MEMBANTAH HUJJAH SYIAH DALAM AJARAN NIKAH MUT'AH

Oleh : Ustaz Abu Nasim Mukhtar bin Rifai


عَنْ عَلِيٍّ أَنَّهُ سَمِعَ ابْنَ عَبَّاسٍ يُلَيِّنُ فِي مُتْعَةِ النِّسَاءِ فَقَالَ: مَهْلًا يَا ابْنَ عَبَّاسٍ، فَإِنَّ رَسُولَ اللهِ, نَهَى عَنْهَا يَوْمَ خَيْبَرَ وَعَنْ لُحُومِ الْحُمُرِ الْإِنْسِيَّةِ

Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu pernah mendengar Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma bersikap lunak tentang nikah Mut’ah keatas kaum wanita. Lalu, Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu pun menegur, “Hati-hati, wahai Ibnu Abbas! Kerana sesungguhnya Rasulullah ﷺ telah melarang Mut’ah pada Perang Khaibar. Demikian juga, beginda ﷺ melarang untuk memakan daging keldai peliharaan.”

Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhu membenarkan Mut’ah?

Pada awalnya, Ibnu Abbas radhiallahu ‘anhuma memang membenarkan nikah Mut’ah (HR. Al-Bukhari no. 5116 dan Muslim no. 1407). Namun, fatwa beliau, diingkari oleh para sahabat, seperti Abdullah bin Umar, Abdullah bin az- Zubair, dan tentu saja Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu, sebagaimana halnya riwayat di atas. Dalam beberapa riwayat diterangkan bahawa pendapat Ibnu Abbas itu pun hanya dalam keadaan darurat, sebagaimana halnya hukum darah, bangkai, dan daging babi. Hanya saja, sebahagian orang mengambil mudah dengan fatwa tersebut. Akhirnya, Ibnu Abbas pun merujuk dan menarik semula fatwa tersebut. Abu ‘Awanah (al-Mustakhraj, no. 4057) meriwayatkan dengan sanad yang sahih dari ar-Rabi’ bin Sabrah, beliau berkata, “Sebelum meninggal dunia, Ibnu Abbas telah merujuk dari fatwa tersebut.” Lalu, apakah termasuk sikap adil, menisbatkan satu pendapat kepada seseorang, sementara dia sendiri telah merujuk dan menarik semula pendapat tersebut?

Satu dari Dosa Syiah

Na’udzu billah minal hawa wal bida’! Ianya sebenar-benar sebuah kejahatan dan kekejian yang besar! Agama diperalatkan untuk membenarkan mereka melakukan sebuah dosa. Dengan nikah Mut’ah, sudah banyak anak muda menjadi korban fahaman Syiah yang menyesatkan ini. Setompok hadis palsu tentang pahala dan darjat tinggi bagi pelaku Mut’ah tanpa malu dan rasa takut kepada Allah Subhanahu wata’ala disajikan kepada remaja. Kejahilan akan hakikat Islam semakin parah dengan kondisi kekosongan ilmu yang terdapat dalam jiwa mereka. Akhirnya? “Saya benar-benar menyesal! Lebih baik mati daripada hidup seperti ini. Saya menyangka nikah Mut’ah adalah sebahagian dari syariat Islam. Ternyata, dusta kaum Syiah belaka!” sesal seorang pemuda.

Mut’ah sendiri ertinya satu bentuk akad dengan seorang wanita untuk 'menghalalkan' hubungan suami isteri, baik dalam jangka waktu tertentu mahupun tidak. Asalkan tidak lebih dari empat puluh lima hari, tanpa ada keharusan menafkahi, tidak menyebabkan 'yang menikah' saling mewarisi, tidak mengharuskan nasab, dan tanpa masa iddah. Bahkan, kalangan Syiah tidak mensyaratkan adanya wali dan saksi.

Takhrij Hadis

Hadis di atas diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari (no. 1407), Imam Muslim (no. 4216), Ahmad (1/79), an-Nasa’i (6/125), at-Tirmidzi (no. 1121), dan Ibnu Majah (1961), manakala lafaz hadis di atas adalah lafaz al-Imam Muslim rahimahumullah. Hadis di atas diriwayatkan dari Nabi Muhammad ﷺ oleh Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu, sahabat yang dihormati, dimuliakan, dan disanjung tinggi oleh seluruh kaum muslimin, termasuk oleh Syiah. Bahkan, menurut Syiah, Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu dianggap sebagai tokoh sanjungan tertinggi mereka. Lantas mengapa mereka tidak meneladani Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu yang menegaskan bahawa Mut’ah telah diharamkan sampai hari kiamat?

