SUSULAN ANGGOTA TENTERA DITEMBAK DI SEMPADAN MALAYSIA - THAILAND : ATM TUBUH LEMBAGA SIASATAN DALAMAN

KUALA LUMPUR, 12 Ogos 2013 - Tentera Darat Malaysia (TDM) telah menubuhkan sebuah Lembaga Siasatan Dalaman bagi menyiasat secara terperinci insiden anggotanya yang cedera ditembak di sempadan Malaysia-Thailand baru-baru ini.

“TD juga telah menghubungi Tentera Darat Thailand melalui Jawatankuasa Am Sempadan Bersama untuk menyiasat dan bertukar-tukar maklumat berhubung kejadian ini,” kata Panglima TDM, Jeneral Datuk Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Nor dalam satu sesi sidang media di Kementerian Pertahanan hari ini.

Selain itu, katanya lembaga itu turut akan bertindak menilai prosedur operasi standard (SOP) berhubung pelaksanaan operasi di kawasan sempadan yang terbabit.

Menurutnya, tembakan tersebut dipercayai dilepaskan dari perbatasan sebelah Thailand oleh penjenayah rentas sempadan dan berkemungkinan dari kumpulan penyeludupan haram.

Beliau bagaimanapun menolak kemungkinan bahawa insiden tersebut melibatkan mana-mana kumpulan militan.

“Sehingga kini kes masih dalam siasatan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dan Polis Thailand, dan kenyataan telah diambil dari anggota-anggota yang terlibat dan memeriksa kawasan kejadian,” kata Raja Mohamed, sambil menyifatkan insiden tersebut sebagai insiden terpencil.

Menurut beliau lagi, tembakan yang dilepaskan juga dipercayai dari jenis senapang patah buatan sendiri berpandukan kesan peluru penabur.

Katanya lagi, pihak tentera darat akan mengambil tindakan lanjut hasil dari kesemua siasatan tersebut terutama dalam aspek kawalan keselamatan ke atas perbatasan serta keselamatan nyawa anggota-anggota yang sedang bertugas.

Sementara itu, Lans Koperal Mohd Azamrudin Azizan, 26, yang mengalami kecederaan akibat tembakan dilaporkan dalam keadaan stabil.

Beliau telah dibawa ke Hospital Kangar, Perlis untuk rawatan lanjut selepas kejadian, dan telah selamat menjalani pembedahan mengeluarkan peluru penabur di tubuhnya.

Pihak tentera darat juga mengesahkan kejadian tembakan tersebut yang melibatkan salah satu pasukan tentera darat yang ditugaskan mengawal sempadan Malaysia-Thailand dalam Ops Wawasan Kedah/Perlis pada awal pagi 10 Ogos di kawasan Bukit Kayu Hitam.


Azamrudin merupakan anggota dari Rejimen Askar Melayu Diraja ke-2 yang berpangkalan di Sungai Ara, Pulau Pinang. - Astro Awani

Post a Comment

0 Comments