TIDAK ADA PROGRAM SUKARELAWAN HAJI - LEMBAGA TABUNG HAJI

Oleh : Bahagian Hal Ehwal Awam dan Komunikasi Korporat Kumpulan Lembaga Tabung Haji

Lembaga Tabung Haji (TH) telah menerima banyak pertanyaan daripada orang ramai yang inginkan kepastian mengenai tawaran menjadi Sukarelawan Musim Haji 1434H anjuran sebuah pertubuhan yang beralamat di Kota Damansara. 

Kenyataan ini dikeluarkan untuk menjelaskan bahawa TH TIDAK PERNAH terlibat, melantik, meluluskan atau memberi kuasa kepada mana-mana pertubuhan atau organisasi untuk menganjurkan Misi Sukarelawan Musim Haji 1434 Hijrah atau mana-mana program seumpamanya.

Hasil siasatan awal TH dan maklumat daripada orang awam mendapati pertubuhan berkenaan telah mempromosi program tersebut melalui taklimat yang dijalankan di tempat-tempat terpilih di seluruh negara yang turut diuar-uarkan di laman sosial, Facebook. TH telah menghubungi pihak kedutaan Arab Saudi di Malaysia untuk pengesahan dan dimaklumkan bahawa TIADA VISA dikeluarkan untuk program seumpama itu.

Salah seorang peserta yang hadir di dalam taklimat tersebut telah memaklumkan kepada pihak TH bahawa, tujuan misi tersebut kononnya adalah untuk memberi bantuan kepada jemaah haji yang berada di bawah kelolaan TH. Taklimat yang disampaikan oleh pertubuhan tersebut meminta peserta-peserta yang berminat supaya mendaftar dan membuat bayaran sebanyak RM5,000 kepada pertubuhan berkenaan untuk menyertai misi tersebut.

TH merupakan satu-satunya agensi kerajaan yang telah diamanahkan dan dipertanggungjawabkan oleh kerajaan untuk menguruskan jemaah haji Malaysia sama ada di Tanah Air mahupun Tanah Suci. TH mempunyai petugas-petugas terlatih dan berpengalaman yang terdiri daripada anggota-anggota TH, pembimbing ibadah haji dilantik oleh TH dan petugas perubatan dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia. Ketika musim haji, hanya petugas-petugas ini sahaja yang dibenarkan dan diberi kuasa untuk mengendalikan urusan jemaah haji di bawah pengelolaan dan seliaan TH.

TH menegaskan bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang kaitan atau perhubungan dengan mana-mana pihak yang menganjurkan Misi Sukarelawan Musim Haji 1434H mahupun membenarkan pihak berkenaan atau mana-mana pihak ketiga menggunakan nama Tabung Haji bagi tujuan aktiviti berkenaan.

Sehubungan dengan itu, TH menasihatkan orang ramai agar tidak terpengaruh dengan program seumpama itu yang ditawarkan oleh mana-mana individu, pertubuhan, syarikat atau organisasi. Orang ramai turut dinasihatkan untuk melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya mengesyaki terdapat unsur-unsur yang mencurigakan terhadap program atau aktiviti yang dianjurkan. Untuk maklumat lanjut, mereka boleh menghubungi Pusat Panggilan TH, di talian 03-6207 1919.

Post a Comment

0 Comments