ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Saturday, 1 June 2013

SEKALUNG TAHNIAH DAN SYABAS BUAT PROF. DR AWANG SARIYAN

Oleh : RPM, JEBAT, AJ, B.B & SMKTK

Kami dari pengurusan Pena Minang ingin mengucapkan jutaan tahniah dan syabas kepada pakar bahasa, Prof Dr Awang Sariyan, yang merupakan Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, diatas pengurniaan darjah kebesaran PJN.

LATAR BELAKANG PROF. DR AWANG SARIYAN

Awang Sariyan, atau nama penuhnya Prof. Dr. Awang bin Sariyan merupakan salah seorang ahli bahasa yang banyak memberikan sumbangan kepada perkembangan bahasa Melayu melalui bidang pendidikan, penyelidikan, penulisan dan kegiatan-kegiatan kebahasaan.

Namanya tidak asing lagi dalam kalangan ahli bahasa dan peminat bahasa di tanah air dan juga di luar negara. Beliau dilahirkan pada 20 Oktober 1953 di Kampung Parit Bilal, Rambah, Pontian, Johor dan kemudian mengikut keluarganya pindah ke Kampung Teluk Kerang, Pontian, Johor, tidak jauh dari kampung asalnya.
  
PENDIDIKAN 

Awang Sariyan menerima pendidikan awal di Sekolah Rendah Kebangsaan dan di Sekolah Agama Teluk Kerang, Pontian, Johor (1960-1965) dan seterusnya di Sekolah Menengah Teluk Kerang (1966 – 1970). Ia kemudian melanjutkan pengajian tingkatan enamnya di Sekolah Menengah Sultan Ismail, Johor Bahru (1971 – 1972). 

Mata pelajaran bahasa memang menjadi salah satu subjek kegemarannya sejak awal persekolahan. Ia antara murid yang paling cepat menguasai kemahiran tulis baca, baik Rumi mahupun Jawi, dan sesekali diminta oleh gurunya membaca kuat di hadapan kelas untuk diikut oleh murid-murid sekelasnya semasa di sekolah rendah. 

Ketika itu, tulisan Rumi dan Jawi diberi penekanan yang sama di sekolah kebangsaan, dan di sekolah agama pula kemahiran Jawinya meningkat kerana semua buku teks agama dalam tulisan Jawi dan latihan serta ujian perlu dijawab dalam tulisan Jawi.
  
Kegiatan penulisan sudah dimulakannya sejak di sekolah menengah. Banyak coretan yang berupa cerpen singkat telah dihasilkan sejak di tingkatan satu tetapi tidak ada satu pun yang dikirimkannya ke mana-mana untuk penerbitan kerana pada waktu itu belum meluas bahan terbitan kanak-kanak dan remaja dan tiada sesiapa yang mendorongnya untuk mengirimkan coretannya kepada mana-mana penerbit. 

Minatnya yang besar kepada drama dan bangsawan radio siaran Radio Singapura telah menumbuhkan minat kepada penulisan skrip drama radio. Ketika itu (1960-an hingga awal 1970-an) di kampungnya belum ada bekalan elektrik dan televisyen hanya dapat ditonton dengan mengayuh basikal beberapa kilometer ke kampung lain yang berdekatan dengan bandar. Maka radiolah satu-satunya sumber maklumat dan hiburan elektronik baginya dan keluarga.

Tanpa bimbingan dan latihan daripada sesiapa, ia mempelajari teknik penulisan skrip drama radio dengan mengikuti ulasan penerbit drama yang terkenal di Radio Singapura pada waktu itu, Jah Lelawati setiap minggu. Skrip yang dikirimkannya ke Radio Singapura berjudul “Anak Tunggal” terpilih sebagai skrip mingguan yang diulas oleh Jah Lelawati. Menurut Jah Lelawati, pada umumnya skrip itu mencapai tahap yang memuaskan tetapi ternyata tidak cukup panjang untuk siaran setengah jam atau satu jam. Sayangnya minat itu tidak diteruskannya, barangkali kerana tiada sesiapa yang mendorongnya.

Dorongan paling kuat untuknya menulis ialah apabila rencana singkatnya terbit dalam akhbar Utusan Pelajar beserta gambar wajahnya sewaktu ia di tingkatan empat, iaitu pada tahun 1969. Menurut Pemangku Pengetua sekolah pada waktu itu, Cikgu Ahmad Parman, itulah kali pertama tulisan pelajar sekolahnya tersiar di akhbar, meskipun akhbar untuk pelajar. 

Sebagai salah seorang pelajar yang paling awal sampai di sekolah, menjadi kegemarannya menulis kata-kata hikmat di sudut papan tulis kelasnya selain melengkapkan sudut yang mencatat maklumat tarikh dan jumlah kehadiran pelajar. Sebahagian kata hikmat itu dipetiknya daripada bahan bacaan dan sebahagiannya dinukilkannya sendiri. 

Di sekolah menengah, ia aktif dalam Persatuan Bahasa Melayu dan Persatuan Agama Islam, di samping menjadi pengawas sekolah dan pengawas perpustakaan sekolah. Di Tingkatan Enam, iaitu, di Sekolah Menengah Sultan Ismail, Johor Bahru, ia antara penggerak yang mengasaskan penubuhan Persatuan Pelajar Tingkatan Enam (PERTINA) dengan ia sendiri menjadi setiausahanya yang pertama. Nama PERTINA itu sendiri merupakan nama yang diciptakannya. Selain itu, ia aktif juga dalam jawatankuasa Asrama Putera Sekolah Sultan Ismail, Johor Bahru. 

Pada tahun 1973, ia melanjutkan pengajian tingginya di Institut Bahasa, Kesusasteraan dan Kebudayaan Melayu (IBKKM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), sebagai anggota kumpulan pertama program baharu di UKM yang digagaskan dan dipimpin oleh sarjana ternama, iaitu Prof. Dr. Syed Muhammad Naquib Al-Attas. Pada tahun 1990-an IBKKM ditukar namanya menjadi ATMA (Institut Alam dan Tamadun Melayu). Di IBKKM, UKM itulah ia memperoleh pendedahan asas tentang falsafah, bahasa, kesusasteraan dan kebudayaan kerana institut tersebut melaksanakan program pengajian yang bersepadu sifatnya.
  
Di situ jugalah bakatnya dalam bidang bahasa dan persuratan digilap oleh tokoh bahasa dan penggerak ASAS 50 (Angkatan Sasterawan 50) yang terkenal, iaitu Asraf, yang segera nampak akan kebolehan Awang Sariyan dalam bidang linguistik apabila ia senantiasa memperoleh markah tertinggi dalam setiap ujian dan peperiksaan kuliah tatabahasa dan gaya bahasa yang dikendalikan oleh Asraf. Pencapaiannya sebagai salah seorang mahasiswa terbaik dalam keseluruhan kursus pada tahun pertama memungkinkannya dianugerahi Biasiswa Kanan UKM sepanjang tempoh pengajian selama empat tahun.
  
Ketika berada dalam tahun ketiga pengajiannya (ketika itu UKM melaksanakan pengajian tiga tahun untuk ijazah am dan empat tahun untuk ijazah kepujian), ia telah disarankan oleh Asraf menjadi tutor sambilan di UKM untuk membantu mengajarkan tatabahasa dan gaya bahasa Melayu kepada mahasiswa tahun kedua dan tahun pertama.
  
Itulah detik awal pembabitannya dalam bidang pendidikan bahasa di peringkat pengajian tinggi, kerjaya yang kemudian disandangnya secara sepenuh masa selama lebih 30 tahun dan juga secara sambilan di beberapa buah universiti di dalam negara dan juga di Brunei Darussalam. Di UKM, Awang berjaya memperoleh Ijazah Sarjana Muda Persuratan (1976), Ijazah Sarjana Muda Persuratan (Kepujian Kelas Dua Atas) (1977) dan Diploma Pendidikan (1977). Bagi kumpulan-kumpulan awal UKM, setiap pelajar disyaratkan lulus pada peringkat ijazah am dahulu sebelum ditapis untuk masuk ke tahun kepujian pada tahun keempat.

Untuk memenuhi keperluan pengajian dan sara diri, di samping bergantung pada dermasiswa yang berjumlah tidak sampai dua ribu ringgit setahun, maka sambil belajar ia melakukan kerja sambilan dengan menjadi guru Bahasa Melayu dan Kertas Am di Yayasan Anda Akademik yang pada waktu itu terletak di Kampung Baharu dan kemudian berpindah ke Jalan Pantai Baharu. 

Di Yayasan Anda itulah ia mengenal beberapa orang tokoh gerakan belia Islam, seperti Anwar Ibrahim yang menjadi Pengarah Yayasan Anda di samping menjadi Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Kamaruddin Mohd. Noor selaku Pendaftar Yayasan Anda, Ustaz Mohd. Mina Ismail, Ustaz Othman Bakar dan beberapa yang lain. Pada waktu itu, Ibrahim Ali, Abdul Rahman Rukaini dan Fuad Hassan turut mengajar di Yayasan Anda, juga sebagai guru sambilan. 

Di kampus UKM ia giat menulis untuk akhbar dan majalah seperti Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Sarina, Dian, Potensi, Akademik, Widya, Santa Jiwa dan beberapa yang lain lagi, di samping wadah penerbitan kampus seperti akhbar Gema Siswa, majalah Semesta, majalah Suara Bangi dan pelbagai buletin persatuan.
  
Antara makalahnya dalam majalah Dewan Masyarakat yang agak menggemparkan di kampus UKM termasuklah makalah yang berjudul “Awang Sariyan Ulas Awang Had”, iaitu makalah tentang pendidikan prasekolah yang ditulisnya ketika tahun pertama pengajiannya di universiti. Sebenarnya judul asal makalah itu lebih neutral sifatnya, tetapi telah diubah oleh editor majalah untuk menarik perhatian pembaca barangkali. Honorarium yang diterimanya daripada tulisan yang terbit di majalah-majalah dan akhbar itu menjadi sumber tambahan untuk pengajian dan sara hidupnya sebagai mahasiswa.

Ia pernah menjadi anggota redaksi akhbar mahasiswa Gema Siswa, iaitu akhbar tabloid terbitan Persatuan Mahasiswa UKM dan Ketua Pengarang majalah, Semesta, terbitan Kolej Kediaman Pertama UKM. Sewaktu di kampus, selain menulis rencana ia agak aktif menulis puisi, khususnya sesudah mengikuti kursus penulisan kreatif yang dikendalikan oleh Prof. Dr. Muhammad Haji Salleh. 

Kursus Kewartawanan dan Penulisan Kreatif yang menjadi salah kegiatan Persatuan Mahasiwa UKM disertainya dengan aktif, baik sebagai peserta mahupun sebagai anggota jawatankuasa penggeraknya, termasuk sebagai setiausaha kursus. Melalui kursus itulah ia dan rakan-rakan sekampus mengenal tokoh wartawan dan penulis terkemuka seperti A. Samad Ismail, Subki Latif, Umar Junur, Baha Zain, Usman Awang dan yang lain, selain tokoh penulis di dalam kampus UKM sendiri. 