Kemudian, siapakah perawi yang menyambung rantai sanad hadis di atas? Tidak lain putera kandung Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu sendiri yang bernama Muhammad bin Ali bin Abi Thalib, yang lebih dikenali dengan nama Muhammad bin al-Hanafiyyah. Siapakah perawi yang berikutnya? Dua orang perawi. Kedua-duanya adalah putera kandung Muhammad bin al- Hanafiyyah, cucu Ali bin Abi Thalib. Pertama, Al-Hasan bin Muhammad bin Ali bin Abi Thalib dan yang kedua adalah Abdullah bin Muhammad bin Ali bin Abi Thalib. Bagi kaum Syiah yang mengaku mencintai Ali bin Abi Thalib radhiallahu ‘anhu, maka buktikan kecintaan itu dengan meneladani beliau dan anak cucu beliau yang telah melarang Mut’ah!

Hadis-Hadis tentang Mut’ah

Riwayat dari Nabi Muhammad ﷺ tentang praktik Mut’ah sememangnya berbeza-beza. Ada sebahagian riwayat menunjukkan tentang haramnya Mut’ah, namun ada juga riwayat yang secara jelas menerangkan bolehnya Mut’ah. Di sini salah satu letak keanehan kaum Syiah! Mereka berargumentasi dengan hadis-hadis yang membolehkan Mut’ah, padahal mereka sendiri mencela dan menolak kitab-kitab hadis yang meriwayatkan tentang bolehnya Mut’ah. Bagi mereka, hanya yang sependapat dengan mereka yakni hadis-hadis yang membolehkan Mut’ah saja yang diterima. 

Sedangkan jika seseorang muslim itu berusaha memahami hadis dengan bimbingan ulama, dengan mudahnya memahami riwayat-riwayat tersebut.

Jika riwayat-riwayat tersebut direkonstruksi dengan sejarah, kesimpulan akhirnya akan selaras dengan keterangan al-Imam an Nawawi rahimahullah dalam Syarah Sahih Muslim. Beliau mengatakan, “Pendapat yang benar dan dipilih, pengharaman dan pembolehan nikah Mut’ah masing-masing terjadi sebanyak dua kali. Sebelum peristiwa Khaibar dihalalkan, kemudian pada saat perang Khaibar diharamkan. Lalu ketika terjadi Fathu Makkah (termasuk Perang Authas kerana bersambung), nikah Mut’ah dibenarkan lagi. Akan tetapi, tiga hari kemudian, nikah Mut’ah diharamkan untuk selamanya sampai hari kiamat.” Rabi’ bin Sabrah radhiallahu ‘anhu berkata;


أَمَرَنَا رَسُولُ اللهِ, بِالْمُتْعَةِ عَامَ الْفَتْحِ حِينَ  دَخَلْنَا مَكَّةَ، ثُمَّ لَمْ نَخْرُجْ مِنْهَا حَتَّى نَهَانَا عَنْهَا

“Pada tahun Fathu Makkah, Rasulullah ﷺ mengizinkan kami untuk melakukan mut’ah ketika kami memasuki kota Makkah. Kemudian, tidaklah kami keluar meninggalkan kota Makkah kecuali dalam keadaan Rasulullah ﷺ telah mengharamkannya untuk kami.” (HR. Muslim no. 1406)

Pada saat itu, Rasulullah ﷺ bersabda,


يَا أَيُّهَا النَّاسُ، إِنِّي قَدْ كُنْتُ أَذِنْتُ لَكُمْ فِي ا سْالِْتِمْتَاعِ مِنَ النِّسَاءِ، وَإِنَّ اللهَ قَدْ حَرَّمَ ذَلِكَ إِلَى يَوْمِ الْقِيَامَةِ، فَمَنْ كَانَ عِنْدَهُ مِنْهُنَّ شَيْءٌ فَلْيُخَلِّ سَبِيلَهُ وَ تَأْخُذُوا مِمَّا آتَيْتُمُوهُنَّ شَيْئًا

“Wahai manusia, sesungguhnya dahulu aku pernah mengizinkan kalian untuk melakukan Mut’ah atas kaum wanita. Sesungguhnya Allah Subhanahu wata’ala telah mengharamkan Mut’ah sampai hari kiamat. Barang siapa masih terikat Mut’ah dengan wanita, tinggalkanlah dia dan janganlah kalian mengambil kembali barang yang telah diberikan.”

