ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Thursday, 6 February 2014

MENELURUSI KEMELUT KALIMAH ALLAH

Oleh : Y.Bhg. Datuk Dr. Syed Ali Tawfik Al-Attas, Mantan Ketua Pengarah IKIM

Dewasa ini terdapat mereka yang mengemukakan pendapat bahawa “penggunaan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan di kalangan penganut agama Kristian telah diamalkan dengan meluas untuk beberapa generasi di banyak negara, dan ia bukan bertujuan untuk menyinggung perasaan atau mengelirukan masyarakat Islam” kononnya. 

Terdapat pula wartawan yang telah menemuramah penyunting akhbar mingguan Katolik tempatan, yang dilaporkan mendakwa bahawa “istilah ‘Allah’ yang digunakan oleh orang-orang Kristian, baik di dalam upacara mereka mahupun dalam tulisan-tulisan mereka, tidak bermaksud untuk menggusarkan masyarakat Islam atau mencetuskan kekeliruan. 

Penyunting akhbar mingguan Katolik tersebut dilaporkan pernah berkata, “Kami mengikut Bible. Bible dalam Bahasa Melayu menggunakan perkataan ‘Allah’ sebagai terjemahan untuk istilah God dan ‘Tuhan’ sebagai terjemahan untuk istilah Lord.” Beliau seterusnya mendakwa “mulai awal abad ke-19, para penganut Katolik di Malaya telah memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan perkataan ‘Allah’ telah digunakan sebagai terjemahan kepada istilah God.” 

Beliau turut menyatakan bahawa “para penganut Katolik Malta juga menggunakan perkataan ‘Allah’ untuk merujuk kepada Tuhan dan demikian juga masyarakat Kristian di Indonesia, Pakistan dan Timur Tengah.”

Menurut seorang paderi Katolik, “para penganut Kristian yang tinggal di negara-negara majoriti-Muslim menggunakan kalimat ‘Allah’ apabila merujuk kepada Tuhan dalam upacara doa umum (liturgy) mereka. 

Biarpun pihak berkuasa tidak membenarkan penggunaan perkataan-perkataan tertentu, pihak gereja akan terus memakainya kerana perkara ini bersangkut-paut dengan buku-buku suci kami” (huruf condong adalah penegasan saya). 

Pendapat yang serupa turut dinyatakan dalam satu laporan terbitan akhbar The Star pada 28 Disember 2007. Dalam rencana tersebut, seorang paderi Katolik tergamak untuk mendakwa, “kami berpendapat yang kami berhak untuk menggunakan perkataan ‘Allah’.” 

Iaitu, tambah beliau, “Kami telah mengambil ketetapan agar kedudukan kami di sisi undang-undang mengenai penggunaan perkataan tersebut diputuskan oleh mahkamah” (huruf condong penegasan saya). Cara wakil Katolik tadi menghujahkan dasar pendirian mereka, pada hakikat sebenarnya, hampa dari pertimbangan yang bernas lagi benar. 

Hujah tersebut yang menegaskan bahawa “perkara ini bersangkut paut dengan buku-buku suci kami”, dengan jelas menggambarkan bahawa golongan tersebut tidak mengambil kira bahawa istilah ‘Allah’ tiada kaitan langsung dengan agama mahupun akidah Katolik, hanya bersangkut paut dengan buku-buku suci agama tersebut kononnya. 

Selebihnya, dengan tidak mengenali hakikat tersebut, nampaknya wakil pihak Katolik telah mengambil ketetapan agar kedudukan mereka itu di sisi undang-undang diputuskan oleh mahkamah, seolah-olah perkara ini berkisar soal undang-undang nista semata-mata dan bukannya berkaitan dengan soal akidah mereka. Seterusnya, ia memberi gambaran bahawa pihak mahkamah lebih mengetahui soal akidah berbanding Tuhan mereka.

Sejumlah dakwaan mereka seperti yang dilaporkan media sudah kita sorot; sekarang, marilah kita arahkan pembicaraan kita terhadap dakwaan-dakwaan tersebut. Untuk memulakannya, biarlah saya tegaskan bahawa dakwaan yang mereka tidak berniat untuk “menyinggung perasaan masyarakat Islam atau menimbulkan kebingungan” sarat dengan unsur perbantahan. 

Hakikatnya, perlakuan dan sikap mereka dalam mengemukakan hujah telah menggusarkan masyarakat Islam dan mencetuskan kekeliruan. Mereka lupa, atau tidak memahami hakikat bahawa bahasa dan fikiran, yang satunya saling mencerminkan yang satu lagi; dalam perkataan lain, cara untuk mempengaruhi pemikiran adalah melalui bahasa, dan bahasa memberikan kesan terhadap cara seseorang berfikir. 