Selain rencana yang terbit dalam beberapa majalah yang disebut tadi, beberapa buah puisinya terbit dalam antologi stensilan yang berjudul Tangismu Tangisku Jua dan dalam antologi Puisi Siswa terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka. Bagaimanapun keghairahannya menulis puisi tidak diteruskannya kerana perhatiannya lebih tertumpu pada penulisan esei yang pada pandangannya menjadi keutamaan dalam proses pengilmuan masyarakat. Keaktifannya menulis semasa di kampus itulah yang menjadi asas Panel Hakim memilihnya sebagai salah seorang penerima Hadiah Persuratan UKM pada tahun 1980, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-10 penubuhan UKM. 
          
Di samping itu, ia bergerak aktif dalam persatuan mahasiswa dan kolej kediaman dalam pelbagai kegiatan. Ia pernah menjadi Penolong Setiausaha dan kemudian Setiausaha Kehormat Jawatankuasa Dewan Rendah Kolej Pertama, Ketua Pengarang majalah tahunan Kolej Pertama, iaitu Semesta, anggota redaksi akhbar persatuan mahasiswa Gema Siswa, Setiausaha Kursus Kewartawanan dan Penulisan Kreatif PMUKM, Pengerusi Biro Kebudayaan Persatuan Mahasiswa IBKKM dan Setiausaha Bilik Gerakan Seminar Serantau Islam dan Kebudayaan Melayu (1976).

Sejak di kampus juga ia mula aktif memberikan ceramah bimbingan peperiksaan kepada pelajar di seluruh negara, anjuran sekolah-sekolah swasta dan juga sekolah kerajaan, selain persatuan. Kegiatan itu berterusan sehingga ia memasuki alam pekerjaan, sehingga pada hampir setiap hujung minggu ia berkelana ke merata-rata tempat untuk memenuhi undangan ceramah bimbingan peperiksaan.

Kegiatan itu dikurangkannya kemudian untuk menumpukan perhatian kepada kegiatan membentangkan kertas seminar, ceramah dan kursus yang lebih bersifat ilmiah kepada golongan profesional, selaras dengan tugasnya sebagai pegawai perancang bahasa dan kemudian tenaga akademik universiti.

Meskipun ia mendapat tawaran UKM untuk melanjutkan pengajian peringkat sarjana di luar negara, ia membatalkan hasrat menerima tawaran itu oleh sesuatu sebab yang berkaitan dengan suasana di kampus pada waktu itu. Ia terus bekerja dan hanya menyambung pengajian peringkat sarjana pada tahun 1981, iaitu sesudah tiga tahun bekerja.

Dengan tesisnya yang berjudul “Kesinambungan Bahasa dalam Karya Sastera Melayu: Analisis Linguistik daripada Sudut Sintaksis”, ia dianugerahi Ijazah Sarjana Sastera oleh Universiti Malaya pada tahun 1984. Tesis yang diubahsuaikannya itu kemudian diterbitkan dalam bentuk buku oleh Penerbit Fajar Bakti dan menjadi salah satu rujukan penting dalam bidang stilistik linguistik di Malaysia.

Waktunya yang senantiasa penuh dengan tugas dan kegiatan kebahasaan menyebabkan dia menangguhkan pengajian peringkat doktor falsafah. Atas dorongan Prof. Nik Safiah Karim dan Asraf, iaitu dua orang tokoh bahasa yang amat akrab dengannya, terutama dalam perjuangan bahasa melalui Persatuan Linguistik Malaysia, akhirnya ia pun mendaftarkan diri sebagai calon doktor falsafah di Universiti Malaya.
  
Dengan disertasinya yang berjudul “Falsafah Pendidikan Bahasa: Kajian Konsep dan Pelaksanaannya di Sekolah Menengah di Malaysia”, pada tahun 1998 ia meraih gelar doktor falsafah. Hasil kajiannya itu telah disebarkan di dalam dan di luar negara melalui tulisan dalam bentuk buku, makalah ilmiah dan makalah umum serta dalam beberapa seminar seperti di Australia, di Singapura, di Thailand, di Indonesia, dan di Brunei Darussalam, di samping di dalam negara. Disertasinya itu membawa pendekatan baharu yang berasaskan tasawur Islam dalam membentuk falsafah dan kaedah pendidikan bahasa.

KERJAYA 

Setelah tamat pengajian ijazah pertama di UKM, Awang Sariyan berkhidmat sebagai Editor dan kemudian sebagai Ketua Editor di FEP International Sdn. Bhd., iaitu salah sebuah syarikat penerbitan swasta yang terkenal dan banyak menerbitkan buku teks, buku rujukan dan ensiklopedia, termasuk dalam bahasa Melayu.

Pada waktu itu FEP International bergabung dengan McGraw Hill Publishers dan nama firma penerbitan itu menjadi McGraw Hill-FEP International, terletak di seksyen 14 Petaling Jaya, tidak jauh dari kampus sementara Universiti Islam Antarabangsa Malaysia di Seksyen 17. Pelantikannya itu dibuat oleh Asraf yang ketika itu menjadi Pengarah dan Pengurus Redaksi di firma tersebut, berdasarkan kekuatan bahasa dan penulisan yang ada padanya seperti yang telah dikesan oleh Asraf sewaktu memberikan kuliah kepadanya di UKM.

Pengalamannya di situ, walaupun agak singkat, iaitu lebih kurang setahun, ternyata menjadi asas yang kuat untuknya menangani kerja kebahasaan seterusnya, khususnya dalam kerja yang berkaitan dengan perancangan bahasa dan penerbitan. Asuhan dan bimbingan yang diterimanya daripada Asraf, yang memang terkenal sebagai penulis, penerjemah dan editor yang cukup teliti, membantu membentuk Awang Sariyan menjadi ahli bahasa yang peka dan teliti dalam menangani kerja kebahasaan.
Ia dilatih oleh Asraf secara intensif, siangnya di pejabat manakala pada waktu malam di rumah, melalui projek penulisan buku-buku teks yang dihasilkannya bersama, iaitu siri buku teks Sejarah tingkatan 1 hingga tingkatan 3 dan Tatarakyat tingkatan 4 dan tingkatan 5 (buku tingkatan 1 hingga tingkatan 3 telah terbit lebih awal sebelum pelibatannya).

Kerana ingin menumpukan perhatian pada kerja kebahasaan secara lebih khusus, ia kemudian berkhidmat sebagai Pegawai Penyelidik di Dewan Bahasa dan Pustaka pada bulan April 1978. Berdasarkan pengalamannya dalam bidang penulisan dan penerbitan, Awang Sariyan dilantik sebagai Editor pertama Jurnal Dewan Bahasa pada April 1978 hingga tahun 1983. Ia sendiri bersama-sama dengan Khalid Hussain selaku Ketua Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Bahasa DBP ketika itu diberi amanah membina konsep dan pengisian jurnal yang diangkat daripada bentuk dan taraf majalah sulung terbitan DBP itu, iaitu majalah Dewan Bahasa yang mula terbit pada bulan Ogos 1957. 

Selain menjadi editor, ia giat memberikan penataran bahasa di seluruh negara, khususnya kepada jabatan dan agensi kerajaan, firma swasta, institusi pendidikan, persatuan dan pelajar. Apabila DBP melaksanakan Projek Penyusunan Sejarah Bahasa Melayu pada tahun 1985, ia dilantik sebagai Pengurus Projek yang pertama dan diberi kenaikan pangkat menjadi Pegawai Penyelidik Kanan Bahasa.

Pada tahun 1986, berlaku perubahan kerjayanya apabila ia dipinjam oleh Universiti Pertanian Malaysia (kini Universiti Putra Malaysia) untuk membantu Fakulti Pengajian Pendidikan universiti itu dalam program yang baru diwujudkan ketika itu, iaitu Program Pengajaran Bahasa Melayu sebagai Bahasa Pertama (PBMP).
  
Apabila tamat tempoh pinjaman pada tahun 1988, beliau diminta pula oleh Menteri Pendidikan ketika itu untuk membantu menubuhkan Program Bahasa Melayu dan juga membantu menggerakkan Program Pendidikan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) di bawah pimpinan Timbalan Rektor, Prof. Dato’ Arifin Suhaimi. Berdasarkan kertas konsep yang disediakannya, universiti tersebut telah mewajibkan kursus bahasa Melayu kepada semua pelajar, termasuk yang datang dari luar negara, dan hal ini merupakan antara sumbangan awalnya dalam upaya pengantarabangsaan bahasa Melayu. 

Di Jabatan Pendidikan universiti itu pula, ia menjadi menjadi Penyelaras Program Pendidikan Bahasa Melayu yang melatih bakal guru berijazah dan merupakan antara tonggak yang menggerakkan pelaksanaan pendidikan bersepadu dalam latihan perguruan untuk Kementerian Pendidikan Malaysia. Ketika berkhidmat di universiti itulah ia melanjutkan pengajian di Universiti Malaya sehingga memperoleh ijazah Doktor Falsafah pada tahun 1998 dengan tesisnya tentang falsafah pendidikan bahasa.
Sembilan tahun kemudian beliau berhijrah ke Universiti Brunei Darussalam sebagai pensyarah kanan di Jabatan Pendidikan Bahasa, Institut Pendidikan Sultan Hassanal Bolkiah apabila tidak dapat menerima keputusan UIAM memansuhkan program Diploma Pendidikan yang menjadi salah satu asas beliau diminta berkhidmat di situ.
  
Baru setahun di Brunei, timbul keperluan untuk beliau pulang ke tanah air bagi membantu mengukuhkan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang baru dinaikkan tarafnya daripada institut perguruan menjadi universiti. Timbalan Naib Canselor UPSI pada waktu itu, Prof. Dr. Abu Bakar Nordin sendiri telah mengusahakan kehadirannya di UPSI. Beliau dilantik menjadi profesor madya di Fakulti Bahasa dan Kesusasteraan universiti tersebut.
  
Hampir genap setahun berkhidmat di UPSI, beliau dilantik pula sebagai Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia dengan kedudukan sebagai penyandang Jawatan Utama Sektor Awam (JUSA C). Maka kembalilah beliau bertugas sebagai perancang bahasa semula. Di DBP beliau mengepalai jabatan yang melaksanakan fungsi utama DBP sejak ditubuhkan pada tahun 1956, iaitu Jabatan Bahasa. Di bawah pimpinannya terdapat tujuh bahagian, iaitu Bahagian Perkamusan, Bahagian Peristilahan, Bahagian Penyelidikan Bahasa, Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Awam, Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Swasta, Bahagian Bahasa Melayu Antarabangsa dan Bahagian Penerbitan Bahasa, dengan pegawai dan kakitangan yang berjumlah lebih 160 orang.

