ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Monday, 22 June 2015

ISU ROHINGYA : ASEAN PERLU KECAM MYANMAR - PROF MADYA DR. RAVICHANDRAN

Oleh : Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI – Negara-negara ASEAN perlu mengecam tindakan Myanmar yang tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai kumpulan etnik di Myanmar dan mengabaikan tanggungjawab sosial Negara terhadap etnik itu.

Pensyarah Program Pengajian Strategik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr D. Ravichandran K. Dhakshinamoorthy berkata ASEAN perlu memberi kecaman kepada Myanmar  kerana ia kini krisis kemanusiaan dan ASEAN tidak boleh berdiam diri.

“Pada pandangan saya, kita (ASEAN) harus bagi tekanan kepada kerajaan Myanmar supaya mereka melakukan sesuatu. Mereka harus mengaku bahawa masalah ini adalah satu masalah negara mereka dan masalah ini adalah satu masalah kemanusiaan dan mereka mempunyai tanggungjawab sebagai sebuah negara moden untuk mereka bersama-sama dengan negara lain untuk menangani isu ini.

“Apabila berlaku krisis-krisis ini, ASEAN mesti bersatu. ASEAN harus menunjukkan perpaduan dalam krisis ini dan saya mengharapkan Malaysia sebagai Pengerusi dalam ASEAN pada tahun ini, terutamanya pihak Wisma Putra perlu membuat sesuatu supaya satu penyelesaian yang lebih kekal boleh dicari. Itu harapan saya pada pihak Asean dan Malaysia,” katanya semasa Program Bicara Persada bertajuk Rohingya: Hak Asasi dan Kemanusiaan yang Dinafikan di sini pada 3 Jun lepas.

Dr Ravichandran berkata masalah itu adalah masalah kemanusiaan yang transnasional iaitu rentas sempadan. Ia juga melibatkan masalah pemerdagangan manusia di mana Malaysia sendiri dan negara-negara lain juga turut terlibat.

“Jadi saya rasa ini adalah masalah serantau di mana kita harus mengambil satu pendekatan yang lebih proaktif untuk menangani isu migrasi. Itu adalah tanggungjawab Malaysia dan negara-negara lain sebagai negara anggota ASEAN dan tanggungjawab sebagai negara moden untuk melihat dan memastikan norma-norma kemanusiaan ini dijaga,” katanya.

Menurut beliau walaupun Rohingya adalah tanpa negara (stateless) iaitu mereka tidak ada kerakyatan tetapi mereka adalah sebahagian komuniti ASEAN kerana mereka secara fizikal telah duduk di Asia Tenggara lebih 1000 tahun lalu.

Sementara itu Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid yang turut menjadi ahli panel pada forum tersebut berkata ASEAN perlu mengambil tindakan yang lebih tegas memandangkan masalah yang timbul di Myanmar telah merentas sempadan negara lain.

“Myanmar tidak boleh kata itu masalah negara mereka sedangkan masalah itu telah berlarutan ke beberapa negara rantau ini termasuk Malaysia.

“Kita juga tidak boleh menafikan bahawa etnik Rohingya juga adalah anggota ASEAN dan masalah mereka adalah masalah kita bersama,” kata Azmi.
Beliau berkata ada satu konsep yang Badan Bukan Kerajaan (NGO) harus gunakan iaitu pengawasan awam  daripada masyarakat sendiri dan tidak bergantung kepada pihak keselamatan.

“NGO perlu memainkan peranan seperti memberi kesedaran kepada masyarakat tentang seriusnya pemerdagangan manusia ini. Mereka perlu mengadakan kerjasama dengan pihak keselamatan dan rakyat di kampung-kampung yang terlibat kerana kita ada akta tetapi ramai yang tak tahu tentang akta ini,” katanya.

Beliau berkata pemimpin dan pihak keselamatan serta NGO perlu mengadakan dialog tentang bagaimana hendak memastikan sindiket itu (pemerdagangan manusia) boleh ditumpaskan daripada tunasnya.

“Jangan biarkan sampai dah jadi begini rupa baru kita nak kelam kabut nak buat tindakan. Itu peranan NGO yang harus dimainkan,” katanya.

Seorang lagi ahli panel, Prof Dr Mansor Mohd Noor yang merupakan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) UKM berkata factor agama adalah sebahagian daripada diskriminasi yang berlaku terhadap etnik Rohingya, seperti yang berlaku di selatan Thailand dan Sri Lanka.

