APA YANG DIERTIKAN SELAWAT DAN SALAM KE ATAS NABI?

Oleh : Ustaz Idris Sulaiman (Pendakwah Bebas)

Firman Allah Subhanahu wa Ta’ala,


إِنَّ اللهَ وَمَلاَئِكَتَهُ يُصَلُّونَ عَلَى النَّبِيِّ يَآأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُوا صَلُّوا عَلَيْهِ وَسَلِّمُوا تَسْلِيمًا

“Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi. Wahai orang-orang yang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya.” (Surah Al-Ahzab, 33: 56)

ASAL PENGERTIAN SELAWAT

Asal perkataan ‘selawat’ di dalam bahasa Arab adalah صلاة (solat)


Selawat            =             صلاة

Seperti mana solat (sembahyang), begitulah yang diertikan dengan selawat. Di dalam Bahasa Arab, selawat dan solat berasal dari perkataan yang sama.

Adapun pengertian solat dari segi bahasa adalah doa. Apa pula ertinya doa? Doa berasal dari perkataan  دعى  ataupun   دعوة yang bererti menyeru ataupun meminta.


Doa ( دعوة          =             دعى         =          ( دعاء        (menyeru / meminta)

Itulah maksud solat yang seerti dengan doa. Apabila dikatakan kita berdoa kepada Allah, bererti kita sedang menyeru dan meminta kepada Allah.

BAGAIMANA ALLAH & MALAIKAT BERSELAWAT KE ATAS NABI

Firman Allah, “Sesungguhnya Allah dan para malaikatNya berselawat ke atas Nabi.”

Bagaimana Allah berselawat ke atas Nabi? Apakah ertinya Allah berselawat ke atas Nabi? Dalam ayat itu jelas mengatakan Allah berselawat ke atas Nabi. Ini adalah asas selawat, iaitu selawat itu kembali kepada selawat Allah ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam.

Selawat Allah ke atas Nabi:

Ertinya adalah pujian Allah serta disebut-sebut nama Rasulullah di sisi malaikat-malaikat langit tujuh.

Itu adalah asalnya. Apabila disebut Allah berselawat ke atas Nabi, ertinya Allah memuji-muji Muhammad Rasulullah, tidak ada Nabi yang lain. Disebut-sebut namanya di sisi para malaikat yang bukan sebarang malaikat, tetapi malaikat langit 7 yang paling hampir kedudukannya dengan Arasy Allah Subhanahu wa Ta’ala.

Selawat para Malaikat ke atas Nabi:

Selawat para malaikat dan selainnya (termasuk kita) adalah permohonan atau doa kita kepada Allah agar Allah berselawat ke atas Nabi.

Asalnya selawat sudah ada, iaitu bukan kita meminta supaya Allah baru hendak selawat, sebaliknya adalah supaya Allah memperbanyakkan selawat ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam. Ini kerana selawat Allah ke atas Nabi sudah berlaku seperti mana di dalam ayat Al-Quran yang disebutkan tadi. Jadi apabila kita berdoa kepada Allah agar Allah berselawat maknanya adalah untuk Allah memperbanyakkan selawat (puji-pujian) ke atas Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam.

Jadi apabila kita berselawat ke atas Nabi maknanya kita meminta daripada Allah untuk berselawat ke atas Nabi. Apabila Allah berselawat, bererti Allah memuji-muji Rasulullah serta disebut-sebut namanya di sisi para malaikat langit ketujuh.

Ketika kita berselawat ke atas Nabi, kita sebenarnya sedang berdoa kepada Allah. Selawat adalah satu doa. Kita berdoa dan memohon daripada Allah dan kita menyeru Allah untuk Allah berselawat ke atas Nabi. Seperti mana lafaz kita,


اَللهُمّ صَلّ عَلى مُحَمّدٍ

“Ya Allah, selawatlah ke atas Muhammad”

Di situ jelas bentuk permohonannya. Tetapi mungkin kita keliru sedikit dengan ucapan  صلى الله عليه وسلم  (Allah berselawat dan salam ke atasnya) atau صلى الله على محمد  (Allah berselawat ke atas Muhammad) , mungkin tidak nampak secara jelas permohonan di situ kerana bentuk lafaznya seperti ayat penyata (khabar) tetapi di situlah permohonan. Itu adalah ayat permohonan tetapi dalam bentuk ayat penyata.

Di antara ulama tafsir yang mentafsirkan ayat ini adalah Imam Ibnu Katsir rahimahullah. Beliau mentafsirkan ayat “Allah serta para malaikatNya berselawat ke atas Nabi” dengan mengatakan bahawa Allah menyebutkan tentang kedudukan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam yang tinggi, kerana di sini jelas Allah menyatakan bahawa Allah memuji-muji Rasulullah serta disebut-sebut namanya di sisi para malaikatNya.

