JANGAN ULANGI 'KAJANG MOVE' - SULTAN SELANGOR

KLANG, 26 SEPTEMBER 2014 - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini mengingatkan agar kisah penolakan kepada Menteri Besar terdahulu Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar tidak berulang.

Titah baginda, kemelut jawatan Menteri Besar tidak seharusnya berlaku dan boleh dielakkan sekiranya Kajang Move tidak dipraktiskan oleh parti Pakatan Rakyat.

“Seperti yang kita sedia maklum pelantikan Exco yang baru ini adalah disebabkan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Democratic Action Party (DAP) tiada mempunyai keyakinan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang menyandang Menteri Besar Selangor, yang dilantik selepas Pilihanraya Umum ke 13.”

“Oleh itu seorang Menteri Besar yang baru dan Exco yang baru juga perlu dilantik untuk mentadbirkan Kerajaan Negeri Selangor ini”, titah baginda dalam Pelantikan Ahli-Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor (EXCO) pada petang ini.

Kemelut dan pergolakan dalam Parti Pakatan Rakyat ini bermula daripada Pakatan Rakyat membuat Langkah Kajang titah baginda mencetuskan api kemelut Pakatan Rakyat untuk menyingkirkan Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor.

Maka dengan itu timbullah pelbagai hasutan dan tomahan untuk memburukkan Khalid Ibrahim supaya dilucutkan daripada jawatan Menteri Besar Selangor.

“Perkara hasut menghasut dan melempar tohmahan-tohmahan terhadap Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berterusan walaupun semasa bulan suci Ramadhan, dimana umat Islam sepatutnya membuat ibadah dan membuat kerja-kerja amal yang diredhai oleh Allah untuk membersihkan dosa dan maksiat.”

“Tetapi Parti Keadilan Rakyat (PKR) tetap meneruskan agenda mereka walaupun dalam bulan suci Ramadhan dengan terus menghina”, titah baginda.

Dalam titah sama, baginda mengucapkan terima kasih kepada Khalid Ibrahim yang telah menjalankan tugas beliau dengan sempurna sebagai Menteri Besar dimana hubungan Istana dengan beliau telah berjalan dengan baik dan lancar.

“Beta mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakyat Negeri Selangor yang menyokong Beta dalam kemelut pelantikan Menteri Besar di Negeri Selangor ini dan mempercayai Beta dalam menyelesaikan kemelut ini.”

Mengakhiri titah itu, baginda menyeru agar kesemua 10 barisan exco yang dilantik agar memberi sokongan yang padu kepada Mohamed Azmin Bin Ali selaku Menteri Besar Selangor yang baru.

“Lupakan segala sengketa yang lalu dan tumpukan segala tenaga, kepakaran dan pengalaman disertakan dengan keikhlasan untuk berkhidmat kepada rakyat Negeri Selangor yang telah memberi mandat kepada tuan-tuan dan puan-puan sebagai wakil rakyat mereka.”

“Rakyat tidak suka melihat Negeri Selangor ini didalam kucar kacir dan mereka tinggal didalam ketakutan dan kesengsaraan.”

Sumber : http://news.abnxcess.com/bm/2014/09/kemelut-menteri-besar-berlaku-ekoran-ketidakyakinan-terhadap-khalid-ibrahim-sultan-selangor/

Post a Comment

0 Comments