ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Saturday, 6 February 2016

SUAMI ISTERI MERAKAM "VIDEO SATU WARNA"

Oleh : Ustaz Muflih Safitra bin Muhammad Saad Aly

Hukum Suami Isteri Merakam "Video Intim"

Segala puji hanya untuk Allah, Rabb semesta alam, selawat dan salam kepada junjungan Baginda Nabi Muhammad Sallallahu ‘alaihi wa sallam, para sahabat dan pengikutnya.

Sebahagian pasangan suami isteri merakam video hubungan intim mereka baik dalam proses pemanasan mahupun dalam intinya. Ada yang beralasan itu dalam rangka membangkitkan semangat dan syahwat. Ada yang hanya ‘hiburan’dan ada pula yang mengatakan ianya untuk keperluan dokumentasi. Sebahagian orang pula berdalih bahawa ada orang yang dianggap berilmu yang membolehkan dengan syarat-syarat tertentu. Sebenarnya, apa hukum di dalam Islam mengenai hal ini?

Para ulama rabbani di zaman ini melarang perbuatan merakam video hubungan intim dengan dengan hujjah yang berikut:

1. Merakam video yang di dalamnya ada wanita, apalagi wanita tersebut tidak menutup aurat bahkan bertelanjang.

Para ulama rabbani di zaman ini sememangnya berselisih pendapat dalam menetapkan hukum video (gambar bergerak atau motion pictures). Pembaca sila rujuk ke artikel atau ceramah lain mengenai perbezaan pendapatnya, kerana di dalam artikel ini, persoalan itu tidak akan dibahas secara mendalam. Hanya yang perlu diketahui bahawa, para ulama tersebut bersepakat apabila di dalam video tersebut ada wanita, khususnya yang tidak menutup aurat bahkan telanjang, maka video semacam itu diharamkan dengan tegas.



Ini adalah maklumat yang kami ketahui dari Syeikh Saad bin Turkiy Al-Khotslan hafizahullah (anggota Haiah Kibaril Ulama) ketika menghadiri kajian (sesi fiqh kontemporari) beliau di Riyadh, Arab Saudi, sekitar dua tahun lalu.

2. Kelompok pertama dan sering melakukan hal ini adalah dari kalangan orang kafir barat. Perbuatan merakam video pasangan suami isteri sedang berhubungan intim adalah bentuk mengikuti budaya orang kafir dan ini dilarang oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam.

Baginda bersabda,


مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ

“Barangsiapa menyerupai suatu kaum, maka dia termasuk dari kaum tersebut.” (HR. Abu Daud no. 4033 dari sahabat Abdullah bin Umar radhiallahu ‘anhuma, dinilai hasan sahih oleh Syeikh Al-Albani)

3. Sebagai bentuk sadd az-zari’ah (menutup segala jalan) menuju perbuatan haram, kemungkaran dan penyakit sosial lainnya, seperti tersebarnya video porno, anak-anak melihat hubungan intim orang dewasa, fitnah antara suami isteri, rosaknya rumah tangga dan kerosakan lainnya yang tidak pernah terbayangkan sebelumnya.

Sejauh mana hebatnya teknologi,  ianya pasti ada kekurangan. Manusia sepintar manapun menutupi aibnya, akan ada jalan-jalan yang boleh terbuka tanpa disedarinya.

Jika pasangan suami ister merakam video hubungan mereka, maka boleh sahaja suatu hari nanti video tersebut akan jatuh ke tangan orang lain. Antaranya seperti yang berikut :

a) Data di komputer atau telefon bimbit dihack oleh orang yang tidak bertanggung jawab.
b) Alat yang digunakan (kamera atau telefon bimbit) hilang dicuri orang dan videonya masih tersimpan.
c) Telefon bimbit yang digunakan diperbaiki oleh service center dan videonya masih ada lalu disalin (copy) oleh pihak teknikal (technician).
d) Pasangan suami isteri meletakkan telefon bimbit secara sembrono dan dimainkan oleh anak-anak mereka.
e) Tidak juga disebabkan perbuatan pasangan suami isteri itu sendiri yang menyebarkan rakaman mereka akibat kebodohan diri sendiri.

Hal seperti ini sudah tentu boleh terjadi.

Akibatnya, orang lain bahkan anak-anak melihat video porno yang jelas diharamkan di dalam agama. Bahkan banyak kes penceraian diantara suami dan isteri yang mana dalam kondisi hubungan yang buruk, sementara salah satu dari keduanya menyimpan video intim mereka. Video tersebut kemudian disebarkan kepada orang lain untuk memberikan kesan buruk kepada mantan pasangannya.