Seterusnya Allah memerintahkan “Wahai orang-orang beriman, berselawatlah kamu ke atas Nabi, dan ucapkanlah salam”. Ibnu Katsir mengatakan, tujuannya adalah supaya menghimpunkan kedua-dua selawat, iaitu selawat penduduk langit serta selawat penduduk bumi agar selawat itu lebih lengkap dan sempurna, supaya dimuliakan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam dengan semulia-mulianya.

Imam Al-Qurthubi rahimahullah ketika mentafsirkan ayat ini menyebutkan bahawa di dalam ayat ini secara tidak langsung mengatakan bahawa Allah telah memuliakan Rasulullah semasa hidupnya (ayat ini turun ketika Rasulullah hidup) dan juga setelah kewafatannya.

Ayat ini secara jelas menyuruh kita berselawat ke atas Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, dan hanya Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam. Di situ jelas bahawa kita telah mengkhaskan Nabi Muhammad sallallahu ‘alaihi wasallam dengan satu doa. Maka di situ sahaja telah menunjukkan kedudukan Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam yang tinggi dan lebih tinggi berbanding para Nabi-Nabi dan para Rasul yang lain.

Di antara faedah yang dapat kita ambil dari ayat ini:

1. Kemuliaan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam serta kedudukan Baginda yang tinggi di sisi Allah Subhanahu wa Ta’ala

2. Perintah wajib untuk mengamalkan satu ibadah khusus iaitu berselawat ke atas Nabi di samping ibadah-ibadah lain yang disyariatkan

3. Para Ulama menjelaskan bahawa interaksi antara kita dengan Nabi Muhammad (setelah kewafatannya) adalah sekadar kita berdoa kepada Allah untuk berselawat ke atas Baginda. Maka jangan sama sekali kita menyeru, meminta, atau berdoa kepada Baginda. Walaupun ayat ini menjelaskan kedudukan Baginda yang tinggi, tetapi tidak sampai sehingga kita melebihkan kedudukan Baginda sehingga kita menujukan doa dan seruan kepada Baginda. Itu adalah perbuatan yang melampau dan telah melebihi dari apa yang dituntut ke atas kita. Kita menghormati dan memuliakan Baginda, serta meletakkan Baginda pada kedudukan yang paling tinggi, kita meminta supaya Allah berselawat ke atas Baginda, tetapi tidak sampai kita meminta hajat kepada Baginda. Adapun di dalam meminta hajat, kita hanya meminta daripada Allah dan kepada Allah semata-mata.

Ayat ini secara tidak langsung menjelaskan tentang penyimpangan golongan yang berinteraksi dengan Rasulullah antaranya dengan cara mensedekahkan Al-Fatihah kepada Rasulullah. Ini adalah penyimpangan dan amalan baru yang diada-adakan. Kita tidak diperintahkan untuk sedekahkan Al-Fatihah kepada Rasulullah.

UCAPAN SALAM KE ATAS NABI

Firman Allah dalam ayat yang sama: “Berselawatlah kamu ke atas Nabi dan ucapkanlah salam kepadanya.”

Ada dua ibadah yang kita diwajibkan dalam interaksi kita dengan Nabi;

1. Berselawat ke atas Nabi

2. Mengucapkan salam ke atas Baginda.

Allah memaklumkan bahawa Allah telah berselawat ke atas Nabi dan Allah telah memberi salam ke atas Nabi. Maka kita juga dituntut melakukan yang sama.

Apakah yang dimaksudkan dengan salam?


سلام      =             سلامة     =             Selamat / Keselamatan

Bagaimanakah Allah memberi keselamatan ke atas Baginda? Jelas bahawa semasa hidup Baginda, Rasulullah telah dipelihara dan diberi keselamatan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala. Hal ini sebagaimana di dalam Surah Al-Maa-idah ayat ke-67 di mana Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman,


يَاأَيُّهَا الرَّسُولُ بَلِّغْ مَآأُنزِلَ إِلَيْكَ مِن رَّبِّكَ وَإِن لَّمْ تَفْعَلْ فَمَا بَلَّغْتَ رِسَالَتَهُ وَاللهُ يَعْصِمُكَ مِنَ النَّاسِ

“Wahai Rasul, sampaikanlah apa yang diturunkan kepadamu dari Tuhanmu. Dan jika tidak kamu lakukan maka kamu tidak menyampaikan risalahNya. Allah akan memaksumkan (memelihara) kamu daripada manusia.” (Surah Al-Ma-idah, 5: 67)

Ayat ini jelas menunjukkan jaminan kepada Rasulullah. Allah memerintahkan kepada Rasulullah supaya menyampaikan apa yang telah diturunkan. Dalam erti kata lain, ini adalah amanah dan tanggungjawab, jangan takut dengan manusia kerana Allah akan memelihara dan menjaga keselamatan Rasulullah. Itu ketika hidup Baginda.