Pada pertengahan bulan November 2004, iaitu sesudah genap 5 tahun menjadi Pengarah Jabatan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, beliau dilantik menjadi Profesor Bahasa di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia dan kemudian pada bulan Januari 2007 sebagai Profesor Bahasa di Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya. Beliau kemudian dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sebagai Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu Malaysia di Republik Rakyat China dan pada 3 Januari 2008 telah memulakan tugas tersebut yang berpangkalan di Beijing Foreign Studies University (BFSU) hingga akhir Julai 2011.

Di negara tersebut, beliau telah membantu meningkatkan taraf program pengajian Melayu dengan memperkenalkan kursus-kursus baharu yang bersifat ilmiah seperti Sosiolinguistik, Perbandingan Bahasa Melayu Varian Malaysia dan Indonesia, Tatabahasa (Sintaksis dan Morfologi), Kesantunan Bahasa dan Penulisan Ilmiah di peringkat ijazah pertama, selain turut mengajarkan kursus kemahiran bahasa Melayu kepada pelajar asing.

Dalam peningkatan program akademik di BFSU, beliau turut terlibat mengasaskan Program Sarjana Pengajian Melayu dan memberikan kuliah tentang Penyelidikan Bahasa dan Penulisan Ilmiah, selain menyelia calon sarjana dan mengendalikan sesi perundingan untuk tenaga akademik Jurusan Bahasa Melayu BFSU mendalami ehwal bahasa dan persuratan Melayu serta ehwal yang berkaitan dengan negara Malaysia.

Selain itu, beliau turut membantu memantapkan program bahasa Melayu di universiti-universiti lain di China, seperti di Universiti Komunikasi China (Communication University of China) di Beijing, di Universiti Pengajian Asing Guangdong di kota Guangzhou, di Universiti Bangsa-bangsa Guangxi di kota Nanning dan terlibat pada peringkat awal penubuhan program bahasa Melayu di Universiti Bangsa-bangsa Yunnan di kota Kunming, bersama-sama dengan Konsul Jeneral Malaysia, Encik Rosli Abdul.

Usaha pengembangan bahasa dan tamadun Melayu di negara China disalurkannya juga melalui siaran di Bahagian Bahasa Melayu, Radio Antarabangsa China (China Radio International atau singkatannya CRI),pengisian blog di Laman Web CRI dan ceramah dari waktu ke waktu kepada karyawan di situ. Beliau turut mengusahakan penerbitan siri monograf pengajian Melayu dan menjadi penyemak beberapa buah kamus dwibahasa bahasa Melayu-bahasa Mandarin, bahan pelajaran bahasa Mandarin dalam edisi bahasa Melayu dan beberapa penerbitan yang lain, termasuk penerbitan elektronik dwibahasa bahasa Melayu - bahasa Mandarin.

Sepanjang bertugas sebagai Penyandang Kursi Pengajian Melayu di Beijing itu, beliau menjadi penghubung antara institusi pengajian di Malaysia dan di Singapura dengan institusi pengajian di China, khususnya Beijing Foreign Studies. Banyak kunjungan ilmiah sarjana, guru dan persatuan pelajar yang diselaraskannya untuk menjalin kerjasama atau persefahaman dalam bidang ilmu dan pendidikan, khususnya tentang pendidikan bahasa Melayu.

Antara institusi yang mengadakan kunjungan ilmiah sepanjang beliau di BFSU termasuklah Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Sains Malaysia, Universiti Malaysia Kelantan, Universiti Malaysia Sabah, Universiti Teknikal Melaka, Naib Canselor UiTM dan rombongannya, Kementerian Pendidikan Singapura, Universiti Sultan Ali Sarifuddin (UNISA), Sekolah Menengah Sains Muzafar Melaka dan Persatuan Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia. 

Pada 31 Mei-3 Jun 2009, diadakan Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing 2009 di BFSU, bersempena dengan sambutan ulang tahun ke-35 hubungan diplomatik Malaysia - Republik Rakyat China dan penganugerahan ijazah doktor kehormat hubungan antarabangsa oleh BFSU kepada Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Mohd. Najib Tun Abdul Razak. Sejak tahun 1996 Dato' Seri Mohd. Najib merupakan Penaung Pusat Pengajian Melayu China di BFSU. Sebagai Penyelaras Umum persidangan antarabangsa itu, Awang Sariyan menjadi tulang belakang yang membina konsep dan tema persidangan dan menghubungi pemakalah serta peserta dari Malaysia, Singapura, Thailand, Brunei Darussalam, Korea Selatan dan Rusia. Tema persidangan ialah “Menjalin Persefahaman Tamadun melalui Pengajian Melayu”.

Selama dua tahun (2009-2011) semasa menyandang jawatan di Beijing, beliau dilantik oleh Universiti Pendidikan Sultan Idris sebagai Profesor Adjung bagi Fakutli Bahasa dan Komunikasi, dengan tugas sebagai pengendali seminar pengajian tinggi pada setiap kali pulang ke tanah air kerana bercuti pada musim panas dan musim dingin. Di Republik Rakyat China, pada sepanjang musim panas dan musim dingin kampus ditutup.

Selain menjalankan tugas tetap, beliau turut diundang menjadi Pensyarah Sambilan untuk beberapa lama di Universiti Kebangsaan, sejak 1978 hingga 1990-an (di IBKKM – kini ATMA, di Jabatan Linguistik dan di Fakulti Sains Pembangunan), di Univeriti Malaya, dari tahun 1979 hingga 2002 (di Jabatan Pengajian Media, asalnya Rancangan Penulisan Kreatif dan Deskriptif dan kemudian Jabatan Penulisan, dan di Jabatan Pengajian Melayu yang kemudian dinaikkan tarafnya menjadi Akademi Pengajian Melayu), di Universiti Putra Malaysia pada tahun 1990-an (di Fakulti Pengajian Pendidikan) dan di Universiti Pendidikan Sultan Idris pada tahun 2000 (di Fakulti Bahasa dan Kesusasteraan).

Beliau pernah juga menjadi tenaga penatar di Akademi Penulisan PENA, Kursus Bahasa dan Penulisan Profesional Persatuan Linguistik Malaysia, Kursus Bahasa dan Terjemahan Persatuan Penterjemah Malaysia, Kursus Penulisan Ilmiah Jabatan Penerbitan Universiti Malaya, Kursus Bahasa Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan (ILKAP), Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Pendidikan Malaysia, jabatan dan agensi kerajaan yang lain, Kementerian Pendidikan Negara Brunei Darussalam, Jabatan Mufti Negar Brunei Darussalam, Kementerian Pendidikan Singapura, Universiti Prince of Songkla dan Kolej Islam Yala di Thailand, Yayasan Pembangunan Islam Kemboja, Program Munsyi Antarabangsa DBP dan beberapa institusi lain lagi.

Selama lebih 20 tahun, iaitu sejak tahun 1992, ia dilantik oleh Kementerian Pendidikan Singapura sebagai penatar siri kursus dalam perkhidmatan kepada guru-guru bahasa Melayu Singapura, terutama dalam bidang sebutan baku, tatabahasa bahasa Melayu dan pedagogi bahasa. Sejak tahun 2000 hingga 2006 pula, ia dilantik menjadi Perunding Seberang Laut Kementerian Pendidikan Singapura untuk projek penyusunan bahan ajar bahasa Melayu peringkat sekolah rendah dan sekolah Melayu (buku teks, buku kerja dan buku panduan guru). 

Secara berkala, beliau turut diundang menjadi pembentang kertas kerja, penceramah dan anggota forum di Singapura, dan antara yang mutakhir termasuklah Ceramah Arif Budiman, bersempena dengan Bulan Bahasa Kebangsaan pada 30 Julai 2010 dan pembentang ucap utama Seminar Pengajaran Nilai pada 18 Februari 2012, kedua-duanya anjuran Pusat Bahasa Melayu, Kementerian Pendidikan Singapura. 

Pada bulan November 2006 dan bulan Mei 2007, beliau diundang oleh Pengarah Pusat Pengajian Asia Tenggara Universiti Frankfurt, Jerman, iaitu Prof. Dr. Bernd Nothofer sebagai Profesor Tamu untuk menyampaikan kuliah intensif tentang Bahasa Melayu Varian Malaysia kepada kira-kira 25 orang pelajar peringkat sarjana. Selain itu, sebanyak tiga kali beliau dilantik juga sebagai Profesor Tamu oleh Jurusan Linguistik Sekolah Pascasiswazah Universiti Sumatera Utara untuk memberikan kuliah intensif kepada calon sarjana dan doktor falsafah dalam beberapa kursus seperti Falsafah Bahasa, Tipologi Bahasa dan Perancangan Bahasa. 

Pada 9 Januari 2012, beliau memulakan tugas sebagai Timbalan Ketua Pengarah Dasar DBP dan pada 1 Februari dilantik menjadi Ketua Pengarah DBP yang ke-10. Selain meneruskan program yang telah diasaskannya semasa menjadi Pengarah Jabatan Bahasa DBP (1999-2004), beliau merancang beberapa program lain yang dianggapnya dapat melonjakkan maruah dan martabat serta peranan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu.

Antaranya termasuklah Program Audit Bahasa di jabatan dan agensi kerajaan. Untuk memastikan DBP mempunyai landasan yang kukuh dan hala tuju yang jelas, beliau telah mengetuai penyusunan Pelan Tindakan Strategik DBP 2011-2015: Memartabatkan Bahasa dan Persuratan Melayu dan pelancaran buku tersebut disempurnakan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pendidikan, YAB Tan Sri Dato’ Hj. Muhyiddin bin Mohd. Yassin pada 13 Julai 2012, sebagai acara kemuncak sambutan ulang tahun ke-56 DBP. 

KEGIATAN 

Di luar tugas rasmi, beliau menjadi anggota sepanjang hayat Persatuan Linguistik Malaysia (PLM) dan turut menyumbangkan khidmatnya kepada persatuan itu sejak tahun 1980 lagi, mula-mula sebagai anggota Majlis, kemudian sebagai Setiausaha Kehormat (1984-88) dan kemudian sebagai Presiden (2000-2008). Apabila ditugaskan ke Beijing, beliau terpaksa melepaskan jawatan dan dilantik sebagai Penasihat PLM. Antara projek PLM yang ditanganinya termasuklah Kursus Bahasa dan Penulisan untuk Golongan Profesional (sebagai Pengarah), ceramah, seminar dan bengkel ilmiah (sebagai setiausaha, pengarah dan anggota jawatankuasa penyelenggara), Hadiah Bahasa PLM-Public Bank (sebagai setiausaha panel hakim dan kemudian sebagai anggota panel hakim) dan penerbitan Jurnal Linguistik, iaitu jurnal tahunan PLM. 