Kita telah diperingatkan akan dakwaan mereka, “Bible bahasa Melayu menggunakan kalimah ‘Allah’ sebagai terjemahan kepada istilah God dan ‘Tuhan’ untuk Lord.” Jelas bahawa makna-makna bagi istilah tersebut dalam Bible bahasa Melayu yang mereka rujuk, adalah salah. 

Apakah mereka ingin menunjuk dan mengajar orang-orang Melayu mengenai peristilahan yang betul yang terdapat dalam bahasa Melayu? Bahasa Melayu memahami istilah ‘Tuhan’ untuk merujuk kepada istilah God juga dan bukan untuk merujuk kepada istilah Lord semata mata. Orang-orang Melayu faham bahawa apabila istilah bahasa Arab ‘ilah’ digunapakai, ia membawa maksud ‘Tuhan yang disembah’ dalam bahasa Melayu, yang dirujuk menggunakan istilah ‘God’ dalam bahasa Inggeris. 

Justeru, apabila kalimah shahadah diterjemahkan dalam bahasa Melayu, bunyinya “tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah”, yang diterjemahkan dalam bahasa Inggeris sebagai “there is no God worthy of worship except Allah”. Sekiranya istilah God diterjemahkan sebagai ‘Allah’, maka terjemahan tersebut akan berbunyi “Tiada Allah melainkan Allah” (“There is no Allah but Allah”), yang merupakan satu percanggahan. Terjemahan yang sebegitu janggal bukan sahaja tidak menjernih dan menyelesaikan masalah, bahkan akan menimbulkan perselisihan dan rasa bingung. 

Istilah bahasa Arab rabb yang terkandung didalam al-Quran membawa maksud ‘Tuhan yang mencipta, memelihara, dan memiliki sekalian alam’, yang mengguna pakai istilah ‘Lord’ dalam loghat bahasa Inggeris. Akan tetapi, istilah ‘Lord’ dalam loghat bahasa Inggeris tidak mencerminkan Tuhan agama Islam yang mencipta, memelihara, dan memiliki sekalian alam walaupun istilah tersebut diterjemahkan sebagai ‘Tuhan’ dalam bahasa Melayu. 

Istilah ‘Lord’ dalam loghat bahasa Inggeris merujuk kepada Tuhan agama Kristian semata-mata, dan Tuhan yang dimaksudkan itu tidak lain daripada Jesus Christ. Oleh yang demikian, faham ‘Lord’ tersebut tidak terkandung didalam rangka pandangan alam Islam. Sekiranya kita merujuk kepada ‘the Lord‘s Prayer’, ianya ditakrifkan sebagai doa yang dikatakan diajarkan oleh Jesus Christ (the Lord) kepada pengikut-pengikutnya, yang bermula dengan ‘Bapa kami’. 

Ini dengan jelas menggambarkan bahawa tuhan yang disembah atau ‘God’ menurut agama mereka itu, bergelar Bapa. Oleh yang demikian, sekiranya istilah ‘God’ yang membawa maksud Tuhan yang disembah menurut agama mereka itu diterjemahkan kedalam bahasa Melayu, ia harus mengguna pakai istilah ‘Bapa’ dan bukan istilah ‘Allah’. 

Seterusnya, apabila terdapat kata-kata ‘the Lord God’, yang pada hakikatnya merupakan terjemahan daripada bahasa Yunani, ia tidak boleh diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu sebagai ‘Tuhan Allah’ oleh kerana kita telah menunjukkan bahawa istilah ‘Lord’ merujuk kepada Jesus Christ, manakala istilah ‘God’ merujuk kepada ‘Tuhan yang disembah mengikut faham agama Kristian’, atau ‘Bapa’. Oleh yang demikian, sekiranya terjemahan kepada kata-kata ‘the Lord God’ kedalam bahasa Melayu ingin mencerminkan faham agama Kristian, ia harus berbunyi ‘Bapa Jesus Christ’.

Kita melihat bahawa wakil pihak Katolik sememangnya sarat dengan percanggahan. Dalam laporan-laporan akhbar, beliau menggunakan rangkai-kata ‘Bahasa Malaysia’ merujuk kepada bahasa yang digunakan dalam terbitan mingguan mereka untuk memenuhi keperluan “ramai para penganut Katolik yang bertutur dalam bahasa Malaysia” di negara ini. 

