ARTIKEL TERKINI

SUNNAH

SYIAH

SASTERA

EBOOK

Sunday, 11 January 2015

TIPS UMRAH : KETIKA BERADA DI MADINAH AL-MUNAWARAH

Oleh : Jebat

Umrah tidak berlaku di Madinah. Maka dengan itu tidak ada keperluan memakai ihram, tawaf atau sai'e disini. Sebaliknya jemaah umrah datang ke Madinah adalah bertujuan untuk menziarahi masjid Nabi selain mengambil peluang yang ada untuk bersolat di dalam masjid tersebut.

Ini bertepatan dengan sabda Nabi ﷺ yang bermaksud;

Dari Abu Hurairah Radiallahu Anhu dari Nabi Muhammad ﷺ  sabdanya : "Tidak sepatutnya ( bersusah payah ) keluar belayar ( untuk menziarahi mana-mana masjid ) kecuali ( pergi ) ketiga-tiga buah masjid ( yang berikut ) : Masjidil Haram di Mekah, Masjidir Rasul ( Masjidi an-Nabawi di Madinah ) dan Masjidil Aqsa  di Palestin." (Hadis Riwayat Bukhari)

Malah terdapat satu hadis yang memberikan keistimewaan kepada masjidil Nabawi berbanding masjid-masjid lain kecuali Masjidil Haram. Hadisnya berbunyi seperti berikut;

Dari Jabir r.a. bahawa Rasulullah ﷺ bersabda: Satu sambahyang dimasjidku lebih afdhal daripada seribu sembahyang di masjid-masjid yang lain, kecuali masjidil Haram (dimekah): dan satu sembahyang di masjidil haram pula lebih afdhal daripada seratus ribu sembahyang di masjid-masjid yang lain. (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Huraian hadis :

a) Mereka yang mengerjakan sembahyang di Masjid Nabawi akan mendapat seribu fadilat, manakala mereka yang mengerjakan sembahyang di masjidil Haram pula mendapat seratus ribu fadhilat.

b) Kelebihan Masjidil haram di mekah adalah disebabkan di dalamnya terletak Kaabah yang menjadi kiblat seluruh umat Islam di dunia ini.

c) Oleh itu Rasulullah SAW amat menggalakkan umatnya yang datang mengerjakan haji dan umrah agar dapat mengerjakan sembahyang sebanyak mungkin di kedua-dua masjid ini kerana fadhilatnya yang amat besar itu.

Itu adalah sebahagian kelebihan yang ada pada Masjid Nabi. Namun begitu dalam penulisan ini, penulis tidak mahu membicarakan perkara ini dengan panjang lebar, kerana sudah banyak artikel-artikel yang ditulis mengenai kelebihan Masjidil Haram, Masjidil Nabawi dan Masjidil Aqsa. Anda hanya perlu google sahaja.

Disini penulis nak berikan tips kepada bakal jemaah umrah yang bakal menziarahi kota Nabi, Madinah Al-Munawarah dan terutama sekali Masjid Nabi.

1. Adalah sebaiknya anda berusaha untuk solat di saf paling hadapan dalam Masjid Nabawi.

2. Jika berpeluang untuk memasuki Raudhah, maka gunakan peluang ada untuk bersolat dengan solat-solat sunnah. Namun ketika solat wajib berlansung, maka keperluan untuk memenuhkan saf hadapan adalah lebih utama dari bersolat di dalam kawasan raudhah.

3. Waktu yang kurang pengunjung ke Masjidil Nabawi adalah antara pukul 1, 2 atau 3 pagi (Waktu Saudi). Pada kebiasaanya, pada waktu ini, jemaah Nusantara (Kepulauan Melayu seperti Malaysia dan Indonesia) telah bangun dari tidur, kerana waktu di Tanah Air adalah sekitar 6 atau 7 pagi. Jadi bagi mereka yang selalu bangun awal untuk subuh di Tanah Air, maka secara biologinya, secara automatik anda akan terjaga pada waktu ini. Seperti yang penulis katakan dalam artikel sebelum ini, jangan buang masa dengan tidur. Tidurlah sekadar ala kadar sahaja.

