SOAL JAWAB BERSAMA IMAM BESAR MASJIDIL HARAM DENGAN PERANTARA @ustazfathulbari SEMPENA PERHIMPUNAN AGUNG UMNO 2013 #PAU13



Dipetik dari : UMNO ONLINE

IMAM MASJIDIL HARAM PUJI USAHA PEMIMPIN MALAYSIA TERAP KONSEP KESERDAHANAAN

KUALA LUMPUR, 4 Dis – Imam Masjidil Haram, Makkah, Syeikh Dr Khalid Ali Al-Ghamdi hari ini memuji kegigihan pemimpin Malaysia menerapkan konsep kesederhanaan Islam atau Wasatiyyah.

Menurutnya, penerapan konsep Wasatiyyah dalam pentadbiran kerajaan Malaysia pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu mencerminkan pembangunan agama Islam dilakukan dengan sempurna di negara ini.

Syeikh Dr Khalid Ali Al-Ghamdi berkata pembangunan masjid dan keadaan umat Islam contohnya yang diterjemahkan melalui pakaian menutup aurat oleh golongan wanita di negara ini, menunjukkan perkembangan Islam sentiasa berlaku dan umat Islam dapat mengamalkan agama dengan aman, tenang serta selamat.

“Hubungan baik antara kerajaan Malaysia dan Arab Saudi telah terjalin sekian lama, hubungan itu adalah satu hubungan persaudaraan Islam, ia hubungan yang  kukuh dan akan diteruskan dengan lebih baik selepas ini,” katanya selepas melakukan kunjungan hormat ke atas Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Jamil Khir Baharom di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

umno-perhimpunan-2013-pwtc-jamil-khir-imam-masjidil-haram-mekah-syeikh-dr-khalid-ali-al-ghamidi

Kenyataan beliau dalam bahasa Arab itu diterjemahkan Penolong Pengarah Perhubungan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Abdul Karim Zakaria kepada pemberita.

Syeikh Dr Khalid berkata beliau dan rombongannya berdoa agar seluruh kepimpinan negara dan umat Islam di negara ini sentiasa diberikan kesejahteraan yang baik atas kesemua usaha yang dilakukan untuk membangunkan agama Islam di Malaysia.

Walaupun ini adalah kunjungan kali pertamanya ke Malaysia, Syeikh Dr Khalid berkata beliau dan delegasinya tidak berasa terasing sebagai tetamu di Negara ini walaupun mereka berasal dari negara Arab.

“Bahkan kami berasa aman dan tenteram seolah-olah seperti di tempat kami, syukur kepada Allah,” katanya.

Sementara itu, Jamil Khir berkata delegasi yang diketuai Syeikh Dr Khalid itu menyifatkan mereka dapat melihat pelaksanaan kerja serta urusan menjaga agama Islam terserlah di negara ini.

“Gambaran yang diberikan, kata mereka, apa yang ada di Barat ada di Malaysia, tetapi apa yang ada di Malaysia tidak ada di Barat iaitu Iman dan Islam,” katanya.

Beliau berkata delegasi itu juga melihat Malaysia sebagai satu destinasi yang diharap dapat membantu mengembangkan agama Islam dan turut berpesan supaya Malaysia dapat memelihara syiar Islam kerana berpendapat ia juga adalah Negara harapan dunia umat Islam.

Jamil Khir yang juga anggota Majlis Tertinggi UMNO berkata kunjungan hormat delegasi itu secara kebetulan semasa berlangsungnya Perhimpunan Agung parti itu yang hari ini memasuki hari ketiga persidangan di PWTC.

Mengulas mengenai saranan Pendidikan Islam Sepanjang Hayat dijadikan dasar utama negara oleh Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau  berkata ia adalah supaya kerajaan dapat menajamkan lagi aspek pendidikan Islam di negara ini.

“Ia adalah untuk kita membangunkan pendidikan Islam dengan lebih tersusun dari segi formal dan tidak formal. Saranan itu untuk meningkatkan pendidikan Islam pada masa depan,” katanya.

Muhyiddin yang juga Timbalan Presiden UMNO dan Menteri Pendidikan berkata demikian semasa berucap merasmikan secara serentak Perhimpunan Agung Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO sempena Perhimpunan Agung UMNO 2013 di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini malam tadi.

Post a Comment

0 Comments