ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Saturday, 2 August 2014

PRASEJARAH : SATU PENGENALAN

Oleh : Unit Kajian Sains Sosial PenaMinang.com

PENGENALAN

Zaman prasejarah bermaksud zaman yang tidak mempunyai sistem tulisan serta tiada perkembangan yang khusus. Bukti-bukti prasejarah dapat diperolehi melalui kajian artifak, fosil dan arkeologi. Asia Tenggara pula dapat dibahagikan kepada dua bahagian iaitu wilayah kebenuaan dan wilayah kepulauan.

Terdapat dua golongan yang memberi pandangan berbeza terhadap perkembangan budaya di Asia Tenggara. Golongan pertama adalah golongan colonial antiquarian culture historie yang merupakan golongan sarjana Barat, yang salah seorangnya adalah Robert Heine Geldern. Mereka berpendapat bahawa peradaban Asia Tenggara merupakan lanjutan kepada peradaban India dan China ataupun pusat purbakala di Asia Barat.

Walau bagaimanapun, pendapat golongan kedua iaitu golongan internal development culture historie yang salah seorangnya adalah Prof. Wilhelm G. Solheim II, tidak bersetuju dengan pendapat tradisoinal tadi. Golongan ini menyatakan bahawa Asia Tenggara sememangnya merupakan tempat mula-mula terciptanya peradaban manusia.

Berdasarkan pendapat golongan kedua tadi, telah dibuktikan kewujudan tamadun atau peradaban yang tinggi di Asia Tenggara melalui kajian saintifik di kawasan yang menggunakan artifak dan bukti arkeologi.

Zaman prasejarah telah dibahagikan kepada tiga peringkat iaitu zaman Paleolitik,zaman Mesolitik dan Zaman Neolitik,Ia juga mempunyai banyak bukti aspek penemuan fosil atau rangka oleh pengkaji sejarah..

 ASPEK ZAMAN PALEOLITIK


Zaman Paleolitik bermula sejak zaman pleistosen atau Dilivium lagi iaitu kira-kira 600,000 tahun yang lalu.   Pada zaman inilah munculnya jenis manusia purba (pra-Adam) yang berupa manusia mawas (ape-man). Antara fosil-fosil manusia kera yang ditemui ialah seperti Australopithcus (Afrika Selatan), Ramapithecus (India), Meganthropus (Jawa Timur), Homo Wadjakensis (Jawa Timur), Pithecanthropus (Jawa Tengah). 

Berikutan fosil-fosil yang dijumpai ini, telah dapat dibuktikan bahawa wujud kehidupan manusia yang seterusnya membawa kepada penemuan alatan-alatan batu. Menurut Collin dan Sieveking, alatan batu yang benar-benar tulen dijumpai pada zaman ini adalah dari Kota Tampan, Perak.   Tinggalan-tinggalan ini berupa alat-alat daripada batu menyerupai siri alat-alat pembikinan yang juga sama seperti yang terdapat di Burma dan Jawa. Van Heekeren juga menemui jenis batuan yang lebih kurang sama di Sungai Mekong, Thailand.

Kota Tampan juga telah dianggap sebagai tapak berkembangnya manusia awal di Asia Tenggara. Tapak ini berada berdekatan dengan jalan utama yang mempunyai banyak kemudahan. Penemuan artifak di kawasan ini kebanyakannya bersifat kasar. Contohnya batu kerikil (pebble) yang menggunakan teknik pembuatan “shittering” di mana batu tersebut berbentuk kepingan. 

Disebabkan manusia zaman ini belum lagi pandai bercucuk tanam dan menternak, meraka menjalani kehidupan seharian dengan memungut hasil hutan dan berburu binatang.  Mereka juga memakan binatang-binatang kecil yang boleh ditangkap dengan tangan untuk dibuat makanan. 

Sistem politik pada zaman Paleolitik tidak begitu jelas. Manusianya hidup dalam kelompok yang terdiri daripada hanya 30-40 orang. Kelompok ini tidak mempunyai perbezaan antara ahli masyarakat akan tetapi diketuai oleh individu yang lebih tua. Mereka juga hidup secara berpindah-randah di gua-gua atau di lubang-lubang besar. Pada waktu ini, belum ada sistem kepercayaan agama yang diamalkan.