Ijma’ Ulama

Selain itu, seluruh ulama kaum muslimin telah bersepakat tentang haramnya Mut’ah. Maka sesiapapun yang berpendirian bolehnya melakukan Mut’ah, sama ertinya dengan menyelisihi ijma’ kaum muslimin. Ibnu Hubairah rahimahullah menegaskan, “Alim ulama telah berijma’ bahawa nikah Mut’ah hukumnya batil. Tidak ada sedikit pun perselisihan di antara mereka.” Al-Qurthubi rahimahullah menyatakan, “Seluruh riwayat bersepakat bahawa masa diperbolehkannya nikah Mut’ah tidaklah terlalu lama. Kemudian, setelah itu nikah mut’ah diharamkan. Berikutnya, ulama salaf dan khalaf telah berijma’ tentang diharamkannya nikah mut’ah, kecuali kaum Rafidhah yang tidak perlu dianggap (sebahagian dari kaum muslimin) .” (Taudhihul Ahkam, karya Alu Bassam 5/294)

Selain kedua ulama yang disebutkan, masih banyak lagi ulama yang menegaskan bahawa Mut’ah diharamkan secara ijma’ yang mana antara lain ialah al-Jashash rahimahullah (Tafsir 2/153), Ibnul Mundzir rahimahullah (Majmu’ Syarhil Muhadzab, 16/254), Ibnu Abdil Barr rahimahullah (al-Istidzkar, 16/294), al-Maziri rahimahullah (al-Mu’lim, 2/131), al-Qadhi ‘Iyadh rahimahullah (Syarah Muslim 9/181), dan al-Hamadzani rahimahullah (al- I’tibar, hlm. 177).

Apakah Umar bin al-Khatab radhiallahu ‘anhu yang Melarang Mut’ah?

Sebuah riwayat dari Jabir bin Abdillah radhiallahu ‘anhu diriwayatkan oleh al-Imam Muslim (no. 1405). Beliau mengatakan;


فَعَلْنَاهُمَا مَعَ رَسُولِ اللهِ, ثُمَّ نَهَانَا عَنْهُمَا  عُمَرُ فَلَمْ نَعُدْ لَهُمَا

“Kami melakukan keduanya (mut’ah dan haji tamattu’) di masa Rasulullah ﷺ. Kemudian Umar melarang kami untuk melakukannya. Sejak itu, kami tidak mengulanginya lagi.”

Kaum Syiah bersandar kepada riwayat Jabir di atas untuk mempertahankan praktik mut’ah. Alasan mereka, bukan Nabi Muhammad ﷺ yang melarang, melainkan Umar bin al-Khaththab radhiallahu ‘anhu. Lihatlah bagaimana mereka mahu menegakkan benang yang basah!!! Padahal ketika Umar bin Khathab radhiallahu ‘anhu diangkat sebagai Amirul Mukminin (Ibnu Majah, 1963), beliau menyampaikan khutbah, “Sesungguhnya, dahulu, Rasulullah ﷺ memang mengizinkan kita selama tiga hari untuk melakukan mut’ah, tetapi setelah itu Baginda ﷺ mengharamkannya. Demi Allah, tidaklah aku mengetahui ada seseorang yang melakukan Mut’ah dalam keadaan dia muhsan kecuali pasti akan aku rejam dia dengan batu. Kecuali jika dia mampu mendatangkan empat saksi yang memberikan kesaksian bahawa Rasulullah ﷺ telah menghalalkannya setelah diharamkan.” 

Ath-Thahawi rahimahullah (Ma’anis Sunan, 2/258) mengatakan, “Inilah Umar yang telah melarang Mut’ah untuk kaum wanita di hadapan para sahabat yang lain dan beliau tidak diingkari. Hal ini menunjukkan bahawa para sahabat sepakat dengan beliau untuk melarang mut’ah. Kesepakatan mereka ini (untuk melarang Mut’ah) adalah dalil yang bahawa hukum dibenarkan Mut’ah telahpun terhapus, sekaligus sebagai hujah.” - Sebahagian Ulama Membolehkannya (Yang didakwa oleh Syiah)

Di dalam beberapa rujukan yang dilakukan, memang disebutkan beberapa nama sahabat dan tabi’in yang membenarkan nikah Mut’ah. Antaranya Abdullah bin Mas’ud, Mu’awiyah, Abu Sa’id, Salamah, dari kalangan sahabat, Amr bin Huraits, Thawus, dan Sa’id bin Jubair rahimahumullah dari kalangan tabi’in. 

Namun begitu perlu diperhatikan bahawa, semua riwayat dari mereka tidak terlepas dari dua kemungkinan:

1. Mereka telah merujuk dan mencabut pendapat tersebut, atau
2. Diriwayatkan melalui sanad yang lemah. Al Hafiz Ibnu Hajar rahimahullah membahaskan riwayat-riwayat tersebut secara rinci dalam kitab beliau Fathul Bari (10/216—218) dengan keterangan yang memuaskan. 

Alhamdulillah....

Ayat Mut’ah dalam Al-Qur’an?