Adapun selepas kewafatan Baginda pun, percayalah bahawa Allah terus memelihara Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam. Walaupun Baginda sudah wafat, dan Baginda berada di perkuburannya, tetapi keselamatan dan jagaan Allah berterusan ke atasnya. Namun dalam masa yang sama kita disuruh meminta dan berdoa ke atas keselamatan Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam agar Baginda terus dipelihara di kubur Baginda.

KISAH USAHA MENCURI JASAD RASULULLAH

Tercatat di dalam sejarah satu kisah yang berlaku di masa yang lampau, tentang dua orang yang telah datang ke Madinah. Seorang pemerintah pada satu malam telah bermimpi tiga kali berturut-turut berjumpa dengan Rasulullah, dan Rasulullah berkata, “Selamatkan aku daripada dua orang ini”. Di dalam mimpi itu Rasulullah menunjukkan dua orang tersebut dengan rupa parasnya.

Pemerintah itu terjaga dari mimpi dengan keadaan cemas. Di dalam mimpi itu Rasulullah memerintahkannya supaya menyelamatkan Baginda. Maka dia mengumpulkan hulubalang-hulubalangnya dan dia pun bergegas berangkat ke Madinah bersama hulubalang-hulubalangnya dan membawa bersama harta-harta daripada dinar dan dirham.

Apabila sampai di Madinah, untuk mengetahui apa maksud mimpinya itu, dia pun memanggil semua penduduk Madinah atas alasan hendak memberi hadiah ataupun derma. Maka setiap seorang yang datang dia memberikan wang derma. Selesai dia berjumpa dengan semua penduduk Madinah, dia bertanya kepada Gabenor Madinah, ada sesiapa yang tinggal? Gabenor menjawab, tidak ada kecuali dua orang yang tinggal berhampiran Masjid Nabi sallallahu ‘alaihi wasallam, mereka ini perantau yang baru datang ke Madinah, dan kelihatannya mereka ini adalah orang-orang yang saleh. Mereka kuat ibadah dan kuat bersedekah membantu orang-orang fakir dan miskin.

Pemerintah ini meminta agar dibawa berjumpa dengan dua orang ini. Lalu Gabenor Madinah membawanya ke rumah dua orang ini, dan apabila sampai, pemerintah itu terkejut melihat dua orang inilah yang dia nampak di dalam mimpinya. Pemerintah ini pun menyiasat, diselongkarnya rumah orang ini, dan apabila dia membuka alas lantai, dia mendapati di situ ada satu lubang. Dan apabila diselidik, rupanya dua orang itu telah menggali satu terowong menuju ke kubur Rasulullah.

Setelah disoal siasat dan dipukul maka akhirnya dua orang ini mengaku bahawa mereka adalah dua orang Nasrani yang telah diutuskan oleh Raja Nasrani untuk satu misi rahsia bertujuan untuk mencuri jasad Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam untuk dibawa ke negara mereka. Maka pemerintah ini memerintahkan supaya mereka dibunuh, dan kemudian beliau memerintahkan supaya di sekeliling kubur Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam dibina pagar dan dinding logam yang tebal supaya perkara yang sama tidak berulang lagi.

Maka begitulah sehingga ke hari ini kita dapat lihat di sekeliling kubur Nabi dari lantai sampailah ke atap ditutup semuanya. Itu di luar, di bawahnya lebih lagi dinding dan besinya supaya tidak berulang kisah seperti ini.

Ternyata bahawa Allah terus memelihara Baginda semasa Baginda hidup dan setelah kewafatan Baginda. Bukan sahaja dari apa juga gangguan luar, bahkan seperti mana di dalam hadis, bumi juga diharamkan (memakan/menghancurkan) jasad para Nabi, seperti mana sabda Rasulullah,


إِنَّ الله عَزَّ وَجَلَّ حَرَّمَ عَلَى الأَرْضِ أَجْسَادَ الأَنْبِيَاءِ

“Sesungguhnya Allah ‘Azza wa Jalla mengharamkan atas bumi jasad-jasad para Nabi.” (Sahih. Riwayat Abu Dawud)

Ini menunjukkan bahawa jasad Baginda terus terpelihara. Tidak seperti Fir’aun. Fir’aun dipelihara, tetapi yang ada pada hari ini bukan Fir’aun. Fir’aun telah lama hancur, cuma dia dipelihara pada zamannya supaya kaum Nabi Musa dapat melihat Fir’aun dalam keadaan telah mati.


Post a Comment

0 Comments