BELANSUNGKAWA BUAT SENIMAN MELAYU S. SHAMSUDDIN


Oleh : Pejabat Pena Minang

Adalah dimaklumkan bahawa S SHAMSUDDIN atau dikenali dengan panggilan SUDIN, SENIMAN SEANGKATAN era P.Ramlee TELAH MENINGGAL DUNIA di rumahnya di Bukit Batok Avenue, Jurong, Singapura pada pukul 10.56 pagi ini, menurut sumber anaknya Noredah.

Ø¥ِÙ†َّا Ù„ِÙ„ّÙ‡ِ ÙˆَØ¥ِÙ†َّـا Ø¥ِÙ„َÙŠْÙ‡ِ رَاجِعونَ

"Sesungguhnya kami adalah milik ALLAH dan kepada-Nyalah kami kembali".

Apabila mati anak Adam, terputuslah amalannya kecuali tiga: Sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan, atau anak soleh yang mendoakannya.”
(riwayat Imam Muslim)

Sesungguhnya kepulangan Pak Sudin kepangkuan ALLAH adalah satu kehilangan besar buat kami. Semoga ALLAH mengampunkan dosa Pak Sudin, dan memasukkan Pak Sudin dikalangan orang-orang yang beriman.  

Ikhlas dari kami 

LATAR BELAKANG SENIMAN MELAYU S.SHAMSUDDIN

Nama Penuh : Shamsudin Bin Dali
Tempat Lahir : Pasir Panjang, Singapura
Bangsa : Melayu
Bahasa Pertuturan : Melayu
Karier: Pelakon
Skill: Acting, Komedi

S. Shamsudin atau Sahamsudin bin Dali dilahirkan di Pasir Panjang, Singapura pada 1 Januari 1929. Bapa beliau, Dali bin Kechik berasal dari Melaka, manakala ibu beliau, Khatijah binti Haji Ahmad berasal dari Geylang Singapura.

S. Shamsudin atau Sudin melakukan pelbagai pekerjaan kasar untuk membantu keluarga beliau sebelum memasuki dunia filem. Pada masa lapang, Sudin suka menonton wayang gambar.

Pada suatu hari, pada tahun 1948, Sudin ke Studio Malay Productions (MFP) di Jalan Ampas dengan mengayuh basikal. Tujuan beliau semata-mata untuk melihat penggambaran filem yang dijalankan dari dekat.

Kunjungan tersebut rupa-rupanya telah membuka peluang kepada beliau untuk berlakon di depan kamera sebagi pelakon tambahan dalam filem, Chempaka yang diarahkan oleh B. S. Rajhans. Sudin dibayar sebanyak tiga ringgit yang merupakan bayaran biasa bagi pelakon tambahan ketika itu.

Beberapa hari kemudian, Sudin memohon bekerja dengan MFP bagi sebarang pekerjaan. Nasib Sudin baik kerana beliau diterima bekerja sebagai tukang kayu untuk meminta set dan latar belakang filem. Gaji yang diterima oleh beliau ialah lima puluh ringgit sebulan.

Sudin mendapat bayaran tambahan apabila beliau diminta menjadi pelakon tambahan ataupun penari dalam sesebuah filem. Sudin mula berminat untuk menjadi pelakon sepenuh masa jika diberikan peluang oleh mana-mana pengarah filem. Akhirnya, impian beliau itu menjadi kenyataan apabila pengarah filem B. S. Rajhans meminta beliau berlakon dalam filem, Aloha. Beliau berlakon dalam beberapa babak yang memerlukan dialog, yang dianggap banyak bagi seorang pelakon baharu.

Dalam filem, Aloha yang diterbitkan pada tahun 1950, Sudin diberikan peranan sebagai kawan baik P. Ramlee. Peranan lucu itu memang sesuai dengan watak semula jadi Sudin yang suka membuat orang lain ketawa dengan gelagat lucu. Lakonan beliau dianggap memuaskan dalam filem tersebut yang turut dibintangi oleh Osman Gumanti, Mariam, P. Ramlee, A. R. Tompel dan D. Harris. Sudin dinaikkan taraf sebagai pelakon dengan kontrak awal selama tiga tahun.

Gaji yang diterima beliau sebagai pelakon adalah sebanyak 70 ringgit sebulan, iaitu sama dengan gaji yang diterima oleh P. Ramlee ketika itu. Bezanya, P. Ramlee mendapat bonus sebanyak 300 ringgit setelah berlakon dalam sesebuah filem, sementara Sudin menerima bonus sebanyak lapan puluh ringgit.

Bintang Sudin mula memancar sebagai pelakon apabila dijadikan pelakon utama dalam filem, Tas Tangan Wanita arahan L. Krishnan pada tahun 1952. Tas Tangan Wanita merupakan sebuah filem bercorak komedi yang dilakonkan oleh beliau bersama-sama Osman Gumanti, Neng Yatimah dan Siti Tanjung Perak.

Peningkatan yang besar berlaku pada Sudin apabila P. Ramlee untuk pertama kalinya mengarah filem berunsur komedi pada tahun 1957. Filem, Bujang Lapok menggabungkan tiga watak utama sebagai tunjang cerita iaitu S, Shamsudin, Aziz Sattar dan P. Ramlee.

Berikutan dengan kejayaan besar filem, Bujang Lapok, P. Ramlee melanjutkan watak “Bujang Lapok” dengan tiga buah filem lain, iaitu Pendekar Bujang Lapok, Seniman Bujang Lapok dan Ali Baba Bujang Lapok. Sebuah lagi filem arahan P. Ramlee yang menonjolkan kekuatan dan kehebatan lakonan S. Shamsudin ialah Antara Dua Darjat yang diterbitkan pada tahun 1960. Filem berbentuk drama serius itu disulami dengan kelucuan yang dihidupkan oleh lakonan Sudin.

Sudin terus mencipta nama sebagai pelakon komedi dalam filem-filem keluaran MFP sehinggalah syarikat filem itu ditutup pada tahun 1967. Sudin kehilangan pekerjaan sama seperti rakan-rakan beliau yang lain yang sekian lama berkhidmat di MFP. Namun, peristiwa hitam yang menimpa para pekerja MFP itu, bukanlah noktah akhir kepada beliau.

Pada tahun, 1975 Sudin berlakon dalam filem, Keluarga Si Comat yang diarahkan oleh teman karib beliau, Aziz Sattar. Filem, Keluarga Si Comot yang dikeluarkan oleh Deddy M. Burhan dari Sabah Film menghidupkan semula semangat Sudin untuk terus berlakon dalam filem Malaysia yang berkembang pesat hingga ke hari ini.

S. Shamsuddin berkahwin dengan Puteh binti Esmoon pada tahun 1954. Perkahwinan mereka dikurnia tujuh orang anak.

Sumber teks diambil dari : http://cinemamalaysia.com.my/

Post a Comment

1 Comments

بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØ­ْÙ…َÙ†ِ الرَّØ­ِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.