KEWAJIPAN BERBAKTI KEPADA IBU BAPA

Transliterasi oleh : Jebat

Segala puji hanyalah untuk Allah Subhanahu wa Ta’ala yang memiliki kesempurnaan pada seluruh nama dan sifat-Nya. Kita memuji-Nya dan memohon pertolongan-Nya, serta memohon keampunan-Nya. Kita berlindung kepada-Nya atas kesalahan diri kita dan keburukkan amalan-amalan kita. Selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi kita Muhammad ﷺ , keluarga dan para sahabatnya, serta kepada seluruh kaum muslimin yang benar-benar mengikuti petunjuknya. Aku naik saksi bahawasanya tidak ada yang berhak untuk diibadahi, kecuali hanya Allah Subhanahu wa Ta’ala semata-mata dan aku naik saksi bahawasanya Nabi Muhammad ﷺ itu adalah hamba dan utusan-Nya.

Marilah kita bertaqwa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan menjalankan kewajipan-kewajipan kita kepada-Nya dan kewajipan yang harus ditunaikan terhadap hamba-hamba-Nya.

Ketahuilah, bahawa kewajipan yang paling besar yang harus ditunaikan oleh seseorang hamba setelah kewajipannya kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dan Rasul-Nya adalah kewajipan dalam memenuhi hak orang tua. Firman Allah,


وَاعْبُدُوا اللهَ وَلاَتُشْرِكُوا بِهِ شَيْئًا وَبِالْوَالِدَيْنِ إِحْسَانًا

“Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa,” (An-Nisa’: 36)

Di dalam ayat lainnya, Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,


وَوَصَّيْنَا اْلإِنسَانَ بِوَالِدَيْهِ إِحْسَانًا حَمَلَتْهُ أُمُّهُ كُرْهًا وَوَضَعَتْهُ كُرْهًا

“Dan Kami wajibkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya, ibunya telah mengandungnya dengan menanggung susah payah dan telah melahirkannya dengan menanggung susah payah .” (Al-Ahqaf : 15)

Semakna dengan ayat tersebut Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,


حَمَلَتْهُ أُمُّهُ وَهْنًا عَلَى وَهْنٍ وَفِصَالُهُ فِي عَامَيْنِ

“Ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya) dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun” (Luqman: 14)

Pada dua ayat tersebut, Allah Subhanahu wa Ta’ala menjelaskan betapa pentingnya kewajipan berbakti kepada orang tua dengan menggambarkan betapa besarnya pengorbanan dan jasa orang tua terutama jasa seorang ibu. Maka, sudah semestinya bagi seorang anak itu ditutntut berbuat baik kepada orang tuanya, kerana orang yang berakal tentu tidak akan melupakan kebaikan orang lain terhadapnya apa lagi membalas kebaikannya itu dengan perbuatan yang menyakiti mereka yang telah berbuat jasa padanya. Maka, apakah layak bagi seorang anak itu melupakan jasa orang tuanya? Apatah lagi melakukan kejahatan terhadap orang tuanya itu.

Nabi ﷺ juga telah menyebutkan keutamaan berbakti kepada kedua ibu bapa. Bahkan, berbakti dan berkhidmat kepada keduanya itu lebih besar dari jihad di jalan Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hal ini telah disebutkan didalam Ash-Sahihain, dari sahabat Abdullah ibnu Mas’ud radhiallahu ‘anhu, beliau berkata,


سَأَلْتُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلّيْهِ وَسَلَّمَ: أَيُّ الْعَمَلِ أَحَبُّ إِلَى اللهِ؟ قَالَ: الصَّلاَةُ عَلَى وَقْتِهَا. قَالَ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: ثُمَّ بِرُّ الْوَالِدَيْنِ. قَالَ: ثُمَّ أَيٌّ؟ قَالَ: الْجِهَادُ فِي سَبِيلِ اللهِ

Aku bertanya kepada Nabi ﷺ, “Amalan apakah yang paling dicintai oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala?” Baginda ﷺ menjawab, “Solat pada waktunya.” Aku berkata, “Kemudian apa?” Nabi ﷺ menjawab, “Berbakti kepada orang tua.” Aku berkata, “Kemudian apa?” Baginda ﷺ menjawab, “Kemudian jihad di jalan Allah.” (H.R. Al-Bukhari dan Muslim)

Dari ayat-ayat dan hadis di atas serta yang lainnya, seseorang akan memahami dengan jelas betapa tinggi dan mulianya amalan berbakti kepada orangtua.

