ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Monday, 1 February 2016

IMPAK PENURUNAN HARGA MINYAK


Oleh : Mahathir Mazahar

Berikutan penurunan harga petroleum dunia, kerajaan didesak agar menguatkuasakan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan untuk memastikan pengguna mendapat manfaat harga barang yang lebih rendah berdasarkan perkembangan tersebut. Hal ini dicadangkan demikiran kerana ada dalam kalangan peniaga yang tidak beretika menaikkan harga barang apabila harga petroleum meningkat untuk mengaut keuntungan yang berlebihan. Namun begitu, apabila harga petroleum turun, mereka turut membuat keuntungan yang tinggi daripada kos operasi yang rendah.

Sehubungan dengan itu, langkah mengadakan penguatkuasaan akta ini dikatakan penting supaya pengguna mendapat harga yang rendah dan tidak hanya memberikan peluang kepada peniaga untuk memperoleh manfaat daripada penurunan harga petroleum. Dengan hal yang demikian, Suruhanjaya Persaingan juga perlu menyiasat samada terdapat pakatan perniagaan untuk mengekalkan harga sebagaimana sebelum penurunan harga petroleum atau amalan lain yang bersifat antipersaingan yang boleh memanipulasi harga. Hal ini kerana masih banyak peniaga yang mengekalkan harga barangan dan perkhidmatan mereka, sedangkan sewajarnya mereka menurunkan harga barang berikutan harga baharu produk petroleum.



Penurunan harga petroleum seharusnya membawa kesan positif kepada belanjawan pengguna bagi mengurus pendapatan isi rumah memandangkan kuasa beli mereka menjadi lebih besar. Kerajaan perlu menguatkuasakan undang-undang dan mekanisme yang releven untuk memastikan pengguna benar-benar mendapat manfaat daripada penurunan harga petroleum itu. Ekoran harga minyak mentah dunia mencatatkan penurunan yang ketara, dilaporkan harga setong pada bulan Jun 2014, sebanyak US$(RM404), turun kepada paras di bawah US$60 (RM210) setong pada Disember 2014.

Di Malaysia, sebagai usaha untuk mengurangkan subsidi ke arah ekonomi yang lebih mapan, kerajaan memansuhkan subsidi petrol dengan penetapan harganya dibuat berdasarkan sistem apungan terkawal. Selari dengan perkembangan keadaan semasa harga minyak semasa, pada Januari 2015, harga Ron95 diturunkan daripada RM2.26 kepada RM1.91, iaitu penurunan sebanyak 35 sen seliter, harga Ron97 dikurangkan daripada RM2.46 seliter kepada RM2.11 seliter, iaitu kurang 35 sen seliter, manakala harga diesel pula daripada RM2.23 seliter kepada RM1.93 , pengurangan sebanyak 30 sen. Pada 1 Febuari 2015 pula, harga baharu petroleum diumumkan, iaitu Ron95 turun kepada RM1.70 seliter iaitu penurunan 19 sen dan Ron97 turun kepada RM2 seliter, iaitu kurang 11 sen, manakala diesel turun kepada RM1.70 seliter, iaitu kurang 17 sen.




Sementara itu, penurunan harga yang agak besar ini sudah tentu memberikan kesan kepada industri pengangkutan dan industri lain yang mana petroleum adalah antara komponen kos utama. Di samping kesan langsung kepada industri berasaskan petroleum, dari sudut ekonomi yang lebih luas, penyusutan harga petroleum juga memberikan kesan berganda yang lebih besar lagi. Di negara Pertubuhan Kerjasama dan Pembanggunan Ekonomi (OECD), harga tenaga meliputi lebih satu pertiga kos bagi pengeluaran bijirin. Begitu juga, harga petroleum mempengaruhi kos pengeluaran bagi barang pengguna lain. Dengan hal demikian, penurunan harga petroleum yang ketara ini sepatutnya berupaya merendahkan lagi harga banyak barang pengguna, sekali gus mengurangkan perbelanjaan pengguna terhadap barangan berkenaan. 

Berdasarkan keadaan sebelum ini, apabila petroleum mengalami kenaikan harga, hampir sebahagian besar harga barang turut mengalami kenaikan, yang kadangkala lebih tinggi daripada kadar kenaikan harga minyak. Sebagai contoh, apabila harga petroleum naik 20 sen seliter, kebanyakkan kedai makan menaikkan harga minuman sebanyak 20 sen segelas. Alasan kenaikan ini ialah harga petrol memberikan kesan kepada kos mereka. Maka apabila harga petroleum diturunkan, pengguna menjangkakan penurunan harga barangan. Sebaliknya rata-rata peniaga dilihat tidak memberikan respon untuk menurunkan harga minuman atau makanan yang dijual. Hal ini ekoran sikap peniaga yang begitu mahu mengaut keuntungan yang lebih tinggi kerana kos operasi semakin rendah.

Sementara itu, perkembangan penurunan harga minyak ini memberikan impak yang berbeza pula kepada ekonomi Malaysia memandangkan negara ini merupakan pengeluar minyak yang aktif. Sektor minyak dan gas telah memainkan peranan yang signifikan dengan menyumbangkan 40% kepada pendapatan negara ini, sekaligus menjadi objektif strategi utama kerajaan untuk meletakkan Malaysia sebagai hab tenaga di rantau Asia Tenggara. Perkembangan yang memberansangkan ini secara tidak langsung membuka peluang untuk Malaysia keluar daripada zon negara berpendapatan sederhana dan seterusnya muncul sebagai negara maju dan berpendapatan tinggi pada penghujung tahun 2020.




