PERLANTIKAN PUTERA MAHKOTA ARAB SAUDI YANG BAHARU : MENIFESTASI RAJA SALMAN DALAM MEREMAJAKAN NEGARANYA


Oleh : Anasz*

Keputusan majlis mesyuarat diraja Arab Saudi melantik Mohammad bin Salman bin Abdul Aziz Al-Saud (Mbs) menggantikan Mohammad bin Nayef (Mbn) adalah satu keputusan yang agak memeranjatkan penulis.

Ini kerana, Mbn baru sahaja menduduki jawatan berkenaan selama lebih kurang 3 tahun dari tarikh dilantik pada 2015. Namun inilah Arab Saudi. Tidak ada siapa pun dapat menduga akan berlakunya pertukaran kepimpinan dalam jangka masa terdekat. Dan pastinya pertukaran drastik ini memeranjatkan ramai pihak terutama sekali pengkaji hubungan antarabangsa dan strategi yang beranggapan bahawa Mbn akan menjadi Raja Arab Saudi pertama dari kalangan cucu Abdul Aziz. Manakala sepupunya, Mbs akan dilantik menjadi Putera Mahkota sekaligus menambahkan pengalaman Mbs dalam selok belok pemerintahan Saudi sebelum mengambil alih jawatan berkenaan dari sepupunya itu. 

Sejak Raja Salman menaiki takhta pada 2015 menggantikan abangnya yang mangkat pada tahun yang sama, beliau telah banyak kali melakukan transformasi dalam bidang pentadbiran Saudi. Berpengalaman luas dalam pentadbiran, yang menyaksikan Riyadh dari sebuah bandar padang pasir menjadi kosmopolitan di jazirah Arab, Salman dilihat sebagai raja yang tua dari segi usia namun muda dalam keinginan melihat kemajuan negaranya.

Antara reformasi yang dimulakan oleh Raja Salman sejurus mengambil alih jawatan dari Almarhum Raja Abdullah adalah menggantikan tempat Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Muqrin bin Abdul Aziz Al-Saud kepada Mbn dan melantik anaknya Mbs menjadi timbalan putera mahkota. Tindakan Raja Salman ini sekaligus mempercepatkan peralihan kuasa dari jalur anakanda Abdul Aziz kepada jalur cucunda Abdul Aziz selaku pewaris takhta Arab Saudi.


Tidak banyak diketahui mengenai latar belakang Mohammad bin Salman ini. Malah dikalangan ahli strategi Timur Tengah sendiri tidak mengetahui umur sebenar putera raja ini. Namun bersandarkan laporan media Arab Saudi, Mbn berumur lingkungan 31 tahun (beliau lahir pada 31 Ogos 1985). Mendapat pendidikan awal di Riyadh di sekolah khusus untuk anak-anak raja dan pembesar Saudi, dan secara rasminya pula, Mbs menyambung pelajaran di dalam jurusan undang-undang di Universiti Raja Saud di Riyahd (Namun semakan agensi perisikan U.S mendapati bawaha tidak ada rekod nama beliau di Universiti berkenaan). Jadi secara teknikalnya, tidak ada siapa pun mengetahaui latar belakang pendidikan Mbs ini.


Turut dikenali sebagai 'the octopus prince' dikalangan para strategi barat ekoran penguasaan yang menyeluruh beliau dalam bidang pertahanan dan ekonomi Saudi, Mbs boleh dikatakan antara orang paling berkuasa di Arab Saudi selepas bapanya. Malah dalam banyak keputusan, Raja Salman dikatakan menerima pandangan yang dikemukakan oleh anakandanya itu.

Ekonomi

Mbs merupakan orang yang terlibat dalam mentransformasikan negaranya dari negara yang bergantung kepada sumber asli (minyak) kepada sektor-sektor lain. Dalam satu temuramah dengan stesen TV al-arabiya, beliau menyatakan bahawa minyak telah menyebabkan rakyat Arab Saudi mabuk dan tidak mahu berusaha. Melalui program transformasi Arab Saudi 2020 dan Wawasan 2030 Arab Saudi, Mohammad bin Salman mahu mengeksploitasi kemampuan negaranya untuk bersaing dan maju setanding dengan negara-negara lain di dunia ini.


Antara pelan yang dirangka oleh Mbs turut melibatkan penjualan IPO Saudi Aramco sebanyak 10% yang mana nilai IPO 1% yang ditawarkan itu mampu membeli syarikat Google dan Apple sekaligus. Peratusan pengganguran di Arab Saudi sekitar 13% terutama sekali dikalangan anak muda adalah satu kebimbangan Mbn. Melalui reformasi dan penyusunan semula ekonomi negara berkenaan, Mbn mahukan memastikan penglibatan rakyat Saudi dalam lapangan kerja yang boleh menjana pendapatan. 