ASPEK ZAMAN MESOLITIK


Zaman Mesolitik iaitu zaman batu pertengahan bermula kira-kira 10,000 SM hingga 5000 SM. Zaman ini merupakan zaman peralihan daripada zaman Mesolitik dengan zaman Neolitik dan juga disebut zaman Baksano-Hoabinh. 

Terdapat banyak tinggalan yang dijumpai dalam kajian arkeologi antaranya Semenanjung Malaysia; Hoa Binh; Ninh Binh; Hanan; Tan Hoa; Quang Beng di Vietnam dan Luang Prabang, Laos. Kesemua tempat ini menunjukkan masyarakatnya hidup berkelompok-kelompok dan menghasilkan kebudayaan kesukuan masing-masing. Walau bagaimanapun mereka masih hidup berpindah-randah untuk mencari kesesuaian dan bekalan hidup. 

Dalam kajian yang dijalankan di gua-gua di Jawa oleh Van Stien Collenfels, Van Heekeran dan Alfred Buhler, banyak dijumpai alat-alat yang diperbuat daripada tulang dan juga serpihan.  Dari segi peralatan batu, mutu penciptaannya lebih maju iaitu lebih kecil dan lebih baik. 

Corak pembuatannya juga lebih halus kerana adanya kemahiran mengasah dan menggilap batu. Pembuatan ini telah dinamakan industri mengasah ataupun Industri Baksonian dan Hoabinhian. Sifat batunya adalah dilicinkan di sebelah bahagian sahaja dan bersama-sama batu tersebut dijumpai juga alat seperti tulang dan tembikar. Bentuk-bentuk alat batu yang dijumpai ini mempunyai dua atau satu sisi, choope, chooping tool, pebbles tools dan croudely. 

Kesemuanya ditemui di Utara Annam, Luang Prabang, Siam, Tanah Melayu dan daerah Pantai Timur Sumatra. Di tempat-tempat ini juga wujudnya peralatan batu dan alat perkakas lain seperti senjata, keperluan seperti umpan untuk menangkap ikan dan kanu berserta pendayungnya. Peralatan-peralatan ini dicipta oleh tiga golongan manusia yang hidup pada zaman Mesolitik ini iaitu Australoid, Negrito dan Malenesoid.  

Di Nusantara,perkembangan zaman Mesolitik berkembang melalui dua garis penyebaran. Pertama, melalui jalan Barat iaitu dari Pusat Bakson-Hoabinh di Tonkin, IndoChina ke Thailand, Semenanjung Malaysia dan Sumatra. Sesetengahnya dari Semenanjung Malaysia ke Kalimantan. 

Di Kalimantan inilah didapati alatan dari tulang dan kapak Sumatra ( kapak genggam).   Kedua, melalui jalan Timur iaitu dari daratan Asia ke Jepun, Farmosa, Filipina, Sulawesi, Flores dan Jawa. 

Di daerah-daerah ini pula banyak ditemui alat-alat dari ‘flakes’. Berdasarkan alatan yang dijumpai ini, dapatlah diketahui bahawa manusia pada zaman ini juga msih hidup berburu seperti zaman sebelumnya (zaman Paleolitik) serta menangkap ikan. Tempat tinggal mereka juga masih di gua-gua, akan tetapi mereka sudah pandai bercucuk tanam.  

Selain itu, zaman Mesolitik juga dapat dianggap sebagai zaman permulaan kesenian. Misalnya, di pinggir-pinggir pantai Indonesia, telah ditemui kapak-kapak yang mempunyai hiasan-hiasan tertentu sedangkan di Gua Leang di Sulawesi Selatan dijumpai gambar-gambar cap tangan di gua-gua lainnya.