Bagaimanapun, beliau kemudiannya berhujah dengan menggunakan peristilahan yang terdapat hanya dalam bahasa Melayu. Apabila seseorang itu merujuk kepada satu bahasa yang mencerminkan faham-faham maknawi ajaran-ajaran atau kelaziman akidah yang tertentu-dalam hal ini bahasa Melayu-dia tidak seharusnya melalaikan pengertian penting bahasa tersebut bernisbah kepada bahasa-bahasa yang lain. 

Walau bagaimanapun, jelas bahawa wakil pihak Katolik bergantung kepada fakta yang Jemaah Menteri telah memutuskan bahawa bahasa Melayu tidak lagi dirujuk sebagai ‘Bahasa Melayu’, tetapi sebaliknya sebagai ‘Bahasa Malaysia’. 

Itu ketetapan siasah dan justeru itu mungkin hanya bersangkutan dengan medan siasah. Secara ringkasnya, bahasa Melayu adalah khusus bernisbah kepada orang-orang Melayu. Ia adalah satu bahasa yang faham-faham utamanya yang berkenaan dengan hakikat insan dan nisbah antara yang Kudus dengan yang nista (the Sacred and the profane) telah dilahirkan dari rahim agama Islam dan kebudayaan Melayu. 

Oleh kerana itu, sekiranya peristilahan dari agama lain mengenai faham-faham utama itu diterjemahkan dalam bahasa Melayu, ia wajiblah mencerminkan kelaziman Melayu, yang berpunca dari agama dan kerangka pandangan alam Islam.

Wakil Katolik juga ada mendakwa, “Kami mengikut Bible”, mengenai penggunaan istilah ‘Allah’ bila merujuk kepada istilah ‘God’. Apakah itu benar? Apakah beliau betul-betul menggunakan Bible sebagai sumber rujukannya? Terjemahan atau versi Bible yang mana yang beliau rujuk? 

Terdahulu kita telah memetik laporan media bahawa Paderi Lawrence mendakwa “semenjak awal abad ke-19, para penganut agama Katolik di Malaya telahpun memiliki buku-buku doa dalam bahasa Melayu dan ‘Allah’ telah digunakan untuk merujuk kepada God, dan para penganut Katolik Malta juga menggunakan istilah ‘Allah’ untuk merujuk kepada God, dan demikian juga para penganut Kristian di Indonesia, Pakistan dan Timur Tengah.” 

Jelas di sini bahawa, sumber rujukannya bukanlah Bible seperti yang didakwanya, tetapi sebaliknya masyarakat Katolik abad ke-19 Malaya, Malta, Indonesia, Pakistan dan Timur Tengah. Dengan demikian, Wakil tersebut mengandaikan masyarakat itu satu kejadian hidup (being) yang pasti boleh berfikir dan bertindak berdasarkan akal fikiran. 

Walau bagaimanapun, pada hakikatnya, masyarakat bukanlah satu kejadian hidup (being), dan justeru itu tidak mempunyai kebolehan berfikir dan bertindak secara aqliah. Sekiranya sesuatu itu tidak boleh berfikir secara aqliah, bagaimana ia boleh dikutip sebagai sumber rujukan yang sah, apatah lagi dalam hal-ehwal nisbah hubungan antara yang Kudus dan yang nista? 

Tambahan pula, dan lebih penting lagi, perkataan ‘Allah’ adalah nama khas (proper name), sedangkan kalimat ‘Tuhan’ (God) adalah istilah umum yang merujuk kepada objek tumpuan kemuliaan teragung yang tiada nama, Pencipta Yang Maha Esa dan Pemerintah alam semesta. Berdasarkan kepada hakikat bahawa perkataan ‘Allah’ adalah nama khas, ia bukanlah istilah yang mencerminkan bahasa kebangsaan. 

Justeru, hujah wakil Katolik yang mendakwa Bible Melayu menggunakan istilah itu, seolah-olah penggunaan istilah itu dalam bahasa Melayu mencerminkan bahasa kebangsaan, adalah karut semata-mata. Tambahan pula, walaupun seseorang itu mungkin mengakui bahawa benar orang-orang Kristian Arab di Timur Tengah menggunakan istilah ‘Allah’, mereka tidak menggunakannya merujuk kepada istilah God yang tercermin dalam Bible atau terjemahan-terjemahan Bible dalam bahasa Arab. 

