JADIKAN MALAYSIA PUSAT PENDIDIKAN DUNIA - @MuhyiddinYassin @KemPendidikan

Oleh : Fadhilla Samsudin

PETALING JAYA, 25 SEPTEMBER 2014 : Kerajaan berhasrat menjadikan Malaysia sebagai salah satu destinasi pilihan pendidikan yang terkemuka di peringkat global menjelang 2020.

Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kedudukan Malaysia kini sebagai 12 destinasi pilihan terbaik dunia untuk melanjutkan pelajaran juga adalah satu pengiktirafan yang boleh dibanggakan.

“Menjelang 2020, kerajaan mensasarkan untuk menarik sehingga 200, 000 pelajar antarabangsa dengan matlamat menjadikan Malaysia destinasi yang lebih dicari untuk pendidikan global”.

“Dengan dasar baru untuk mengukuhkan Bahasa Inggeris di semua peringkat, saya yakin lebih ramai pelajar antarabangsa akan menjadikan Malaysia sebagai destinasi pilihan mereka untuk menyambung pengajian”, katanya ketika berucap pada Majlis Penyampaian Biasiswa dan Anugerah Yayasan Jeffrey Cheah (JCF) di Universiti Sunway di sini.

Menurutnya lagi, melalui data Kementerian Pelajaran menunjukkan sehingga Jun ini, hampir 91, 000 ribu pelajar antarabangsa sedang mengikuti pengajian di Malaysia.

Dalam pada itu, Tan Sri Muhyiddin menegaskan peranan dan kerjasama institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) juga sangat penting dalam transformasi sistem pendidikan negara.

“IPTS yang sudah menjadi pembekal program pra university antarabangsa sejak 1970an juga telah menunjukkan dimensi yang besar dalam tindak balas kepada trend dan keperluan global”, katanya lagi.

Ini termasuk juga katanya dalam pendemokrasian dan pengantarabangsaan pendidikan tinggi di negara ini ke arah meningkatkan kualiti penyediaan pendidikan negara bertaraf global.

Sumber : ABNXcess

Post a Comment

0 Comments