[SUDUT PANDANG AZMAN HUSSIN] SASTERA MALAYSIA SEPERTI BERHALA?

Oleh : AZMAN HUSSIN

APAKAH sastera? Sajak, cerpen atau novel.

Sepatutnya ia bermanfaat, menyampaikan kebaikan, ilmu, pengajaran, dakwah, kefahaman tentang sesuatu perkara melalui cerita. Agar semua pendapat itu berkesan di hati pembaca, ia disampaikan dengan bahasa yang indah, cerita yang menarik sebagai kiasan atau lambang kepada idea tersebut. Ia bermaksud menyampaikan sesuatu yang mungkin tidak menarik, tidak berkesan dan tidak dipedulikan jika disampaikan dengan gaya bahasa yang biasa.

Kita berkomunikasi untuk menyampaikan sesuatu maksud atau mesej. Kita memilih perkataan yang sesuai untuk menyampaikan maksud itu. Jika apa yang kita bicarakan itu tidak difahami, kita telah gagal berkomunikasi.

Seperti bentuk pantun, cerita sebagai pembayang, dan maksud sebagai idea. Pembayangnya mestilah indah, dan maksudnya mestilah ada. Jika tidak ada pembayang (cerita), jadilah karangan itu sebagai artikel ilmiah yang kurang berkesan kepada kebanyakan orang awam seperti saya yang tidak berpendidikan tinggi. Untuk lebih berkesan, idea tadi disampaikan melalui cerita (kiasan), supaya ia lebih mudah diterima dan difahami.

Tetapi apabila membaca karya-karya sastera Malaysia hari ini dan sebelumnya, saya tidak tahu apa yang saya perolehi. Bagi saya, ia seolah-olah hanya permainan kata-kata, cerita-cerita yang aneh, gabungan perkataan yang tidak membawa makna tertentu, yang tidak dapat difahami. Jika difahami pun, hanya sebahagian ayat, dan sebahagian ayat lagi seolah-olah tiada kaitan. Itu yang saya dapat.

Ketepikan novel-novel remaja, popular atau cinta, ia setidak-tidaknya boleh difahami jalan ceritanya. Apa yang ingin dimaksudkan di sini adalah berkenaan karya-karya sastera seperti sajak dan cerpen.

Tanyalah kepada masyarakat, dan akuilah dengan jujur bahawa majoriti mereka sebenarnya tidak memahami karya-karya sastera. Mereka hanya menganggap sastera itu sebagai sebuah dunia asing. Mereka hanya mengkagumi seseorang tokoh sastera, tetapi tidak memahami apa yang ditulisnya. Sasterawan sudah menjadi seperti sebuah berhala yang dikagumi (dipuja), tetapi ia tidak memberi sebarang manfaat dan mudarat kepada mereka.

Jika sastera itu baik, tentulah karya-karya sastera itu laris di pasaran. Tetapi, sebaliknya tidak. Yang popular hanyalah novel-novel biasa yang boleh difahami, yang dibaca sekadar hiburan, sekadar untuk mengetahui akhir jalan cerita tersebut.

Walaupun saya juga seorang penulis, saya akui saya sendiri tidak memahami atau tidak dapat menghadam apa yang mahu disampaikan oleh kebanyakan penulis cerpen atau puisi di Malaysia. Saya banyak membaca, dan karya-karya sastera luar negara yang diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu pun tidak sesusah karya Malaysia.

Adakah saya bodoh?

Biarlah saya dianggap bodoh, asalkan saya tidak dua kali bodoh. Bodoh yang pertama kerana saya tidak memahami maksud sesebuah karya itu, dan bodoh yang kedua kerana berpura-pura memahaminya untuk mengelak dikatakan bodoh. Apa yang saya akui ini adalah jujur. Saya bercakap dengan jujur. Tidak ada sebab untuk saya menipu.

Kepada saya, menulis karya-karya sastera adalah medium untuk menyampaikan sesuatu. Idea, pandangan dan sebagainya. Tetapi bagaimana idea itu akan sampai kepada pembaca jika apa yang ditulis itu sukar difahami, malah ada yang tidak dapat difahami langsung. Sastera seolah-olah telah mempersulit lagi pemahaman.

Kerana masyarakat pembaca tidak menulis, maka pandangan mereka terhadap sastera tidak diketahui. Hanya kedengaran penulis yang merungut bahawa masyarakat yang bodoh kerana tidak mencintai sastera, tidak memahami sastera. Adakah ini adil? Penulis kononnya bijaksana, dan pembaca adalah orang yang bodoh. Jika begitu, tugas penulislah untuk memahamkan mereka, bukannya menyatakan pembaca itu bodoh jika tidak memahami sastera.

