DUNIA IKTIRAF KEJAYAAN TABUNG HAJI

PENGKALAN HULU – Kejayaan Tabung Haji mengendalikan 8.3 juta pendeposit sejak penubuhannya membuktikan keyakinan tinggi rakyat terhadap institusi berkenaan bagi pengurusan ibadah haji.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Razali Ibrahim berkata, menerusi Tabung Haji, orang Islam bukan sahaja berpeluang ke tanah suci tetapi turut memupuk budaya menabung.

Ekoran prestasi mantap Tabung Haji itu, Razali menyeru umat Islam di negara ini supaya meningkatkan sokongan kepada institusi tersebut untuk memastikan jemaah haji terus menikmati subsidi.

“Sebab itu Tabung Haji sebagai sebuah institusi yang menjaga simpanan bakal-bakal haji sentiasa mencari kaedah dan peranan menambah baik.

“Malahan tidak salah untuk saya nyatakan bahawa Tabung haji diiktiraf di seluruh dunia,” katanya.

Walaupun kos mengerjakan haji semakin meningkat setiap tahun, Tabung Haji berjaya mengekalkan pemberian subsidi hasil pelaburan dan perniagaan yang menguntungkan.

Tabung Haji membiayai subsidi mengerjakan haji sebanyak RM130 juta dengan jemaah kali pertama membayar sekitar RM9,900 dengan baki RM6,000 dibiayai Tabung Haji.

“Namun begitu, saya sering mengingatkan kepada ramai orang yang bertanya tentang kos yang dikatakan tinggi ini, kita kena ingat 40 hari dengan jumlah RM16,000 adalah satu jumlah yang pada saya kalau tak pun murah tapi bersesuaian,” katanya.

Selain itu, Tabung Haji turut menampung subsidi kursus haji yang dibuat sebelum jemaah berlepas ke tanah suci berjumlah RM40 juta.

Jelas Razali, semua ini dilakukan bagi memastikan jemaah haji dapat menumpukan sepenuh perhatian ketika menunaikan rukun Islam kelima itu.

Hasil pengurusan yang cemerlang, Tabung Haji mencatatkan peningkatan pendapatan berjumlah RM3.7 bilion pada 2013, peningkatan sebanyak 34% berbanding RM2.8 bilion pada 2012.

Hasil daripada itu pencarum menikmati dividen tabung Haji 2013 sebanyak 6% dan tambahan bonus Tabung Haji 2% bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2013.

Sumber : ABN News

Post a Comment

0 Comments