 4. Tidak diwajibkan untuk anda menziarahi Makam Rasulullah ﷺ setiap kali selesai waktu solat wajib. Bagi penulis, cukuplah hanya sekali menziarahi dan memberi salam keatas Rasulullah ﷺ dikawasan makamnya. Dan tidak perlu berasak-asak untuk ke makam sejurus selesai waktu solat. Untuk perbincangan lanjut, layari : http://islamqa.info/en/69807

5. Berdoa menghadap Kiblat dan bukannya menghadap makam Rasulullah ﷺ

6. Seperti di Masjidil Haram, solat jenazah berlaku setiap hari pada setiap waktu solat wajib.

7. Pada kebiasaanya, pada hari Jumaat, pintu masuk ke dalam masjid paling hadapan akan ditutup dengan kanvas. Untuk memastikan anda mendapat tempat dalam kawasan paling hadapan Masjid, pastikan anda datang awal. Sebaik-baiknya pada waktu Subuh anda sudah mula beriktikaf dalam Masjid Nabi.

8. Kawasan Raudhah ditandai dengan karpet yang berwarna hijau dan pada kebiasaanya ditutup dengan Kanvas. Ini bagi menghalang jemaah berpusu-pusu untuk bersolat dalam kawasan tersebut. Namun jangan kecewa jika anda tidak berkesempatan memasuki ke kawasan tersebut. Berdoalah agar anda diberikan kesempatan. Namun sekiranya anda sudah berpeluang memasuki kawasan tersebut, janganlah berlama-lamaan dalam kawasan tersebut. Berilah peluang kepada jemaah lain untuk merasai beribadah dalam ruangan berkenaan. Lagipun, sepertimana penulis katakan dalam siri penulisan sebelum ini, bukan anda seorang sahaja nak masuk syurga!.


9. Memang banyak pintu-pintu masuk yang dapat membantu anda memasuki ruangan dalam Masjidil Nabawi. Namun begitu, penulis mengesyorkan kepada bakal jemaah umrah untuk berusaha memasuki Masjidil Nabawi melalui Pintu Abu Bakr yang terletak bersebelahan dengan Pintu Salam dan Pintu Rahmat. Tidak ada sebarang kelebihan memasuki Masjidil Nabawi melalui pintu ini, melainkan pintu ini tidak pernah mengecewakan penulis untuk memasuki ruangan utama Masjidil Nabawi. Selain itu ada penemuan yang menarik yang penulis temui ketika bersolat di kawasan pintu ini. Namun disinilah penulis berjumpa dengan seorang insan yang penulis sendiri tidak menyangka untuk dipertemukan. Semoga Allah merahmatinya dan memberkati ahli keluarganya.


10. Jangan sesekali berusaha ke pintu Masjid lalu mengelap-gelap atau menyapu muka sejurus memegang logam-logam ukiran yang terdapat di pintu masjid dengan anggapan bakal memperolehi memperolehi syafaat atau keberkatan. Ketahuilah perbuatan berkenaan bertentangan dengan Al-Quran dan Sunnah. Penulis lihat banyak orang Iran / Syiah melakukan perbuatan ini di pintu-pintu Masjid yang berukir nama Nabi.


11. Jika berkesempatan melawat perkuburan Baqi, maka pergilah. Lagipun bukan selalu anda dapat memijak tanah Baqi. Namun cukuplah ziarah ke Kuburan itu dilakukan hanya sekali. Pada kebiasaanya, kawasan perkuburan itu dibuka pada awal pagi selepas Subuh. Namun wanita dilarang memasukinya. 

12. Lakukan sunnah-sunnah ketika melawat ke kubur seperti memberi salam dan mendoakan kesejahteraan kepada penghuninya. Ingat!! Anda doakan mereka, bukan anda minta mereka doakan anda!!!

13. Patuhi peraturan yang ditetapkan oleh pihak keselamatan Saudi ketika anda memasuki kawasan perkuburan tersebut. 

14. Jangan sesekali mengambil tanah, batu atau apa sahaja yang terdapat di dalam kawasan perkuburan Baqi. Penulis ada melihat segelintir jemaah umrah, dari Pakistan barangkali yang mengambil tanah dikawasan tersebut. Namun perbuatan tersebut ditegur oleh sekumpulan anak muda dari Indonesia (Barangkali mahasiswa Universiti Islam Madinah). Namun teguran tersebut tidak diendahkan.