Sesuatu yang pertama kali dijumpai pada zaman Mesolitik ini iaitu ‘sampah dapur’ yang terbentuk apabila manusia membuang sisa kulit kerang di tempat tinggal meraka. Sampah-sampah tersebut terkumpul sehingga menjadi fossil bukit. Antara tempat yang ditemui sampah dapur ini adalah di Gua Kepah, Seberang Perai, serta di Langsa, Aceh dan Medan di Indonesia. 

Zaman Mesolitik telah membuktikan telah wujudnya kepercayaan agama. Pada antara 8000-9000 SM, Perak Man di kebumikan dengan cara penguburan melentur dan disertakan dengan makanan kerana mempercayai kehidupan selepas mati. Perkara ini telah dijumpai di Gua Gunung Runtuh, Perak. 

Orang-orang Bakson di Tan-Hoa pula mengadakan upacara pengebumian  dalam bentuk yang berbeza iaitu berdasarkan amalan si mati kepada masyarakat sewaktu hidupnya. Manakala orang-orang Hobinhian dikebumikan dengan cara melentur di Gua Cha, Kelantan dan di Gua Niah, Sarawak.

Berdasarkan teori Radcliffe Brown pula, ada kemungkinan manusia di Andaman mempunyai kepercayaan dan adat resam sendiri. Didapati debu batu merah (Hematite) yang dijumpai digunakan bagi tujuan upacara tertentu dalam kehidupan mereka. Debu merah itu dikatakan sebagai simbol darah si mati. 

ASPEK ZAMAN NEOLITIK


Zaman Neolitik merupakan zaman terakhir bagi zaman batu, yang juga disebut sebagai Zaman Batu Baru.  Zaman ini dianggarkan bermula kira-kira 5000 hingga 2000 SM. Ketika ini, manusia homo sapiens dikatakan mengalami perkembangan yang besar dan amat ketara dari segi kemajuan dan cara hidup berbanding dengan zaman sebelumnya.

Kesan perkembangan Neolitik ini tersebar luas di seluruh Nusantara kerana mengalami revolusi yang amat tinggi serta bertamadun. Dari konteks penciptaan alatan, kebudayaan Neolitik mempunyai dua corak khusus iaitu penciptaan Kapak Bersegi (Quadrangular Adze) dan Kapak Lonjong (Edge-ground Adze).

Nama kapak bersegi ini diberi oleh Von Heine Geldern berdasarkan kepada kepala tempat letak hulunya yang berbentuk segi panjang. Tempat-tempat yang telah dijumpai kapak bersegi ini adalah di Batu Gajah, Perak; Rembau, Negeri Sembilan; Ulu Galas, Kelantan; Sumatra; Jawa; Bali; Sulawesi; Kalimantan, Siam dan Kemboja. 

Kapak bersegi ini diperbuat daripada batu berapi dan chalcedon dan pembuatannya sudah dikilangkan. Hal ini bermakna, sudah ada tukang-tukang khas yang ditugaskan untuk membuatnya. Selain kapak bersegi, kapak Lonjong juga digunakan pada zaman ini akan tetapi penggunaannya adalah tidak sekerap kapak bersegi kerana kebanyakannya digunakan sebagai alat upacara tertentu sahaja.  

Penciptaan alatan batu zaman Neolitik mengalami revolusi penciptaan yang lebih halus dan teliti. Hal ini kerana, ia dicipta oleh tukang-tukang khas yang mahir. Oleh itu, penciptaannya lebih sempurna dan kebanyakannya digilap, walaupun pada ketika ini belum ada unsur besi.

Di Semenanjung Malaysia, Sumatra dan Jawa amat terkenal dengan kapak bersegi sepertimana yang telah disebutkan tadi. Penciptaannya amat sempurna dan fungsinya pula digunakan untuk memotong dan membentuk kayu unutuk tujuan pembinaan. Saiz kapak yang berbeza digunakan untuk melakukan kerja yang berbeza. Contohnya, saiz kapak yang besar digunakan untuk membuat bot dan rumah.

Kesinambungan dari peralatan batu yang canggih ini, didapati wujud populasi manusia yang sudah mempunyai tahap ketamadunan yang tinggi dari segi keseniannya. Hal ini dapat dilihat melalui penciptaan periuk belanga untuk tujuan memasak dan menyimpan makanan.