Kewajiban berbuat baik kepada orang tua semasa hidup mereka tidaklah dipisah-pisahkan kepada siapa dan bagaimana keadaan orang tua itu. Bahkan, Allah Subhanahu wa Ta’ala memerintahkan kepada hamba-hamba-Nya untuk berbuat baik kepada orang tuanya meskipun kedua orang tuanya itu dalam keadaan kafir sekalipun! Sebagaimana dalam berfirman-Nya,


وَإِن جَاهَدَاكَ عَلَى أَن تُشْرِكَ بِي مَالَيْسَ لَكَ بِهِ عِلْمٌ فَلاَ تُطِعْهُمَا وَصَاحِبْهُمَا فِي الدُّنْيَا مَعْرُوفًا

“ Dan jika mereka berdua mendesakmu supaya engkau mempersekutukan denganKu sesuatu yang engkau - dengan fikiran sihatmu - tidak mengetahui sungguh adanya, maka janganlah engkau taat kepada mereka dan bergaullah dengan mereka di dunia dengan cara yang baik. ” (Luqman: 15)

Di dalam ayat tersebut dapat kita fahami bahawa berbuat baik kepada orang tua tidaklah gugur, hanya kerana keduanya dalam keadaan kafir, serta memerintahkan kepada kita untuk berbuat syirik atau melakukan kekafiran, maka perintah keduanya yang berupa kemungkaran tetap tidak boleh ditaati.

Terdapat pelbagai cara untuk berbuat baik kepada ibu bapa. Ianya boleh dilakukan dengan ucapan, perbuatan, mahupun dengan harta.

Berbuat baik dengan ucapan ialah menjaga tutur kata dan tidak menyakitkan serta dengan berlemah-lembut ketika berbicara kepada kedua ibu bapa. Sedangkan berbuat baik dengan perbuatan pula ialah dengan membantu menyiapkan keperluan-keperluannya atau melakukan pekerjaan-pekerjaan lainnya bagi meringankan bebannya serta memenuhi perintah-perintah-Nya, selama bukan dalam bentuk maksiat kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala. Sedangkan berbuat baik dengan harta, boleh dilakukan dengan menginfaqkan sebahagian dari hartanya untuk memenuhi keperluan orang tuannya.



Berbuat baik kepada orang tua juga tidaklah terbatas pada saat keduanya masih hidup. Bahkan, di saat keduanya sudah meninggal dunia pun, kita dituntut berbuat baik kepadanya. Asy-Syeikh Abdul ‘Aziz ibnu Abdullah ibnu Baz rahimahullah, salah seorang ulama terkemuka di Arab Saudi mengatakan, “Disyariatkan berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala untuk yang telah meninggal dunia, begitu pula bersedekah atas namanya dengan berbuat baik berupa memberikan bantuan kepada fakir miskin, (iaitu) seseorang mendekatkan diri kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan perbuatan tersebut dan kemudian berdoa kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala agar menjadikan pahala dari sedekah tersebut untuk ayah dan ibunya atau selain keduanya, baik yang telah meninggal dunia mahupun yang masih hidup. Hal ini kerana Nabi ﷺ bersabda (yang ertinya), ‘Apabila seorang manusia meninggal dunia, terputuslah amalannya kecuali dari tiga perkara: sedekah jariyah, ilmu yang bermanfaat, dan anak soleh yang berdoa untuknya.’ Disebutkan dalam hadis Nabi ﷺ, bahawa ada seseorang bertanya kepada Baginda ﷺ,


