PERINTAH ULUNG PANGLIMA TENTERA DARAT KE-25 JENERAL DATUK RAJA MOHAMED AFFANDI BIN RAJA MOHAMED NOOR

PERINTAH ULUNG
PANGLIMA TENTERA DARAT KE-25

Bismillahirrahmanirrahim
Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh

Salam Sejahtera dan Salam 1 Malaysia

Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah Subhanahu Wataala; Tuhan sekalian alam; selawat dan salam keatas Junjungan Besar Nabi Muhammad Salallahu’ Alaihi Wassalam.

Yang Berbahagia Leftenan Jeneral Dato’ Sri Zulkiple bin Hj Kassim, Panglima Medan Tentera Darat, Dato’-Dato’, Panglima-Panglima Formasi, Para Perwira, Bintara, Petanda dan Perajurit serta hadirin yang saya kasihi sekalian.

Alhamdulillah bersyukur saya ke hadrat Allah Subhanahu Wataala kerana dengan izin dan inayah-Nya, saya diberi mandat dan tanggungjawab sebagai Panglima Tentera Darat yang ke 25. Saya mengambil kesempatan ini, merakamkan ucapan setinggi-tinggi menjunjung kasih ke bawah Duli Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang juga selaku Panglima Tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Malaysia, Yang Berhormat Menteri Pertahanan Malaysia serta Panglima Angkatan Tentera di atas kepercayaan penuh kepada saya untuk menerajui angkatan Tentera Darat.

Di sini ingin juga saya lafazkan ikrar taat setia yang tidak berbelah bagi kepada Seri Paduka Baginda Tuanku dan kepada mereka yang saya nyatakan sebentar tadi serta juga kepada rakyat Malaysia. Tentera Darat akan terus tegak berdiri sebagai teras utama benteng pertahanan kedaulatan negara dan tiada sebarang kompromi.

Saya juga bagi pihak semua lapisan warga Tentera Darat merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Jeneral Tan Sri Dato’ Seri Panglima Hj Zulkifli bin Hj Zainal Abidin serta para Panglima-Panglima Tentera Darat yang terdahulu dari saya kerana telah meneruskan pememerintahan Tentera Darat dan meletakkannya ditahap yang memberangsangkan sekaligus memberikan ruang serta membolehkan saya menerus perancangan seterusnya demi kewujudan sebuah organisasi yang utuh, padu dan yang boleh didabik banggakan oleh setiap lapisan warga besar Tentera Darat.

Para Perwira, Bintara, Petanda dan Perajurit serta warga Tentera Darat yang saya kasihi sekalian.

Saya menyeru kepada setiap lapisan pemerintahan yang sedia ada agar berdiri teguh bersama-sama saya dengan penuh iltizam dan bermatlamat untuk menjadikan Tentera Darat sebagai sebuah Angkatan atau ketumbukan yang kekal relevan serta menyumbang kepada konteks pemeliharaan pertahanan Negara sekaligus dilihat sebagai ketumbukan utama di dalam sistem atau struktur pertahanan yang sedia ada. Seiring dengan matlamat itu, saya berkehendakkan seluruh warga Tentera Darat mengandakan usaha untuk meletakkan Tentera Darat ini sebagai satu organisasi unggul yang dihormati oleh masyarakat dan segani oleh negara-negara lain.

Mengambil kesempatan kepada Perintah Ulung ini saya juga ingin saya mengimbau dan mengajak saudara dan saudari untuk terus berusaha gigih agar matlamat dan aspirasi pucuk kepimpinan Tentera Darat yang terdahulu tidak akan terjejas atau tercalar akibat dari kealpaan dan kegagalan kita. Tahun ini genap 8 dekad Tentera Darat menongkah arus dan membelah badai sehingga bukan sahaja kegemilangan Tentera Darat dijadikan kayu pengukur sebagai sebuah organisasi mapan lagi cemerlang tetapi Tentera Darat terus gah sebagai sebuah angkatan yang disegani dan hormati. Kita semua harus bangga dengan pencapaian kita dan satu testimoni yang perlu kita pertahankan.

Mulai tanggal 14 haribulan tempohari, terpikul dibahu saya satu amanah dan satu tanggungjawab yang tidak boleh sekali-kali saya gagal. Kegagalan saya menyempurnakan amanah ini akan membawa padah buruk yang dengan jelasnya dan nyata akan menghancur-musnahkan harapan generasi terdahulu dan juga yang paling utama kedaulatan negara tercemar dan rakyat mendapat tempias bahananya. Di dalam kita menuju menjadi sebuah negara maju yang dihormati - kelemahan sebegini tidak sekali-kali boleh diterima. Oleh itu, untuk menentukan legasi kegemilangan Tentera Darat ini terpelihara maka sebagai inti kepada Perintah Ulung saya ini, saya akan menekan kepada EMPAT TERAS asas.

