TINGGALKAN ZINA, ALLAH KURNIAKAN KERAJAAN DAN WANITA YANG HALAL PADANYA.

Oleh : Ibrahim bin Abdullah Al-Hazimi
Transliterasi : Jebat

Allah menyebutkan kisah Yusuf bin Ya’kub `alaihis salam dalam satu surah yang lengkap. Di dalamnya terdapat banyak pelajaran dan manfaat yang boleh dipelajari. Nabi yang mulia ini diuji Allah dengan ujian yang sangat berat, tetapi baginda tetap bersabar. Dan demikian itulah keadaan orang-orang soleh. Akhirnya, mihnah (ujian) itu berubah menjadi minhah rabbaniyah (anugerah Tuhan). Berikut disampaikan kisahnya:

Ibu Yusuf `alaihissalam bernama Rahil. Baginda Nabi Yusuf memiliki sebelas orang adik beradik. Ayahnya sangat mencintai Yusuf `alaihissalam. Hal itulah yang kemudiannya mengakibatkan kedengkian adik-beradiknya yang lain. Ini kerana adik-beradik yang lain menganggap mereka adalah satu kelompok, satu jamaah. Namun, ayah mereka begitu mencintai Yusuf dan saudaranya Bunyamin. Apa yang terjadi selanjutnya? 

Adik-beradik Nabi Yusuf meminta kepada ayahanda mereka agar Yusuf dibenarkan untuk pergi bersama mereka. Mereka berpura-pura memperlihatkan keinginan agar Yusuf menggembala bersama mereka, padahal mereka menyembunyikan sesuatu daripada ayahanda mereka, yang mana hanya Allah Yang Maha mengetahui perancangan mereka. 

Maka mereka pun mengajak Yusuf, lalu mereka melemparkannya ke dalam perigi tua. Kemudian datanglah rombongan musafir. Mereka menurunkan timba ke dalam perigi dan Yusuf pun bergayut padanya. Yusuf lalu dijual kepada seorang raja di Mesir. Ia dibeli hanya dengan beberapa dirham.

Lalu apa yang terjadi selanjutnya? Allah berfirman, 

"Dan perempuan yang Yusuf tinggal di rumahnya, bersungguh-sungguh memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya; dan perempuan itupun menutup pintu-pintu serta berkata: "Marilah ke mari, aku bersedia untukmu". Yusuf menjawab: "Aku berlindung kepada Allah (dari perbuatan yang keji itu); sesungguhnya Tuhanku telah memuliharaku dengan sebaik-baiknya; sesungguhnya orang-orang yang zalim tidak akan berjaya".

Dan sebenarnya perempuan itu telah berkeinginan sangat kepadanya, dan Yusuf pula (mungkin timbul) keinginannya kepada perempuan itu kalaulah ia tidak menyedari kenyataan Tuhannya (tentang kejinya perbuatan zina itu). Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusuf perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan-perbuatan yang keji, kerana sesungguhnya ia dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa."

(Yusuf: 23-24).

Allah menyebutkan godaan isteri raja tersebut kepada Yusuf `alaihissalam, serta permintaannya kepada Yusuf, sesuatu yang tidak diterima akal dengan posisi dan kedudukannya. Yakni wanita itu berada di puncak kecantikan, kejelitaan, kedudukan dan masih terlalu muda. Dia lalu menutup semua pintu untuk hanya berdua-duaan dengan Yusuf. Dia telah bersiap untuk menyerahkan dirinya dengan mengenakan pakaian kebesaran yang sangat indah. Padahal dia adalah seorang isteri raja. Sedangkan Yusuf `alaihissalam pada ketika itu adalah seorang pemuda tampan dan elok, sedang berada di masa kematangan, masih bujang dan tidak ada yang boleh menandinginya. Selain itu. Yusuf pula jauh dari keluarga dan kampung halamannya. Tentu sekali perbuatan ini akan memalukan keluarga dan sahabatnya jika diketahui perbuatan kejinya ini. Tetapi, jika dia berada di negeri asing, maka pastinya tidak ada masalah. 

Apalagi dia berada dalam posisi diminta, maka pada kebiasaanya tidak menjadi halangan bagi lelaki, kerana pada selalunya lelakilah yang biasanya menawarkan diri. Dan wanita itu berada dalam kekuasaan dan rumah peribadinya, sehingga dia tahu bila waktu yang tepat, dan di tempat mana sehingga tak ada yang boleh melihat.