Walaupun ada yang menyangka bahawa tidak ada sesiapa yang boleh mendapatkan ramakan berkenaan pada hari ini, namu adakah rakaman tersebut masih 'selamat' pada masa akan datang? Ini kerana pasangan suami isteri itu tidak mengetahui bilakah mereka akan meninggal dunia dalam keadaan mereka masih menyimpan rakaman berkenaan. Bagaimana pula sekiranya rakaman tersebut ditemui selepas kematian mereka oleh orang lain?

4. Melihat aurat diri sendiri adalah perbuatan yang dimakruhkan jika tidak ada keperluan.

Pasangan suami isteri yang merakam video hubungan intim mereka. tentu tidak hanya akan melihat aurat pasangan mereka semata-mata melainkan juga aurat diri sendiri. Padahal, melihat aurat sendiri dimakruhkan jika tidak ada keperluan, sebagaimana dinukil oleh Al-Mardawiy dalam Al-Inshaf.

Banyak di antara ulama rabbani yang telah membahas masalah ini, di antaranya adalah para ulama yang duduk di Al-Lajnah Ad-Daimah li Al-Buhuts Al-Ilmiyyah wa Al-Ifta’. Dalam fatwa no. 22659, mereka dengan tegas melarang hal itu, dengan teks fatwa (diringkas) sebagai berikut:

Pertanyaan:


ما حكم تصوير ما يحصل بين الزوجين من المعاشرة الزوجية: الجماع وتوابعه؟ مع العلم أنه قد صدرت فتاوى من بعض المحسوبين على العلم في بعض البلدان بجوازه، مع اشتراطهم المحافظة على الشريط حتى لا يتسرب لأحد ؟

Apa hukum merakam video pergaulan suami isteri, seperti yang dilakukan oleh sebahagian pasangan suami isteri yang merakam hubungan mereka berupa jima’ dan hal-hal yang berhubungan dengannya? Untuk makluman, telah keluar fatwa dari sebahagian orang yang dianggap berilmu di negeri lain yang menghukumi bolehnya hal itu, dengan syarat hasil rakamannya harus terjaga sehingga tidak bocor ke tangan orang lain.

Jawapan:


تصوير ما يحصل من الزوجين عند المعاشرة الزوجية محرم شديد التحريم؛ لعموم أدلة تحريم التصوير، ولما يفضي إليه تصوير المعاشرة الزوجية خصوصا من المفاسد والشرور التي لا تخفى، مما لا يقره شرع ولا عقل ولا خلق، فالواجب الابتعاد عن ذلك، والحرص على صيانة العرض والعورات، فإن ذلك من الإيمان واستقامة الفطرة، ومما يحبه الله سبحانه.

Merakam video pergaulan suami isteri, seperti yang dilakukan oleh sebahagian pasangan suami isteri merupakan perbuatan yang diharamkan dengan pengharaman yang keras. Hal ini berdasarkan dalil umum tentang pengharaman perbuatan gambar dan memberikan kesan yang negatif berupa kerosakan dan keburukan yang timbul, khususnya akibat merakam video hubungan suami isteri. Akibat dari kesan negatif ini kadangkala tidak terduga dan tidak boleh diterima baik oleh syari’at, akal, mahupun akhlaq.

Wajib menghindari hal-hal seperti itu, benar-benar berusaha menjaga kehormatan dan aurat, kerana yang demikian merupakan sebahagian dari iman dan konsistensi dalam menjaga kesucian dan segala hal yang dicintai Allah Ta'ala.

Fatwa ini ditandatangani oleh Syeikh Abdul Aziz bin Abdillah Alu Syeikh (ketua), Syeikh Abdullah bin Ghudayyan (wakil ketua), Syeikh Shalih Al-Fauzan (anggota) dan Syeikh Bakr Abu Zaid (anggota).

Catatan tulisan:

Penulis beberapa kali memberi penekanan dengan kata “rabbani”, kerana memang ada sebahagian orang yang dikenali sebagai pendakwah yang membolehkannya. Walhamdulillah, agama Islam itu selalu menggunakan dalil, bukan “yang penting ada yang membolehkannya”. Allah dan Rasul-Nya memerintahkan kita untuk bertanya masalah agama kepada seorang yang rabbani, bukan kepada orang yang sejatinya mengajak manusia ke pintu-pintu neraka.

Demikian apa yang dapat kami tuliskan. Semoga Allah menjadikan kita orang yang menggunakan akalnya untuk berusaha menutup aurat dan aibnya, menjadikan tulisan ini sebagai sarana dakwah yang ikhlas untuk agama-Nya dan menambah faedah ilmu bagi saudara-saudara kami yang membacanya.

25 Dzulqa’dah 1436 H

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2016 Pena Minang Institute