TIDAK WUJUD PERUNTUKAN CALON YANG KALAH DALAM PILIHANRAYA DIANGKAT MENJADI ADUN JIKA CALON YANG MENANG MENINGGAL - AHMAD MASLAN

Oleh : Bernama

KUALA LUMPUR, 26 JUN 2013 - Kematian anggota Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan Kuala Besut di Terengganu Dr A. Rahman Mokhtar akibat kanser paru-paru Rabu mewujudkan kekosongan kerusi yang pertama selepas pilihan raya umum diadakan 5 Mei lepas.

Kawasan itu bakal menjadi tumpuan sekiranya pilihan raya kecil diadakan, kemungkinan pada bulan Ramadan, memandangkan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri Terengganu dengan majoriti mudah apabila menguasai 17 kerusi berbanding 14 kerusi dimenangi PAS dan satu lagi oleh PKR.

Allahyarham A. Rahman, 55, meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Terengganu, akibat kanser paru-paru. Pada pilihan raya umum lepas, Allahyarham mempertahankan kerusi itu setelah mengalahkan calon PAS Napisah Ismail dengan majoriti 2,434 undi.

Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Wan Ahmad Wan Omar berkata mesyuarat khas akan diadakan untuk menetapkan tarikh pilihan raya kecil Kuala Besut selepas menerima pemakluman rasmi berhubung kekosongan kerusi itu daripada Speaker DUN.

Katanya mengikut Undang-undang Tubuh Negeri dan Perlembagaan Persekutuan, pilihan raya kecil perlu diadakan dalam tempoh 60 hari daripada tarikh kekosongan.

Fasal 30(1) Undang-Undang Tubuh Negeri menyatakan sekiranya seseorang ahli Dewan Undangan Negeri mati atau menjadi tidak layak untuk menjadi ahli Dewan Undangan Negeri itu maka hendaklah tempatnya itu menjadi kosong.

Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said berkata pilihan raya kecil akan diadakan berikutan kematian itu dan menyerahkan kepada SPR untuk menentukan tarikhnya.

Jika SPR mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat, kemungkinan besar pilihan raya itu diadakan pada bulan Ramadan memandangkan umat Islam dijangka mula berpuasa pada 10 Julai dan Syawal dijangka disambut pada 8 atau 9 Ogos.

Sementara itu, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Ahmad Maslan yang ditemui pemberita di Terengganu, menafikan wujud peruntukan yang kononnya pilihan raya kecil tidak perlu diadakan jika kematian anggota DUN dalam tempoh 60 hari selepas pilihan raya umum, dan boleh digantikan dengan calon daripada parti anggota yang meninggal dengan kuasa melantik terletak kepada menteri besar.

Ahmad berkata peruntukan sedemikian tidak wujud dan beliau sendiri telah mengesahkan dengan pihak Peguam Negara.

"(Peruntukan) Akta yang digembar-gemburkan itu tidak wujud seperti yang tersebar luas dalam media soial. Terserah kepada SPR untuk tentukan tarikh pilihan raya," katanya.

Post a Comment

0 Comments