Katanya sami-sami Buddha Myanmar dan Sri Lanka pernah mengadakan persidangan di Sri Lanka atas asas untuk menentang kumpulan yang digelar  Daulah Islamiyah (ISIS).
“Persoalannya bagaimana sami­-sami Buddha ini mendukung tugas untuk menentang ISIS? Itu yang perlu difikirkan,” katanya.

Pensyarah Institut Pengajian ASEAN dan Hal Ehwal Global Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohiyuddin Mohd Sulaiman berkata kerajaan Myanmar bimbang dengan kemajuan Wilayah Arakan yang didiami oleh etnik Rohingya suatu masa dulu yang menjadi pintu masuk kepada pelayar-pelayar atau pedagang-pedagang dari Arab, Parsi Bangladesh, India dan Negara-negara lain yang menyebabkan Islam berkembang di wilayah itu.
“Atas faktor itu mereka menganggap Islam sebagai ancaman kepada agama Buddha,” tambah beliau.

Sumber : UKM News
Read more ...

Sunday, 14 June 2015

ORANG MELAYU KUMPULAN MANUSIA TERAWAL BERTANI NI TANAH SUNDA - PROF DR. NIK HASSAN

Prof Emiritus Dato’ Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman (Kanan)
Oleh Nasrullah Uul
Foto : Izwan Azman

BANGI  – Penyelidikan oleh pakar arkeologi pra-sejarah dunia menunjukkan orang Melayu adalah manusia yang terawal menanam padi dan menjinakkan binatang untuk dipelihara di benua Sunda, semenanjung besar yang tenggelam yang kini membentuk Laut Jawa, Melaka dan Selat Sunda, serta kepulauan di antara kawasan tersebut.

Yang Di Pertua Ikatan Arkeologi Malaysia (IAAM) Prof Emiritus Dato’ Dr Nik Hassan Shuhaimi Nik Abdul Rahman berkata ini berlaku 10,000 hingga 14,000 tahun yang lalu.

Ketika merasmikan Seminar Asal-Usul Melayu Dan Kelangsungan Kerajaan Melayu Di Asia Tenggara yang dianjurkan Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA). Prof Nik Hassan Shuhaimi berkata  kaum yang dikenali  sebagai Melayu Polenesia inilah membentukkan kerajaan-kerajaan  awal yang meminjam budaya dari India.

Menurut beliau, antara kerajaan yang wujud pada masa lampau adalah Funan, Champa, Langkasuka, Sriwijaya, Majapahit dan Melaka.

Prof Nik Hassan Shuhaimi, yang merupakan pakar arkeologi, menegaskan sejarah mesti dilihat daripada sudut pandang budaya supaya tidak menimbulkan bias, kerana sering terjadinya kesilapan dalam memahami sejarah bila dipandang dari sisi politik.

Beliau menerangkan sumbangan tamadun Melayu bukan sahaja kepada alam Melayu tetapi  juga kepada peradaban dunia.

Katanya tamadun membawa makna yang luas kerana ia merangkumi peradaban manusia  dalam pelbagai aspek termasuk budaya sosial,  bahasa, ekonomi, sains dan teknologi ketenteraan serta hubungan antara bangsa.

Hasil penyelidikan beberapa pakar sejarah mendapati pembentukan bangsa  Melayu berasal dari benua Sunda.

Beliau berkata pengecilan daratan yang membentuk kepulauan akibat kenaikan arus air laut membolehkan orang mencipta perahu dan layar serta menerokai seluruh pelosok benua Melayu ini.

Seminar anjuran ATMA dan kumpulan penyelidikan kebudayaan kesenian dan warisan menarik perhatian pakar-pakar sejarah dan budaya diantaranya Prof Emiritus Dato Dr Wan Hashim Wan Teh, Prof Datuk Dr Abdullah Zakaria Ghazali, Prof Madya Dr Zuliskandar Ramli serta Prof Madya Dr Zafarina Zainuddin.

Sementara itu, Penyelidik sejarah dan penulis IAAM, Zaharah Sulaiman berkata pembentukan bangsa Melayu bermula daripada nenek moyang Orang Asli Asal yang berlabuh di benua Sunda lebih 60,000 tahun lalu.