Seni pembuatan tembikar atau periuk belanga ini didapati ada unsur-unsur seni batik, contohnya terdapat garisan sejajar, lurus, silang lingkaran, keluk ketupat, garisan tumpul panjang, garis segi tiga, bunga hiasan dan sebagainya. Selain itu, kesenian zaman Neolitik dapat dibuktikan dengan kesan lukisan manusia, haiwan dan motif abstrak di dinding-dinding gua menggunakan debu hematite. Kesenian ini dijumpai di Gua Tambun, Perak.  

Revolusi dalam bidang pertanian dan pemakanan turut berlaku dalam zaman Batu Baru ini, di mana berlaku peralihan penghidupan ‘mengumpul makanan’ kepada penghidupan ‘mengeluarkan makanan’. 

Masyarakat Neolitik sudah pandai bercucuk tanam dan menghasilkan beras dan bijirin melalui sistem ladang. Di samping itu, sistem sawah juga dipraktikkan. Haiwan domestik seperti kerbau dan babi digunakan untuk tujuan pertanian. Buktinya, penemuan tulang-tulang babi, lembu dan kerbau telah ditemui di kawasan Non Nok Tha, Ban Kau dan Phung Nguyen.  Sistem ternakan dan bercucuk tanam ini dapat dilihat melalui penggalian yang dilakukan di Utara Thailand iaitu di Non Nok Tha dan Spirit Cave. 

Kesan-kesan bercucuk tanam yang didapati di Spirit Cave misalnya menunjukkan terdapat lebih daripada 10 jenis tumbuhan termasuk lada hitam, mentimun, pinang dan kacang. Walau bagaimanapun, padi merupakan pengeluaran makanan terbesar yang dihasilkan dan salah satu peralatan yang digunakan untuk kerja-kerja penuaian ialah Pisau Batu yang dijumpai di tepi Sungai Tembeling, Pahang.  

Dalam konteks kepercayaan agama, masyarakat Neolitik mengamalkan kepercayaan animisme. Mereka percaya kepada ‘semangat’ yang ada pada objek alam yang dikatakan berkait rapat dengan kehidupan seharian yang dijalani. Selain itu, struktur masyarakat amat jelas dengan adanya rumah-rumah yang dibina dengan menggunakan papan dan buluh.

Bidang pertanian sepertimana yang telah dijelaskan tadi telah membentuk komuniti sosial secara asas dengan adanya ketua-ketua untuk upacara keagamaan dan adat.  Acara ritual pengebumian mayat turut diadakan dengan nyanyian dan bacaan mentera terhadap kubur si mati. Menurut G. Coedes, masyarakat Neolitik menanam mayat di dalam kotak secara mengunjur dan ini dapat dilihat di Gua Cha, Kelantan dan Gua Niah, Sarawak.

Perbezaan status sosial dalam masyarakat dikatakan berkait rapat dengan amalan kepercayaan agama melalui cara penguburan. Kaedah penguburan adalah berdasarkan kedudukan individu sewaktu hidupnya. 

Kajian arkeologi telah menemui sebanyak 104 buah kubur di Khok Phnom dan 4 buah daripadanya merupakan kubur mewah. Sebagai contoh, sebuah kubur wanita telah ditanam bersama-samanya ribuan manik yang diperbuat daripada kulit cengkerang dan disertakan dengan beberapa buah tembikar yang halus buatannya. 

Selain itu, terdapat juga kubur kanak-kanak ditanam bersama-sama tempayan tanah yang amat halus buatannya. Dengan penemuan dua kubur mewah ini, jelas menunjukkan bahawa telah adanya Ranked Society dalam masyarakat Neolitik. 

