ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Wednesday, 13 January 2016

BAHAYA MEMBERSIHKAN LUBANG TELINGA DENGAN PUTIK KAPAS / COTTON BUD / COTTON SWABS


Oleh : Saiful Bahri Kamaruddin

CHERAS, KUALA LUMPUR – Elakkan daripada membersihkan telinga  dengan putik kapas, kerana ini boleh menyebabkan kehilangan pendengaran, malahan kerosakan, kata Perunding Kanan Telinga, Hidung dan Tekak (ENT) Prof Dr Asma Abdullah daripada Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Dr Asma berkata terdapat orang yang suka masukkan pitik kapas, atau Q-tip ke dalam telinga mereka untuk mengeluarkan tahi telinga yang berlebihan dan serpihan.

“Sesiapa sahaja dalam bidang perubatan akan memberitahu anda, mereka telah melihat banyak bencana yang disebabkan oleh menggunakan putik kapas. Dari gegendang telinga tercucuk hingga ke terlalu banyak tahi telinga, terdapat banyak kesan buruk dikaitkan dengan kaedah pembersihan telinga ‘buat sendiri’,” katanya kepada Portal Berita UKM dalam satu temu bual di sini hari ini.

Menurut beliau terdapat beberapa alat yang digunakan untuk membersihkan telinga mereka. Antara yang paling biasa ialah putik kapas, Kelip Rambut, Penyepit Kecil, Pen dan Pensel,  straw dan Klip Kertas.

“ Tidak satu benda pun harus dicucuk di dalam telinga untuk menghilangkan kotoran dan serpihan. Ini adalah berbahaya dan boleh menyebabkan cacat pendengaran atau saluran telinga dalam yang rosak .

“Saluran telinga mempunyai sel-sel terkhusus yang menghasilkan Cerumen, atau tahi telinga. Ada orang yang tahi telinga terkumpul lebih cepat daripada orang lain. Ini boleh menyebabkan terlalu banyak tahi telinga dan akibatnya  kurang kebolehan untuk mendengar dan dalam keadaan tertentu, kesakitan. Ramai yang enggan pergi ke doktor dan menggunakan putik untuk mengeluarkan tahi telinga yang berlebihan. Walaupun ini mungkin kelihatan seperti satu alternatif terbaik berbanding menemui doktor, menggunakan putik  kapas boleh mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan.

“Gegendang telinga begitu halus, dan mudah pecah jika putik kapas secara tidak sengaja ditolak terlalu dalam. Kadang-kadang semasa pembersihan saluran telinga, ada orang yang tergesel dengan telinga. Ini boleh menyebabkan  trauma dan mungkin juga pendarahan telinga,” jelas beliau.

Perunding kanan tersebut berkata sesiapa yang telah mengalami trauma saluran telinga tahu ia bukan satu pengalaman yang menyenangkan. Sakit yang agak teruk dan telinga juga boleh berdarah dan membawa kepada kehilangan pendengaran. Walaupun gegendang telinga pecah akan sembuh, ia biasanya mengambil masa dan juga boleh mengakibatkan pusat gegendang telinga berlubang dan kemudian, mungkin menimbulkan kehilangan pendengaran konduktif.

Jadi, adakah kita benar-benar perlu untuk membersihkan telinga kita? Telinga luar atau Pinna yang boleh dilihat,  memerlukan pembersihan yang baik dari masa ke semasa dengan sedikit sabun dan air ketika mandi.

“Dalam kebanyakan kes, saluran telinga tidak perlu dibersihkan. Kulit di dalam saluran telinga anda secara lazim tumbuh dari dalam ke luar dalam corak lingkaran. Kerana ia keluar, ia membawa tahi telinga sekali. Biasanya tahi telinga akan menjadi longgar dan diserap oleh tubuh. Tidak perlu untuk cuci dengan putik kapas.

“Walau bagaimanapun, bagi mereka yang mempunyai tahi telinga yang banyak, pergi jumpa doktor. Doktor boleh mengeluarkan tahi telinga dengan mesin sedutan. Proses ini  tidak menyakitkan dan amat berkesan mengeluarkan tahi telinga yang terkumpul,” beliau menasihatkan.

Walau bagaimanapun ‘pengaliran air’ atau mengguna picagari tidak digalakkan kerana ia boleh menyebabkan peningkatan tekanan secara mendadak dalam saluran telinga. Kadang-kadang jika tidak dilakukan dengan betul, prosedur ini boleh menyebabkan keradangan saluran telinga (otitis externa) dan gegendang telinga berlubang.

Beliau berkata, tahi telinga terdiri daripada lapisan kulit, asid lemak, kolesterol dan alkohol yang semuanya direka bentuk untuk melindungi telinga dari air dan jangkitan. Ia juga membantu mengelakkan pertumbuhan bakteria dan kulat dalam telinga dalam.

“Tetapi, jika anda mengalami ketidakselesaan kerana tahi telinga atau  penumpukan keras dalam telinga dalaman anda, pergi kumpa otolaryngologist, atau pakar telinga yang mampu mengeluarkan dampak tahi telinga dengan menggunakan kaedah yang agak cepat dan tidak menyakitkan. Doktor anda boleh merujuk anda kepada Jabatan ENT di hospital yang berdekatan untuk rawatan yang lebih khusus seperti Microsuction atau Aural Toilet. Microsuction adalah prosedur yang cepat dan tidak menyakitkan mana peranti kecil digunakan untuk menyedut tahi telinga keluar dari telinga anda,” beliau mencadangkan.

Tambahnya, ubat titis telinga digunakan beberapa kali sehari selama beberapa hari untuk melembutkan tahi telinga – juga boleh digunakan di rumah.

Beliau menambah bahawa kerana kurangnya pengetahuan tentang penjagaan telinga, ramai pesakit perlu berbelanja untuk merawat telinga. Apabila anda menggunakan putik kapas, kulit boleh rosak. Tambahan pula tahi telinga akan ditolak lebih dalam ke bahagian tengah saluran telinga. Dalam erti kata lain, elakkan daripada mengganggu proses lazim fisiologi telinga.

Sumber : http://www.ukm.my

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2016 Pena Minang Institute