يَا رَسُوْلَ اللهِ، إِنَّ أُمِّي مَاتَتْ وَلَمْ تُوْصِ وَأَظُنُّهَا لَوْ تَكَلَّمَتْ لَتَصَدَّقَتْ، أَفَلَهَا أَجْرٌ إِنْ تَصَدَّقْتُ عَنْهَا؟ قَالَ: نَعَمْ

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya ibuku telah meninggal dunia dan beliau belum sempat berwasiat namun aku yakin kalau beliau sempat berbicara tentu beliau ingin bersedekah, apakah beliau (ibuku) akan mendapatkan pahala jika aku bersedekah atas namanya?” Nabi ﷺ menjawab, “Benar.” (Muttafaqun ‘alaih)

Begitu pula (akan bermanfaat untuk orang yang telah meninggal dunia) amalan ibadah haji atas nama si mayat, demikian pula ibadah umrah, serta membayarkan hutang-hutangnya. Semua itu akan bermanfaat untuknya yang meninggal sebagaimana telah datang dalil-dalil yang syar’i menunjukkan hal tersebut.” (Majmu’ Fatawa wa Maqalat, 4/342)

Termasuk amalan berbakti kepada orang tua yang boleh dilakukan sepeninggalan mereka adalah menghubungi kerabat dan teman-teman mereka. Bahkan juga dengan menghubungi atau berbuat baik kepada keluarga dari teman-teman orang tua kita. Hal itu disebutkan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Al-Imam Muslim dalam Sahih-nya ;

Dari Abdullah ibnu ‘Umar ibn Al-Khaththab radhiallahu ‘anhuma, bahawa beliau berjalan menuju kota Makkah dan menaiki keldai yang ditungganginya untuk beristirahat di saat lelah. Ketika beliau sudah bosan duduk di atas kenderaannya, lewatlah di depan beliau seorang badwi dan berkatalah beliau (kepada badwi tersebut), “Apakah engkau Fulan ibnu Fulan?” Orang badwi tersebut menjawab, “Benar.” Maka, beliau (Abdullah ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma) memberikan keldainya kepada badwi tersebut seraya berkata, “Naikilah kenderaan ini.” Kemudian beliau juga memberikan kain serbannya yang sedang dipakai seraya mengatakan, “Pakailah kain ini untuk diikatkan sebagai penutup kepalamu.” Maka, berkatalah orang-orang kepada sahabat Abdullah ibn ‘Umar radhiallahu ‘anhuma, “Mudah-mudahan Allah mengampunimu. Engkau berikan kepadanya keldai yang engkau tunggangi di saat ingin beristirahat dari kelelahan dan engkau berikan imamah yang sedang engkau ikatkan di kepalamu.” Maka, ‘Abdullah ibn ‘Umar mengatakan, “Sesungguhnya dia adalah teman (orang tua saya) ‘Umar ibn Al-Khaththab’, dan saya mendengar Rasulullah ﷺ bersabda,


إِنَّ مِنْ أَبَرِّ الْبِرِّ صِلَةَ الرَّجُلِ أَهْلَ وُدِّ أَبِيهِ

“Sesungguhnya, termasuk dari perbuatan paling baik dalam berbakti kepada orang tua adalah seseorang berbuat baik kepada keluarga orang yang dicintai (teman) ayahnya.” (H.R. Muslim)

Pembaca rahimakumullah, betapa luasnya kesempatan untuk berbakti kepada orang tua. Apakah kita akan mensia-siakan kesempatan untuk menjalankan kewajiban yang mulia ini? Lihatlah pula betapa besarnya semangat para sahabat dalam menjalankan kewajipan berbakti kepada orang tua. Maka bagaimanakah dengan kita? Sudahkah kita mengikuti jalan salafus soleh dalam amalan ini?

Seseorang yang berbuat baik kepada orang tuanya maka dia akan mendapatkan balasan yang sangat besar dari Allah Subhanahu wa Ta’ala bukan hanya di akhirat kelak, namun juga di dunia. Di antaranya adalah apabila seseorang itu berbuat baik kepada orang tuanya, maka anak-anaknya pula akan berbuat baik pula kepadanya. Kerana sebagaimana yang ditunjukkan oleh dalil-dalil yang syar’i bahawa balasan seseorang adalah sesuai dengan perbuatan yang dilakukannya. 