Kalaupun mereka ada menggunakan istilah ‘Allah’ dalam pertuturan mereka, itu adalah kerana mereka menuruti kelaziman orang-orang Arab sejauh mana yang berkenaan dengan kebudayaannya, dan bukan untuk membayangkan sehimpun kepercayaan i‘tiqad yang tertentu. Pernahkah wakil-wakil Katolik membaca terjemahan-terjemahan Bible dalam bahasa Arab? Bahkan, apakah mereka memahami bahasa Arab?

Dari segi falsafah maknawi, tidak terdapat taswwur kefahaman mengenai ‘Allah’ dalam agama Kristian, dan dalam sebarang agama yang lain pun begitu juga; oleh kerana itu, agama-agama tersebut tidak berhak untuk menggunakan istilah ‘Allah’. Tidak ada disebut mengenai nama khas Tuhan dalam Bible.

Jika ada yang mendakwa nama Tuhan adalah Jesus Christ, maka kenapa istilah ‘Tuhan’ (God) diterjemah dengan menggunakan kalimat ‘Allah’ dan bukan ‘Jesus Christ’? Oleh kerana nama khas Tuhan tidak disebut dalam Bible, berlakulah suatu kekaburan mengenai siapa yang disembah. Apakah nama khas Tuhan dalam agama Kristian? 

Sesungguhnyalah kita boleh menghujahkan bahawa ketiadaan nama khas-Nya bercanggah dengan sifat Tuhan Yang Maha Mengetahui. Tidakkah Tuhan mencipta manusia supaya dia mengenal dan menyembah-Nya? Tetapi siapakah yang disembah oleh manusia sekiranya dia tidak kenal siapa Tuhan? 

Oleh kerana kita telah berhujah bahawa kalimat ‘Allah’ adalah nama khas dan pengertian sedemikian tidak ada dalam agama Kristian atau apa-apa juga agama lain, kita bolehlah dengan ini menyimpulkan bahawa sumber rujukan sebenar wakil-wakil Katolik bukanlah Bible atau perkumpulan masyarakat Katolik abad ke-19 di Malaya, Malta, Indonesia, Pakistan, dan di Timur Tengah, tetapi sumber asal mereka adalah al-Quran. 

Oleh itu, marilah kita meneliti apa yang dinyatakan dalam al-Qur‘an mengenai siapakah Tuhan yang wajib disembah. Untuk tujuan ini, kita akan merujuk kepada surah al-Quran yang ke-112 dan pengenalan tafsirnya. Pengantar huraian surah tersebut berbunyi,

Peliharalah iman agar sentiasa murni dan tiada cemar. Allah benar wujud, Yang Maha Esa, Yang Maha Tunggal; Yang Maha Kekal Diperlukan, sunyi dari sebarang keperluan; kepada-Nya bergantung semua perkara, kepada-Nya kembali semua benda;

Dia tidak beranak, berbapa atau berpasangan. Bagi-Nya tiada suatu pun tara. (Lihat Abdullah Yusuf Ali, The Meaning of the Holy Qur‘an, Brentwood, Maryland: Amana Corporation.)

Jelas bahawa bahagian akhir penerangan tafsir menyanggah pemerian Tuhan Tiga-Bersatu (Trinity) oleh Bible. Sekiranya pembaca meneliti surah itu sendiri, ia berbunyi,

Katakanlah: ‘Dia adalah Allah, Yang Maha Esa. Allah, Yang Maha Kekal Abadi tiada berkesudahan. Tiada Dia beranak, dan tiada pula Dia diperanakkan. Dan bagi-Nya tiada suatu pun tara.’

Dari awal-awal lagi nama khas Tuhan yang wajib disembah dinyatakan, Allah. Ini diikuti dengan pemberian bahawa Dia adalah Tuhan Yang Maha Esa yang kepada-Nya pengabdian wajib diserahkan, maha suci lagi maha murni yang nyata tiada taranya dengan khalayak makhluk-Nya; sebarang benda yang lain semuanya hanya bayangan pucat bernisbah kepada-Nya. 

Allah tidak mungkin difahami sebagai memiliki anak atau bapa kerana itu akan memasukkan sifat benda bernyawa dalam kefahaman kita mengenai-Nya; sifat-sifat dan hakikat-Nya tunggal tersendiri tidak ada tara-Nya (ringkasan kepada catatan no. 6296, Abdullah Yusuf Ali, The Meaning of the Holy Qur‘an, Brentwood, Maryland: Amana Corporation, 1991, ms. 1714). 

