ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Monday, 22 June 2015

ISU ROHINGYA : ASEAN PERLU KECAM MYANMAR - PROF MADYA DR. RAVICHANDRAN

Oleh : Asmahanim Amir
Foto Izwan Azman

BANGI – Negara-negara ASEAN perlu mengecam tindakan Myanmar yang tidak mengiktiraf etnik Rohingya sebagai kumpulan etnik di Myanmar dan mengabaikan tanggungjawab sosial Negara terhadap etnik itu.

Pensyarah Program Pengajian Strategik dan Hubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr D. Ravichandran K. Dhakshinamoorthy berkata ASEAN perlu memberi kecaman kepada Myanmar  kerana ia kini krisis kemanusiaan dan ASEAN tidak boleh berdiam diri.

“Pada pandangan saya, kita (ASEAN) harus bagi tekanan kepada kerajaan Myanmar supaya mereka melakukan sesuatu. Mereka harus mengaku bahawa masalah ini adalah satu masalah negara mereka dan masalah ini adalah satu masalah kemanusiaan dan mereka mempunyai tanggungjawab sebagai sebuah negara moden untuk mereka bersama-sama dengan negara lain untuk menangani isu ini.

“Apabila berlaku krisis-krisis ini, ASEAN mesti bersatu. ASEAN harus menunjukkan perpaduan dalam krisis ini dan saya mengharapkan Malaysia sebagai Pengerusi dalam ASEAN pada tahun ini, terutamanya pihak Wisma Putra perlu membuat sesuatu supaya satu penyelesaian yang lebih kekal boleh dicari. Itu harapan saya pada pihak Asean dan Malaysia,” katanya semasa Program Bicara Persada bertajuk Rohingya: Hak Asasi dan Kemanusiaan yang Dinafikan di sini pada 3 Jun lepas.

Dr Ravichandran berkata masalah itu adalah masalah kemanusiaan yang transnasional iaitu rentas sempadan. Ia juga melibatkan masalah pemerdagangan manusia di mana Malaysia sendiri dan negara-negara lain juga turut terlibat.

“Jadi saya rasa ini adalah masalah serantau di mana kita harus mengambil satu pendekatan yang lebih proaktif untuk menangani isu migrasi. Itu adalah tanggungjawab Malaysia dan negara-negara lain sebagai negara anggota ASEAN dan tanggungjawab sebagai negara moden untuk melihat dan memastikan norma-norma kemanusiaan ini dijaga,” katanya.

Menurut beliau walaupun Rohingya adalah tanpa negara (stateless) iaitu mereka tidak ada kerakyatan tetapi mereka adalah sebahagian komuniti ASEAN kerana mereka secara fizikal telah duduk di Asia Tenggara lebih 1000 tahun lalu.

Sementara itu Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM), Mohd Azmi Abdul Hamid yang turut menjadi ahli panel pada forum tersebut berkata ASEAN perlu mengambil tindakan yang lebih tegas memandangkan masalah yang timbul di Myanmar telah merentas sempadan negara lain.

“Myanmar tidak boleh kata itu masalah negara mereka sedangkan masalah itu telah berlarutan ke beberapa negara rantau ini termasuk Malaysia.

“Kita juga tidak boleh menafikan bahawa etnik Rohingya juga adalah anggota ASEAN dan masalah mereka adalah masalah kita bersama,” kata Azmi.
Beliau berkata ada satu konsep yang Badan Bukan Kerajaan (NGO) harus gunakan iaitu pengawasan awam  daripada masyarakat sendiri dan tidak bergantung kepada pihak keselamatan.

“NGO perlu memainkan peranan seperti memberi kesedaran kepada masyarakat tentang seriusnya pemerdagangan manusia ini. Mereka perlu mengadakan kerjasama dengan pihak keselamatan dan rakyat di kampung-kampung yang terlibat kerana kita ada akta tetapi ramai yang tak tahu tentang akta ini,” katanya.

Beliau berkata pemimpin dan pihak keselamatan serta NGO perlu mengadakan dialog tentang bagaimana hendak memastikan sindiket itu (pemerdagangan manusia) boleh ditumpaskan daripada tunasnya.

“Jangan biarkan sampai dah jadi begini rupa baru kita nak kelam kabut nak buat tindakan. Itu peranan NGO yang harus dimainkan,” katanya.

Seorang lagi ahli panel, Prof Dr Mansor Mohd Noor yang merupakan Felo Utama Institut Kajian Etnik (KITA) UKM berkata factor agama adalah sebahagian daripada diskriminasi yang berlaku terhadap etnik Rohingya, seperti yang berlaku di selatan Thailand dan Sri Lanka.

Katanya sami-sami Buddha Myanmar dan Sri Lanka pernah mengadakan persidangan di Sri Lanka atas asas untuk menentang kumpulan yang digelar  Daulah Islamiyah (ISIS).
“Persoalannya bagaimana sami­-sami Buddha ini mendukung tugas untuk menentang ISIS? Itu yang perlu difikirkan,” katanya.

Pensyarah Institut Pengajian ASEAN dan Hal Ehwal Global Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mohiyuddin Mohd Sulaiman berkata kerajaan Myanmar bimbang dengan kemajuan Wilayah Arakan yang didiami oleh etnik Rohingya suatu masa dulu yang menjadi pintu masuk kepada pelayar-pelayar atau pedagang-pedagang dari Arab, Parsi Bangladesh, India dan Negara-negara lain yang menyebabkan Islam berkembang di wilayah itu.
“Atas faktor itu mereka menganggap Islam sebagai ancaman kepada agama Buddha,” tambah beliau.

Sumber : UKM News

2 comments:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2016 Pena Minang Institute