Selain itu, ia menjadi anggota Persatuan Penulis Nasional (PENA) dan anggota sepanjang hayat Persatuan Pendidikan Bahasa Melayu Malaysia. Atas sarannya, PLM bersama-sama dengan ABIM, ASASI, PPM, PKPIM dan tokoh pejuang bahasa seperti Tan Sri Ainuddin Wahid, Prof. Datuk Zainal Abidin Wahid, Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Datuk Baha Zain, Dr. Ahmad Kamar, Dato’ Husin Mohamad dan beberapa orang yang lain membentuk Kumpulan Prihatin, iaitu badan gabungan beberapa persatuan dan pejuang perseorangan yang bergerak dalam perjuangan bahasa dan bangsa. Beliau menjadi antara anggota aktif dalam Kumpulan Prihatin. 

Dalam kegiatan kemasyarakatan, beliau pernah terlantik menjadi anggota Jawatankuasa Persatuan Ibu Bapa dan Guru, iaitu di Sekolah Kebangsaan Taman Melawati dalam Biro Akademik (1990-an) dan Pengerusi Biro Akademik Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Menengah Agama Persekutuan, Labu, Negeri Sembilan (1990-an). Beliau pernah juga menjadi anggota Jawatankuasa Tadbir Sekolah Agama Rakyat Taman Melawati. 

Beberapa Bahagian di Kementerian Pendidikan Malaysia pula melantiknya sebagai perunding dan anggota jawatankuasa beberapa projek, seperti Projek Pemerincian dan Pemeringkatan Tatabahasa untuk Pengajaran Bahasa Melayu di Sekolah Menengah, Projek Penyemakan Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu KBSM, Program Orientasi KBSM kepada Guru, Siri Wacana Intelektual, Penyusunan Buku Teks Bahasa Melayu KBSM (untuk tingkatan 1 – 3 sebagai salah seorang penulis dan untuk tingkatan 4 – 5 sebagai perunding), penyemak dan penggubal sukatan pelajaran Bahasa Melayu STPM dan beberapa yang lain. Beliau dilantik juga oleh Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) sebagai perunding bahasa projek penyusunan buku Malaysia Kita, iaitu salah satu buku rujukan utama pegawai kerajaan.
  
Keahliannya dalam bidang bahasa dimanfaatkan juga oleh universiti di dalam dan di luar negara dengan melantiknya sebagai pemeriksa luar tesis sarjana dan doktor falsafah serta penilaian kenaikan pangkat profesor madya dan profesor. Universiti yang pernah melantiknya sebagai pemeriksa luar calon sarjana dan calon doktor falsafah ialah Universiti Brunei Darussalam, Universiti Nasional Singapura, Institut Pendidikan Nasional Universiti Teknologi Nanyang Singapura, Universiti Malaya, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Pendidikan Sultan Idris.
  
Beberapa buah penerbit kerajaan, institusi pengajian tinggi dan juga swasta sering melantiknya sebagai penilai manuskrip untuk penerbitan. Beliau pernah dilantik menjadi editor perunding tiga buah jurnal ilmiah, iaitu Jurnal Bahasa DBP Malaysia, Jurnal Bahasa DBP Brunei Darussalam dan Jurnal Pengajian Melayu Universiti Malaya, ketiga-tiganya sebagai wakil Malaysia.

Kegiatan seminar, syarahan, ceramah, forum dan pertemuan ilmiah yang lain menjadi antara rutin kehidupannya. Setakat ini lebih 200 syarahan, kertas ucap utama, kertas dasar dan kertas kerja telah disampaikannya di dalam dan di luar negara (seperti Australia, Belanda, Brunei Darussalam, Indonesia, Jerman, Kampuchea, Korea Selatan, Perancis, Republik Rakyat China, Rusia, Singapura, Sri Lanka dan Thailand). Ratusan ceramah tentang bahasa, penulisan, pendidikan dan isu semasa telah diberikannya di seluruh negara dan juga di negara-negara jiran. Media cetak (akhbar dan majalah) dan media elektronik (radio dan televisyen) kerap memberikan ruang kepadanya untuk mengupas isu-isu semasa, khususnya yang berkaitan dengan bahasa, persuratan, pendidikan dan kebudayaan.

Dalam pelbagai pertandingan dan sayembara, ia sering dilantik sebagai hakim dan juga ketua hakim, seperti Pidato Piala Diraja, Perbahasan Piala Perdana Menteri, Debat ASEAN, Forum Remaja dan pelbagai peraduan penulisan anjuran persatuan, universiti dan badan kerajaan. Pada peringkat antarabangsa, beliau dilantik menjadi Ketua Hakim Pertandingan Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri Malaysia kali pertama pada tahun 2007, iaitu kegiatan anjuran Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia yang melibatkan puluhan peserta dari seluruh dunia. 

Kekuatan bahasa dan penulisannya dimanfaatkannya juga untuk membantu sebilangan pemimpin dalam penyediaan teks ucapan untuk pelbagai majlis rasmi. Tugas pendrafan dan penyediaan pelbagai memorandum, resolusi dan kertas cadangan persatuan, seminar dan sebagainya banyak yang diserahkan kepadanya oleh panita penganjur atau persatuan.
Dalam Syarahan Perdana tentang Isu Palestin oleh dua orang tokoh pemimpin, iaitu Dato’ Seri Dr. Mahathir Mohamad dan Dato’ Fadhil Noor pada tahun 2002, ia diberi tanggungjawab menyediakan teks pernyataan bersama (komunike) untuk ditandatangani oleh kedua-dua orang pemimpin itu, di samping bertindak sebagai pengacara majlis Syarahan Perdana itu. Dalam perjuangan memartabatkan bahasa Melayu, banyak memorandum yang ditulisnya bagi pihak badan-badan bukan kerajaan yang bersama-sama mendukung perjuangan, seperti dalam isu pengajaran sains dan matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI).

SUMBANGAN 

Dalam perancangan bahasa, pelibatannya cukup jelas dalam dua aspek utama perancangan bahasa, iaitu perancangan taraf bahasa dan perancangan korpus bahasa. Sumbangannya dapat didasarkan pada pelibatannya dalam dua sektor, iaitu sektor perkhidmatan awam dan sektor badan bukan kerajaan. Selama lebih 30 tahun, beliau berkhidmat sebagai penjawat awam, baik di Dewan Bahasa dan Pustaka mahupun di beberapa buah universiti. Dalam badan bukan kerajaan pula, beliau bergerak cergas dalam beberapa wadah, terutama Persatuan Linguistik Malaysia dan Kumpulan Prihatin. Huraian tentang sumbangannya akan dibuat dengan berfokus pada kedua-dua sektor itu.
  
MELALUI PERKHIDMATAN AWAM : 

Kedudukannya di Dewan Bahasa dan Pustaka, baik ketika menyandang jawatan pegawai penyelidik dan pegawai penyelidik kanan bahasa mahupun ketika menjadi Pengarah Jabatan Bahasa banyak memberinya peluang melaksanakan idealismenya dalam perjuangan mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa ilmu. Dalam jabatan yang dipimpinnya, iaitu Jabatan Bahasa DBP (1999-2004) terdapat tujuh Bahagian, tiga daripadanya berkaitan dengan pembinaan bahasa, iaitu Bahagian Peristilahan, Bahagian Perkamusan dan Bahagian Penyelidikan Bahasa, manakala empat pula berkaitan dengan pengembangan bahasa, iaitu Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Awam, Bahagian Pengembangan Bahasa Sektor Swasta, Bahagian Bahasa Melayu Antarabangsa dan Bahagian Penerbitan Bahasa.
  
Empat Bahagian yang berkaitan dengan upaya pengembangan bahasa Melayu itu memungkinkannya menggerakkan perancangan taraf bahasa Melayu dengan berkesan, melalui jentera rasmi kerajaan. Beliau menggerakkan upaya pengembangan bahasa kebangsaan melalui slogan “Gerak Gempur Bahasa” di satu sisi dan slogan “Dakwah Bahasa” di sisi lain.

Gerak gempur bahasa dilaksanakan bagi menerobos bidang-bidang penguatkuasaan bahasa kebangsaan seperti di tempat awam, di media massa, dalam jentera pentadbiran dan sebagainya, manakala dakwah bahasa dilaksanakan untuk mengimbau pelbagai pihak yang perlu didekati dengan hikmah seperti sektor swasta yang tidak tertakluk pada Dasar Bahasa Kebangsaan. Program Ziarah Bahasa, Klinik Bahasa, Kembara Bahasa, Jejak Bahasa (siri dokumentari TV tentang sejarah, penyebaran dan keagungan bahasa Melayu), Sisipan Bahasa di akhbar, Suara DBP di Radio, Penerbitan Tatabahasa Melayu Digital, Khidmat Bahasa melalui talian dan beberapa lagi merupakan cetusan ideanya dalam melestarikan bahasa Melayu sebagai bahasa berwibawa.
  
Gerakan dan kegiatan dalam aspek perancangan taraf bahasa diimbanginya dengan gerakan dan kegiatan dalam aspek perancangan korpus bahasa. Perjuangannya dalam aspek korpus bahasa tertumpu pada penggunaan bahasa yang teratur dan berkesan, iaitu yang berasaskan sistem bahasa. Beliau cenderung bersikap preskriptif dalam penggunaan bahasa untuk urusan rasmi, seperti laporan, surat, pekeliling dan sebagainya dan juga dalam bahasa yang mengungkapkan hal ehwal ilmu dan pemikiran.

Hal ini tidak bererti bahawa ia menolak unsur deskriptif dalam penggunaan bahasa sama sekali kerana dalam tulisan-tulisannya ternyata bahawa ia menerima beberapa unsur baharu dalam bahasa selama unsur itu berdasar pada rumus bahasa Melayu, khususnya tatabahasa. Dalam hal penggunaan bahasa rasmi, beliau amat kuat menekankan bentuk bahasa yang baku, baik dalam aspek ejaan, peristilahan, pemilihan kata, sebutan, tatabahasa dan laras bahasa.

Sumbangannya yang jelas dalam perancangan korpus bahasa ialah pelibatannya dalam membantu merumuskan atau membakukan prinsip dasar beberapa aspek korpus bahasa Melayu, terutama tatabahasa dan sebutan. Dalam bidang tatabahasa, buku dan makalah yang dihasilkannya mendapat perhatian masyarakat, khususnya pendidik dan pelajar, melalui cara penyampaiannya yang mudah dan jelas. Ilmu pedagogi dan pengalamannya sebagai pendidik ternyata banyak membantunya dalam penyajian maklumat tatabahasa yang mesra pengguna. Buku tulisannya yang berkaitan dengan tatabahasa terbit dalam bentuk buku panduan penggunaan bahasa untuk masyarakat umum dan buku yang khusus ditujukan kepada golongan pelajar.