Keempat-keempat teras ini adalah perkara asas yang saya berkehendaknya menjadi parameters yang digunapakaikan sepanjang pemerintahan saya.Selanjutnya bagi tujuan itu, saya berkehendakkan keempat-empat teras ini dikupas atau digarap menjadi pelan tindakan mengikut kesesuaian acuan masing-masing kerana bagi saya setiap pemerintahan mempunyai kekurangan dan kekuatan atau peculiarities dan jika satu opsyen sahaja diberikan pelaksanaannya mungkin menjadi tempang atau tidak sempurna.

Didalam istilah yang mudah "tiada satu jenis ubat sahaja untuk menyembuhkan semua jenis penyakit".Ke arah itu, teras yang saya nyatakan ini hendaklah digubah dan hendaklah diolah begitu rupa agar ianya sesuai dilaksana mengikut keupayaan organisasi masing-masing.

Manakala saya sebagai Panglima Tentera Darat pula, berjanji akan terus berusaha gigih untuk menentukan pengisian di sela-sela yang kosong atau kurang melalui perancangan pembangunan yang terarah berlandaskan kreativiti akibat dari keterbatasan yang diluar kawalan dan seterusnya mengolahkan polisi-polisi yang sesuai untuk anti atau digunapakai. Ini adalah tanggungjawab saya dan warga Tentera Darat sekalian yakinlah saya akan berusaha gigih tanpa jerih ke arah itu.

Para Perwira, Bintara, Petanda dan Perajurit serta warga Tentera Darat yang saya kasihi sekalian.

Berlanjutan dari apa yang telah saya nyatakan sebentar tadi, komitmen yang tinggi dari segi konseptual, fizikal dan moral adalah faktor penentu kepada usaha memartabatkan etos ketenteraan ini agar ketumbukan Tentera Darat terus unggul dan disegani. Dalam hal ini, kita harus kembali kepada perkara pokok iaitu keutuhan organisasi; kekal profesional dalam semua hal termasuk kepimpinan, semua jenis pengurusan dan semua tahap pelaksanaan baik latihan mahupun operasi.

Untuk menggarap ke semua elemen ini menjadi hasil yang sempurna saya berkehendakkan saudara dan saudari berdiri teguh bersama-sama saya serta bersama barisan kepimpinan Tentera Darat yang lain. Secara umumnya, keperluan saya adalah mudah dan asas. Penekanan adalah kepada perkara-perkara berikut:

Pertama: Kesatuan. Keutuhan sesebuah organisasi adalah terletak kepada kesatuan dan persatuan. Sesebuah organisasi itu akan tempang, malahan akan jumud dan akan musnah jika tidak wujud kesatuan dan persatuan dikalangan kita. Dengan itu, saya menyeru agar setiap warga TD agar bersama-sama saya merapatkan saf memberikan komitmen yang tinggi dalam menjamin kelangsungan sesebuah organisasi melalui kekukuhan kesatuan.Perkara asas seperti semangat setiakawan atau esprit-de-corps hendaklah ditanam dan dipupuk subur agar ianya sendi kukuh kepada kekuatan organisasi khususnya ketumbukan Tentera Darat.

Kesatuan hanya boleh dicapai melalui kesetiaan yang tinggi baik secara vertical mahupun horizontal dan kepimpinan yang berwibawa serta boleh diteladani.Setiap warga didalamnya adalah bidak-bidak yang mempunyai peranan masing untuk mengukuhkan organisasi di setiap peringkat. Dalam nada yang sama, Pemerintahan TD juga memerlukan kepimpinan yang berwibawa kerana inilah satu-satunya faktor ‘intangible’ yang menjadi penentu kepada kejayaan kita. Sejajar dengan itu, saya tagihkan pemimpin-pemimpin di semua peringkat - mereka yang uggul, berkeyakinan dan diyakini oleh yang dipimpin.

Kedua: Profesional, Terampil dan Berkemahiran. Kita adalah profesional dan sebagai warga yang profesional kita mesti menjaga imej Angkatan Tentera dengan sewajarnya.Profesionalisme adalah salah satu aspek terpenting dalam memangkin keunggulan sesebuah organisasi.Kearah itu, saya berkehendakkan saudara saudari sentiasa muhasabah diri dan nilai pencapaian masing-masing. Dalam masa yang sama, warga Tentera Darat harus berketerampilan dan berkemahiran.

Untuk meraih segala ini, warga TD haruslah berpengetahuan dan sentiasa berusaha melengkapkan diri ke arah itu.Selain daripada itu, memandangkan organisasi ketenteraan khususnya Tentera Darat dibentuk berorientasikan misi atau ‘mission orientated’ maka profesionalisme dan ketrampilan di dalam semua aspek serta berkemahiran akan menjanjikan kejayaan yang mutlak. Manakala untuk mengukuhkan aspek ini, nilai-nilai murni mestilah diterap dan diamalkan sepenuhnya.

Kita diukur dan dilihat dari segi ini. Pada masa yang sama ia adalah penampan daripada terjerumus ke kancah ‘mismanagement’, penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan. Secara keseluruhan saya mendambakan sebuah organisasi dan warga yang profesional dari segi pelaksanaan, profesional dari segi etika dan profesional dari perlakuan.

