MINYAK DAN DOLAR



Oleh : Zulkifli Salleh

Tiga bulan pertama tahun ini diwarnai oleh beberapa persoalan yang mendasari krisis ekonomi, iaitu adakah Greece akan meninggalkan zon euro berikutan kemenangan parti sayap kiri radikal, Syriza?; genangan sekular, iaitu pertumbuhan perlahan yang melanda ekonomi maju mungkin berkekalan; dan peredaan kuantitif bernilai US$ 1.2 trilion yang diperkenalkan oleh Bank Pusat Eropah (ECB) pada awal Mac untuk meransang pertumbuhan dan mencegah deflasi.

Selain itu, yang terus-menerus mendapat perhatian ialah kejatuhan harga minyak dan kenaikan nilai dolar Amerika Syarikat. Adakah kedua-duanta berkaitan? Harga minyak dijangkakan tidak akan pulih dalam masa yang singkat atau kembali semula pada harga US$100 setong. Hal imi dikatakan demikian kerana harga yang meningkat akan mendorong lebih banyak pengeluaran syal dan output lain daripada pengeluar kos tinggi ke dalam pasaran. Harga minyak Brent berdasarkan tanda aras global merosot hampir 50% pada tahun lalu kerana Arab Saudi dan negara lain dalam Organisasi Pengeksport Negara-Negara Pengeluar Petroleum (OPEC) nekad untuk mengekalkan output ditengah-tengah lebihan global. Bahkan dengan mengambil kira harga minyak lebih US$100 setong pada musim panas lalu dan kini kirang daripada US$50 setong, maka kemungkinan harganya menjunam kepada US$20 setong atau lebih rendah.

Pada hari Rabu, 18 Mac 2015 yang lalu, harga minyak meningkat sebanyak enam peratus kerana nilai dolar jatuh selepas Rizab Persekutuan Amerika Syarikat mengumumkan bahawa agensi itu membayangkan untuk mengutamakan laluan secara lebih beransur-ansur bagi menormalkan kadar faedah Amerika Syarikat. Harga Brent kelihatan berombak pada mulanya, manakala harga minyak mentah Amerika Syarikat jatuh selepas data menunjukkan inventori minyak yang tinggi di negara itu dalam masa sekurang-kurangnya 80 tahun. Sementara itu, dolar jatuh berikutan penyataan dasar terbaru Rizab Persekutuan mengubah hala tuju pasaran. Kerajaan Amerika Syarikat memaklumkan bahawa inventori minyak mentah meningkat 9.6 juta tong kepada 458.51 juta tong dalam minggu pertama hingga 13 Mac.

Pada hari Rabu itu, Brent ditutup meningkat US$2.40 atau 4.5%, iaitu pada harga US$55.91 setong, manakala minyak mentah Amerika Syarikat ditutup meningkat US$1.20 atau hampir 3%, iaitu pada harga US$44.66 setong. Brent terkial-kial untuk berada di atas tahap pertengahan US$50 setong, manakala minyak mentah Amerika Syarikat cuba mencari tapak di sekitar pertengahan US$45 setong sejak akhir Januari.

E.L melalui The Economist dalam talian pada pertengahan Mac, cuba memberikan kefahaman kepada orang ramai tentang kejatuhan harga minyak. Pertama dan terutama sekali adalah kerana bekalan dari Amerika meningkat sebanyak 4 juta tong sehari sejak 2009. Meskipun kebanyakan eksport minyak masih dilarang, import Amerika jatuh menjunam, menyumbang kepada jebak dalam pasaran dunia. Pengeluar lain pula memutuskan tidak cuba menyekat pengeluaran mereka dan memastikan harga meningkat.

Sementara itu, OPEC yang dikuasai oleh pengeluar Teluk, terutamanya Arab Saudi mempunyai rizab yang sangat besar untuk menampung impak harga rendah. OPEC juga berharap bahawa kejatuhan ini akan akhirnya menutup pengeluaran kos tinggi, lalu mengetatkan pasaran semula. Di samping pengeluaran syal Amerika, pengeluar lain, seperti Nigeria dan Venezuela, memang terjejas teruk. Namun begitu OPEC setakat ini bersatu teguh, bahkan Russia cuba dan gagal mendapat sokongan OPEC untuk mengawal pengeluaran.

E.L juga menyatakan pihak yang menerima manfaat dan pihak yang sengsara akibat harga minyak rendah. "Pemenang semestinya mengatasi yang tewas," - istihar beliau - bayangkan dunia dengan tenaga bebas. "Para pengguna mempunyai lebih banyak tunai di dalam saku mereka; industri menikmati kos tenaga yang lebih rendah, menghasilkan keuntungan yang lebih besar dan membayar lebih banyak cukai. Kini masa yang hebat untuk syarikat yang mempunyai kunci kira-kira yang kukuh membuat pengambilalihan."

Sementara pihak yang sengsara, seperti yang diketahui ialah pemain dalam industri minyak, "Reaksi segera industri minyak," tulis E.L., adalah untuk mengetatkan kos keluar daripada rantaian bekalannya. Oleh itu, upah dan margin jatuh dengan cepat. Syarikat yang menanggung hutang yang banyak akan muflis, dengan kesan hantukan (knock-on) terhadap pelabur. Walau bagaimanapun, kos yang lebih rendah membantu industri menyesuaikan dan meningkatkan kecekapan."