Antara buku tatabahasa tulisannya yang pernah dijadikan asas oleh pendidik dan pelajar termasuklah Kesalahan Umum Penggunaan Bahasa Malaysia (edisi pertama terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka dan edisi kedua terbitan Penerbit Sarjana), Kunci Bahasa Malaysia (terbitan Penerbit Sasbadi), Ceritera Bahasa (terbitan DBP), Tuntunan Bahasa (terbitan Pearson) dan sejumlah judul buku lain, iaitu buku teks dan buku panduan. Makalah tatabahasanya banyak terbit dalam Dewan Bahasa, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Mastika dan beberapa majalah lain serta akhbar, sebahagiannya terbit secara bersiri kerana beliau dilantik sebagai kolumnis beberapa buah majalah dan akhbar.
  
Dalam penulisan tatabahasa, ia menjurus pada acuan tatabahasa normatif dan praktis, iaitu tatabahasa untuk menjadi pedoman masyarakat menggunakan bahasa yang teratur dan berkesan dalam penulisan dan pengucapan rasmi. Namun demikian untuk keperluan dan suasana ilmiah, ia tetap memberikan perhatian juga kepada penulisan tatabahasa yang teoretis sifatnya, seperti dalam seminar dan persidangan. Dalam penyusunan buku Tatabahasa Dewan, khususnya dalam bidang sintaksis, ia dilantik sebagai salah seorang penilai.

Bagi isu-isu bahasa yang timbul dari waktu ke waktu, ia sering memberikan pandangan untuk membantu menjelaskan atau menyelesaikannya. Antara pandangan yang telah dikemukakannya melalui media termasuklah yang berkaitan dengan isu penggunaan kata kecapaian dalam slogan Hari Kebangsaan tahun 1996, isu bahasa rojak dalam drama, media dan pentadbiran, isu slanga dalam bahasa perhubungan melalui internet dan isu bahasa rojak.
  
Khusus tentang kekeliruan sebilangan anggota masyarakat, khususnya pendidik dan pelajar tentang isu mazhab dalam bahasa, ia menulis sebuah buku khas yang berjudul Isu Mazhab dalam Bahasa Melayu: Satu Penjelasan. Baginya, isu mazhab bahasa telah disalahtafsirkan dan dibesar-besarkan oleh orang yang tidak faham tentang mazhab atau aliran pemikiran dalam bidang ilmu sehingga kesilapan bahasa pun dianggap sebagai mazhab.

Dalam bidang sebutan baku pula, beliau terlibat secara langsung dalam merumuskan prinsip sebutan baku yang berasaskan prinsip fonemik bersama-sama dengan Asraf, Nik Safiah Karim, Abdullah Hassan, Farid M. Onn, Amat Juhari Moain dan beberapa orang ahli bahasa lain. Beliau turut aktif dalam gerakan mempropagandakan pentingnya sebutan baku sejak awal tahun 1980-an melalui Persatuan Linguistik Malaysia sehingga akhirnya Kementerian Pendidikan Malaysia memutuskan penggunaan sebutan baku dalam pengajaran di sekolah bersempena dengan pelaksanaan kurikulum bersepadu pada tahun 1988. Beliau dilantik sebagai anggota panel penggubal rumus sebutan baku bahasa Melayu dalam jawatankuasa bersama Persatuan Linguistik Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka. 

Di Kementerian Pendidikan Malaysia pula, ia mewakili Persatuan Linguistik Malaysia dalam penyusunan buku pedoman sebutan baku beserta kaset terbitan Bahagian Teknologi Pendidikan dan Dewan Bahasa dan Pustaka. Dalam gerakan pemasyarakatan sebutan baku, ia bergerak ke seluruh negara untuk memberikan ceramah dan taklimat kepada pendidik, pegawai pendidikan dan juga pelajar, selain melalui media massa seperti radio dan televisyen. Buku Sebutan Baku dan Ejaan Rumi yang dihasilkannya menjadi rujukan penting kepada guru dan pelajar, termasuk guru dan pelajar bahasa Melayu di Singapura dan di Brunei Darussalam.

Dalam kehangatan polemik yang timbul pada awal tahun 2000 apabila Kabinet memutuskan pemansuhan penggunaan sebutan baku dalam media elektronik dan untuk mata pelajaran selain Bahasa Melayu, beliau mucul sebagai salah seorang yang vokal membantah keputusan itu. Pemansuhan itu ditafsirkarnya sebagai langkah ke belakang dalam pemantapan bahasa Melayu, kerana pada pandangannya, bahasa yang berwibawa perlu ditandai oleh kewujudan ragam bakunya yang jelas, termasuk dalam hal ucapan, iaitu sebagaimana yang berlaku untuk bahasa Inggeris, Arab dan bahasa lain yang mempunyai lafal bakunya.

Beliau membidas pandangan sempit yang menganggap bahawa sebutan baku untuk bahasa Melayu itu keindonesiaan sifatnya kerana yang tergambar pada sebutan baku sebenarnya ialah sifat supranasional bahasa Melayu yang mempunyai daerah penyebaran penuturnya yang luas.

Upaya pengembangan korpus bahasa Melayu baku dilakukannya melalui dua kegiatan utama, iaitu penataran dan penulisan. Kegiatan memberikan penataran bahasa dan penulisan kepada pelbagai jabatan, agensi dan firma serta ceramah motivasi pelajar di seluruh negara berterusan dalam sepanjang kerjayanya sejak penghujung tahun 1970-an dan jumlahnya mencapai angka ratusan.

Selain sebagai tugas rasmi, ratusan penataran yang dikendalikannya itu dilakukannya juga sebagai kegiatan hujung minggu dan sebilangannya pada waktu di luar pejabat. Ceramahnya banyak tertumpu pada penggunaan bahasa yang baik dan berkesan, penulisan yang berkesan, pengucapan awam dan penghasilan pelbagai bentuk tulisan seperti laporan, teks ucapan, minit mesyuarat, kertas projek, rencana, buku dan sebagainya. Beliau banyak terlibat juga dalam ceramah motivasi akademik kepada pelajar di seluruh negara, khususnya bimbingan teknik belajar dan strategi menghadapi peperiksaan.
  
Antara jabatan yang pernah menerima khidmatnya dalam pelbagai penataran bahasa dan penulisan itu termasuklah Kementerian Pendidikan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Kementerian Perdagangan dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, MARA, Institut Latihan Kehakiman dan Perundangan Malaysia, MARDI, Institut Pertanian Serdang, Institut Latihan Kewangan (INSPENS), Lembaga Urusan dan Tabung Haji, FELCRA, Jabatan Audit Negara, Pusat Islam, Jabatan Ketua Menteri Sabah, Jabatan Ketua Menteri Sarawak, institusi pengajian tinggi awam, institusi pengajian swasta dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan.

Kegiatan penataran bahasa dan penulisan yang dikendalikannya tidak terbatas di dalam negara malah melangkaui sempadan hingga ke negara jiran seperti Thailand, Singapura, Kampuchea dan Brunei Darussalam. Di Singapura, ia dilantik oleh Kementerian Pendidikan Singapura sebagai penatar bahasa sejak tahun 1994, mula-mula untuk bidang sebutan baku dan sejak tahun 1996 untuk tatabahasa dan pengajarannya di sekolah, sebagai kursus wajib kepada semua guru Bahasa Melayu di Singapura. Di Thailand pelibatannya ialah dalam penataran kepada mahasiswa beberapa buah universiti, khususnya di Thailand Selatan yang sebahagian besarnya bakal melanjutkan pengajian ke Malaysia dan di Kampuchea pula, beiau terlibat dalam penataran bahasa kepada imam dan guru agama yang menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar.

Kegiatan pengembangan bahasa Melayu di luar negara secara khusus mendapat perhatiannya melalui program pengantarabangsaan bahasa Melayu yang secara rasmi menjadi salah satu tugas Dewan Bahasa dan Pustaka. Selaku Pengarah Jabatan Bahasa, beliau terlibat secara langsung dalam perancangan dan pelaksanaan projek pengantarabangsaan bahasa Melayu, khususnya melalui Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) yang telah ditubuhkan sejak tahun 1972 (dengan nama asalnya MBIM, sebelum Brunei Darussalam menyertainya pada tahun 1985) dan Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) yang diluluskan penubuhannya oleh Jemaah Menteri pada tahun 1997 dan dilancarkan pada tahun 2000. Beliau sendiri mula-mula menjadi Setiausaha majlis tersebut dan kemudian menjadi wakil negara dan sekali gus dilantik pula sebagai Anggota Jawatankuasa Eksekutif Majlis dan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Kegiatan.

Antara kegiatan yang telah dilaksanakannya termasuklah memantapkan prasarana kerjasama kebahasaan dan persuratan di peringkat serantau dan antarabangsa, melalui forum seperti Mesyuarat Kerjasama Bahasa dan Persuratan Melayu (MEKKAP) bagi wilayah Borneo Kalimantan dalam rangka kerjsama BIMP-EAGA, MEKKAP bagi wilayah kerjasama Malaysia, Indonesia dan Thailand (IMTGT) dan Majlis Kerjasama Kebahasaan dan Persuratan (MAKKAP) bagi wilayah kerjasama Singapura, Johor dan Riau (SIJORI), membantu penubuhan kelas belajar bahasa Melayu di luar negara seperi di Sri Lanka, Thailand, Kampuchea, Afrika Selatan, dan beberapa tempat lain, menganjurkan pertemuan bahasa dan persuratan dalam bentuk seminar, kolokium dan sebagainya di pusat pengajian di luar negara seperti di Australia, Thailand, Indonesia, Perancis, Jerman, Republik Rakyat China dan beberapa yang lain.

Beliau terlibat juga dalam upaya menjalin kerjasama kesarjanaan dalam bidang linguistik Melayu dengan mengadakan perundingan dan penjanaan projek penyelidikan, leksikografi dan yang lain bersama-sama dengan sarjana sedunia seperti Prof. Bernd Nothofer dari Jerman, Prof. Alexandar Adelaar dari Australia, Prof. Ulrich Kraatz dari London, Prof. Rudolfo Jacobson dari Texas, Prof. Natalia Alieva dari Rusia, Prof. Habib Zarbaliyev dari Azerbaijan, Prof. Tantiana Denisova dari Rusia, Dr. Arndt Graf dari Jerman dan sarjana dari rantau dunia Melayu seperti Prof. Harimurti Kridalaksana, Dr. Hasan Alwi, Prof. I. Wayan Bawa, Prof. Amin Siregar, Dr. Worawit Baru, Dr. Paitoon Masmintra Chaiyanara, dan yang lain. Sebagai hasilnya, dapat digerakkan projek penyelidikan etimologi bahasa Melayu, kajian leksikal, leksikologi dan leksikografi, dialektologi, stilistik, retorik, wacana dan sejarah bahasa Melayu.