Di samping itu, seseorang yang berbuat baik kepada orang tuanya itu juga akan diberi jalan keluar dari kesulitan yang menimpanya. Hal ini sebagaimana ditunjukkan dalam hadis yang dikeluarkan oleh Al-Imam Al-Bukhari dan Muslim dalam Sahih keduanya yang menceritakan tentang kisah tiga orang yang ketika masuk untuk beristirahat di dalam gua. Tiba-tiba ada batu besar yang jatuh menutup pintu gua. Maka dalam kesulitan tersebut, ketiga orang tadi bertawassul memohon pertolongan kepada Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan menyebutkan amalan soleh yang pernah mereka lakukan. Pada akhirnya batu yang menutup pintu gua pun terbuka sehingga mereka boleh keluar dari gua tersebut. Di antara amal soleh yang disebutkan oleh salah satu dari mereka adalah perbuatan baiknya kepada orang tuanya.

Maka, di antara sebab yang akan menjadikan seseorang itu memperolehi jalan keluar dari kesulitan-kesulitannya adalah dengan menjalankan amalan yang mulia ini. Begitu pula di antara balasan bagi seseorang yang berbuat baik kepada orang tuanya. Dia akan dimudahkannya dirinya dalam mencari rezeki dan dipanjangkan umurnya. Sebagaimana disebutkan dalam sabda Nabi ﷺ,


مَنْ سَرَّهُ أَنْ يُبْسَطَ عَلَيْهِ رِزْقُهُ أَوْ يُنْسَأَ فِي أَثَرِهِ فَلْيَصِلْ رَحِمَهُ

“Sesiapa yang mahu dimudahkan rezekinya dan ditambah umurnya maka hendaklah dia menyambungkan hubungan rahim.” (Sahih al-Bukhari, 2067. Sahih Muslim, no. 2557)

Berbakti kepada orang tua termasuk ke dalam keumuman hadis ini kerana termasuk dalam penunaian silaturahim, dan bahkan silaturahim yang paling tinggi adalah menyambung silaturahim orang tua. Akhirnya, mudah-mudahan Allah Subhanahu wa Ta’ala selalu memberikan taufik-Nya kepada kita semua untuk kita semua boleh berbakti kepada orang tua kita .

Setelah kita mengetahui betapa tinggi dan mulianya amalan berbakti kepada orang tua, maka tentu saja kita tidak boleh menganggap remeh amalan ini. Apalagi Allah Subhanahu wa Ta’ala telah memerintahkan kepada hamba-hamba-Nya untuk menjalankan kewajipan ini disaat yang sangat sulit untuk dijalankan. Iaitu di saat orang tua telah berusia lanjut, yang dalam usia tersebut tentunya orang tua dalam keadaan semakin lemah badan dan cara berfikirnya, sehingga boleh membuatkan seseorang anak akan merasa bosan dalam menguruskannya. Dalam keadaan demikian, seorang anak bukan sahaja bosan dan bahkan jengkel dengan perkataan mahupun perbuatan yang dilakukan oleh orang tuanya. Namun, dalam keadaan yang demikian itu pun,  seseorang anak harus bersabar dan tidak menyakiti hati orang tuanya dalam bentuk apapun. Hal ini tentu menunjukkan betapa ditekankannya kewajiban ini. Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,


إِمَّا يَبْلُغَنَّ عِندَكَ الْكِبَرَ أَحَدُهُمَا أَوْ كِلاَهُمَا فَلاَ تَقُل لَّهُمَا أُفٍّ وَلاَتَنْهَرْهُمَا وَقُل لَّهُمَا قَوْلاً كَرِيمًا {23} وَاخْفِضْ لَهُمَا جَنَاحَ الذُّلِّ مِنَ الرَّحْمَةِ وَقُل رَّبِّ ارْحَمْهُمَا كَمَا رَبَّيَانِي صَغِيرًا