15. Jangan berselfie di perkuburan Baqi. Ini kubur! Bukan Studio! Tetapi jika anda mahu mengambil gambar, pastikanlah tujuan utama anda. Penulis juga mengambil gambar di perkuburan Baqi, tapi bukan untuk bersuka-suka, sebaliknya untuk tujuan pendidikan. Namun begitu, terdapat papan maklumat yang didirikan oleh kerajaan Saudi tentang adab-adab berziarah. Ambillah sedikit masa membaca apa yang tertulis pada papan kenyataan tersebut. Dan mengenai gambar, sememangnya pihak keselamatan Saudi tidak membenarkan sebarang aktiviti pengambaran dikawasan berkenaan. Jika anda kantoi mengambil gambar...Pandai-pandailah nak menjawab dengan pihak keselamatan Saudi.

16. Ketahuilah, bahawa kubur-kubur di Baqi itu adalah kubur-kubur yang mengikuti spesifikasi kubur yang diperintahkan oleh Rasulullah ﷺ. Maka bandingkanlah dengan kubur-kubur di tanah air kita.

17. Kubur bukan tempat beribadah. Jadi kalau nak baca Al-Quran, laksanakan di Masjid atau diluar kawasan kubur.

18. Jangan berdoa menghadap kubur. Sebaliknya berdoalah menghadap kiblat!

19. Penulis tidak menggalakkan anda untuk berada diluar kawasan yang berjauhan dengan Masjidil Nabawi sekitar radius 1 kilometer. Ini kerana apabila anda berada terlalu berjauhan dengan Masjidil Nabawi, anda berkemungkinan akan terlepas peluang untuk bersolat di Masjid berkenaan.

20. Sekiranya anda tetap mahu dan berkeinginan untuk melakukan ziarah luar seperti melawat Masjid Quba, Masjid Qibalatain dan lain-lain lagi, jangan lupa melakukan solat tahyatul masjid di masjid-masjid yang anda lawati. Dan sekiranya masuk waktu solat, berusahalah untuk berjemaah disitu. Namun ingatlah, pahala di masjid-masjid selain Masjidil Haram, Masjidil Nabawi dan Masjidil Aqsa adalah jauh lebih rendah berbanding masjid-masjid yang yang disebutkan tadi.

21. Sekiranya Mutawwif mahu mengadakan lawatan / ziarah luar berlaku pada hari Jumaat atau sebelum solat Jumaat. Penulis harapkan anda tidak menyertai kumpulan berkenaan. Ini kerana adalah lebih baik anda beriktikaf dan melaksanakan solat Jumaat di Masjid Nabi dari menghabiskan masa di masjid-masjid lain. Ingat!!! Bersolat di Masjid Nabawi mempunyai kelebihan yang lebih besar berbanding masjid-masjid yang lain kecuali bersolat di Masjidil Haram.

22. Jika anda kehausan, jangan bimbang. Di Madinah, kemudahan meminum air Zam-Zam disediakan secara percuma di dalam dan disekitar kawasan Masjid. Jadi minumlah sepuas-puasnya.

23. Jika anda mahu membeli belah. Maka Madinahlah tempat yang paling sesuai. Selain lokasi kedai dan shopping complex yang berhampiran dengan Masjid Nabawi, Madinah juga menawarkan harga barangan yang lebih murah sedikit daripada Makkah. Berdasarkan penelitian penulis keatas design jubah misalnya, jubah-jubah yang dijual di Madinah lebih 'smart' berbanding jubah-jubah yang dijual di Makkah. Namun dalam bab kedai makan pula, penulis akui Makkah lebih banyak pilihan berbanding Madinah. Apa-apa pun, jangan kepada jemaah yang hendak membeli belah, jangan lupa untuk tawar menawar!

24. Jika anda mahu mewakafkan Al-Quran, terdapat individu-individu yang menjual Al-Quran bagi tujuan wakaf. Anda boleh beli dari individu berkenaan atau menyalurkan wang anda kepada kedai-kedai buku yang terletak berhampiran dengan kawasan Masjid.

Akan datang > Tips Umrah : Menyalurkan Sedekah

1 comment:

بِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.

© 2008-2016 Pena Minang Institute