Apabila dikatakan perkara ini, para penulis seperti bersepakat dalam diam menentang pandangan masyarakat kebanyakan ini.

Perkara ini mengingatkan saya kepada sebuah cerita sastera klasik Denmark, yang dikumpul oleh Hans Christian Andersen, berkenaan seorang maharaja yang amat menyukai persalinan baru. Baginda akan mengadakan perarakan setiap kali menerima hadiah pakaian baru.

Suatu hari dua orang penipu telah memperdaya maharaja tersebut. Mereka telah meminta maharaja menyediakan kain dan benang-benang emas untuk menenun sejenis corak kain yang istimewa untuk dijadikan satu persalinan pakaian yang hebat. Sebenarnya dua orang penipu tadi tidak pun menjahit pakaian tersebut. Mereka telah melarikan semua kain dan benang-benang emas itu.

Dua orang penipu ini telah memberitahu maharaja bahawa sesiapa yang kelak tidak dapat melihat pakaian yang istimewa ini adalah golongan orang yang bodoh. Kerana terpedaya dengan cerita ini, dan baginda sendiri takut tidak dapat melihatnya, baginda telah mengarahkan perdana menteri untuk melihat pakaian tersebut sebelum baginda memakainya.

Apabila perdana menteri tidak melihat apa-apa di bengkel menjahit itu, beliau tidak berani menyatakan perkara sebenar kerana takut dianggap bodoh. Beliau malah telah berpura-pura memuji pakaian tersebut sebagai sebuah hasil jahitan dan rekaan yang sangat cantik dan belum pernah dilihatnya seumur hidup.

Pada hari perarakan, rakyat telah diberitahu bahawa sesiapa yang tidak dapat melihat pakaian maharaja adalah golongan orang yang bodoh. Walaupun maharaja tidak memakai seurat benang, rakyat yang takut dikatakan bodoh ini telah berpura-pura memuji pakaian maharaja sehingga maharaja sendiri telah mempercayainya.

Rakyat telah bersorak-sorai menyambut maharaja di sepanjang jalan. Rakyat seperti sepakat berlagak pandai dalam diam untuk menyatakan pakaian maharaja adalah persalinan tercantik yang pernah mereka lihat.

Tiba-tiba seorang kanak-kanak telah berteriak memberitahu yang maharaja tidak memakai apa-apapun. Ketika itulah semua rakyat tersedar bahawa mereka tidaklah bodoh, tetapi telah diperbodoh untuk mempercayai bahawa maharaja memakai pakaian yang istimewa, walhal baginda bertelanjang bulat.

Hari ini ,masyarakat seolah-olah telah bersepakat untuk menerima bahawa sesebuah karya itu ada maknanya, ada nilai seninya, walaupun mereka tidak memahaminya. Untuk mengakui mereka tidak memahaminya, mereka takut dikatakan bodoh. Mereka menganggap sastera itu dihasilkan oleh orang-orang yang hebat, yang bijaksana pemikirannya.

Perdana menteri, iaitu orang-orang besar sastera seperti pengkritik sastera, telah memuji dan mengangkat sesebuah karya itu sebagai bermutu kerana takut menyatakan mereka sendiri tidak memahami maksud sesebuah karya itu. Mereka sendiri hanya meneka-neka ketika mengulas dengan menggunakan pelbagai teori yang kosong. Maka karya-karya sastera yang tidak difahami ini seolah-olah telah menjadi maksum dan tidak boleh disentuh lagi.

Saya tidak menyatakan seratus-peratus karya sastera Malaysia seperti ini. Saya harap kita semua tahu sama tahu siapa penulis-penulis yang saya maksudkan telah menghasilkan karya-karya sebegitu. Apabila saya katakan dunia sastera Malaysia penuh penipuan, tentulah ramai yang akan menentang saya. Ini sesuatu yang tidak masuk akal. Saya tidak pelik. Banyak lagi penipuan lain dalam dunia ini yang terus diiktiraf walaupun ada orang yang mengetahui itu adalah suatu penipuan. Misalnya seperti sistem wang kertas hari ini.

Biarlah saya dianggap bodoh seperti kanak-kanak dalam cerita dongeng tadi. Saya tidak peduli, kerana saya tidak mahu lagi berpura-pura untuk menyatakan saya memahami apa yang mahu disampaikan oleh penulis-penulis ini, sedangkan saya memang tidak dapat memahaminya, apatah lagi untuk mengambil pelajaran daripada karya-karya sebegitu.

* Penulis merupakan karyawan dunia sastera sejak tahun 1998 dan pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana 1998-1999 dalam kategori cerpen.

Post a Comment

0 Comments