِّبًا، فَقَالَ لِي رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «تَزَوَّجْتَ يَا جَابِرُ» فَقُلْتُ: نَعَمْ، فَقَالَ: «بِكْرًا أَمْ ثَيِّبًا؟» قُلْتُ: بَلْ ثَيِّبًا، قَالَ: «فَهَلَّا جَارِيَةً تُلاَعِبُهَا وَتُلاَعِبُكَ، وَتُضَاحِكُهَا وَتُضَاحِكُكَ» قَالَ: فَقُلْتُ لَهُ: إِنَّ عَبْدَ اللَّهِ هَلَكَ، وَتَرَكَ بَنَاتٍ، وَإِنِّي كَرِهْتُ أَنْ أَجِيئَهُنَّ بِمِثْلِهِنَّ، فَتَزَوَّجْتُ امْرَأَةً تَقُومُ عَلَيْهِنَّ وَتُصْلِحُهُنَّ، فَقَالَ: «بَارَكَ اللَّهُ لَكَ» أَوْ قَالَ: «خَيْرًا»

“Ayahku baru sahaja meninggal dunia dan meninggalkan tujuh anak perempuan atau sembilan orang perempuan, maka aku pun menikahi seorang janda. Rasulullah bertanya kepadaku, “Adakah engkau sudah bernikah wahai Jabir?”

Aku jawab, “ya.”

Rasulullah bertanya, “Dengan dengan gadis atau janda?”

Aku jawab, “Dengan janda.”

Rasulullah pun berkata, “Kenapa tidak dengan seorang gadis sahaja yang dengannya engkau boleh bercanda dengannya dan dia pula dapat bercanda denganmu, dan ia boleh membuatmu tertawa gembira dan engkau boleh membuatnya tertawa gembira?”

Maka aku katakan, “Sesungguhnya ‘Abdullah (ayahku) telah meninggal dunia dan meninggalkan beberapa orang anak perempuan (gadis). Jadi, aku tidak berapa suka jika mendatangkan kepada mereka wanita yang seperti mereka juga. Aku pun mengambil keputusan menikahi wanita yang mampu mengurus dan menjaga (memperbaiki) mereka.”

Rasulullah pun mengatakan, “Baarakallaahu laka.” Atau mengatakan, “Semoga beroleh kebaikan.” (Shahih Al-Bukhari, no. 5367. Muslim, no. 715)

Kata Imam An-Nawawi rahimahullah (Wafat: 676H):

وفيه فضيلة تزوج الأبكار وثوابهن أفضل

“Hadis ini menjelaskan tentang keutamaan menikahi gadis remaja, dan pahala padanya lebih utama.”

Kata Imam An-Nawawi juga:

فيه فضيلة لجابر وإيثاره مصلحة أخوانه على حظ نفسه وفيه الدعاء لمن فعل خيرا وطاعة سواء تعلقت بالداعى أم لا وفيه جواز خدمة المرأة زوجها وأولاده وعياله برضاها وأما من غير رضاها فلا

“Pada hadis tersebut menunjukkan keutamaan Jabir yang menunjukkan tindakan beliau mendahulukan mashlahah (kepentingan) saudara-saudara perempuannya berbanding dirinya sendiri. Dan pada hadis tersebut juga menunjukkan disunnahkan doa untuk orang yang berbuat kebaikan dan ketaatan, sama ada tindakan tersebut berhubung dengan orang yang berdoa ataupun tidak. Dan padanya juga menunjukkan dibolehkan bagi seorang perempuan melayani suami serta anak-anak dan keluarganya dengan kerelaannya, dan jika dia tidak rela (atau tidak redha), maka tidak boleh.” (Syarah Shahih Muslim, 10/53)

Sebagaimana dalam hadis-hadis yang lain, turut dianjurkan agar menikahi wanita yang penyayang, yang pandai menjaga anak-anak kecil, yang menghiburkan, yang menenangkan hati, serta yang amanah dalam menjaga hak-hak suaminya.

Maka, bijaksanalah dalam memilih antara yang memiliki keutamaan dan yang memberi mashlahah.

Wallahu a’lam.

Dipetik dari : www.ilmusunnah.com


No comments:

Post a Comment

Pandangan yang dilontarkan di dalam ruangan komen adalah milik pihak yang menghantar. Pena Minang / Pena Minang Return tidak akan bertanggungjawab ke atas komen-komen yang dihantar.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

(c) 2014 Pena Minang Inc by