SELANGOR SEMAKIN KEHILANGAN HUTAN - PROF DR. SHARIFAH MASTURA

Oleh : Saiful Bahri Kamaruddin

BANGI – Selangor yang sudah pun mengalami kehilangan sehingga 10 peratus daripada hutannya dalam tempoh 22 tahun antara 1990 dan 2012 berterusan menghadapi masaalah itu.

Suatu kajian oleh saintis Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mendapatipenebangan hutan adalah untuk pembangunan pertanian dan perbandaran bagi menampung peningkatan bilangan penduduk.

Pengarah Institut Pengajian Perubahan Iklim (IKP) UKM, Professor Dr Sharifah Mastura Syed Abdullah berkata kemerosotan mutu hutan adalah satu isu yang perlu ditangani.

Beliau memberi tahu kepada media selepas satu seminar mengenai Sains Angkasa di sini baru-baru ini bahawa pengetahuan mengenai penebangan hutan di Selangor sangat penting kerana ia adalah asas bagi pengiraan jumlah bekalan karbon di atas tanah.

Bekalan karbon adalah dalam bentuk karbon dioksida yang terdapat dalam pokok dan tumbuhan lain.

Beliau berkata kajian itu menunjukkan langkah-langkah sesuai yang boleh diambil untuk meluaskan kawasan berpokok untuk mengurangkan pelepasan karbon dioksida ke atmosfera.

Gambar satelit dan peta guna tanah dari Kementerian Pertanian dan Asas Tani menunjukkan penebangan hutan di Selangor mempunyai punca-punca yang rumit. 

Masaalah pengurangan hutan itu perlu difahami kerana selama beberapa dekad tanggapan dan kontroversi penebangan hutan terus dibahaskan.

Beliau menjelaskan bahawa separuh daripada punca penebangan hutan berkaitan dengan penduduk dan selebihnya disebabkan pertanian, faktor-faktor ekonomi, dasar awam dan pembinaan rangkaian jalan raya. 

Beliau menyatakan bahawa semua faktor demikian didorong oleh dasar, ekonomi, amalan institusi dan budaya dan memberikan data berikut:

Punca Penebangan Hutan di Selangor               Peratus

Dinamik Penduduk                                                    54.4
Pertumbuhan Pertanian                                            18.2
Ekonomi                                                                    13.6
Dasar Awam                                                              9.1
Rankaian Jalanraya                                                   4.5

Dalam masa 22 tahun lalu pengurangan hutan keseluruhan di Selangor adalah 2% dari hutan dipterokarpa terdiri daripada pokok terbesar dan 8.6% daripada hutan paya gambut. 

Walaupun ini tidak kelihatan sebagai perangkaan yang membimbangkan, namun analisis terperinci menggunakan Telunjuk Perbezaan Tumbuhan (NDVI) menunjukkan bahawa kualiti hutan telah merosot secara meluas.

Kebanyakan penyelidik bersetuju bahawa litupan hutan merupakan ciri yang penting dan kritikal, kerana ia memainkan peranan utama dalam mengekalkan keseimbangan ekologi iklim air serantau, serta kelestarian kehidupan dan kesejahteraan di bumi. 

Di Malaysia penukaran hutan dan padang rumput kepada kegunaan lain adalah punca ke empat terbesar bagi pengeluaran karbon dioksida, iaitu sebanyak 14%.

Data global tahunan mengenai pelepasan karbon dioksida daripada jumlah penebangan hutan adalah 25% daripada jumlah pelepasan karbon. Penukaran hutan kepada kegunaan tanah lain secara berterusanadalah punca terbesar karbon dioksida dilepaskan ke atmosfera.

Prof Sharifah Mastura menggesa lebih banyak kajian dijalankan mengenai penebangan hutan - bukan sahaja di Selangor tetapi di seluruh negara.

Beliau berkata kajian kes Selangor menyediakan asas yang bernilai untuk membantu membina gambaran yang lebih besar mengenai isu penebangan hutan di Malaysia.

Prof Sharifah Mastura juga menerangkan bahawa sebarang dasar pembangunan untuk menjamin kelestarian hutan di Selangor akan menjadi sia-sia jika punca sebenar pengurangan hutan kurang difahami. 

Lazimnya di kebanyakan negara dasar memihak kepada pertumbuhan ekonomi berbanding usaha untuk melindungi hutan. Akibatnya negara-negara itu akan menanggung kesan jangka panjang menghadapi masaalah apabila hendakmemulihkan kemusnahan itu hingga tidak dapat melaksanakan usaha untuk mewujudkan sumber hutan yang lestari. 

Maklumat penting yang diperlukan bagi pembuat dasar mengenai projek pembangunan di atas kawasan hutan boleh didapati jika terdapat bekalan karbon dalam tanah dan tumbuh-tumbuhan di atas tanah yang cukup, kata Prof Sharifah Mastura.

Dipetik dari : UKM News Portal

Post a Comment

0 Comments