[DOWNLOAD EBOOK PERCUMA] THE RELUCTANT POLITICIAN : TUN DR. ISMAIL AND HIS TIME


Oleh : PNM

Ismail bin Dato’ Abdul Rahman telah dilahirkan di Johor Bahru pada 4 November 1915. Bapanya Abdul Rahman bin Mohamed Yassin adalah bekas pegawai perkhidmatan awam kerajaan Johor pernah menyandang jawatan Presiden Pertama Dewan Negeri iaitu jawatan tertinggi dalam Kerajaan Johor. Ibunya, Zaharah binti Abu Bakar meninggal dunia sewaktu Tun Dr. Ismail berumur sembilan tahun. Beliau mempunyai lapan orang adik beradik.

Beliau telah berkahwin dengan Toh Puan Norashikin binti Dato’ Mohd. Seth dan mempunyai enam orang anak, empat lelaki dan dua perempuan. Tun Dr. Ismail adalah peminat sukan. Di antara sukan yang digemari ialah golf, ragbi, tenis, badminton, tinju dan bola sepak. Tun juga mempunyai minat dalam bidang fotografi, pengemar lagu-lagu Melayu Asli, suka mengumpul barang-barang antik seperti paip dan pemetik api serta bercucuk tanam pelbagai jenis pokok bunga dan buah-buahan di persekitaran rumahnya. 

Tun Dr. Ismail telah belajar di Sekolah English College, Johor Bahru dan kemudian menyambung pelajaran ke Maktab Perubatan, King Edward VII College of Medicine, Singapura pada tahun 1935 hingga 1937 dan selepas itu melanjutkan pelajarannya ke Australia. Beliau telah mendapat Ijazah Perubatan dari Universiti Melbourne, Australia dalam tahun 1945 dan merupakan anak Melayu pertama yang lulus dari Universiti tersebut. Setelah kembali ke Tanah Air beliau telah membuka klinik perubatan sendiri yang dinamakan Tawakkal dari tahun 1947 hingga 1952 di samping bekerja secara sambilan di Hospital Besar, Johor Bahru. 

Pada tahun 1953, beliau mula melibatkan diri sepenuh masa dalam memperjuangkan kemerdekaan tanah air melalui UMNO yang dipimpin oleh Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra. Sebelum itu, Dr. Ismail pernah dilantik sebagai ahli Majlis Mesyuarat Undangan Negeri Johor dan ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan dalam tahun 1948. Pada tahun 1953, beliau telah menyandang jawatan Menteri Hasil Bumi hingga tahun 1955. Setahun kemudian beliau dilantik menjadi Menteri Perdagangan dan Perindustrian yang pertama. Beliau juga terlibat dalam rombongan Ketua Menteri, Y.T.M Tunku Abdul Rahman Putra ke London pada 18 Januari hingga 8 Februari 1956 kerana rundingan mengenai Kemerdekaan.

Setelah mencapai kemerdekaan, Dr. Ismail dilantik sebagai Duta Besar Persekutuan Tanah Melayu yang pertama ke Washington di samping menjadi Wakil Tetap di Bangsa-Bangsa Bersatu. Pada bulan September 1957 beliau hadir di Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu setelah Malaya di terima sebagai anggota pertubuhan itu. Memandangkan pengalaman beliau di arena antarabangsa, pada tahun 1959 beliau dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Luar Negeri. Pada tahun 1960 pula beliau dilantik menjadi Menteri Keselamatan Dalam Negeri dan tiga bulan selepas itu ditugaskan menjalankan kerja-kerja sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.

Pada tahun 1967, Tun Dr. Ismail mengambil keputusan meletakkan jawatan kerana kesihatan sering terganggu disebabkan penyakit jantung. Walau bagaimanapun beliau telah kembali berkhidmat pada bulan Mei 1969. Beliau telah dilantik menjadi Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri. Dengan tindakan yang tegas beliau berjaya memulihkan keamanan dalam negara pada masa trajedi 13 Mei 1969. Setelah Y.T.M Tunku Abdul Rahman bersara pada tahun 1970, Allahyarham Tun Razak telah dilantik menjadi Perdana Menteri. Tun Razak telah melantik Tun Dr. Ismail sebagai timbalannya di samping menyandang jawatan Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri dan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian.

Tun Dr. Ismail terkenal di kalangan pemimpin kerajaan dan antarabangsa kerana kebijaksanaannya dalam berhujah serta idea-idea yang membina dan bernas. Beliau adalah orang yang mula-mula menganjurkan Dasar Berkecuali Asia Tenggara. Ketika menyandang jawatan Menteri Kehakiman beliau telah menghadiri Persidangan Menteri-Menteri Kehakiman Komanwel di Australia dan Persidangan Keamanan Dunia melalui undang-undang di Washington pada tahun 1965. Beliau juga telah mewakili Malaysia di upacara perlantikan Presiden Filipina dalam bulan Disember 1965. Dalam tahun 1964, berikutan tindakan Indonesia melancarkan konfrantasi terhadap Malaysia Tun Dr. Ismail telah diutus ke New York sebagai ketua rombongan untuk membentangkan perkara Malaysia/Indonesia dalam Majlis Keselamatan pada 5 November 1964.

Tun Dr. Ismail pernah memangku jawatan Perdana Menteri ketika Y.T.M Tunku Abdul Rahman dan Tun Abdul Razak berada di luar negara. Kali terakhir memangku ketika Allahyarham Tun Abdul Razak berada di Kanada bagi menyertai persidangan Ketua-Ketua Kerajaan Negara-Negara Komanwel. Beliau telah menghembuskan nafas terakhir pada 2 Ogos 1973 dalam usia 57 tahun di rumahnya. Beliau telah menerima pelbagai anugerah samaada dari dalam atau luar negara kerana kecemerlangan menjalankan tugas dan tanggungjawab. Antaranya Darjah Panglima Mangku Negara oleh Yang di-Pertuan Agong pada 31 Ogos 1959. Majlis Senat Universiti Malaya turut memperingati dan menghargai jasa beliau dengan mengurniakan Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang pada 13 Jun 1964. Seterusnya pada bulan Oktober 1965, beliau menerima Darjah Kebesaran Vietnam iaitu Vietnam National Order Grand Officer dan dalam bulan yang sama dikurniakan anugerah Seri Paduka Mahkota Johor (SPMJ) daripada Sultan Johor.

Pada bulan April tahun 1966 beliau telah di anugerahkan pingat Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran Tun. Ketokohan Tun juga mendapat penghargaan kerajaan Indonesia apabila dikurniakan Bintang Republik Indonesia Kelas Dua. Penghargaan ini diperolehi ketika Presiden Suharto melawat Malaysia pada tahun 1970. Dalam Konvensyen Pertama Universiti Sains Malaysia pada 9 Januari 1973 Tun Dr. Ismail telah menerima Ijazah Kehormat Doktor Undang-Undang. Sebagai menghargai jasa-jasa Tun Dr. Ismail terhadap negara dan bangsa jenazah beliau telah disemadikan di Makam Pahlawan Negara di Masjid Negara atas kehendak Tun Abdul Razak. Beliau merupakan pemimpin pertama dikebumikan di makam tersebut. Tugas rasmi yang terakhir dilakukannya adalah merasmikan Perayaan Jubli Perak Gabungan Pelajar-pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) pada 2 Ogos 1973. 

Post a Comment

0 Comments