Menurut Zaharah kajian tersebut terbukti berdasarkan ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang telah dijalankan terhadap Orang Asli dengan tulang-tulang manusia prasejarah.

Katanya, bangsa Melayu semakin berkembang apabila berlakunya aktiviti merantau dan penghijrahan yang seterusnya membentuk beberapa suku kaum etnik komposisi Melayu Proto serta Orang Asli Asia Tenggara.

Sumber : UKM News
Read more ...

Tuesday, 2 June 2015

LEE KUAN YEW BERDENDAM DENGAN MALAYSIA - DIPLOMAT VETERAN

Oleh : Saiful Bahri Kamaruddin
Foto : Shahiddan Saidi

BANGI - Malaysia dan Singapura kini berpeluang  menyelesaikan isu-isu tertunggak dan perbalahan mereka yang   berdekad-dekad lama.

Mantan Ketua Setiausaha Wisma Putra Tan Sri Kadir Mohamad berkata, walaupun mantan Perdana Menteri Singapura mendiang  Lee Kuan Yew telah lama bersara, beliau sangat mempengaruhi dasar Singapura terhadap Malaysia.

Persetujuan bekalan air kepada Singapura, kes Pedra Bianca atau Batu Putih dan apa yang dikenali sebagai urusan jambatan bengkok adalah isu-isu yang merugikan Malaysia, kata Tan Sri Kadir dalam syarahan bertajuk Perhubungan Malaysia-Singapura: Isu-isu yang belum diselesaikan dan Prospek Masa Depan anjuran Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Tambahan pula, beliau menjelaskan, terdapat syak wasangka terhadap satu sama lain mengenai niat sebenar mereka sehingga ke hari ini.

Sambil mengakui bahawa bukan salah Singapura semata-matanya, beliau berkata republik itu boleh menjadi lebih fleksibel dan sensitif kepada kepentingan negara jiran apabila berunding pertikaian mereka.

Kadir berkata semua pandangan beliau dituliskan dalam buku karangan beliau 'Malaysia-Singapura Lima Puluh Tahun Perbalahan 1965 – 2015’.

Buku 364 muka surat itu mempunyai sembilan bab mengenai  maklumat latar peristiwa-peristiwa penting atau isu-isu seperti bekalan air, pertikaian mengenai kedaulatan Batu Puteh, dan  cadangan Tun Dr Mahathir Mohamad mengenai jambatan bagi menggantikan Tambak Johor.

Walau bagaimanapun, menurut beliau mendiang Lee Kuan Yew  telah menentukan hala tujuan dan agenda hubungan dengan Malaysia sejak 50 tahun lepas.

"Saya mahu menjelaskan isu-isu utama yang menyebabkan turun naik hubungan antara Malaysia dan Singapura, 1965-2015, yang berpunca daripada pengaruh Lee terhadap kerajaan Singapura.

"Saya perlu mengenal pasti orang yang bertanggungjawab. Tidak ada cara yang lebih baik daripada menumpu kepada peranan Lee.

"Saya juga ingin memberitahu di sini bahawa Lee menaruh dendam terhadap  pemimpin Malaysia, dengan itu kesimpulan saya dan harapan saya adalah hubungan Malaysia-Singapura boleh menjadi lebih baik dalam 50 tahun akan datang kerana Lee tiada lagi, " katanya.

Tan Sri Kadir berkata apabila Singapura diberikan kemerdekaan pada 9 Ogos 1965 oleh Perdana Menteri Malaysia ketika itu Tunku Abdul Rahman, Lee yang merupakan Ketua Menteri - menangis.

"Beliau berperasaan demikian pada sidang akhbar yang disiarkan secara langsung di televisyen. Semua orang menyangka beliau sedih bahawa Singapura telah diusir, tetapi sebenarnya beliau kesal kerana hasratnya untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia telah gagal. Beliau kesal kerana melakukannya dengan cara yang salah. Beliau mahu ‘Malaysian Malaysia’. Beliau mahu memerintah Melayu.

"Caranya adalah terlalu pantas . Beliau menyesal tidak dapat mencapai objektifnya. Mungkin beliau sepatutnya menunggu lebih lama, mungkin satu dekad kemudian, " jelas Kadir.