Satu perkara lagi yang menarik tentang kedudukan sosial masyarakat pada zaman ini adalah, kaum wanita yang diberikan kedudukan tinggi apabila kaum inilah yang memegang jawatan ketua keagamaan. Buktinya, masyarakat orang asli di Sarawak menggelar wanita yang dilantik sebagai ketua upacara ini dengan gelaran Bobohizan.  
ASPEK PETEMPATAN

Terdapat pelbagai bukti yang menunjukkan bahawa Asia Tenggara sudah  mempunyai tempat tinggal  antaranya ialah telah wujud petempatan awal di kawasan Asia Tenggara. Hal ini terbukti melalui penemuan tengkorak di Mojokerto, Jawa pada tahun 1936 yang berbentuk kecil yang dipanggil pithecanthropoid. 

Di samping itu juga, pada tahun 1891 di Jawa Tengah, berdekatan dengan kampung yang bernama Trinil yang terletak di tebing sungai solo, telah ditemui  satu tengkorak manusia yang telah hidup pada peringkat permulaan. Tengkorak itu adalah tinggalan Hominid di peringkat pertengahan evolusi  yang berbentuk monyet-manusia . 

Pada tahun 1938 pula, Van Koeningswald menjumpai tengkorak yang sama jenis dengan pithecanthropoid yang terletak di sungai solo. Hal ini sekaligus dapat dijadikan bukti bahawa Asia Tenggara sudah mempunyai  tempat kediaman dengan adanya petempatan yang telah dibina oleh manusia-manusia pada ketika itu. 

Di samping itu juga penemuan manusia Homo Floresiensis yang mempunyai susuk badan, saiz fizikal dan kapasiti otak yang kecil di Pulau Flores juga turut menjadi bukti petempatan awal masyarakat di Asia Tenggara.

KESIMPULAN

Kesimpulannya terdapat banyak dapatan melalui penemuan fosil dan rangka dalam konteks manusia awal di Asia Tenggara.Penemuan ini merangkumi penemuan dalam pelbgai aspek seperti aspek Zaman Paleolitik ,Aspek Zaman Mesolitik,Aspek Zaman Neolitik,Aspek Petempatan,Aspek Jenis manusia awl dan lain-lain aspek.Aspek jenis manusia awal contohnya adalah jelas menunjukkan penemuan fosil dan rangka melalui jenis rupa antara ,manusia yang terawal di Asia Tenggara di jumpai di Jawa.Manusia ini dinamakan Pithecanthropus yang jumpai oleh Eugene Dubois dan beliau juga menjumpai Homo Modjokertensis adalah dari bahagian awal yang di jumpai oleh Von Koenigswald.Manusia ini adalah difikirkan merupakan satu bangsa yang berasingan daripada sejarah kewujudan manusia.Hal ini telah menyebabkan bahawa Asia Tenggara juga merupakan lokasi terawal kewujudan manusia-manusia purba yang terdiri daripada pelbagai jenis,rupa,bentuk dan kawasan petempatan.

BIBLIOGRAFI

1. Abdul Rahman, Sejarah Kebudayaan Prasejarah di Malaysia, Malindo Printers Sdn. Bhd., 1992

2. Aziz Deraman,1948, Masyarakat dan Kebudayaan Malaysia, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2005

3. Brian Harrison, Southeast Asia: A Short History, Mac Millan & Co Ltd., London, 1966

4. Charles Higham, 1989, The Archeology of Mainland Southeast Cambridge, Cambridge University Press, 1989

5. D.G.E Hall, Sejarah Asia Tenggara, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Kementerian Pelajaran Malaysia, 1979

6. G. Coedes, The Making of Southeast Asia, Great Britain, Routledge & Keegan Paul Limited, 1966

7. K.L. Hutterer, Reinterpreting the Southeast Asia Paleolithic, Museum of Antrophology, University of Michigan

8. Peter Bellwood, Man’s Sconquest of the Pasific, The Prehistory of Southeast Asia and Oceania, New York, Oxford University, Press, 1970

9. Prof. Dato’ Dr. Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman, Early History,  Kuala Lumpur, Archipelago Press, 1998

10. Robbins Burling, Hill Farms & Padi Fields: Life in Mainland Southeast Asia, United States,Prentice-Hall, 1965

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2016 Pena Minang Institute