Walaupun hadis nabi dan syarah hadis telah dibentangkan dihadapan mereka, namun Syiah masih juga memperjuangkan nikah Mut’ah dengan menukil firman Allah Subhanahu wata’ala di dalam surat an-Nisa’ ayat 24,


فَمَا اسْتَمْتَعْتُم بِهِ مِنْهُنَّ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ فَرِيضَةً ۚ

“Maka isteri-isteri yang telah kamu nikmati (campur) di antara mereka, berikanlah kepada mereka Mut’ahnya (dengan sempurna), sebagai suatu kewajiban.”

Majoriti ahli tafsir menerangkan bahawa ayat di atas berkenaan dengan akad nikah yang biasa kita ketahui dan bukannya Mut’ah. Maksudnya disini, jika salah seorang di antara kalian menikahi seorang wanita, hendaknya dia menyerahkan mahar untuknya. Memang ada beberapa ahli tafsir yang menyatakan bahawa ayat ini berkait dengan nikah Mut’ah. Akan tetapi, mereka sendiri menegaskan bahawa hukum Mut’ah telah mansuh (gugur) dengan hadis-hadis yang sahih. Wallahu a’lam.

Selain ayat di atas, penganut Syiah juga menyebutkan beberapa ayat al- Qur’an yang didakwa sebagai landasan untuk membenarkan nikah Mut’ah. Ayat-ayat tersebut antara lain; al-Baqarah: 236, al- Baqarah: 241, al-Ahzab: 28, dan al-Ahzab: 49.

Cukuplah sebagai jawapan untuk mereka, pernyataan tegas az-Zujjaj (Syarah an-Nasa’i karya al-Atyubi 28/), “Sesungguhnya, sebahagian dari kalangan (mereka) telah terjatuh dalam kesalahan berkenaan ayat ini kerana kebodohan mereka terhadap lughah (bahasa Arab).”

Kisah Seorang Pemuda dan Rasulullah ﷺ

Sebagai bukti lain kejahatan kaum Syiah dalam nikah Mut’ah, mereka sendiri (terutama dari kalangan tokoh dan pemimpin Syiah) akan merasa keberatan jika nikah Mut’ah itu dilakukan terhadap keluarga mereka, baik ibu, isteri, puteri, saudara perempuan, mahupun ibu saudara mereka. Semakin jelaslah bahawa Mut’ah adalah praktik zina yang dilakukan atas nama agama. Na’udzu billah min zalik!!!

Semaklah hadis yang disampaikan oleh Abu Umamah radhiallahu ‘anhu berikut ini, yang hadis ini dikeluarkan oleh al-Imam Ahmad rahimahullah dan dinyatakan sahih oleh al-Albani. Seorang pemuda datang menemui Rasulullah ﷺ untuk meminta izin agar dibenarkan membuat perbuatan zina.

Dengan penuh kasih sayang, Rasulullah ﷺ mengarahkan cara berfikir pemuda tersebut. Baginda ﷺ bertanya, “Relakah engkau jika hal itu terjadi pada ibumu? Relakah engkau jika hal itu terjadi pada puterimu? Relakah engkau jika hal itu terjadi pada saudara perempuanmu? Relakah engkau jika hal itu terjadi pada ibu saudaramu (dari jalur ayah)? Relakah engkau jika hal itu terjadi pada ibu saudaramu (dari jalur ibu)?” Setiap kali Rasulullah ﷺ bertanya, pemuda itu menjawab, “Tentu tidak! Demi Allah! Allah Subhanahu wata’ala menjadikanku sebagai tebusan kamu.”

Rasulullah ﷺ bersabda, “Kalau begitu, orang-orang itu pun tidak rela jika hal itu terjadi pada ibu, puteri, saudara perempuan, dan ibu saudara mereka!” Oleh kerana itu, siapa pun yang berpendapat tentang bolehnya nikah Mut’ah, apakah dia boleh menerima praktik Mut’ah dilakukan kepada ibu, puteri, atau saudara perempuannya??? Masih banyak lagi sisi-sisi buruk dan jahat dari nikah Mut’ah yang tidak dapat dihuraikan dalam perbahasan yang serba ringkas ini. Baik dari aspek sosial kemasyarakatan, kesihatan, kekeluargaan, ekonomi, penghinaan keatas kaum wanita, dan lain-lainnya. Namun, sedikit sebanyak hujjah diatas ini adalah sebenarnya telah lebih dari mencukupi bagi mempertegaskan tentang haramnya nikah Mut’ah. Dan Bagi orang yang berakal, tentunya mereka akan mampu berfikir dan mengetahui mana yang Haq dan mana yang Bathil! 

Wallahul muwaffiq.

Post a Comment

1 Comments

  1. Bg aku mut'ah ni spt pelacuran dan zina yg dihalalkan atas nama agama, bukan agama Islam, agama syiah.

    ReplyDelete

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.