Dalam Majlis Bahasa Brunei Darussalam – Indonesia – Malaysia (MABBIM), ia menjadi anggota ex-officio atas kedudukannya sebagai Pengarah Jabatan Bahasa. Perancangan yang dilakukannya dari dalam melalui Jawatankuasa Tetap Bahasa Melayu (JKTBM), iaitu badan bahasa tertinggi yang ditubuhkan oleh Kerajaan memungkinkan MABBIM melebarkan sayap kegiatan kerjasama serantau, daripada sekadar menggarap bidang ejaan dan peristilahan kepada bidang penyelidikan, penyebaran maklumat bersama melalui Gerbang Bahasa dan kegiatan pertukaran kepakaran.

Sebagai pengiktirafan antarabangsa terhadap kewibawaannya dalam bidang ilmiah, ia telah diundang menjadi Profesor Tamu oleh Pusat Pengajian Asia Tenggara, Universiti Frankfurt, Jerman sebanyak kali (kali pertama pada tahun 2006 dan kali kedua pada tahun 2007). Ia diundang khas untuk memperkenalkan linguistik Melayu kepada pelajar peringkat Magister (Sarjana) di universiti itu dalam kursus intensif yang merangkumi sukatan kuliah untuk satu semester. Selain itu, Jurusan Linguistik Sekolah Pascasiswazah Universiti Sumatera Utara, Indonesia secara berkala melantiknya sebagai Profesor Tamu untuk memberikan kuliah kepada calon sarjana dan doktor falsafah sejak tahun 2006.

Dalam bidang pendidikan bahasa, pelibatannya selama lebih 30 tahun melatih mahasiswa dan calon sarjana serta doktor falsafah di Universiti Pertanian Malaysia, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Universiti Brunei Darussalam, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Putra Malaysia dan Universiti Malaya memungkinkannya memantapkan teori dan pendekatan yang berkaitan dengan falsafah bahasa dan pendidikan bahasa.

Pemikiran, pemerhatian dan penyelidikan yang dilakukannya akhirnya menghasilkan kupasan tentang falsafah pendidikan bahasa yang berasaskan perbandingan antara falsafah pendidikan menurut kaca mata Barat dengan falsafah pendidikan menurut kaca mata Islam. Hasil perbandingannya itu dijadikan landasan menggariskan falsafah pendidikan bahasa menurut tasawur atau pandangan sarwa Islam, yang pada penilaiannya bersifat hakiki dan abadi.
  
Pendidikan bahasa, pada pendapatnya, bukan pengajaran tentang sistem bahasa (seperti tatabahasa, ejaan, sebutan) dan kemahiran bahasa (mendengar, bertutur, membaca dan menulis) semata-mata. Pendidikan bahasa dilihatnya sebagai wasilah untuk melahirkan insan yang bersepadu, yang memanfaatkan bahasa untuk pengilmuan diri dan masyarakat, yang menyerapkan adab dalam kehidupannya, yang meneliti sistem bahasa sebagai asas peneguhan keimanan kepada Allah sebagai pencipta alam dan juga yang memanfaatkan bahasa untuk membentuk kesinambungan tamadun. 

Garapan gagasannya tentang falsafah pendidikan bahasa dinukilkannya dalam disertasi kedoktorannya, iaitu “Falsafah Pendidikan Bahasa: Kajian Konsep dan Pelaksanaannya dalam Pendidikan Bahasa Melayu di Malaysia dengan Tumpuan Khusus kepada Pendidikan di Sekolah Menengah” (1997). Banyak kertas kerja dan makalah (ilmiah dan umum) yang telah dihasilkannya sebagai peluasan daripada disertasi tersebut.

Bukunya yang menjadi rujukan penting dalam bidang pendidikan bahasa, terutama yang berlandasakan falsafah bahasa dan pendidikan bahasa menurut kaca mata Islam dan alam Melayu, antaranya ialah Teras Pendidikan Bahasa Melayu, Pegangan untuk Pendidik (2004, terbitan PTS dan edisi kedua 2012), Perkembangan Falsafah Bahasa dan Pemikiran dalam Linguistik (2007, terbitan Sasbadi) dan Falsafah dan Pemikiran Melayu Berteraskan Islam (2010, terbitan IKDAS dan ABIM).

Sumbangannya dalam perkhidmatan awam meningkat lagi apabila beliau dilantik oleh Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia sebagai Penyandang Pertama Kursi Pengajian Melayu di Republik Rakyat China, yang berpangkalan di Beijing Foreign Studies University, bermula pada awal tahun 2008. Beliau telah menjadi duta ilmu dan tamadun Melayu dengan meningkatkan program pengajian Melayu di negara tersebut, melalui usaha peningkatan taraf akademik di peringkat ijazah pertama dan pascasiswazah, pengukuhan program bahasa dan persuratan Melayu melalui seminar dan ceramah di universiti-universiti di negara itu dan juga melalui media Radio Antarabangsa China (CRI) serta penerbitan bahan-bahan ilmu tentang bahasa dan persuratan Melayu di negara tersebut.
  
Dalam bidang pengucapan awam, beliau telah berjaya melahirkan pemidato yang baik, apabila seorang mahasiswa tahun pertamanya, Zhang Song atau nama Melayunya Noriah meraih kedudukan sebagai Johan Pertandingan Antarabangsa Pidato Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2010.

MELALUI PERSATUAN :

Melalui Persatuan Linguistik Malaysia, khususnya, bersama-sama dengan ahli bahasa lain seperti Prof. Emeritus Nik Safiah Karim, Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Asraf, Prof. Farid M. Onn, Prof. Hashim Musa, Prof. Madya Sanat Nasir, Prof . Juriah Long dan melalui Kumpulan Prihatin (yang dianggotai oleh tokoh seperti Tan Sri Ainuddin Wahid, Datuk Zainal Abidin Wahid, Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Datuk Baharuddin Zainal, Prof. Emeritus Abdullah Hassan, Haji Ahmad Azam dan yang lain), beliau bersuara lantang dalam memperjuangakan kedaulatan bahasa Melayu dalam pelbagai ranah, terutama dalam ranah pendidikan, pentadbiran negara dan media massa.

Beliau menjadi antara jurubicara PLM yang lantang dalam pelbagai isu bahasa kebangsaan, seperti isu rancangan kerajaan menjadikan bahasa Inggeris sebagai bahasa kuliah subjek sains dan teknologi di institusi pengajian tinggi awam (1993), isu bahasa kebangsaan di mahkamah, isu bahasa kebangsaan dalam bidang penyiaran di stesen radio dan televisyen, isu bahasa Melayu di institusi pendidikan swasta, isu pemansuhan penggunaan sebutan baku dan isu penggunaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar mata pelajaran Matematik dan Sains di sekolah (sejak 2002).

Malahan sebagai penjawat awam ketika menjadi Pengarah Jabatan Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (1999-2004) pun beliau tetap bersuara lantang dalam perjuangan bahasa, sehingga ada pihak yang berasa tidak senang dan mengungkit kedudukannya sebagai penjawat awam. Beliau tidak menghiraukan segala kecaman dan dakwaan palsu pihak berkenaan yang jelas tidak menghormati Perlembagaan dan segala akta berkaitan dengan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, bahasa rasmi dan bahasa penghantar utama sistem pendidikan negara oleh sebab asas perjuangannya berlandaskan dasar-dasar negara, seperti Dasar Bahasa Kebangsaan dan Dasar Pendidikan Kebangsaan, yang telah diperundang-undangkan melalui Parlimen, khususnya Perlembagaan Persekutuan (Perkara 152), Akta Pelajaran 1961 (kemudian dipinda menjadi Akta Pendidikan 1996) dan Akta DBP.
  
Gerakan rakyat melalui kongres, seminar, konvensyen, dialog dan sebagainya menjadi landasan perjuangannya. Dalam Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-IV pada penghujung tahun 1984, misalnya, beliau menjadi antara penggeraknya yang aktif dan resolusi kongres yang didrafnya atas tanggungjawabnya sebagai Pengerusi Jawatankuasa Resolusi menjadi dokumen penting perjuangan rakyat tentang bahasa dan persuratan kebangsaan dan ketika itu diambil berat oleh pemerintah yang masih cukup peka akan peranan konsep kebangsaan dalam pembentukan negara bangsa.
  
Dalam Kongres itu, beliau sendiri menulis dua buah kertas kerja bersama-sama dengan sarjana lain dan mendraf dua buah kertas kerja lain untuk Persatuan Linguistik Malaysia. Demikian jugalah melalui Siri Kongres Cendekiawan Melayu, beliau turut berperan sama ada sebagai penggerak dalam jawatankuasa mahupun sebagai pembentang kertas kerja dan menjadi anggota dialog dengan wakil pemerintah.

Persatuan Linguistik Malaysia yang turut didukungnya sebagai anggota Majlis, Setiausaha Kehormat dan kemudian Presiden menganjurkan sekian banyak seminar, bengkel, forum, dialog dan sebagainya untuk membentuk pandangan umum tentang isu-isu bahasa kebangsaan, terutamanya. PLM senantiasa bersikap dan bertindak sebagai pemantau dasar bahasa kebangsaan, di samping bergerak dalam bidang ilmiah. 

Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Ke-V di Dewan Tun Razak, Tanjong Malim pada bulan Mei tahun 2002, sebagai sambutan 50 tahun Kongres (yang pertama ialah pada tahun 1952), menyaksikan peranan Awang Sariyan sebagai Pengerusi Kongres yang didukung oleh beberapa badan utama, iaitu Persatuan Linguistik Malaysia, Gapena, Persatuan Penterjemah Malaysia dan disokong oleh badan lain seperti Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI), Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat (KGMMB) dan Persatuan Sejarah Malaysia.

Kongres itu sendiri cukup menguji semangat perjuangannya apabila pemimpin Universiti Pendidikan Sultan Idris yang sejak awal sanggup menjadi tuan rumah Kongres atas dasar sebagai markaz nasionalis yang unggul sejak zaman SITC (1922), pada saat akhir Kongres akan bermula mengambil sikap membatalkan izin menggunakan kampusnya hingga Kongres terpaksa secara tergesa-gesa dipindahkan ke sebuah dewan orang ramai yang kurang terurus di bandar Tanjong Malim (Dewan Tun Abdul Razak). Selain sebagai Pengerusi Panitia Penyelenggara Kongres, beliau turut membentangkan kertas kerja bersama-sama dengan Mohd. Kamal Shukri tentang implikasi perubahan dasar penggunaan bahasa Inggeris dalam mata pelajaran yang berkaitan dengan sains dan matematik.

Dalam kemelut menghadapi keputusan pemerintah menggantikan bahasa Melayu dengan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar subjek Matematik dan Sains, beliau mengambil daya usaha menggemblengkan sejumlah persatuan untuk menyatakan sikap kepada pemerintah dan menggerakkan kegiatan membina pandangan umum agar keputusan itu dapat diubah, melalui forum, ceramah, seminar dan penerbitan.

