[VIDEO] ULAMA MELAYU DI MASJIDIL HARAM, MAKKAH


Oleh : ZAINAL MOHD. JAIS
Video : Abdul Ghani Harun

SYEIKH Mohammad Abdul Qadir Al-Mandili yang merupakan ulama Melayu terkemuka di Masjidil Haram, Mekah meninggal dunia pada 31 Julai 2012 pada usia 73 tahun.

Pemergian beliau merupakan kehilangan besar kepada umat Islam terutamanya masyarakat dan dunia Melayu. Beliau merupakan antara tokoh agama di dunia Melayu yang berjaya mendapat tempat di Mekah, khususnya Masjidil Haram.

Sebenarnya, sejak sekian lama, ramai golongan pandai agama dunia Melayu yang merantau sehingga Tanah Suci untuk belajar dan mendalami ilmu agama, dan tidak terkecuali Syeikh Mohammad.

Beliau merupakan anak kepada Syeikh Abdul Qadir yang juga merupakan ulama dan guru di Masjid Haram lahir di Alor Setar pada 1939 turut terkenal di Indonesia, Patani dan Manila. Ayahnya berasal daripada Mandiling, Indonesia dan berhijrah ke Malaysia ketika berusia 14 tahun. Beliau belajar agama di pondok Gajah Mati, Kedah dan ketika itu hidupnya sering dihimpit kesulitan.

Sebelum penjajahan Jepun, Syeikh Abdul Qadir berhijrah ke Mekah dan meneruskan pengajian di Masjidil Haram. Ketika itu belum wujud universiti dan Masjidil Haram dianggap universiti.

Penghijrahan ayahnya ini membuka laluan kepada Syeikh Mohammad dan adik-beradiknya yang lain turut berpindah sama dan peluang ini digunakan untuk belajar dan mendalami ilmu agama di Mekah.

Selepas mendapat bimbingan alim ulama di Masjidil Haram, ayah beliau kemudian ditawarkan menjadi guru agama di situ hinggalah beliau meninggal dunia ketika berumur 56 tahun.

Bagi Syeikh Mohamad pula, pendidikan awalnya bermula di Madrasah Darul Ulum, Mekah yang diasaskan oleh rakyat Malaysia dan Indonesia. Selepas itu beliau mendalami lagi ilmu melalui bimbingan ayahnya sebelum melanjutkan pengajian di Universiti Madinah.

Sebelum mengikut pengajian di Universiti Madinah, beliau belajar dengan ayahnya di Masjidil Haram selama tujuh tahun dan merupakan kumpulan pelajar pertama diterima masuk Universiti Islam Madinah.

Beliau pernah dilantik sebagai Jemaah Ahli Syura Urusan Agama Masjidil Haram di Mekah dan bekas guru di Maahad Al-Haram di Mekah serta dihantar ke Asia Tenggara oleh Darul Ifta, Arab Saudi untuk memerhati hal-ehwal agama.

Syeikh Mohammad terkenal di kalangan Jemaah dari Malaysia, Indonesia dan Asia Tenggara lain kerana peranan beliau mengajar selepas Maghrib di Masjidil Haram. Beliau antara 15 guru agama yang dipilih memberikan kelas agama dan merupakan anak Melayu tunggal.

Antara keistimewaan yang diperolehi beliau semasa mengajar adalah pihak pentadbir masjid turut menyediakan kerusi khas untuknya di sudut masjid itu.

Setiap kali selepas solat Maghrib, satu sudut di Masjidil Haram bergema bagaikan suasana masjid kampung apabila Syeikh Mohammad muncul untuk memberi ceramah di sudut yang terletak berhampiran Kaabah dan selari dengan Hajaratul Aswad.

Semasa menyampaikan kelas atau ceramah, Syeikh Mohamad akan mengenakan jubah dan berkopiah yang ditutup kain serban serba putih dan dengan raut wajahnya yang bersih dan tenang, beliau menyampaikan ceramahnya dengan cara bersahaja dan sekali sekala menggunakan loghat utara.

Walaupun menetap di Mekah sejak remaja, beliau masih mampu bertutur bahasa Melayu dengan fasih sehingga menimbulkan kehairanan di kalangan jemaah.

Beliau sering pulang ke Malaysia untuk melawat ahli keluarga dan sahabat-handai.

"Kawan kawan hairan bagaimana setelah lebih setengah abad saya tinggal di Mekah, saya masih fasih berbahasa melayu," beliau dilaporkan pernah berkata.

Beliau menetap di kawasan Awali, tidak jauh dari kota Mekah. Hasil perkongsian hidup dengan dua isterinya, Syeikh Mohammad dikurniakan 18 anak.

Cara hidup Melayu masih sebati dengan jiwanya walaupun sudah lama di perantauan. Ketika di rumah, beliau lebih selesa memakai kain dan baju Melayu serta bercakap Melayu dengan anggota keluarga.

Bagi Syeikh Mohamad, kemewahan tidak datang bergolek dan ketika mula menjadi guru agama dulu, beliau terpaksa mengambil upah menjahit kerana gaji terlalu kecil.

Pengalaman lampau membuatkan beliau bersikap pemurah dan menurut para temannya, boleh dikatakan hampir setiap kali selepas ceramah, beliau akan menjemput orang ramai kerumahnya dan menjamu mereka dengan nasi bukhari.

Kedudukan dan peranan Syeikh Mohammad sebagai ulama dan guru di Masjidil Haram merupakan suatu yang dibanggakan apatah beliau merupakan anak Melayu, sekali gus membuktikan dunia Melayu mampu mengeluarkan tokoh penting agama.







Artikel asal di Utusan Malaysia

Post a Comment

0 Comments