ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Friday, 16 August 2013

KENYATAAN AKHBAR MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA MENGENAI PERKEMBANGAN TERKINI ISU KESELAMATAN PELAJAR MALAYSIA DI MESIR

KENYATAAN AKHBAR

YAB TAN SRI DATO' HJ MUHYIDDIN B. HJ MOHD YASSIN
TIMBALAN PERDANA MENTERI MERANGKAP
MENTERI PENDIDIKAN MALAYSIA
MENGENAI PERKEMBANGAN TERKINI
ISU KESELAMATAN PELAJAR MALAYSIA DI MESIR

16 OGOS 2013

Kerajaan memandang serius situasi pergolakan di Mesir yang semakin meruncing. Langkah-langkah sedang diambil untuk memastikan keselamatan lebih 3,200 orang pelajar Malaysia yang berada di Mesir pada masa ini terjamin.

Sehubungan itu, pihak Kedutaan Besar Malaysia Kaherah (KBMK) dan Education Malaysia Egypt (EME) telah memindahkan pelajar-pelajar di kawasan panas ke kawasan yang lebih selamat. Mereka juga dinasihatkan agar berada di dalam rumah masing-masing, tidak melibatkan diri dalam sebarang perhimpunan dan sentiasa mematuhi arahan KBMK dan EME. Justeru, ibu-bapa dinasihatkan agar tidak bimbang dengan keselamatan para pelajar Malaysia di Mesir kerana pihak KBMK dan EME sentiasa berhubung dan memantau keadaan keselamatan mereka di sana. 

Berdasarkan situasi semasa di Mesir, semua pemergian pelajar baru ditangguhkan untuk sesi 2013/2014 yang sepatutnya bermula pada September 2013. Pihak KPM sedang berunding dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) Mesir agar kemasukan pelajar Malaysia ditangguhkan untuk satu semester.

Manakala pelajar yang sedang bercuti di Malaysia juga diminta menangguhkan kepulangan ke Mesir termasuk pelajar-pelajar yang perlu menduduki peperiksaan ulangan. Pihak KPM sedang berunding dengan semua universiti di Mesir untuk menangguhkan peperiksaan ulangan bagi tempoh yang munasabah. Sekiranya keadaan di Mesir masih tidak membolehkan pelajar pulang untuk menduduki peperiksaan ulangan, pihak KPM sedang berusaha agar peperiksaan ulangan tersebut dapat diadakan di Malaysia.

Sekiranya krisis berlanjutan dan suasana tidak menentu sehingga memaksa evakuasi dilaksanakan, pihak KPM akan berunding dengan KPT Mesir agar pengajian semua pelajar Malaysia di Mesir ditangguhkan satu semester.

Namun begitu, sekiranya keadaan di Mesir tidak pulih dan tidak selamat bagi pelajar Malaysia meneruskan pengajian di sana, maka KPM akan membantu pelajar-pelajar yang terlibat mendapatkan tempat pengajian di negara-negara lain yang selamat dan di IPT swasta dalam negara.

Bagi tujuan penyelarasan berhubung pengajian pelajar, pihak penaja adalah dipohon supaya merujuk kepada KPM yang merupakan agensi yang bertanggungjawab menyelaras pengurusan pelajar di Mesir.

Untuk memastikan penyaluran maklumat yang tepat mengenai kedudukan pengajian pelajar Malaysia di Mesir, ibu bapa dan pelajar dinasihatkan hanya merujuk kepada KPM dan bukan kepada mana-mana agensi penempatan pelajar atau pihak-pihak lain. Bagi memudahkan ibubapa dan pelajar mendapatkan maklumat terkini, bilik operasi KPM telah dibuka mulai 16 Ogos 2013 dan boleh dihubungi untuk sebarangpertanyaan di talian 03-8870 6611 dan 03-8870 6627, e-mel : egyptcrisis@mohe.gov.my , facebook: https://www.facebook.com/pages/StudentWorld/207845832591425.

Kita berdoa agar keadaan di Mesir segera pulih dan semua pelajar Malaysia yang berkenaan dapat meneruskan pengajian mereka di sana dalam masa yang terdekat.

Pejabat Timbalan Perdana Menteri
16 Ogos 2013

No comments:

Post a Comment

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2017 PM Institute