PAHANG AKAN WARTAKAN PENGHARAMAN SYIAH - TENGKU MAHKOTA PAHANG

Oleh  : RTM

Kuantan - Pahang akan mewartakan fatwa pengharaman ajaran Syiah bagi mengelak ia daripada terus mengelirukan dan memesongkan akidah umat Islam di negeri ini.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (Muip) Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah bertitah, pewartaan itu selaras dengan pengharaman ajaran Syiah di negeri ini yang telah diumumkan beberapa tahun lepas.

"Perlu kita wartakan (fatwa pengharaman ajaran Syiah). Bagi negeri Pahang kita dah lama haramkan ajaran ini sebab kita amalkan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah dan ia perlu dikekalkan.

"Ini kerana ajaran Syiah adalah berbeza dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah dan kita tak mahu ada pihak yang kelirukan dan pesongkan akidah umat Islam dengan ajaran ini," titah baginda.

Baginda mengulas keputusan kerajaan negeri Kedah yang bakal mewartakan fatwa anti-Syiah seperti yang diumumkan Menteri Besar Kedah Datuk Mukhriz Tun Mahathir pada Khamis lepas.

Baginda bertitah ajaran itu tidak boleh dibenarkan berleluasa di negara ini kerana ia memberikan kesan buruk kepada umat Islam di negara-negara lain yang mengamalkan ajaran itu.

Post a Comment

0 Comments