ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Thursday, 20 February 2014

SEMINAR PEMIKIRAN KASSIM AHMAD & PELANCARAN BUKU MENGEMUDI BAHTERA PERUBAHAN MINDA KARYA DR. MAZA : LOKASI SAMA PERISTIWA BERBEZA - PROF MADYA RAHMAN SHAARI

Oleh : Rahman Shaari (Penulis merupakan bekas pensyarah Jabatan Pengajian Media Universiti Malaya)

18 Febuari 2014

SEMINAR dua hari di Yayasan Kepimpinan Perdana yang memperkatakan sumbangan pemikiran Dr Kassim Ahmad telah selesai. Sebelum seminar berlangsung, saya berasakan sambutan adalah terlalu kecil.

Saya ketika itu berfikir zaman Kassim telah berlalu, dan anak-anak muda tidak tahu tentangnya. Orang yang berusia pula, saya fikir, berada dalam keadaan skeptikal terhadap Kassim, kerana pandangan keagamaannya yang kontroversial. Namun, ternyata sambutannya baik sekali.

Seminar ini dirasmikan Tun Dr Mahathir Mohammad. Mahathir berterus terang mengatakan beliau pernah terlibat berusaha mengalahkan Kassim dalam pilihan raya. Ini dikaitkan dengan sajak Sidang Ruh karya Kassim.

Katanya, lama dulu, beliau menggunakan baris akhir sajak itu bagi menjatuhkan Kassim dalam politik. Ini bukan soal kebenaran, tetapi soal strategi. Walaupun demikian, Mahathir yakin bahawa Kassim berilmu.

Kata-kata Mahathir itu mengingatkan saya terhadap peristiwa lain di tempat sama. Pada 2010, Mahathir melancarkan buku Mengemudi Bahtera Perubahan Minda karya Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Ketika berucap, Mahathir mengatakan, ada orang berpesan kepadanya agar jangan terlibat dengan Asri. Namun, Mahathir tidak menghiraukan pesanan itu kerana beliau menyukai ilmu.

Buku lain karya Asri ialah Hadis Palsu: Kesan Terhadap Pemikiran Umat (Karya Bestari, 2007). Judul itu menunjukkan kemunculan hadis palsu bawa masalah dalam masyarakat Islam.

Sesiapa mengikuti blog hikmatun.wordpress.com tentu tahu tentang pemikiran dan sikap Asri terhadap kitab Ihya Ulumiddin karangan Imam al-Ghazali.  

Dalam tulisan lalu, saya menyatakan Kassim memilih jalan lurus. Frasa itu telah menjadi judul bukunya. Saya mengenali Kassim sejak dekad 1970an dan tahu beliau amat tegas dengan pendapatnya. 

Sesetengah orang mengetepikan Kassim, kerana sikapnya terhadap  kumpulan orang Islam yang kuat menghukum. Bagi Kassim, dalam hal agama manusia mestilah terbuka memberikan pandangan.

Setelah mendengar pandangan pelbagai, orang Islam hendaklah membuat pertimbangan dan memilih yang terbaik.

Saya membandingkan kata-kata Mahathir terhadap Asri dan Kassim, kerana ada makna yang jauh mahu saya bawa. Asri dan Kassim bertentangan, kerana Asri pengkaji dan pejuang Hadis sedangkan  Kassim bersikap kritis terhadap Hadis.

Saya tidak mahu mengatakan sesuatu yang negatif terhadap tokoh-tokoh berilmu. Walaupun usia Asri jauh di belakang Kassim, keluasan pembacaan Asri tidak kalah berbanding Kassim.

Itu adalah baik bagi sarjana. Orang lain yang berada di belakang mereka dari segi pembacaan hendaklah bersikap terbuka.

Anggaplah pandangan mereka laksana barangan di pasaran. Mereka boleh memilih dan menggunakannya setelah ditimbangkan dari segi ilmu, bukan dari segi cita rasa.

Mahathir tidak membicarakan Jalan Yang Lurus secara khusus.  Namun, beliau meminta hadirin bersikap terbuka. Kata Mahathir, sikap melabelkan orang adalah amat buruk.