Ketiga: Kesiagaan. Ini adalah aspek penting yang perlu rancang dan dilaksanakan oleh semua peringkat pemerintahan. Sesebuah angkatan ketenteraan khususnya Tentera Darat tidak akan bererti tanpa komitmen untuk meletakkan tahap kesiap-siagaan sebagai ciri utama mereka. Dalam hal ini ia merangkumi semua peringkat - baik dari anggotanya sehingga kepada organisasinya, dari selaras senjata sehinggalah sebesar-besar sistem, dari senaskah manual sehinggalah ke sebuah doktrin, latihan individu hinggalah keperingkat gabungan - hendaklah dirancang, diolah, disenggara, diaudit dan dianalisiskan dengan baik dan dengan rapi. Kita warga Tentera Darat tidak boleh alpa kerana kita adalah sebahagian daripada sistem dan organisasi utama yang integral kepada Angkatan Tentera Malaysia.

Di dalam nada yang sama pendekatan men, machine and method hendaklah digunapakai sepenuh kearah menyiapkan pasukan yang berupaya bertindak atau beroperasi dipelbagai spektrum peperangan. Bagi mengukuhkan keperluan ini segala perancangan pembangunan Tentera Darat akan dilaksanakan sesuai dengan parameters yang telah ditetapkan melalui Pelan Pembangunan Strategik Army 2 10 plus 10 serta Pelan Strategik 4D MAF.

Selain daripada itu, kesiagaan Tentera Darat sepenuhnya tidak mungkin tercapai sekiranya aspek keselesaan anggota tidak dirancang dan dilaksanakan dengan baik. Oleh itu, rancangan pembangunan yang kaitan dengan keselesaan anggota dan keluarga akan menjadi salah satu agenda utama saya. Secara keseluruhannya dengan pengukuhan segala aspek yang saya nyatakan tadi akan membolehkan kita menghadapi apa jua keadaan dengan penuh yakin dan Insya Allah berkesan.

Keempat: Perhubungan Tentera Dan Awam. Perhubungan antara kita dengan awam dan agensi kerajaan yang lain adalah agenda terakhir yang ingin saya sentuh. Selaras dengan pendekatan transformasi kerajaan, kita warga Tentera Darat tidak dapat tidak harus melibatkan diri dalam agenda nasional ini.Kita harus bersama-sama kerajaan membantu mengsejahterakan rakyat.

Kita adalah di antara agensi utama kerajaan yang telah terlibat secara langsung dengan Strategi Lautan Biru. Saya melihat pendekatan ini sebagai kaedah menang-menang dan ianya boleh dikatakan sebagai transformasi kepada tentera juga - transformation of the armed forces post turbulence time. Sesuai dengan pendekatan putaran 18 atau 24 bulan yang sedang dilaksanakan, bantuan Strategi Lautan Biru boleh diselitkan sebagai satu rancangan yang terarah tanpa sekali-kali mengkompromi core business kita. Selain daripada itu, semua peringkat pemerintahan hendaklah mencari ruang untuk meningkat dan mengukuh perhubungan antara kita dengan agensi yang lain.

Itu adalah empat perkara yang ingin saya terapkan sebagai teras panduan. Tiga daripada empat perkara yang saya nyatakan sebenarnya tadi nadi dan nyawa kepada Tentera Darat. Akhir kata, dengan berlandaskan empat teras utama yang dinyatakan, saya optimis Tentera Darat akan melangkah dengan lebih mantap, padu dan berkesan.

Saya berharap semua lapisan anggota akan bersama-sama saya menyempurnakan tugas dan amanah ini dengan sebaik-baiknya agar Tentera Darat terus menjadi sebagai sebuah organisasi yang unggul, berwibawa, efisien dan siaga dalam menghadapi cabaran dan tanggungjawab yang diberikan. Sebagai warga Tentera Darat yang megah saya yakin saudara dan saudari mempunyai impian yang sama dengan saya.

Mudah mudahan segala yang terancang dapat disempurnakan dengan baik dan warga Tentera Darat dan semua stakeholder mendapat limpahan manafaatnya.Marilah kita berdoa agar Allah Subhanahu Wataala dapat memberi kekuatan kepada kita untuk meneruskan kesinambungan kecemerlangan angkatan Tentera Darat. Saudara saudari sekelian, yakinlah kita adalah golongan terpanggil dan kita adalah golongan yang terpilih untuk mengabdikan diri kepada negara.Sekian.Selamat menjalankan tugas dan Selamat Maju Jaya.

GAGAH SETIA
1ANGKATAN: TETAP GAGAH TETAP SETIA
MENDUKUNG ASPIRASI RAKYAT DAN KEDAULATAN NEGARA

JENERAL DATUK RAJA MOHAMED AFFANDI BIN RAJA MOHAMED NOOR
PANGLIMA TENTERA DARAT
19 JUN 2013

Post a Comment

0 Comments