Ayat “tiada Dia beranak, dan tiada pula Dia diperanakkan” menyangkal kefahaman agama Kristian mengenai Tuhan, “Bapa”, “Anak”, dan seterusnya (rujuk catatan no. 6299 dari sumber yang sama). Bahagian terakhir surah tersebut, “Dan bagi-Nya tiada suatu pun tara” memberi amaran “jangan menanggapi Tuhan dalam sifat rupa-bentuk manusia (anthropomorphism), iaitu kecenderungan untuk menanggapi Allah menurut rupa dan bentuk serta sifat kita sendiri, satu kecenderungan licik yang menyusup dalam setiap zaman dan di kalangan semua bangsa” (huruf condong penegasan saya, lihat catatan no. 6300 sumber di atas). 

Nyata bahawa ‘Tuhan’ agama Islam bukanlah ‘Tuhan’ agama Kristian. Akan tetapi wakil-wakil Katolik mengigau bahawa Dia satu dan sama. Apakah mereka mewakili pandangan kebanyakan penganut Katolik? Apakah pendapat mereka yang ‘berkewibawaan’ menggambarkan pandangan Gereja Katolik, ataupun pandangan Paus (Pope)? 

Apakah benar yang pandangan mereka tidak bermaksud untuk menggusarkan atau mengelirukan orang-orang Islam? Nampaknya usaha mereka bukanlah agar orang-orang Melayu masuk dalam agama Kristian; bahkan lebih jauh dari itu, ia merupakan satu percubaan agar agama Kristian memeluk pandangan hidup orang-orang Melayu. 

Kaedah mereka adalah melalui bahasa; akan tetapi, oleh kerana kita telah menghujahkan hakikat bahawa bahasa dan fikiran adalah saling mencerminkan satu sama lain, sebarang istilah dari satu tradisi pemikiran, apabila diterjemahkan, perlulah membayangkan tradisi pemikiran yang asal, jika tidak maka makna sebenar peristilahan yang diterjemahkan akan menjadi kacau-bilau. 

Dalam hal ini, wakil-wakil Katolik menghujahkan bahawa menurut tradisi pemikiran Katolik istilah ‘God’ dalam bahasa Inggeris diterjemahkan dalam bahasa Melayu sebagai ‘Allah’, satu kalimat yang mencerminkan tradisi akidah dan pemikiran Islam. Dan justeru itu, makna sebenar istilah asal God, seperti yang tergambar dalam tradisi pemikiran Katolik, dengan sengaja sedang kelam dikelirukan.

Singkatnya, anda sama-sekali tidak memiliki hak atau keizinan untuk menterjemahkan peristilahan yang terdapat dalam satu tradisi pemikiran aqidah agama dengan menggunakan ungkapan-ungkapan tradisi pemikiran aqidah agama yang lain, khususnya ungkapan-ungkapan yang merujuk kepada siapa itu Tuhan yang tidak ada faham tasdiqnya dalam tradisi anda sendiri. 

Anda mesti memperlihatkan rasa hormat kepada istilah-istilah penting dan erti-erti maknawi yang mencerminkan agama Islam dalam bahasa Melayu, persis sikap masyarakat Islam yang menghormati istilah-istilah dan faham-faham dasar anda. 

Kami tidak merujuk kepada tempat-tempat pemujaan anda selaku masjid, tetapi sebagai gereja, kuil, candi dan seterusnya. Kami tidak menganggap pemimpin sembahyang berkumpulan kamu sebagai imam, melainkan selaku paderi, sami dan seterusnya. Lebih penting lagi, kami tidak merujuk kepada tumpuan sembahan anda sebagai Allah, tetapi sebagai Tuhan. 

Kami tidak menafikan hak mana-mana golongan penganut agama lain untuk menterjemahkan buku suci masing-masing dalam bahasa Melayu; cumanya, seandainya ada mereka yang hendak berbuat demikian, maka golongan tersebut mestilah memiliki ilmu dan keahlian mengenai Bahasa Melayu, dan cukup berdaya-cipta lagi berilmu untuk menggunakan peristilahan yang benar-benar mencerminkan tradisi pemikiran aqidah agama mereka masing-masingnya. Sementara itu, adalah wajar bagi wakil-wakil Katolik supaya bersikap lebih teliti, waspada dan berhati-hati.

Artikel ini pernah tersiar pada 12 April 2009 di akhbar Utusan Malaysia.

1 comment:

  1. Wahai Tuhan Kami ! Janganlah Engkau palingkan hati hati kami setelah Engkau beri petunjuk kpd kami, dan kurniakanlah kpd kami rahmat dari sisi Engkau, sesungguhnya Engkaulah sebaik baik Pemberi kurnia !
    Mudah mudahan tidak tersesat setelah terpilih utk dilahirkan dlm Islam.

    ReplyDelete

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2017 PM Institute