KENYATAAN AKHBAR YB MENTERI LUAR NEGERI BERHUBUNG KEMATIAN SEORANG PELAJAR MALAYSIA DI JORDAN

KENYATAAN AKHBAR YB MENTERI LUAR NEGERI BERHUBUNG KEMATIAN SEORANG PELAJAR MALAYSIA DI JORDAN

Seorang pelajar persendirian Malaysia berusia 19 tahun, Nik Mohd Ariff bin Suparjo, yang mengikuti kursus jangka pendek Bahasa Arab di Amman, Jordan telah meninggal dunia semalam, 31 Julai 2013 akibat kemalangan jalan raya apabila kenderaan yang dinaiki beliau telah terbabas dan terjunam ke dalam Laut Mati.

Abang beliau, Nik Mohd Alif bin Suparjo, 20 tahun, yang turut berada di dalam kenderaan berkenaan kini sedang dirawat di Hospital Karak, Jordan dan berada dalam keadaan stabil.

Kedutaan Besar Malaysia Jordan dengan kerjasama Education Malaysia Jordan telah menghubungi keluarga mangsa dan kini sedang menguruskan proses dokumentasi dan pengurusan yang diperlukan.

Di atas permintaan keluarga mangsa, pihak Kedutaan kini sedang membuat persediaan untuk pengebumian jenazah di Mutah, Jordan.

Bagi pihak Kementerian Luar Negeri, saya ingin mengucapkan takziah dan rasa simpati kepada keluarga Allahyarham Nik Mohd Ariff bin Suparjo serta berdoa semoga Allah SWT menganugerahkan kesabaran kepada keluarga Allahyarham dalam menghadapi ujian ini.

Menteri Luar Negeri
PUTRAJAYA

1 Ogos 2013

Post a Comment

0 Comments