Dalam politik sering terjadi, apabila seseorang atau sesuatu kumpulan kekurangan idea, mereka akan melabelkan pihak lawan.

Raja Ahmad Aminullah yang menjadi ahli panel bicara pemikiran Kassim, mengatakan Mahathir berjiwa besar, kerana mengaku beliau telah berusaha menjatuhkan Kassim dengan cara menggunakan baris akhir sajak Sidang Ruh. Astora Jabat mempertahankan sebahagian besar hujah Kassim.

Dalam majlis itu terdapat acara persembahan puisi. Abd Ghafar Ibrahim dan Sharif Shaary ialah dua tokoh veteran yang  menyampaikan dua buah sajak Kassim secara berlainan. Mereka memestamukan (mestamu ialah akronim bagi melodi sajak tanpa alat muzik) sajak-sajak Dua Catatan dan Pembunuhan Dajjal. 

Penyanyi alternatif Abot menyampaikan lagu yang dicipta berdasarkan sajak Penyairmu karya Kassim. Abot kemudiannya bersama-sama Jim Rahman menyampaikan sajak Dialog dengan kaedah dekon.

Deklamator lain ialah Didi Ares, Siti Mastura Mohaamd Saleh dan Anis Farhana Mohd Shabri. Nik Abdd Aziz Nik Hassan bertindak sebagai pengerusi.

Para sarjana yang membentangkan kertas kerja ialah Prof Zakaria Ali, Prof Chandra Muzaffar dan Dr M Syafie Anwar. Mereka masing-masing menghuraikan sumbangan Kassim dalam bidang sastera, politik, agama dan falsafah.

Seminar pemikiran elok diteruskan.

Rujukan : http://www.sinarharian.com.my/kolumnis/rahman-shaari/kassim-di-yayasan-kepimpinan-1.252028

2 comments:

  1. Salam utk semua,

    Allah SWT tdk akan melaknati org2 yg mengkaji, mempertahankan dan mempertinggikan kitab Al-Quran, malah mereka ini adalah manusia pilihan yg akan masuk syurga tanpa dihisab (35:32). Tetapi Allah SWT akan melaknati dan membawa azab yg pedih lagi menghina kepada sesiapa yg memperlekehkan AL-Quran dan mengadakan kitab2 baru utk bertanding dgn Al-Quran (34:38), kononnya Al-Quran itu tdk lengkap dan memerlukan kpd kitab2 lain.

    Cuba tanya pada diri sendiri di manakah keimanan kita yg sebenarnya? Mahu percaya kpd Allah SWT atau percaya para alim ulama (tdk ramai ulama yg benar2 mengkaji Al-Quran, mereka hanya baca tafsir2 yg terdahulu maka sbb itu mereka sendiri tdk nampak kehebatan dan kekuatan Al-Quran)? Para ulama tdk nampak kehebatan Al-Quran sbb mereka baca Al-Quran seperti burung kakak tua, mereka tdk menggunakan akal fikiran mereka! Mereka tdk mengkajinya dgn mendalam dan bersungguh2.

    Allah SWT mengatakan Al-Quran adalah kitab yg lengkap, sempurna, dan menjelaskan segala perkara. Al-Quran adalah lebih baik dari segala-gala kitab, Al-Quran mengeluarkan manusia dari kegelapan kepada cahaya. Malah Allah SWT menyuruh Nabi Muhammad SAW berdakwah dgn Al-Quran bukannya Al-Hadith (percakapannya sendiri) (50:45) sbb Al-Quran adalah bukti yang paling jelas akan kewujudan, keesaan, dan keperkasaan Allah SWT.

    Fikirkanlah siapa yg sesat dan siapa yg beriman? Adakah orang yang anti-hadith atau org yang anti-Quran? cubalah baca blog2 yg mgkaji Al-Quran seperti harunyahya.com atau http://kajian-quran.blogspot.com/ dan sbgnya. Adakah org2 yg memperjuangkan Al-Quran itu sesat atau para ulama yg tdk faham kehebatan dan kemukjizatan Al-Quran?

    ReplyDelete
  2. Assalamualaikum, singgah dan follow di sini. Jemput ke blog saya juga ya. Terima kasih.

    ReplyDelete

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2017 PM Institute