TERIMA KEPUTUSAN PILIHANRAYA KE 13 - TUANKU ABDUL HALIM MU'ADZAM SHAH

Oleh : Antarapos

KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah mahu semua pihak menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU 13) yang lalu yang telah diadakan mengikut lunas-lunas sistem demokrasi.

Sambil memuji usaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam melaksanakan tugas dengan baik, Seri Paduka menggesa semua ahli politik supaya memberikan tumpuan penuh untuk memajukan negara.

"Beta menyeru semua pihak menerima dan menghormati keputusan Pilihan Raya Umum ke-13 yang telah diadakan mengikut lunas-lunas sistem demokrasi.

"Dan seterusnya bekerjasama serta bergandingan bahu bagi membolehkan negara melangkah ke depan untuk mencapai matlamat negara maju berpendapatan tinggi menjelang tahun 2020," titah baginda ketika merasmikan Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Parlimen ke 13 di sini, pagi ini.

Menurut Seri Paduka, baginda juga berbesar hati dengan pelaksanaan sistem demokrasi yang telah berjaya memacu negara kepada sebuah negara yang lebih baik dan aman.

"Beta bersyukur kerana Pilihan Raya Umum ke 13 telah dapat dilaksanakan dalam suasana aman.

"Beta menghargai peranan semua pihak terutama sekali Suruhanjaya Pilihan Raya, pasukan keselamatan serta anggota-anggota Perkhidmtaan Awam dalam memastikan pilihan raya umum berjalan lancar," titah baginda.

Seri Paduka juga meminta rakyat untuk terus hidup dengan aman dan makmur serta menerima keputusan pilihan raya yang lalu dengan fokus terhadap pembangunan negara sebagai matlamat utama.

Istiadat perasmian Dewan Rakyat kali ke-13, hari ini terpaksa dijalankan di Dewan Bankuet, Bangunan Parlimen memandangkan cuaca berjerebu di luar.

Tepat jam 9.45 pagi tadi, majlis dimulakan dengan perbarisan Askar Melayu Diraja Malaysia, diiringi dengan alunan muzik kebesaran DiRaja.

Majlis ini dihadiri oleh 222 Anggota Dewan Rakyat dengan lengkap berpakaian rasmi Parlimen.

Turut hadir wakil kedutaan asing ke Malaysia serta tetamu kehormat lain. Walaupun ruang Dewan Bankuet itu agak terhad, namun majlis berjalan dengan lancar mengikut adat istiadat.

Post a Comment

0 Comments