PENAHANAN 'SULTAN MELAKA' BERSANDARKAN PERLEMBAGAAN - @Zahid_Hamidi @dwjunaidi @KDNPUTRAJAYA

Oleh : BERNAMA

PUTRAJAYA, 14 Jan - Penahanan Raja Noor Jan Shah Raja Tuah yang mendakwa dirinya 'Sultan Melaka' di Jasin, Melaka adalah berdasarkan undang-undang negeri dan Perlembangaan Persekutuan, kata Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Zahid Hamidi.

Berdasarkan Sejarah Melayu dan bahan kajian seperti Hikayat Hang Tuah, beliau berkata Sultan Melaka yang terakhir ialah Sultan Mahmud Shah (1488-1511) dan selepas itu tiada sultan di negeri itu.

Selain itu, beliau berkata apabila penubuhan Negeri-Negeri Selat yang terdiri daripada Melaka, Pulau Pinang dan Singapura, dari segi Perlembangaan Negeri dan Perlembangaan Persekutuan tidak ada mana-mana individu yang boleh mendakwa atau menuntut tahkta kesultananan di negeri-negeri tersebut.

"Dalam hal ini, polis mengambil tindakan adalah berdasarkan pada perundangan yang ada pada kerajaan negeri, Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri dan juga Perlembangaan Persekutuan.

"Saya harap mana-mana individu dan kumpulan yang mahu menuntut tahkta Melaka harus melupakan hasrat itu. Lihat fakta, sejarah dan perundangan. Ini harus diakui sebagai hakikat dan kenyataan," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pelancaran Pasukan Bola Sepak PDRM di sini hari ini.

Raja Noor Jan Shah ditahan pada 10.50 pagi bagi membantu siasatan mengikut Akta Hasutan berhubung dakwaan telah mengadakan beberapa majlis penganugerahan pingat, bintang dan darjah kebesaran yang tidak diiktiraf.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata pelajar asing yang mahu bekerja separuh masa di restoran makanan segera perlu memaklumkan kepada Jabatan Tenaga Kerja dan Jabatan Imigresen.

Mengenai Timbalan Menteri Pendidikan P.Kamalanathan yang mendakwa ditumbuk oleh seorang lelaki berhubung soal pertukaran guru, di pejabat Pusat Khidmat Ahli Parlimen Hulu Selangor di Bandar Bukit Beruntung, Rawang, Ahmad Zahid menyifatkan ia perbuatan yang amat memalukan.

"Kamalanathan sebagai timbalan menteri pendidikan yang mewakili institusi pendidikan negara ini harus dihormati. Lagipun, soal pertukaran guru merupakan soal peraturan yang sedia ada di Kementerian Pendidikan.

"Kamalanathan telah membuat laporan polis dan kita akan mengambil tindakan pada individu yang melakukan perbuatan itu," katanya.

Post a Comment

0 Comments