Antara negara pengeluar yang terjejas teruk akibat minyak murah ialah Russia, Venezuela dan Nigeria. Pada akhir Febuari lalu, Venezuela yang dilanda kekurangan barangan asas, ditawarkan kelegaan oleh Perdana Menteri Trinidad & Tobago, Kamla Persad-Bissessar, melalui pertukaran antara minyak dengan kertas tisu. Beliau menawarkan pertukaran itu semasa persidangan berita berikutan pertemuan di Port of Spain dengan Presiden Venezuela, Nicolas Maduro. Beliau berkata urus janji ini memberikan manfaat kepada kedua-dua buah negara. "Konsep perkongsian komoditi ini mudah, iaitu kerajaan Trinidad & Tobago membeli barang yang dikenal pasti oleh Kerajaan Venezuela daripada pengilang T&T seperti kertas tisu, gasolin dan alat mesin."

Akibat dari kejatuhan harga minyak, ekonomi Venezuela, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), akan menguncup 7% pada tahun ini, manakala inflasi yang memacu kepada 69% pada Disember tahun lalu, merupakan yang terpantas di dunia. "Kemelesetan ekonomi, inflasi yang tinggi dan bekalan barang yang semakin berkurangan akan melemahkan sokongan orang ramai terhadap kerajaan, berkemungkinan mengurangkan ruang politiknya untuk memperkenalkan langkah ekonomi pembetulan sukar yang menungkatkan kedudukan kecairan luaran," demikian laporan Standard & Poor's pada 9 Febuari 2015.



Pastinya nasib yang menimpa negara pengeluar adalah tidak sama. Norway dikatakan tidak panik tentang keruntuhan harga minyak. Sektor petroleum di negara itu merupakan industri yang paling penting. Sektor itu menyumbang 21.5% Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Norway atau hampir separuh (48.9%) jumlah eksport. Pada tahun 2013, Norway menduduki tangga ke-15 pengeluar minyak terbesar dan tangga ke 11 pengeksport terbesar di dunia. Negara itu juga merupakan pengeluar minyak terbesar di Eropah Barat. Oleh itu, minyak dianggap sebagai sumber negara yang sangat penting dan merupakan tulang belakang ekonomi Norway. Walau bagaimanapun, Norway bukan anggota OPEC dan secara prinsip, negara itu menetapkan harga berasaskan pasaran semasa.

"Dengan OPEC mempunyai monopoli mutlak terhadap penentuan harga global, Norway dalam hubungan ini masih tertakluk pada keputusan penentuan harga kartel," tulis Paul Buvarp. Dalam makalah yang diterbitkan laman Web Forum Ekonomi Dunia (WEF) pada Febuari, Buvarp menegaskan bahawa Norway rentan terhadap turun naik penentuan harga minyak. Dalam hal ini, stuktur sektor dan peranannya dalam ekonomi Norway, kerentahan menjangkau setiap lapisan masyarakat secara keseluruhan.

Dalam pada itu, seperti yang dirumuskan oleh Buvarp, "ringkasnya, kejatuhan harga minyak adalah bermasalah, tetapi tidak bermakna membawa malapetaka kepada Norway. Negara itu dalam tangan pasaran global, akan melakukan apa-apa sahaja untuk mengekalkan keuntungan dan sektor petroleum yang bertanggungjawab 'berbakti' untuk kepentingan negara."

Tatkala harga minyak dunia menjunam, dolar Amerika Syarikat terus mengukuh berbanding dengan banyak mata wang lain, termasuk ringgit Malaysia. Hampir semua mata wang dunia jatuh berbanding dengan dolar dan kemerosotan ini dipacu oleh kecenderungan kerajaan dan bank pusat untuk menurunkan nilai matawang mereka bagi mendapatkan kelebihan dalam perdagangan global dan merangsang ekonomi yang lemah.

Sejak Disember tahun lalu, diperhatikan bahawa 22 matawang asing utama merosot secara purata 5.4% berbanding dengan dolar. Mata wang murah menjadikan eksport kurang mahal dan oleh itu menarik lebih banyak pembeli asing. Mata wang yang diturunkan nilai juga memacu naik harga import yang tidak menggalakkan pengguna domestik daripada membeli barang asing.

Dalam testimoni Senat pada 24 Febuari, Pengerusi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat, Janet Yellen, menentang usaha kongres untuk menambah sekatan undang-undang dalam perjanjian perdagangan terhadap negara yang memanipulasi mata wang mereka kerana langkah ini akan mengikat Rizab Persekutuan. "Dasar monetari," beritahu Yellen, "boleh mempunyai akibat terhadap kadar pertukaran, tetapi saya benar-benar fikir tidak betul untuk menyebutkan manipulasi mata wang dan untuk meletakkannya dalam bakul yang sama kerana campur tangan dalam pasaran pertukaran yang benar-benar tertukar ke arah mengubah lanskap persaingan kepada kelebihan negara ini."