Dengan memanfaatkan potensi industri minyak dan gas negara, kerajaan berusaha meningkatkan akses kepada pasaran antarabangsa, meningkatkan latihan kemahiran dengan kerjasama industri, serta mengukuhkan hubungan dalam industri hiliran untuk mengoptimumkan sumber, kemudahan, serta perkhidmatan yang sedia ada. Kerajaan turut mengambil inisiatif untuk meluaskan peluang perniagaan dalam aktiviti logistik dan maritim, serta mengukuhkan perkhidmatan proffesional yang berkaitan dengan sektor minyak dan gas, di samping muncul sebagai jaguh antarabangsa dalam perhidmatan dan peralatan telaga minyak (OFSE).

Sehubungan dengan itu, kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan utama yang kekal kukuh menjadi faktor penarik untuk pelabur asing terus melabur di negara ini, khususnya dalam sektor minyak dan gas. Hal ini turut didorong oleh kejayaan mengharumkan nama Malaysia pada peringkat antarabangsa, seperti menduduki tangga ke-12 dalam senarai lokasi terbaik untuk menjalankan perniagaan dan kedudukan ke-15 dunia negara dalam carta negara paling berdaya saing. Pengiktirafan ini meletakkan kedudukan ekonomi Malaysia begitu berdaya tahan dan menjadi asas kekuatan negara untuk menarik minat pelabur antarabangsa.

Disamping itu, hal tersebut juga didorong oleh unjuran syarikat minyak dan gas negara, Petroliam Nasional (Petronas), yang mampu menjanakan RM131.4 bilion kepada Pendapatan Negara Kasar, serta menawarkan lebih daripada 50 ribu peluang kerja baharu berkemahiran tinggi. Bank Dunia memaklumkan dalam laporan "Malaysia Economic Monitor" bahawa Petronas melakukan pelaburan yang signifikan untuk negara bagi kedua-dua aktiviti penerokaan dan pengeluaran yang melibatkan industri huluan serta hiliran.

Lebih memberangsangkan, Petronas berusaha untuk meningkatkan pelan perbelanjaan modal domestiknya bagi menangani pengeluaran yang semakin perlahan dari telaga domestik. Petronas komited membelanjakan kira-kira RM60 bilion setahun pada tahun 2012 hingga tahun 2016, terutama bagi membangunkan telaga baharu dan meningkatkan pengeluaran daripada telaga lama. Kebanyakkan projek yang dijalankan ini merupakan langkah memenuhi Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Aktiviti bagi sektor minyak dan gas di Malaysia yang dipacu oleh Petronas adalah signifikan kepada industri dan hal ini termasuklah usaha pembinaan loji penapisan, loji pencairan gas asli cecair, loji petrokimia, kilang baja, perkapalan dan dagangan runcit. Perkembangan ini meletakkan Petronas sebagai sebuah syarikat minyak dan gas bersepadu multinasional yang memiliki perniagaan huluan yang menyumbangkan agihan terbesar perolehan, iaitu sebanyak 41.3% . 

Petronas juga telah melaksanakan usaha yang lebih penting dengan memberikan nafas baharu terhadap industri minyak dan gas domestik. Langkah tersebut bakal dilaksanakan apabila medan minyak Malaysia pada masa ini yang akan memasuki fasa matang, dan menyaksikan pengeluaran minyak dan gas berkurangan selepas aktiviti cari gali serta pengeluaran yang luas selama lebih daripada tempoh 30 tahun.

Sejak kebelakangan ini, Petronas memulakan kontrak perkongsian risiko (RSC) di medan minyak marginal. Usaha ini dilakukan untuk membangunkan sumber dari medan minyak kecil dan seterusnya meneroka teknologi pemulihan minyak dipertingkatkan (EOR) bagi menambah pengeluaran dari medan minyak matang. Petronas menganggarkan lebih daripada 50% dari medan minyak Malaysia mengeluarkan hasil yang mempunyai potensi EOR. Daripada jumlah tersebut, lebih 10 projek EOR dalam perancangan pada pelbagai peringkat kematangan dengan anggaran pelaburan sebanyak US$14 bilion (RM42 bilion) diperlukan untuk melaksanakan projek EOR. Projek EOR memerlukan pelaburan yang tinggi dan berintensif tinggi dengan banyak risiko yang memerlukan penyertaan tenaga mahir untuk mendapatkan potensi hidrokarbon. Petronas positif dengan potensi EOR yang bakal dilaksanakan berperingkat-peringkat dalam jangka sederhana dan jangka panjang serta banyak program akan dirintis dalam tempoh 10 tahun akan datang.




Petronas turut memperuntukkan RM1.1 bilion sehingga tahun 2018 bagi cabang Pusat Teknologi E&P untuk membangunkan teknologi inovatif dan dapat digunakan untuk mencergaskan semula dan meningkatkan pengeluaran di medan minyak matang. Inovasi kawasan ini mempunyai cabaran yang besar dan kompleks dari segi teknikal dan komersial serta inovasi diperlukan untuk menurunkan kos keseluruhan, meningkatkan prestasi teknologi gunaan dan pembanggunan teknologi baharu.

Walaubagaimanapun, perkembangan terkini telah menyebabkan perancangan yang diatur untuk memacu sektor minyak dan gas domestik tersasar. Sungguhpun hal ini mungkin melibatkan tempoh masa yang sukar dijangka, kerajaan dan pemain industri ini perlu memikirkan pelan strategik yang signifikan bagi menangani isu penurunan harga minyak yang melanda dunia pada masa ini. Ternyata, langkah Perdan Menteri, Dato' Seri Najib Tun Abdul Razak mengumumkan semakan belanjawan negara pada januari lalu, berupaya untuk memastikan pertumbuhan ekonomi negara terus mapan bagi mendepani kemelut penurunan harga minyak global.

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2016 Pena Minang Institute