Tetapi sejak itu, Lee, yang meninggal dunia pada Mac tahun ini, berpendirian keras terhadap kerajaan Malaysia.

Isu Air

Antara lain, Tan Sri Kadir menceritakan suasana tegang ketika siri rundingan mengenai bekalan air di antara kedua-dua negara yang berlarutan selama beberapa tahun sehingga ia berakhir pada tahun 2004 tanpa apa-apa perjanjian.

Di bawah tiga perjanjian berasingan yang ditandatangani pada tahun 1961, 1962 dan 1990 Singapura menerima air tawar dari Johor setiap hari. Perjanjian tahun 1961 tamat pada 2011 tetapi dua perjanjian terus berkuat kuasa sehingga tahun 2061.

Dalam pada itu, Singapura telah membangunkan bekalan air domestik dan menyatakan bahawa negara itu dan rakyatnya akan menjadi berdikari mengenai bekalan air menjelang tahun 2061 apabila semua perjanjian air yang ditandatangani dengan Malaysia  habis tempoh.

"Hasil daripada isu yang belum diselesaikan, Johor masih menjual air mentah pada kadar 3 sen bagi setiap 1,000 gelen kepada Singapura dan membeli balik air dirawat pada harga 50 sen bagi setiap 1,000 gelen.

"Terdapat persepsi di Kuala Lumpur bahawa Singapura  mengaut keuntungan yang berlebihan apabila menjual air yang dirawat kepada pihak ketiga, iaitu kepada kapal-kapal yang berlabuh di pelabuhan Singapura. Perjanjian 1961 tamat pada tahun 2011, manakala dua perjanjian lain yang berkuatkuasa sehingga 2061. Kita berharap pada masa itu, Johor dan Malaysia boleh mendapatkan perjanjian yang saksama untuk air kita," Kadir menerangkan.

Batu Puteh

Beliau juga memperihalkan pertikaian pemilikan Batu Puteh selama  tiga dekad. Penyelesaian dua hala menjadi mustahil apabila Singapura juga menuntut dua batu tambahan di kawasan yang sama, iaitu Middle Rocks dan South Ledge.

Pada tahun 2008, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) yang berpangkalan di The Hague akhirnya memutuskan untuk memberi Batu Puteh, yang sebesar padang bola sepak berhadapan dengan Laut China Selatan, kepada Singapura. Middle Rocks telah diberikan kepada Malaysia manakala ICJ memutuskan kedua-dua negara berunding untuk membataskan sempadan maritim di kawasan itu bagi menentukan negara yang memiliki South Ledge.

Kadir adalah pemimpin delegasi Malaysia bagi kes ICJ ini dan juga untuk kes tahun 2001 yang Malaysia menang mengenai kedaulatan pulau-pulau Ligitan dan Sipadan di Sabah yang menyelesaikan pertikaian dengan Indonesia.

“Jambatan Bengkok"

Mengenai jambatan yang dicadangkan oleh Dr Mahathir untuk menggantikan tambak besar, Kadir berkata Singapura sepatutnya  bersetuju dengan syor tersebut.

Walau bagaimanapun, Perdana Menteri pada masa itu, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi gagal mencapai apa-apa perjanjian dengan Singapura walaupun Dr Mahathir telah menggesa Putrajaya supaya tidak berganjak daripada pendirian itu.

Kadir, yang berkhidmat dengan Abdullah apabila cadangan pembinaan jambatan itu dibuat, telah memberikan pandangan beliau mengenainya dan menjelaskan pertikaian antara Jabatan Perdana Menteri dan Dr Mahathir ketika itu.

Syak Wasangka Antara Mereka

Memandangkan terdapat isu-isu yang belum diselesaikan, Kadir berkata adalah tidak menghairankan bahawa keadaan saling tidak percaya wujud antara kedua-dua negara.
Beliau menyifatkan dakwaan bahawa Malaysia mahu mencerobohi dan menakluki Singapura, sebagai merepek dan tidak berasas sama sekali.

"Malaysia tidak akan memberikan Singapura kemerdekaan jika itu hasratnya," kata beliau.
Sebaliknya, beliau menolak kebimbangan orang Melayu bahawa republik itu mahu melakukan perkara yang sama terhadap Malaysia dan menjadikannya Singapura yang diperbesarkan.




Sumber : UKM News
Read more ...
© 2008-2017 PM Institute