Namun, walaupun wujud kesempatan yang ada, Yusuf `alaihissalam telah menjaga dirinya dari melakukan perkara yang diharamkan. Allah menjaganya dari berbuat keji kerana dia adalah keturunan para nabi. Allah menjaganya dari tipu daya wanita. Dan Allah pun menggantinya dengan kekuasaan di muka bumi, di mana saja yang dia kehendaki. Allah memberinya kerajaan. Lalu, kepadanya datang wanita yang sebelumnya dengan merendahkan diri, meminta dan mengharap agar dinikahinya secara halal, maka Yusuf pun menikahinya. Ketika malam pertama, Yusuf berkata kepadanya, ‘Sesungguhnya ini lebih baik daripada apa yang dulu engkau inginkan.’

Wahai umat Islam, renungkanlah! Betapa setelah dia meninggalkan yang haram, Allah Azza Wajalla menggantikannya dengan sesuatu yang lebih baik daripadanya. Kerana itu, Yusuf `alaihissalam adalah penghulu dari tujuh (golongan) para penghulu yang bertaqwa dan amat mulia. Sebagaimana disebutkan dalam Sahihain dari penutup para nabi, sallallahu `alaihi wasallam, dari Tuhan segenap langit dan bumi,


سَبْعَةُ يُظِلُّهُمُ اللهُ فِيْ ظِلِّهِ يَوْمَ لاَ ظِلَّ إِلاَ ظِلُّهُ: إِمَامٌ عَادِلٌ، وَرَجُلٌ ذَكَرَ الله خَالِيًا فَفَاضَتْ عَيْنَاهُ، وَرَجُلٌ قَلْبُهُ مُعَلَّقٌ بِاْلمَسْجِدِ إِذَا خَرَجَ مِنْهُ حَتَّى يَعُوْدَ إِلَيْهِ، وَرَجُلاَنِ تَحَابَّ فِي اللهِ اجْتَمَعَا عَلَيْهِ وَتَفَرَّقَا عَلَيْهِ، وَرَجُلٌ تَصَدَّقَا بِصَدَقَةٍ فَأَخْفَاهَا حَتَّى لاَ تَعْلَمَ شِمَالُهُ مَا تُنْفِقُ يَمِيْنُهُ، وَشَابٌّ نَشَأَ فِي عِبَادَةِ اللهِ، وَرَجُلٌ دَعَتْهُ امْرَأَةٌ ذَاتُ مَنْصِبٍ وَجَمَالٍ فَقَالَ: إِنِّيْ أَخَافُ الله (رواه البخاري ومسلم)

“Ada tujuh (golongan) yang mendapatkan naungan Allah, saat tidak ada naungan kecuali naungan-Nya; penguasa yang adil, lelaki yang mengingati Allah secara menyendiri kemudian air matanya mengalir, lelaki yang hatinya tertambat dengan masjid saat dia keluar daripadanya sampai dia kembali lagi, dua orang yang saling mencintai kerana Allah, mereka berkumpul dan berpisah kerana-Nya, lelaki yang menyembunyikan sedekahnya, sehingga tangan kirinya tidak mengetahui apa yang dikeluarkan oleh tangan kanannya, pemuda yang kuat (dengan senantiasa) beribadah kepada Allah serta lelaki yang diajak oleh wanita yang berpangkat dan jelita (tetapi) dia berkata, ‘Sesungguhnya aku takut kepada Allah’.”

KETERANGAN

(1) Inilah ringkasan kisah Nabi yang mulia tersebut. Barangsiapa yang ingin mengetahuinya secara lengkap hendaknya dia membaca dan merenungkan surah Yusuf dengan merujuk kepada tafsir bil ma’tsur, terutama Tafsir Ibnu Katsir dan Tarikh-nya. Wallahu a’lam.

Sumber: Kisah-Kisah Nyata Tentang Nabi, Rasul, Sahabat, Tabi`in, Orang-orang Dulu dan Sekarang.

Post a Comment

4 Comments

  1. "Mengelakkan melakukan zina" rasanya lebih tepat. "Tinggalkan" seolah2 macam sebelum tu pernah buat.

    ReplyDelete
  2. terima kasih atas renungan dan nasihat

    ReplyDelete

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.