Antara persatuan yang dapat dihimpunkannya pada awal gerakan itu termasuklah Persatuan Penterjemah Malaysia, Akademi Sains Islam Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia, Persatuan Kebangsaan Islam Malaysia, Kesatuan Guru Melayu Malaysia Barat, Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung dan Persatuan Sejarah Malaysia, di samping Persatuan Linguistik Malaysia yang dipimpinnya. Pernyataan bersama yang juga merupakan memorandum telah disediakannya dan dikirimkan kepada pemimpin-pemimpin negara dan juga media dan hujah-hujah dalam memorandum itu telah dijadikan asas pernyataan beberapa pihak lain pula sesudah itu.
  
Atas kedudukannya sebagai jurubicara semua persatuan itu, walaupun kemudian tinggal dua atau tiga persatuan sahaja yang istiqamah, beliau diundang oleh pelbagai pihak untuk memberikan ceramah di pelbagai tempat di seluruh negara, khusus untuk memberikan penerangan tentang implikasi pelaksanaan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar dalam subjek-subjek yang berkaitan dengan Matematik dan Sains kepada sistem pendidikan negara, cita-cita pembentukan jati diri, perpaduan kebangsaan dan pembangunan negara berasaskan acuan sendiri.
  
Semangat dan gerak perjuangannya disemarakkan juga oleh pejuang-pejuang kebangsaan veteran yang mengikutsertakannya dalam pertemuan dan kegiatan mereka. Antaranya termasuklah Datuk Zainal Abidin Wahid, Datuk Abu Bakar Hamid, Tan Sri Ainuddin Wahid, Dato’ Dr. Hassan Ahmad, Datuk Baharuddin Zainal (Baha Zain), Prof. Abdullah Hassan, Dato’ Hassan Ibrahim, Dr. Ahmad Kamar, Dato’ Hussein Ahmad dan beberapa yang lain. Selain kerap mengadakan muzakarah, kumpulan veteran yang turut disertainya itu mengadakan seminar, ceramah dan penyediaan tenaga untuk kegiatan perjuangan kebangsaan, termasuk bahasa. 

Kumpulan gabungan orang perseorangan dan persatuan seperti Persatuan Linguistik Malaysia (PLM), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM), Persatuan Penterjemah Malaysia PPM), Akademi Sains Islam Malaysia (ASASI) itu dinamai Kumpulan Prihatin. 

Sikap bahasanya diungkapkannya dalam pelbagai kertas kerja, memorandum, makalah, buku, ceramah, dan forum. Beliau terlibat dalam usaha penggemblengan tenaga pejuang bahasa daripada beberapa persatuan untuk mengemukakan pandangan, memorandum dan merancang gerakan pendaulatan bahasa kebangsaan. Dalam buku terbitan Persatuan Linguistik Malaysia yang berjudul Manifesto Budaya, Pupus Bahasa Pupuslah Bangsa (1996), beliau menyumbangkan beberapa makalah perjuangan bahasa di samping beberapa memorandum dan resolusi seminar yang didrafnya bagi pihak Persatuan Linguistik dan penganjur seminar. 

Pada tahun 1980-an, beliau menggagaskan penerbitan Siri Khazanah Bahasa untuk tujuan pemasyarakatan perjuangan bahasa dan ilmu bahasa kepada massa. Bersama-sama dengan Nik Safiah Karim dan Asraf, beliau menghasilkan berbelas-belas risalah dalam siri tersebut. Tiupan trompet perjuangan mempertahankan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, khususnya dalam suasana kerajaan mengambil keputusan menggantikan bahasa Melayu sebagai bahasa penghantar subjek Matematik dan Sains di sekolah pada tahun 2002, menggerakkannya mengusahakan penerbitan Siri Bicara Bahasa yang menampilkan suara perjuangan sarjana dan pejuang bahasa. Sebanyak 20 judul terbit dalam siri itu dengan beliau sendiri menjadi Editornya dan Persatuan Linguistik Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka sebagai penerbitnya. Siri tersebut diedarkan kepada para pemimpin negara, ketua jabatan kerajaan, ketua persatuan dan masyarakat umum. 

Atas daya usaha Baha Zain yang menyusun semula manuskrip Keranda 152, iaitu rakaman suara dan perasaan pejuang bahasa pada tahun 1960-an, yang merujuk secara khusus kepada Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, Awang Sariyan mengusahakan penerbitannya semula sebagai projek Persatuan Linguistik Malaysia dengan menulis Kata Penghantar yang dianggap cukup kritis sehingga pencetak yang awalnya setuju mencetaknya menarik diri dan terpaksa beliau mendapatkan khidmat pencetak yang lain. Usaha penerbitan buku itu dibantu oleh Dato’ Abdul Rahim Bakar yang ketika itu menjadi Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka, daripada segi kos percetakannya.
  
Pada tahun 2005, beliau mengusahakan penerbitan buku Suara Pejuang Bahasa, iaitu kumpulan tulisan pejuang-pejuang bahasa dengan Dato’ Abdul Rahim Bakar dan beliau sendiri menjadi Editor Bersama dan Persatuan Linguistik Malaysia sebagai penerbitnya. Atas usaha Dato’ Abdul Rahim Bakar, Syarikat Dawama telah setuju membiayai kos percetakannya. Buku itu secara khusus diterbitkan untuk memberikan kesedaran kepada pemimpin dan rakyat tentang buruknya kesan pelaksanaan pengajaran bahasa Inggeris bagi mata-mata pelajaran yang berasaskan sains dan matematik, yang mula dilaksanakan pada tahun 2003 di sekolah. 

Bukunya sendiri seperti Isu-isu Bahasa Malaysia (1984), terbitan Penerbit Fajar Bakti (pemenang Hadiah Bahasa PLM-Public Bank, 1985), Ceritera Bahasa (1994,1995, 2002), Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia (1996, 2006), kedua-duanya terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Hakikat Bahasa dan Realisasi Fungsinya dalam Pembinaan dan Penakatan Tamadun (2005, 2006), dan Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku (2009), kedua-duanya terbitan Persatuan Linguistik Malaysia, dengan jelas memaparkan sikap dan perjuangan bahasanya yang tegas. Makalahnya yang terbit dalam pelbagai majalah dan akhbar serta blognya (kembarabahasa.blogspot.com) dan laman web sosial Facebook(Kembara Bahasa) turut memaparkan sikap dan pendiriannya yang tegas dan tekal dalam soal maruah bahasa dan bangsa.

PENGHARGAAN DAN PENGIKTIRAFAN

Penghargaan dan pengiktirafan yang diterimanya setakat ini ialah:

> Hadiah Persuratan sempena Sambutan Ulang Tahun Ke-10 UKM (1980)
> Anugerah Khidmat Cemerlang Dewan Bahasa dan Pustaka (1985)
> Hadiah Bahasa PLM-Public Bank (1985)
> Hadiah Penghargaan Sambutan Dua Dekad Pengajaran UPM (1993)
> Anugerah Tinta Kencana (Kategori Makalah Ilmiah) DBP (2000)
> Kesatria Mangku Negara (K.M.N) oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong (2002)
> Pengiktirafan sebagai Seorang daripada 100 Orang Bekas Siswazah Cemerlang UKM bersempena dengan ulang tahun ke-35 penubuhan UKM dalam buku Penghargaan Kecmerlangan UKM/Tribute to Excellence), 2005, pelancaran oleh Canselor UKM, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan. 

Selain itu, riwayat hidupnya sebagai ahli dan pejuang bahasa dirakamkan dalam Ensiklopedia Sejarah dan Kebudayaan Melayu terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, Ensiklopedia Malaysiana, ensiklopedia bebas edisi internet, Wikipedia, buku Penghargaan Kecemerlangan / Tribute to Excellence UKM 35 Tahun dan beberapa buah majalah. Namanya tersenarai dalam Direktori Penulis Malaysia dan Direktori Persatuan Pengajian Melayu Malaysia.

PENULISAN DAN PENERBITAN 
         
Dalam bidang penulisan, Awang Sariyan telah menghasilkan lebih 60 judul buku, risalah, dan kamus. Selain menulis buku ilmiah, beliau menghasilkan buku teks Bahasa Melayu, Sejarah dan Tatarakyat, buku panduan peperiksaan Bahasa Melayu, buku pedoman bahasa dan buku tentang isu bahasa semasa. Beliau turut menghasilkan kamus pelajar sekolah rendah dan sekolah menengah.

Makalah ilmiah dan umum yang ditulisnya sejak tahun 1970-an sudah mencapai empat angka jumlahnya dan terbit dalam pelbagai jurnal, majalah dan akhbar, seperti Jurnal Bahasa (DBP Malaysia), Jurnal Bahasa (DBP Brunei Darussalam), Jurnal Pemikir (Kumpulan Utusan Melayu), Jurnal Pendidikan Islam (ABIM), Jurnal Linguistik PLM), Jurnal Dewan Bahasa, Jurnal Antarabangsa Islam Hadhari (UKM-JAKIM), Jurnal Diges Pendidikan (USM), Jurnal Melayu, majalah Dewan Masyarakat, Dewan Bahasa, Dewan Budaya, Dewan Sastera, Dewan Siswa, Pelita Bahasa, Mastika, Sarina, Panji Masyarakat, Pembina Generasi, Akademik, Potensi, Widya, Santajiwa, Dian dan akhbar Berita Harian, Utusan Malaysia, Watan, Mingguan Kota, Warta KL, Bacaria, Berita Harian Singapura, Buletin Pengajian Melayu Universiti Malaya, Buletin Gerbang Bahasa Majlis Antarabangsa Bahasa Melayu (MABM) dan beberapa yang lain.
  
Beliau pernah menjadi kolumnis bagi majalah Pelita Bahasa, Dewan Siswa, Mastika, Panji Masyarakat, Widya, Potensi, Klik DBP Berita Harian, Siasah dan beberapa buah majalah serta terbitan lain.

Kertas kerja, termasuk beberapa syarahan, kertas ucap utama dan kertas dasar yang disampaikannya dalam pelbagai pertemuan ilmiah di dalam dan di luar negara (termasuk di Singapura, Thailand, Indonesia, Brunei Darussalam, Republik Rakyat Cina, Australia, Korea Selatan, Jerman dan Perancis) melebihi 200 judul jumlahnya. Kebanyakan kertas kerjanya menggarap bidang bahasa, pendidikan, pendidikan bahasa, falsafah, stilistik dan kebudayaan. Sebahagian kertas kerjanya itu telah dijilid dalam koleksi yang diberi judul Sumbangsih Bahasa (1988) dan tersimpan di Pusat Dokumentasi Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka dan Perpustakaan Universiti Putra Malaysia.
          
Sumbangannya dalam bidang penulisan mendapat pengiktirafan apabila Panel Hadiah Bahasa PLM-Public Bank 1985 memilih bukunya Isu-isu Bahasa Malaysia terbitan Penerbit Fajar Bakti sebagai pemenang. Pada tahun 2000 pula, beliau menerima Hadiah Tinta Kencana kategori esei ilmiah, Dewan Bahasa dan Pustaka. Sebelum itu, bersempena dengan Sambutan 10 Tahun Universiti Kebangsaan Malaysia, iaitu pada tahun 1980, beliau dikurniai Hadiah Persuratan oleh Universiti Kebangsaan Malaysia, iaitu penghargaan yang diberikan kepada bekas mahasiswa yang prolifik dalam bidang penulisan.

