PM NAJIB MINTA MAHASISWA JAGA IMEJ MALAYSIA DI LUAR NEGARA

Oleh : Bernama

PUTRAJAYA, 8 Ogos 2013 - Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggesa pelajar Malaysia di perantauan supaya menjaga imej dan nama baik negara di arena global.

Beliau berkata rakyat khususnya pelajar dan pegawai juga perlu menonjolkan semangat cintakan negara dan patriotisme yang tinggi selain menyumbang kepada pembangunan dan kejayaan Malaysia selepas menamatkan pengajian.

"Di mana sahaja kita berada, kita adalah rakyat Malaysia. Kita perlu memperlihatkan diri sebagai rakyat yang cintakan negara dan menunjukkan nilai patriotisme yang tinggi.

"Kita tidak boleh memburukkan nama Malaysia di luar negara kerana ia akan mencemarkan imej dan nama baik kita di peringkat global," katanya semasa mengadakan sidang televideo secara serentak dengan perwakilan pelajar dan duta di lima negara di kediaman rasminya, Seri Perdana, di sini hari ini.

Sesi selama 45 minit yang diadakan sempena sambutan Aidilfitri itu melibatkan wakil dari Ottawa (Kanada), Manama (Bahrain), Vienna (Austria), Islamabad (Pakistan) dan Moscow (Russia).

Turut hadir Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Paul Low dan Timbalan Menteri Pendidikan P. Kamalanathan.

Najib turut menasihatkan pelajar Malaysia di luar negara untuk melihat peluang paling istimewa itu untuk menimba pengetahuan dan kemahiran.

"Kalau nak dapatkan ijazah, di Malaysia pun boleh dapat. (Tapi) di luar negara, pelajar didedahkan kepada pengalaman dan kemahiran untuk menjadi manusia yang baik dan matang," katanya.

Selain itu, beliau mahu mereka menggunakan kesempatan itu untuk  menceritakan perkara positif tentang keunikan dan kemajuan yang dicapai Malaysia.

"Walaupun ada perbezaan pendapat mengenai politik sekalipun, kita tidak boleh memburukkan nama negara di perantauan. Sebaliknya, pelajar perlu menambah sebanyak mungkin ilmu pengetahuan, keintelektualan dan kemahiran kerana itu menjadi asas kepada usaha menjayakan agenda transformasi negara," jelas Najib.

Beliau menekankan pentingnya penguasaan ilmu dan kemahiran diutamakan untuk melahirkan modal insan berwibawa dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara berdaya saing dan disegani.

Sambil menggesa mereka supaya belajar bersungguh-sungguh, Najib mahu mereka pulang untuk berkhidmat di Malaysia selepas tamat pengajian.

Melalui sidang televideo sama, isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor menasihatkan pelajar di luar negara supaya menghormati jasa dan pengorbanan ibu bapa.

"Sebagai seorang ibu, saya meminta anak-anak menelefon ibu bapa dan memohon ampun dan maaf walaupun tidak berpeluang menyambut Hari Raya Aidilfitri di Malaysia.

"Jangan lupa jasa baik ibu bapa. Ucaplah Selamat Hari Raya kepada mereka kerana sebab merekalah anda berada di luar negara," pesan Rosmah.

Post a Comment

0 Comments