Mbs mahukan mentaliti anak muda Saudi berubah dari mengharapkan kerja disediakan kepada mereka kepada penghasilan peluang pekerjaan. Beliau juga dilihat amat proaktif dalam memotivasikan remaja Saudi untuk terlibat dalam dunia keusahawanan. Antara langkah pertama yang diambil oleh Salman sejurus dilantik sebagai ketua perancang ekonomi negaranya adalah memastikan kesemua outlet jualan telefon bimbit diuruskan oleh rakyat tempatan dan bukannya warga asing. Melalui 'saudization' ini, jumlah pekerja asing di outlet jualan telefon bimbit dikurangkan dan digantikan dengan tenaga kerja anak tempatan.

Pertahanan

Sebagai seorang menteri termuda yang menerajui Kementerian Pertahanan, Mbs dilihat sebagai seorang yang begitu 'offfensive' dalam isu-isu yang mengancam keselamatan dan kedaulatan negaranya. Beliau merupakan 'arkitek' disebalik operasi ketenteraan yang dipimpin oleh Arab Saudi di Yaman. Dalam isu di Yaman, Mbs antara perancang utama telah menggerakkan serangan udara ke atas kedudukan Syiah Houthi di Yaman. 


Ternyata serangan yang dilakukan ini mengejutkan pihak pengkaji hubungan antarabangsa dan keselamatan di Barat kerana Arab Saudi lebih bersikap defensive dalam mencampuri urusan dalaman negara jirannya. Ketika pentadbiran Almarhum Raja Abdullah, walaupun Arab Saudi terlibat secara langsung dalam pelan peralihan kuasa diantara mantan Presiden Yaman, Ali Abdullah Salleh kepada Abdu Rabbo Mansour Al-Hadi, tetapi ianya hanya tindakan yang berasaskan kepada politik dan diplomasi dan bukannya melibatkan aspek ketenteraaan.

Dibawah pentadbiran beliau juga, Arab Saudi menjadi negara kedua didunia yang memperuntukkan bajet yang tinggi selepas Amerika Syarikat dalam pembelian persenjataan. Pemodenan secara berterusan angkatan tentera Arab Saudi terutama tentera udara menjadikan negara berkenaan sebagai salah satu kuasa angkasa di rantau berkenaan.

Diperingkat antarabangsa pula, dibawah kepimpinannya, selain beberapa siri latihan ketenteraan berskala besar seperti Eksais Pertahanan North Thunder, beliau juga telah menjadi penaja kepada tercetusnya Pakatan Ketenteraan Negara-Negara Islam dalam memerangi pengganas (Islamic Military Alliance to Fight Terrorism (IMAFT)). Malah beliau juga menjadi tenaga penggerak kepada pusat memerangi kegiatan ekstrimisme yang berpusat di Riyadh.


Kesimpulan

Perlantikan Mohammad bin Salman menjadi putera Mahkota Arab Saudi sekaligus pewaris takhta kerajaan Arab Saudi melambangkan kecenderungan Raja Salman untuk menyerahkan negaranya kepada kepimpinan muda pada hari ini. Dengan populasi remaja yang semakin meningkat di negaranya, dengan majoriti 60% daripadanya adalah dibawah umur 40 tahun, Raja Salman melihat sudah sampai masanya negara yang terasas sejak 1932, oleh ayahanda beliau, Abdulaziz ibn Abdul Rahman ibn Faisal ibn Turki ibn Abdullah ibn Muhammad Al Saud, diserahkan kepada generasi baru keluarga diraja Arab Saudi (kelompok cucunda Abdul Aziz). Ianya sekaligus mengakhiri era pemerintahan Arab Saudi yang selama ini dipegang oleh kalangan anak-anak Abdul Aziz Al-Saud.

Trivia Putera Mahkota Arab Saudi Yang Baru. Mohammad bin Salman bin Abdul Aziz Al-Saud.

1. Jika Raja Salman mangkat atau meletakkan jawatan, beliau akan menjadi Raja Arab Saudi pertama dari keturunan cucunda Abdul Aziz.

2. Merupakan Menteri Pertahanan termuda di dunia. Berumur 30 tahun ketika dilantik menjawat jawatan tersebut.

3. Merupakan anak kesayangan kepada Raja Salman.

4. Arkitek dalam operasi ketenteraan negara Arab di Yaman. (Operation Decisive Storm & Operation Restoring Hope)

5. Rakan baik kepada Y.A.B Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein


6. Bertanggungjawab dalam merangka pelan transformasi Arab Saudi 2020 dan Wawasan 2030 Arab Saudi.

7. Perancang utama dalam mentransformasikan ekonomi Arab Saudi. 

8. Perancang utama bersama-sama rakan sejawat dari UAE dan Bahrain dalam operasi pemulauan Qatar.

9. Seorang yang sangat anti dengan Iran 

10. Seorang yang sangat anti dengan kumpulan Ikhwanul Muflisin.

*Penulis merupakan graduan jurusan Strategi dan Keselamatan dari UKM.

Post a Comment

0 Comments