USTAZ DR. FATHUL BARI TEGUR PEMIMPIN PARTI ISLAM YANG AMBIL MUDAH ISU SYIAH

Oleh : Mohd Hisham Abdul Rafar

KUALA LUMPUR, 5 Ogos 2013 - Penularan fahaman Syiah di Malaysia semakin membimbangkan malah akan menjadi virus perpecahan kepada umat Islam khususnya Melayu, yang kini sudah pun berpecah ekoran perbezaan ideologi politik.

Syiah, difatwakan haram oleh Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan pada muzakarah khas pada 1996, perlu ditangani secara agresif oleh pihak berkuasa dan Majlis Agama Islam kerana ia jelas memesongkan akidah sekali gus menjejaskan perpaduan dan kerukunan di kalangan umat Islam negara ini yang berpegang pada ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Lihat sahaja keadaan di beberapa negara Arab, di mana perpecahan berlaku dengan amat dahsyat di antara kumpulan Syiah dengan Sunni, iaitu mereka yang berpegang pada Ahli Sunnah Wal Jamaah akibat pertelingkahan yang jelas tidak menguntungkan umat Islam.

Perpecahan sebegini boleh berlaku di mana-mana negara jika ia tidak dibendung. Dewasa ini penularan ajaran Syiah berkembang cepat didorong oleh kepesatan perkembangan teknologi maklumat selain penerbitan buku mempromosikan Syiah dijual di pasaran terbuka tanpa kawalan dan pemantauan di samping kekuatan pengaruh pemimpin politik yang mengamalkan ajaran Syiah.

Persoalannya, meskipun fahaman dalam ajaran Syiah difatwakan sebagai haram, mengapa masih ada segelintir umat Islam di negara ini mudah terpengaruh dengan ajaran yang jelas bertentangan dengan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah?

Menjelaskan perkara itu, penceramah bebas Dzulkarnain Hamzah berkata kekurangan fahaman mengenai Syiah selain penyebaran hadis palsu adalah antara punca mengapa masih ada segelintir umat Islam terpengaruh.

Katanya penularan ajaran Syiah di negara ini berlaku berikutan kegagalan pihak-pihak berkaitan memberi kefahaman tentang bahayanya Syiah kepada masyarakat selain kelemahan dalam proses mengawal kemasukan hadis-hadis palsu ke Malaysia.

"Selain itu, dalam soal pemakaian pula, orang Syiah nampak lebih kemas penampilannya berbanding orang lain dan ini juga antara faktor yang mendorong masyarakat termasuk golongan profesional mengikuti ajaran Syiah selain daripada strategi menggunakan tokoh-tokoh besar," katanya kepada Bernama di sini.

Dzulkarnain, yang pernah menjadi pengacara Imam Muda musim kedua (IM2) terbitan Astro, berkata Syiah wujud disebabkan pengaruh politik dan bukannya agama. Beliau mengakui kehadiran fahaman itu ke negara ini akan menyebabkan perpecahan di kalangan umat Islam, seperti mana yang berlaku di beberapa negara Arab.

Akhbar sebelum ini melaporkan bahawa Gerakan Syiah Malaysia dipercayai akan menggunakan dana sebesar RM24 juta untuk membina sebuah kompleks di Wilayah Satun, Thailand sebagai pusat gerakan menyuburkan fahaman itu.

Akhbar juga melaporkan bahawa pemilihan Satun bukan sahaja disebabkan lokasinya yang berdekatan Malaysia, malah tiada halangan daripada kerajaan Thailand.

Tiadakah cara atau kaedah yang boleh diambil untuk membendung Syiah daripada terus berkembang biak lantas bertapak kukuh di negara ini?

Bagi menangani persoalan itu, Dzulkarnain mencadangkan agar pihak berkuasa bersama-sama masjid di seluruh negara memperbanyakkan siri memberi pemahaman dan didikan kepada masyarakat bagi mengenali hadis sahih dan menolak hadis palsu.

"Syiah perlu dibendung kerana ia membawa pelbagai fahaman dan fatwa ganjil sehingga menimbulkan percanggahan dalam masalah akidah dan pelbagai masalah fekah," katanya.

Pada 27 Julai lepas, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dilapor berkata bahawa kerajaan akan mengambil tindakan terhadap sesiapa sahaja yang mengamalkan fahaman Syiah di negara ini tanpa mengira status atau fahaman politik mereka.

Ahli Majlis Syura Pertubuhan Ilmuan Malaysia Dr Fathul Bari Mat Jahaya pula mencadangkan supaya kerajaan mewujudkan suatu akta baharu untuk mengawal ajaran sesat selain mendefinisikan semula Islam dalam Perlembagaan Persekutuan sebagai Islam yang mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Macam yang di Kedah buat, dia (kerajaan negeri) wujudkan Enakmen Anti-Syiah, tapi ia menjurus hanya kepada Syiah sahaja dan kalau akta pengawalan ajaran sesat, ia lebih menyeluruh. Selain itu, Islam yang menjadi agama persekutuan juga perlu didefinisikan apakah Islam itu.

"Ini kerana ajaran Syiah pun mengaku dia Islam, Al-Arqam pun mengaku dia Islam, Ayah Pin (ajaran sesat) mengaku dia Islam. Jadi semua mengaku Islam. Saya mencadangkan supaya Islam dalam Perlembagaan Persekutuan didefinisikan sebagai Islam yang mengikut ajaran Ahli Sunnah Wal Jammah...ini bermakna, selain Ahli Sunnah Wal Jamaah, ia dianggap sesat," katanya.

Beliau turut mencadangkan penubuhan sebuah suruhanjaya bagi menganalisis sebarang bentuk fahaman yang mampu memecahbelahkan umat Islam serta memberi panduan kepada kerajaan untuk bertindak.

Adakah menolak fahaman Syiah yang jelas memesongkan akidah ini satu jihad?

Mengulas persoalan itu, pengerusi Jawatankuasa Himpunan Ulama Muda Malaysia (ILMU) itu berkata ia sebagai jihad kecil kerana berusaha mempertahankan agama Allah.

Dalam pada itu, Fathul Bari turut menyeru pemimpin Islam parti-parti politik supaya bersatu bersama-sama kerajaan membendung penularan fahaman Syiah di negara ini.

"Ini bukan isu politik, ini adalah isu bersama seluruh umat Islam. Jangan hanya pentingkan politik sahaja. Kita semua tidak kira UMNO ke PAS ke atau lain, kena bersatu untuk membanteras Syiah," katanya.

Difahamkan fahaman Syiah yang ada di Malaysia terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu Syiah Taiyibi Bohra (Dawood Bohra), Syiah Ismailiyah Agha Khan dan Syiah Ja'fariyah.

Post a Comment

0 Comments