JAGA KESIHATAN PAYUDARA ANDA - PERUNDING PAKAR BEDAH PAYUDARA

Oleh : Ainul Huda Mohamed Saaid

KUALA LUMPUR - Bagi wanita tanpa mengira usia, payudara adalah lambang kewanitaan. Anggapan ini juga membuatkan mereka sering dibayangi kebimbangan.

Bagi wanita muda, mereka mungkin bimbang sama ada saiz payudara terlalu besar atau terlalu kecil.

Wanita yang berusia pula semakin runsing apabila payudara mula kendur dan tidak sepejal ketika muda.

Bagi Perunding Pakar Bedah Payudara, Dr Ng Chor Har, wanita sama ada muda atau berusia sepatutnya lebih mengutamakan kesihatan payudara dan bukan bentuk fizikalnya.

"Mereka perlu tahu dan jaga kesihatan payudara mereka kerana kanser payudara adalah kanser yang paling banyak sekali dihidapi kaum wanita di Malaysia.

"Peluang terbaik untuk mengubati kanser ini ialah apabila ia dikesan dan dirawat lebih awal", kata pakar bedah itu yang berkhidmat dengan Sunway Medical Centre.

KESIHATAN PAYUDARA

Dr. Ng yang menjalani latihan lanjut dalam Pembedahan Payudara di Universiti Malaya, memberi panduan untuk wanita menjaga kesihatan payudara menurut usia masing-masing.

Untuk wanita muda dalam usia belasan tahun, 20-an dan 30-an, langkah pertama yang penting ialah untuk menanam kesedaran mengenai kesihatan payudara.

"Buat pemeriksaan klinikal payudara untuk tahu sama ada anda berisiko tinggi. Sekiranya ada ahli keluarga menghidap kanser payudara, anda mungkin hendak berbincang dengan doktor peribadi untuk memahami risiko anda", katanya pada pelancaran Pusat Kecemerlangan Penjagaan Payudara Sunway Medical Centre baru-baru ini.

Sementara itu, untuk mereka yang baru bergelar ibu, mereka amat dinasihatkan supaya memberi bayi mereka susu badan sekurang-kurangnya selama enam bulan.

Beberapa kajian mencadangkan, risiko mendapat kanser payudara mungkin menjadi rendah sedikit bagi ibu yang memberi susu badan untuk bayi mereka.

Contohnya, kajian oleh Pusat Penyelidikan Kanser Fred Hutchinson, Amerika Syarikat menunjukkan dengan memberi susu badan selama enam bulan atau lebih akan mengurangkan risiko kanser payudara sebanyak 20 peratus.

Di samping itu, bersenam dan menjaga pemakanan yang sihat juga penting.



PENTING ANGKA 40

Sepertiga kes kanser payudara di Malaysia dihidapi wanita berusia 40-an, justeru, mereka yang mencapai umur ini perlu lebih berhati-hati menjaga payudara.

Mamogram tahunan serta pemeriksaan klinikal adalah kritikal di samping kesedaran berterusan mengenai keadaan payudara mereka.

"Sekiranya anda melihat sebarang perubahan, segera beritahu doktor anda. Kemungkinan besar perubahan yang anda nampak seperti perubahan payudara fibrosistik tidak berbahaya tetapi apapun ia perlu diperiksa", kata Dr Ng.

Sista (cyst) adalah gumpalan dalam payudara paling lazim bagi wanita berusia 40-an meskipun ia boleh dihidapi wanita berlainan umur.

"Pundi yang berisi bendalir ini tidak berbahaya tetapi boleh menimbulkan kesakitan yang amat sangat. Doktor boleh menyalur keluar atau membuangnya melalui pembedahan.

"Perubahan dalam sel seperti 'atypical ductal hyperplasia' mungkin berlaku pada dekad ini. Sel yang tidak seperti biasanya dalam duktus susu (milk) meningkatkan peluang seseorang wanita itu menghidap kanser payudara", jelas Dr. Ng.

Apabila usia wanita meningkat 50-an dan mengalami putus haid, risiko mendapat kanser payudara terus meningkat.

Sebagai tambahan kepada membuat mamogram dua kali setahun, wanita dalam kumpulan umur ini perlu mengekalkan berat badan yang sihat dengan sentiasa aktif.

Mereka juga perlu menghadkan terapi penggantian hormon.

PUSAT SETEMPAT PENJAGAAN PAYUDARA

Dengan mengambil kira keperluan pesakit serta pemandiri (survivor) kanser, Sunway Medical Centre telah menubuhkan pusat setempat untuk penjagaan payudara.

Pengarah Kejururawatan hospital, Chan Lai Hong berkata pusat itu menyediakan pendekatan bersepadu dan holistik bagi meningkatkan kesejahteraan serta harga diri wanita yang menghadapi isu berkaitan payudara, bukan semata-mata kanser payudara.

"Jururawat penjagaan payudara kami boleh membantu menyelia khidmat yang diperlukan, contoh jika anda memerlukan pemeriksaan untuk pengesanan awal, dia boleh mengatur janji temu untuk mamogram.

"Atau jika pelanggan perlu bantuan mencari perunding. Bila mereka datang mereka tidak tahu perunding mana yang perlu mereka jumpa, jururawat boleh membantu dalam hal ini", kata Dr Chan.

Jururawat akan menasihati pesakit dengan maklumat perubatan dan dalam masa yang sama memberi sokongan emosi sepanjang peringkat rawatan dan tempoh selepas rawatan.

Pusat ini dilengkapi pelbagai buku, risalah, video serta model payudara untuk mendidik pesakit serta pengunjung.

Ia juga menyediakan payudara palsu, coli serta pakaian renang untuk pemandiri kanser payudara di samping pelbagai pilihan rambut palsu, skaf dan topi untuk pesakit kemoterapi.

Sumber : BERNAMA

Post a Comment

0 Comments