NEGARA-NEGARA BENUA AFRIKA TIRU MODEL BARU EKONOMI MALAYSIA

Oleh Jamaluddin Muhammad (Bernama)

DAR ES SALAAM (Tanzania), 28 Jun 2013 - Selepas meniru Wawasan 2020 Malaysia bagi mengubah negara berkenaan menjadi satu negara maju menjelang 2020, sesetengah negara Afrika kini memandang ke arah Model Baru Ekonomi (MBE) Malaysia pula bagi mentransformasikan negara-negara berkenaan menjadi satu negara berpendapatan tinggi.

Pengerusi Perkongsian Komanwel bagi Pengurusan Teknologi (CPTM) Tan Sri Dr Omar Abdul Rahman berkata negara-negara di selatan dan timur Afrika berminat dengan MBE bagi menggandakan pendapatan per kapita Malaysia daripada US$7,000 pada 2010 kepada US$15,000 menjelang 2020.

Negara-negara di selatan dan timur Afrika itu termasuk Afrika Selatan, Uganda, Kenya dan Tanzania yang mahu meniru Program Transformasi Kerajaan (GTP) dan Program Transformasi Ekonomi (ETP) Malaysia bagi dijadikan perancangan pembangunan negara-negara berkenaan dengan diselaraskan mengikut keperluan mereka, katanya.

"Malah, sesetengahnya telah melantik menteri khusus bagi memantau program transformasi di negara masing-masing. Mereka telah mengklon (Menteri Di Jabatan Perdana Menteri) Datuk Seri Idris Jala," katanya kepada media Malaysia di luar jadual Dialog Perkongsian Bijak Global yang dirasmikan di sini Jumaat.

GTP, yang diperkenalkan pada April 2009 bermatlamat mentransformasikan kerajaan untuk menjadi lebih berkesan di dalam penyampaian kerajaan kepada rakyat serta menggerakkan rakyat Malaysia menjadi satu masyarakat maju, bersatu dan adil, yang menjalani Standard kehidupan yang tinggi manakala ETP akan memacu Malaysia menjadi satu negara berpendapatan tinggi menjelang 2020.

Usaha berkongsi pengalaman dan cabaran membangunkan negara merupakan sebahagian daripada kesan penting Dialog Perkongsian Pintar itu sejak 18 tahun lepas, kata Dr Omar.

Dialog Perkongsian Pintar Global itu dilancarkan pada 1995 semasa Malaysia menjadi hos Dialog Antarabangsa Langkawi (LID) yang pertama. Dialog itu menjadi platform Rakan-rakan Pintar, yang termasuk ketua-ketua kerajaan, para pemimpin perniagaan, ahli sains dan akademik untuk bertemu dan membincangkan idea dan pengalaman berkaitan Sains, Teknologi dan Inovasi.

Sejak 18 tahun lepas, usaha menjadi hos dialog itu diselang seli antara Malaysia dan negara-negara dari rantau Afrika di mana dialog di Afrika diadakan pada kali terakhir di Uganda pada 2009 dan LID terakhir diadakan di Putrajaya pada 2011.

CPTM, selain menyediakan perkhidmatan nasihat kepada kerajaan-kerajaan Komanwel mengenai pembangunan ekonomi melalui pengurusan kukuh teknologi telah turut membantu negara hos melaksanakan dialog itu.

"Usaha pertemuan dan pembelajaran berterusan melalui pengalaman adalah elemen penting dialog itu," katanya.

Dr Omar berkata, kesan daripada Dialog Perkongsian Pintar itu, Botswana telah memperkenalkan Wawasan 2016, Mauritius Wawasan 2020, Tanzania Wawasan 2025 dan Uganda Wawasan 2035 - yang kesemuanya bertujuan mempertingkatkan pembangunan negara masing-masing bagi manfaat rakyat mereka.

"Dialog itu menyediakan platform bagi Malaysia menjalin persahabatan. Salah satu cabarannya ialah rakyat Malaysia belum belajar mengenai cara-cara mengambil kesempatan daripada keadaan itu," katanya, yang merujuk kepada kurangnya ahli perniagaan Malaysia hadir di negara-negara Afrika.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) Datuk Dr Wong Lai Sum berkata akses pasaran, pembiayaan dan kekurangan peluang adalah cabaran utama menarik para pelabur Malaysia ke rantau itu.

Bagaimanapun, katanya keadaan itu bermula dengan perubahan di mana lebih banyak syarikat Malaysia meneroka industri kelapa sawit, elektrik dan elektronik, minyak dan gas dan perabot di rantau itu.

"Perjanjian jaminan pelaburan yang akan ditandatangani antara Malaysia dan sesetengah negara Afrika kemudiannya akan memudahkan akses pasaran kepada para pelabur Malaysia ke rantau ini," katanya.

Dr Wong berkata pelabur Malaysia tidak semestinya hanya melihat kepada bekalan barangan dan produk semasa memasuki pasaran Afrika, malah turut meneroka perkhidmatan ICT dan tenaga.

Katanya dialog itu menyediakan satu platform bagi ahli perniagaan Malaysia dan Afrika untuk bertemu yang boleh merangsang peluasan ekonomi.

"Lebih 300 pertemuan perniagaan diadakan di sini semalam dan 28 syarikat Malaysia adalah antara yang terlibat. Dialog itu menyediakan keadaan menang-menang bagi ahli-ahli perniagaan Afrika-Malaysia," katanya.

Post a Comment

0 Comments