KDN KENAL PASTI 10 KUMPULAN SYIAH DI MALAYSIA

Dipetik dari : Utusan Malaysia

PUTRAJAYA 5 Ogos 2013 - Kementerian Dalam Negeri telah mengesan terdapat kira-kira 250,000 pengikut Syiah yang bergerak aktif selepas mengenal pasti 10 kumpulan itu di negara ini.

Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi (gambar) berkata, faktor perkembangan teknologi maklumat telah menyebabkan fahaman Syiah disebarkan menerusi laman sosial dan media sosial dengan pantas.

"Jika 10 tahun dahulu kumpulan ini terdiri daripada kumpulan minoriti dengan tiga markas sahaja tetapi sekarang markas mereka sudah ada di hampir setiap negeri," katanya di sini hari ini.

Muzakarah Khas Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam pada 5 Mei 1996 telah mewartakan Syiah diharamkan kerana penularan fahaman itu boleh mewujudkan perpecahan dalam kalangan umat Islam di negara ini.

Beliau berkata, usaha membanteras penularan pergerakan Syiah tidak tergalas di atas bahu satu agensi sahaja sebaliknya turut membabitkan pelbagai agensi.

"Kementerian Dalam Negeri dari segi keselamatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), pertubuhan pula di bawah Pendaftar Pertubuhan (ROS), kawalan bahan penerbitan menerusi Akta Percetakan dan Penerbitan, pengeluaran cakera padat (CD) dan cakera padat digital (DVD) menerusi Lembaga Penapisan Filem (LPF) sementara kemasukan pihak luar menerusi Jabatan Imigresen," katanya.

Abdul Rahim berkata, agensi lain yang turut terlibat ialah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dari segi akidah, media sosial (Kementerian Komunikasi dan Multimedia), hubungan luar (Kementerian Luar) dan institusi pengajian tinggi (Kementerian Pendidikan).

Beliau berkata, setakat ini, 10 judul buku telah diharamkan antaranya Pengantar Ilmu-Ilmu Islam, Dialog Sunnah Syiah dan Tafsir Sufi Al Fatihah Mukadimah yang didapati mengandungi bahan-bahan bercanggah dengan ajaran dan pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Buku Tokoh-Tokoh Terkemuka Ahlul Bait Nabi (Jilid tiga dan Jilid empat), yang antara kandungannya mendakwa Saidina sebagai penerus syariah selepas wafat Rasulullah yang berhubung dengan konsep Imamiah dalam fahaman Syiah.

Mengulas mengenai tangkapan, beliau berkata, dua tangkapan pernah dibuat sebelum ini iaitu pada 1996 di bawah Akta Keselamatan Negeri (ISA) dan pada 2012 oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS).

"Dalam tangkapan oleh JAIS itu, seramai 200 pengikut ditahan, namun dibebaskan apabila terdapat masalah teknikal dari segi perundangan ketika pendakwaan dijalankan," katanya.

Mengenai status warta ajaran Syiah dan Pengharaman (Enakmen Anti-Syariah) di negeri-negeri, beliau berkata, setakat ini 10 negeri telah mewartakan ajaran Syiah bertentangan dengan Ahli Sunnah Wal Jamaah, manakala empat negeri iaitu Pahang, Kelantan, Sabah dan Sarawak masih dalam proses pewartaan.

Katanya, KDN sentiasa memantau keadaan termasuk kemungkinan terdapat pengikut kumpulan tersebut yang terbabit dengan kegiatan militan.

Post a Comment

0 Comments