Namun demikian, Rizab Persekutuan dikatakan menghadapi dilema, iaitu oleh sebab negara lain menurunkan nilai mata wang mereka berbanding dolar, Amerika Syarikat tidak boleh dengan sengaja menurunkan nilai dolar. Wujud persoalan, "sebagai mata wang rizab dunia, adakah Amerika Syarikat menurunkan nilai mata wangnya berbanding dengan mata wang lain?" Dolar yang kukuh menjadikan import Amerika Syarikat lebih murah, yang akan memaksa pengeluar domestik mengurangkan harga untuk kekal berdaya saing dan memberhentikan pekerja untuk memotong kos.

Dalam Bloomberg Bussiness pada pertengahan Mac, Julie menyenaraikan mata wang yang berubah berbanding dengan dolar Amerika Syarikat dalam masa setahun. Teratas senarai ialah ruble Russia (41.0%) diikuti dengan krone Norway (28.4%), real Brazil (28.2%), krona Sweden (27.0%), euro (23.8%), krone Denmark (23.7%), peso Colombia (23.6%) dan koruna Czech (23.2%). Mata wang negara Asia Pasifik turut tergolong dalam senarai tersebut dengan dolar Australia yang paling tinggi (16.7%), yen Jepun (16.4%), dolar New Zealand (15.5%), rupiah Indonesia (14.2%), ringgit Malaysia (11.6%), dolar Singapura (9.1%), won Korea Selatan (5.3%), dolar Taiwan (3.4%), rupee India (2.6%) dan yuan China (0.7%) - yang paling rendah dalam senario 30 mata wang itu.

Tatkala dolar mencecah kadar tinggi baharu dalam masa 12 tahun hampir setiap hari, perhatian juga tertumpu pada euro yang menjunam di bawah kesetaraan (pariti) dolar. Berapa jauh euro jatuh? Anatole Kaletsky yang menulis untuk Project Syndicate pada pertengahan Mac, menjangkakan trend menurun dolar berbanding dengan dolar mungkin tidak bertahan lama kerana ketidakseimbangan perdagangan antara Amerika Syarikat dengan Eropah. Kaletsky memetik ramalan IMF bahawa jurangnya telah pun lebar, iaitu defisit US$484 bilion pada tahun ini untuk Amerika Syarikat berbanding dengan lebihan US$262 bilion untuk zon euro, dan hampir pasti melebar lagi kerana turun nilai euro sebanyak 20% sejak IMF mengeluarkan anggarannya pada musim luruh lalu.

"Implikasinya," hujah Kaletsky, "beratus-ratus bilion dolar modal akan mengalir secara tahunan ke Amerika Syarikat dari Eropah hanya sekadar untuk mengekalkan kadar pertukaran euro-dolar sekarang." Tambah beliau, "oleh sebab ketidakseimbangan perdagangan rentas Atlantik semakin melebar, maka aliran modal yang lebih besar diperlukan untuk menekan euro jatuh."

Kaletsky menjangkakan meskipun dasar faedah Amerika Syarikat menarik sesetengah pelabur, pelabur lain akan meninggalkan dolar jika kombinasi euro lebih berdaya saing, rangsangan monetari lebih besar yang dilaksanakan oleh ECB, dan peredaan tekanan fiskal di Perancis, Itali, dan Sepanyol menjanakan pemulihan ekonomi tulen di Eropah. Hasil aliran modal global ke dalam saham, harta dan pelaburan langsung Eropah, yang semuanya kini jauh lebih murah jika dibandingkan dengan aset Amerika Syarikat yang sepadan, dapat dengan mudah melebihi tunai dan pelaburan bon yang tertarik oleh kadar faedah Amerika Syarikat yang meningkat.

Oleh sebab harga minyak jatuh dan dolar Amerika Syarikat naik nilai, maka timbul tanda tanya tentang ekonomi Malaysia. Bagi yang bersikap pesimis, mereka menjangkakan bahawa Malaysia berkemungkinan terjerumus ke dalam krisis kewangan, seperti yang berlaku pada tahun 1997-1998 dan mereka mula mempersoalkan kecekapan pengurusan ekonomi Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak.

Katakan harga minyak dunia terus jatuh kepada di bawah US$50 setong dan mata wang jatuh kepada RM 4.00 berbanding dengan US$1.00, maka apakah yang akan terjadi terhadap ekonomi Malaysia? Pastinya kejatuhan nilai ringgit Malaysia tidak semestinya segala-galanya buruk terhadap ekonomi. Eksport Malaysia dan pelancongan domestik dijangkakan menikmati manfaat daripada kejatuhan nilai mata wang negara; sebaliknya barang import akan menjadi lebih mahal. Syarikat di negara yang terlibat dalam pertukaran asing, seperti syarikat penerbangan akan menerima kesan negatif akibat kejatuhan nilai ringgit Malaysia. Demikian juga Amerika Syarikat, meskipun nilai dolar naik berbanding dengan banyak mata wang asing, keuntungan perbadanan multinasional negara itu dijangka terjejas.

Post a Comment

0 Comments