ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Saturday, 29 June 2013

SULTAN SELANGOR BERI AMARAN SUPAYA JANGAN SUKA-SUKA TAFSIR UNDANG-UNDANG DEMI KEPENTINGAN KUMPULAN ATAU PERIBADI PIHAK TERTENTU

Oleh : Bernama

SHAH ALAM, 28 Jun 2013 - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bertitah baginda tidak berkenan pihak yang menyalahtafsir peruntukan yang terdapat dalam Perlembagaan Persekutuan dan Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor demi kepentingan dan manfaat golongan tertentu.

Sehubungan itu, baginda menyeru semua pihak khususnya rakyat Selangor agar sentiasa menghormati dan akur pada setiap peruntukan dalam undang-undang tersebut untuk terus menikmati keamanan, keharmonian dan kesejahteraan hidup. "Kita perlu sentiasa mengangkat martabat Perlembagaan Persekutuan, Undang-undang Tubuh Kerajaan Selangor dan undang-undang negara ke tahap tertinggi mengatasi segala kepentingan peribadi dan politik masing-masing," titah baginda pada upacara perasmian pembukaan mesyuarat penggal pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-13 di Bangunan DUN di sini Jumaat.

Sultan Sharafuddin, selaku Ketua Agama Islam Selangor, juga menitahkan pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui gabungan parti PAS, PKR dan DAP memberikan perhatian serius terhadap usaha meningkatkan kualiti hidup umat Islam dengan keutamaan diberikan dalam bidang pendidikan dan ekonomi.

Titah baginda cara kerja yang profesional dapat menangkis sebarang fitnah dan tuduhan jahat sekali gus membuktikan kemampuan sebenar sistem Islam sebagai addin (cara hidup yang diredai Allah).

"Perhatian serius kepada usaha memajukan umat Islam tidak pernah menjadi alasan untuk mengabaikan atau meminggirkan rakyat Beta yang lain.

"Malah kemajuan umat Islam selaku golongan majoriti di negeri ini mampu memberikan kesan positif kepada negeri dan rakyat," titah baginda.

Sultan Selangor menitahkan pimpinan kerajaan negeri memberikan tumpuan bagi memastikan prestasi ekonomi terus stabil di samping memberi penekanan terhadap pembangunan desa, modal insan, pendidikan serta kesihatan.

Titah baginda, ekonomi Selangor tahun ini dianggarkan merekodkan prestasi sederhana dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar 5.6 peratus setahun seiring dengan persekitaran ekonomi dunia dan Malaysia yang sederhana.

Baginda turut menitahkan agar kerajaan negeri menyusun strategi memacu pertumbuhan ekonomi serta memperkenalkan sistem jaringan bagi membantu rakyat yang menghadapi situasi ekonomi yang semakin mencabar.

"Pada masa sama, Beta ingin melihat rakyat terlibat secara aktif dalam semua aktiviti ekonomi agar kemakmuran ekonomi di negeri Selangor dapat dikecapi rakyat secara keseluruhannya," titah baginda.

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2017 PM Institute