"Jika salah seorang dari keduanya, atau kedua-duanya sekali, sampai kepada umur tua dalam jagaan dan peliharaanmu, maka janganlah engkau berkata kepada mereka (sebarang perkataan kasar) sekalipun perkataan "Ha", dan janganlah engkau menengking menyergah mereka, tetapi katakanlah kepada mereka perkataan yang mulia (yang bersopan-santun). Dan hendaklah engkau merendah diri kepada keduanya kerana belas kasihan dan kasih sayangmu, dan doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): "Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya memelihara dan mendidikku semasa kecil." (Al-Isra’: 23-24)

Di dalam ayat tersebut pula Allah Subhanahu wa Ta’ala melarang hamba-hamba-Nya menyakiti orang tua mereka, meskipun dengan ucapan yang hanya menunjukkan kekesalan. Maka perbuatan menyakiti orang itu adalah lebih tinggi dan lebih besar dosanya. Di dalam ayat tersebut, Allah Subhanahu wa Ta’ala juga memerintahkan agar seorang anak berbuat baik kepada orang tuanya. Iaitu dengan mengucapkan tutur kata yang sopan dengan merendahkan diri di hadapannya serta mendoakan kebaikan untuk keduanya.

Pembaca yang dirahmati Allah,

Akhirnya, marilah kita berusaha untuk memperbaiki diri dalam menjalankan kewajipan kita kepada ibu bapa kita. Marilah kita sentiasa mengingati betapa tingginya amalan ini di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala dan betapa besarnya pengorbanan orang tua kepada kita dari saat kita masih dalam kandungan dan saat persalinan, serta setelah dilahirkan sebagai seorang bayi. 

Kedua ibu bapa kita telah mengerahkan segala tenaga dan keringatnya, serta hartanya untuk merawat kita. Oleh kerana itu, sudah seharusnya bagi kita untuk berbakti kepada keduanya pula tidak kira siapapun orang tua kita dan bagaimanapun keadaan orang tua kita. Apakah kerana mereka orang yang miskin, cacat dan tidak berpangkat atau bahkan seandainya keduanya belum mendapatkan hidayah sehingga masih dalam keadaan kafir, berbuat bid’ah, atau terjatuh pada kemaksiatan lainnya maka kita tidak berkhidmat dan berbuat baik kepada mereka? Ingatlah! Hal tersebut tidaklah membuatkan gugurnya kewajipan kita dalam berbakti kepada ibu bapa kita. Bahkan, seseorang harus tetap berkata yang baik dan tidak menyombongkan dirinya, baik dengan harta dan kedudukannya, serta ilmunya di hadapan orang tuanya. Namun, dia harus berusaha membantu keperluan keduanya selama mana ianya tidak melanggar syariat dan berusaha untuk menjadik sebab turunnya hidayah Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada keduanya.

Mudah-mudahan Allah Subhanahu wa Ta’ala memberikan kemudahan kepada kita untuk berbakti kepada ibu bapa kita serta memberikan kepada kita kemudahan untuk sentiasa ikhlas dalam menjalan kewajipan ini.

Wallahua'lam.

Sumber : http://khotbahjumat.com/kewajiban-berbakti-kepada-orang-tua/#

Post a Comment

1 Comments

  1. Dlm perut dulu kita tendang tendang perut mak kita, kita sakitkan dia, tidur mlmnya pun tak lena, tak selesa. Masa baby, kita berak kita kencing, kita muntahkan dia. Mkn minum kita, baju lampin kita, dia lah jugak. Ayah pulak, dengar kita batuk sikit je, rasa bdn kita panas sikit je, kelam kabut dia cari kunci kete nak gi klinik, duk cari klinik 24 jam tgh tgh malam pukul 2-3 pagi.
    Takkanla bila dah besar besar ni, mak ayah marah sikit, leter pnjg sikit, kita dah nak marah, nak ambik hati.
    Syukurlah kpd Allah swt dan syukurlah kpd kedua ibubapa kita, dan berbuat baiklah kpd keduanya sekalipun mrk tidak beragama Islam. Doa petunjuk, rahmat dan ampunan Allah swt utk keduanya setiap hari.

    ReplyDelete

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.