ROGOL, AIB, TRAUMA & HAK MANGSA

Oleh : Sakini Mohd Said

Jenayah seksual adalah igauan buruk bagi mana-mana kanak-kanak perempuan mahupun wanita dan tidak ada seorang pun mahu diri mereka dizalimi sedemikian rupa.

Meskipun masyarakat melihat serangan seksual ini sebagai satu jenayah tetapi ada juga yang memandang serong terhadap mangsa kerana kejahilannya.

Hampir setiap hari ada sahaja laporan media mengenai mangsa rogol, sumbang mahram atau perkosaan.

Masyarakat juga kian bimbang kerana mangsa serangan seksual ini semakin muda usia mereka dan pelakunya semakin berani melakukan jenayah ini.

Pada lewat bulan Mei tahun ini, rakyat Malaysia menjadi cemas membaca laporan media mengenai dua gadis belasan tahun di Ketereh, Kelantan yang mendakwa dirogol 38 lelaki.

Beberapa hari lepas media melaporkan bagaimana seorang kanak-kanak berusia lima tahun di Melaka dipaksa oleh ayahnya melakukan seks oral.

Dalam satu kejadian lain, seorang guru agama atau ustazah dipenjara lapan tahun kerana membantu suaminya merogol anak perempuan mereka berusia belasan tahun.

Lebih memilukan, ramai juga mangsa rogol dibunuh.

TIDAK SELAMAT MAHUPUN DI RUMAH SENDIRI

Nampaknya seperti pemangsa seksual ini ada di mana-mana. Mereka mungkin ahli keluarga mangsa termasuk ayah atau saudara lelaki, kawan atau jiran seperti yang dilaporkan dalam banyak kes.

Statistik yang ada menunjukkan betapa teruknya kes serangan seksual di negara ini. Pada bulan Mac tahun ini, Dewan Rakyat diberitahu sebanyak 1,424 kes rogol dilaporkan pada tahun 2013 dengan 90 peratus mangsa berada dalam kumpulan umur 13-16 tahun.

Bagaimanapun, angka yang diberikan ini hanyalah bahagian kecil daripada apa yang sebenarnya berlaku kerana bagi setiap insiden serangan seksual, banyak lagi yang tidak dilaporkan.

AIB

Satu daripada sebab mengapa ramai mangsa serangan seksual memilih untuk membisu adalah beban stigma atau aib.

Perunding Psikiatrik Universiti Malaya, Dr Muhammad Muhsin Ahmad Zahari memberitahu Bernama baru-baru ini banyak kes serangan seksual yang tidak dilaporkan kerana mangsa sendiri enggan mendapatkan keadilan.

"Boleh dikatakan setiap minggu ada sahaja mangsa rogol dirujukkan kepada kami termasuk mangsa bawah umur.

"Saya pasti ramai lagi yang tidak buat laporan untuk melindungi mangsa serta maruah keluarga", kata beliau berdasarkan pengalaman mengendalikan mangsa rogol.

Ramai mangsa serangan seksual ini memilih untuk berdiam diri, sebahagian besarnya kerana masyarakat yang masih memandang serong terhadap mangsa jenayah ini.

Stigma masyarakat ini mencetuskan kebimbangan kepada mangsa. Mereka akan dicemuh sekiranya ada yang tahu nasib malang mereka. Sekiranya mangsa hamil, stigma ini berterusan dan anak itu dianggap sebagai anak luar nikah.

Sehubungan itu, tidak ada sebab untuk rasa terperanjat sekiranya kes rogol, sumbang mahram dan perkosaan tidak dilapor atau diselesaikan.

KEADAAN RUMIT

Memandangkan kajian menunjukkan 80 peratus pelaku adalah mereka yang dikenali mangsa, bayangkan apa yang terpaksa ditanggung mangsa selain daripada stigma masyarakat.

Ini terutamanya apabila pelaku adalah ahli keluarga mereka sendiri malahan jiran atau orang yang mereka kenal.

"Di samping mencemar nama baik keluarga atau insiden itu menjadi buah mulut, ramai yang tidak melaporkan insiden serangan seksual ini kerana bimbang tindakan balas.

"Sekiranya suami merogol anak perempuannya, isteri takut pergi kepada polis kerana memikirkan kesan sekira suami dipenjarakan.

"Isteri mungkin bimbang dicerai atau kehilangan suami yang mencari nafkah keluarga jika dia melaporkan insiden itu. Jadi, dalam kes ini, siapa yang penting, anak perempuan atau suami?", tanya Dr Muhammad Muhsin, yang juga setiausaha kehormat Persatuan Psikiatrik Malaysia.

Bagaimanapun, ramai yang tinggal dengan mangsa tidak sedar mengenai serangan seksual yang menimpa diri mangsa kerana pelaku begitu licik ketika melakukan jenayah keji itu.

Menurut Dr Muhammad Muhsin, masalah itu menjadi semakin berat apabila kanak-kanak bawah umur tujuh tahun tidak tahu apa makna rogol, sumbang mahram atau perkosaan.

Dengan demikian, tiada siapa yang tahu serangan seksual telah berlaku.

"Itulah sebabnya mengapa penting untuk ibu bapa mengenal pasti perubahan kelakuan anak mereka. Antaranya, perubahan sikap, enggan ke sekolah dan benda-benda yang mereka lukis", katanya.

BUNUH DIRI

Bagaimanapun, mangsa serangan seksual yang tertekan dan mengalami kemurungan teruk mungkin juga akan membunuh diri.

"Mangsa serangan seksual menghadapi kesan fizikal, psikologi dan sosial. Mereka mungkin mengalami kecederaan fizikal dan dijangkiti penyakit seksual atau mengandung.

"Mereka juga mungkin tidak dapat menumpukan perhatian dalam pelajaran atau pekerjaan mereka.

"Bagaimanapun, kesan psikologi lebih ketara termasuk gangguan emosi dan trauma", katanya sambil menambah bantuan perubatan di peringkat awal mungkin dapat membantu di samping pegangan agama yang kuat.

Sumber : Bernama

Post a Comment

0 Comments