Buku

1. Catatan Ringkas Sejarah Kebudayaan Melayu (Ed.). 1976. Kuala Lumpur: TAT
2. Kesalahan Umum Penggunaan Bahasa Malaysia Edisi Permulaan. 1980. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
3. Isu-isu Bahasa Malaysia. 1984. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti (memenangi Hadiah Bahasa PLM – Public Bank Tahun 1985)
4. Kesalahan Umum Penggunaan Bahasa Malaysia Edisi Kedua. 1984. Kuala Lumpur: Penerbit Sarjana (cetakan kedua 1984)
5. Teknik Mengarang Kertas Am dan Bahasa Melayu I. 1984. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise Kesinambungan Bahasa dalam Sastera Melayu. 1986. Petaling Jaya: Penerbit Fajar 
Bakti
6. Kunci Bahasa Malaysia. 1986. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi
7. Sumbangsih Bahasa (Koleksi Kertas Kerja Satu Dekad dalam Perancangan Bahasa). 1988. Kuala Lumpur: Perpustakaan Dewan Bahasa dan Pustaka
8. Aspek-aspek Tatabahsa dalam Pentadbiran. 1988. Kuching: Dewan Bahasa dan Pustaka Cawangan Sarawak
9. Isu-isu dalam Pemasyarakatan Bahasa Melayu Baku. 1988. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise
10. Pengaruh Sintaksis Bahasa Inggeris dalam Bahasa Melayu dengan Rujukan Khusus kepada Laras Bahasa Ilmiah. 1988. Kuala Lumpur:Nurin Enterprise
11. Sebutan Baku Bahasa Melayu. 1988. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise Bahasa Melayu di Malaysia: Perkembangan dan Masalahnya. 1989. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise
12. Aspek-aspek Kesalahan Ejaan Rumi yang Lazim. 1989. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise
13. Bahasa Baku dalam Konteks Pembangunan Insan. 1989. Kuala Lumpur: Penulis
14. Beberapa Aspek Kesalahan Tatabahasa dalam Penggunaan Bahasa Melayu. 1989. Kuala Lumpur: Nurin Enterprise
15. Bahasa Melayu Baku dan Perancangan Bahasa. 1990. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
16. Konsep Kesalahan Bahasa dalam Bahasa Melayu. 1990. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (cetakan kedua 1995)
17. Asas Penulisan Deskriptif. 1992. Kuala Lumpur: Menara Ilmu
19. Kita dan Bahasa Kebangsaan Kita. 1992. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia (Editor) (Cetakan kedua 1997)
20. Ceritera Bahasa. 1994. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (cetakan kedua 1995, cetakan ketiga 2002)
21. Warna dan Suasana dalam Perancangan Bahaa Melayu di Malaysia. 1996. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (cetakan kedua 2000)
22. Isu Mazhab dalam Bahasa Melayu: Suatu Penjelasan. 1996. Kuala Lumpur: Imbas Cemara
23. Asraf Tokoh Pejuang Bahasa Sepanjang Masa. 1997. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia
24. Keranda 152, Bahasa Kita, Air Mata dan Maruah Kita. 2002. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia (Editor dan Penulis Kata Penghantar)
25. Pendidikan Bahasa Melayu di Malaysia: Pemenuhan Suatu Idealisme (Siri Bicara Bahasa Bil. 3). 2002. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia
26. Ceritera tentang Kejayaan Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia. (Siri Bicara Bahasa Bil. 14). 2002. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia
27. Prosiding Kongres Bahasa dan Persuratan Melayu Keempat. 2002. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (Editor)
28. Warisan Melayu Sri Lanka. 2003. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (Editor Bersama)
29. Isu Bahasa Rojak. (Siri Bicara Bahasa Bil. 20). 2004. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka dan Persatuan Linguistik Malaysia
29. Tuntunan Bahasa: Asas Pegangan Pelajar. 2004. Petaling Jaya: Pearson Teras Pendidikan Bahasa Melayu: Asas Pegangan Guru. 2004. Kuala Lumpur: PTS Publications and Distributors
30. Tertib Mengarang: Asas Retorik untuk Pendidik dan Pelajar. 2004, 2006. 2009. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka
31. Sumbangsih: Kumpulan Esei Penghormatan kepada Asraf. 2004. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (Editor)
32. Suara Pejuang Bahasa. 2005. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik (Editor Bersama)
33. Tuntunan Bahasa Edisi Kedua. 2005. Petaling Jaya: Pearson.
34. Hakikat Bahasa dan Realisasinya dalam Pembangunan dan Penakatan Tamadun. 2005. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia dan Dewan Bahasa dan Pustaka.
35. Warna dan Suasana Perancangan Bahasa Melayu di Malaysia Edisi Kedua. (Siri Lestari Bahasa) 2006. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
36. Perkembangan Falsafah Bahasa dan Pemikiran dalam Linguistik. 2006 Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (dalam percetakan)
37. Hakikat Bahasa dan Realisasinya dalam Pembangunan dan Penakatan Tamadun Edisi Kedua. 2006. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
39. Ujana Minda: Kumpulan Esei Bahasa, Sastera dan Komunikasi Jilid 1 (Ed.). Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (Editor bersama)
40. Ujana Minda: Kumpulan Esei Bahasa, Sastera dan Komunikasi Jilid 2. (Ed.). Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi. (Editor bersama)
41. Santun Berbahasa. 2007. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
42. Perkembangan Falsafah Bahasa dan Pemikiran dalam Linguistik. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi.
43. Falsafah dan Logika Melayu. 2007. Kajang: Synergymate.
44. Kesantunan Bahasa. 2009. Beijing: Beijing Foreign Studies University.
45. Mencari Makna Diri Melayu: Renungan untuk Bangsaku. 2009. Kuala Lumpur: Persatuan Linguistik Malaysia.
46. Sintaksis Bahasa Melayu Bersumberkan Karya Sastera. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.
47. Falsafah dan Pemikiran Melayu Berteraskan Islam. 2010. Kuala Lumpur: IKDAS dan ABIM.
48. Kumpulan Esei Penghormatan: Prof. Wu Zong Yu 50 Tahun dalam Bidang Bahasa dan Persuratan Melayu. Beijing: Beijing Foreign Studies University (Editor) BUKU TEKS
49. Sejarah Baru Negara Malaysia Tingkatan 1. 1977. Kuala Lumpur: Analekta (penulis bersama)
50. Sejarah Baru Negara Malaysia Tingkatan 2. 1978. Kuala Lumpur: Analekta (penulis bersama)
51. Sejarah Baru Negara Malaysia Tingkatan 3. 1978. Kuala Lumpur: Analekta (penulis bersama)
52. Pendidikan Tatarakyat Tingkatan 4. 1977. Kuala Lumpur: Analekta (penulis bersama)
Bahasa Malaysia Progresif Dewan Tingkatan 1. 1987. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (penulis bersama)
53. Buku Panduan Guru Bahasa Malaysia Progresif Dewan Tingkatan I. 1987. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (penulis bersama)
54. Bahasa Malaysia KBSM Tingkatan 2. 1988. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (penulis bersama)
55. Buku Kerja Bahasa Malaysia Progresif Dewan Tingkatan 1. 1988. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (penulis bersama)
56. Bahasa Malaysia KBSM Tingkatan 3. 1989. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka (penulis bersama) 

Kamus

1. Kamus KBSR Rumi – Jawi Tahap Satu. 1986. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti
2. Kamus KBSR Tahap Satu Melayu – Inggeris – Cina. 1986. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti
3. Kamus KBSR Tahap Dua Rumi – Inggeris – Jawi. 1988. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti
4. Kamus KBSR Melayu – Inggeris – Jawi. 1988. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti
5. Kamus Pelajar Delta. 1988. Petaling Jaya: Pustaka Delta (penyusun bersama) 

Buku Panduan Peperiksaan 

1. Strategi Bahasa Malaysia Tingkatan 1. 1986. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi
2. Strategi Bahasa Malaysia Tingkatan 2. 1986. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi
3. Strategi Bahasa Malaysia Tingkatan 3. 1986. Petaling Jaya: Penerbit  Fajar Bakti
4. Buku Kerja KBSR Bahasa Malaysia Tahun 5(5A). 1986. Kuala Lumpur: ‘K’ Publishing
5. Buku Kerja KBSR Bahasa Malaysia Tahun 5 (5B). 1986. Kuala Lumpur: ‘K’ Publishing
6. Petunjuk SRP Bahasa Malaysia KBSM. 1990. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (penulis bersama)
7. Petunjuk SRP KBSM: Tatabahasa. 1991. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi
8. Petunjuk SRP KBSM: Mengarang. 1991. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi
9. Petunjuk PMR Bahasa Malaysia KBSM. 1992. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (penulis bersama)
10. Petunjuk SPM Bahasa Malaysia. 1992. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (penulis bersama)
11. Revisi Lengkap PMR Bahasa Malaysia KBSM. 1992. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (penulis bersama)
12. Revisi Cepat PMR Bahasa Melayu KBSM. 1992. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (penulis bersama)
13. Revisi Lengkap SPM Bahasa Melayu KBSM. 1992. Petaling Jaya: Penerbit Sasbdi (penulis bersama)
14. Revisi Lengkap PMR Bahasa Melayu. 1993. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (penulis bersama)
15. Revisi Lengkap SPM Bahasa Melayu. 1993. Petaling Jaya: Penerbit Penerbit Sasbadi (penulis bersama)
16. Sebutan Baku dan Ejaan Rumi. 1995. Kuala Lumpur: Synergymate
17. Bantuan Studi Cepat PMR KBSM Bahasa Malaysia. 1995. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (penulis bersama)
18. Bantuan Studi Cepat SPM KBSM Bahasa Malaysia. 1995. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (penulis bersama)
19. Bantuan Studi Lengkap PMR KBSM Bahasa Melayu. 1995. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (penulis bersama)
20. Bantuan Studi Lengkap SPM Bahasa Melayu. 1995. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (penulis bersama)
21. Bantuan Studi Cepat Terkini PMR KBSM Bahasa Malaysia. 1996. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (penulis bersama)
22. Bantuan Studi Cepat Terkini SPM KBSM Bahasa Malaysia. 1996. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (penulis bersama)
23. Bantuan Studi Cepat Prima PMR KBSM Bahasa Malaysia. 1996. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (penulis bersama)
24. PMR Perdana: Penulisan. 1998. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi
25. PMR Bahasa Malaysia. 1998. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (penulis bersama)
26. SPM Bahasa Malaysia. 1998. Petaling Jaya: Penerbit Sasbadi (penulis bersama)

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2017 PM Institute