Modul negara manakah yang akan dijadikan sandaran oleh para Hizbi alias parti Islam? Apakah model negara Rasulullah saw walhal model negara tersebut mustahil untuk diwujudkan kembali, melainkan Allah mengangkat Mursyidul Am mereka menjadi Nabi. Yang pasti model ini akan dijelmakan semula ketika pemerintahan Nabi Isa yang penuh berkat, sampaikan sapi dan singa saling berkawan, tidak menerkam.
Lalu apakah empat model negara Khalifah Ar Rasyidin yang diinginkan mereka? Jika mereka ingin menegakkan negara seperti ini, maka mereka wajib memiliki peribadi seperti keempat-empat khalifah tersebut, serta masyarakat pula menggapai keperibadian yang sama dengan watak dan citra para sahabat, tabi’in dan tabi’ut tabi’in. Sungguh ini satu hal yang mustahil, walaupun PAS mungkin pernah menganggap Lim Guan Eng itu seperti Umar bin Abdul Aziz, cicitnya Umar Al Khattab. Kenyataan ini laksana jauh panggang dari api, ibarat bermimpi di siang hari.
Model Kesultanan Umayyah
Atau model negara yang dibangunkan oleh ipar Rasulullah saw iaitu Muawiyah r.a yang kemudiannya mewariskan takhta kepada anaknya Yazid dalam waktu keributan politik. Yazid hanya memerintah selama empat tahun lalu mewariskan kepada anaknya, Muawiyah bin Yazid. Perlu kita ketahui bahawa Yazid bin Muawiyah adalah seorang tabi’in, pemerintah yang alim dan hamba yang soleh. Ini diakui oleh Ibnul Hanafiyah dengan katanya: “Aku tidak pernah melihat pada dirinya perkara yang kalian tuduhkan. Sungguh aku pernah berada di sisinya dan tinggal dekat dengannya. Maka yang aku lihat dia seorang yang sentiasa menjaga solat, bersemangat melakukan amal kebaikan, sering bertanya tentang fiqh dan sentiasa berpegang kepada sunnah” (lihat Al Khulafaa Ar Rasyidun wa Ad Daulah Al Umawiyah li As Sanah Ats Tsaniyah Al Mutawassithah).
Sejarah tidak pernah menceritakan hakikat sebenar Daulah Umayyah kerana catatan sejarah tentang mereka ini ditulis saat berdirinya musuh mereka iaitu Daulah Abasiyah. Walhal pemerintah Daulah Umayyah terdiri daripada sahabat nabi, para Tabi’in dan Tabi’ut Tabi’in serta para ulama’ yang kuat menjaga agama serta persatuan umat. Namun mereka diwatakkan sebagai perakus, penjahat, perubah agama dan berbagai macam tuduhan lagi.
Muawiyah bin Yazib, seorang Tabi’in juga seperti ayahnya, pada tahun 64H telah mewarisi sebuah kerajaan yang besar, lalu mengundurkan diri selang beberapa bulan. Dia meninggalkan istana lalu mengasingkan diri agar tidak terjerumus dalam perang saudara antara Daulah Umayyah dan Daulah Ibnu Zubair di Hijaz. Dia pergi tanpa menunjukkan pengganti khalifah al Uzma. Daulah Umayyah berpecah lantas Abdul Malik Bin Marwan, anak saudara Muawiyah Bin Abu Sufyan, seorang pemuka ulama’ Madinah, juga seorang Tabi’in tampil memegang kendali Daulah Umayyah.
Dibawah Abdul Malik, maka Dinasti Umayyah kembali tertegak, lalu dia disebut sebagai pendiri kedua Dinasti Umayyah. Dialah yang mencipta mata wang Islam sekaligus menolak penggunaan Dinar dan Dirham dari Rom dan Parsi, yang membuat Rom dan Parsi makan hati. Beliau teguh diatas sunnah dan sangat membenci golongan bid’ah. Dikahwinkan anaknya Fatimah dengan anak saudaranya iaitu Umar Bin Abdul Aziz. Kononnya anak saudaranya ini persis seperti seorang pemerintah kafir yang mahu menggunakan kalimah Allah di dalam Injil. Seruan kita: Masuklah Islam nescaya kalian boleh menggunakan kalimah Allah tanpa halangan.
Model Daulah Khawarij Di Yamamah
Menariknya, saat Muawiyah bin Yazid meninggalkan kerusi khalifah, Abu Thalut Salim bin Mathar Al Mazini menggempur Yamamah sehingga berhasil menguasainya. Tertegaklah kerajaan Khawarij pada tahun 64H. Kerajaan Khawarij ini mula menyerang negeri di sekitar Yamamah dan melebarkan lingkungan negara mereka. Setelah dua tahun memerintah, kaum Khawarij melucutkan jawatan Abu Thalut lalu mengangkat Najdah bin ‘Amir Al Hanafi. Alasan Abu Thalut dijatuhkan kerana dikatakan telah bersikap zalim. Saat ini Kerajaan Khawarij semakin membesar sehingga menguasai Bahrain, Oman malah sampai ke Yaman dengan jatuhnya Kota Sana’a.
Cukup lima tahun memerintah, pada tahun 71H, Najdah dilucutkan jawatan oleh kaum Khawarij lalu dia menunjukkan teman rapatnya sebagai pengganti; Abdullah bin Tsaur atau lebih dikenal sebagai Abu Fudaik. Najdah dilucutkan atas alasan yang sama: zalim dan tidak adil. Tanpa belas kasihan, pemerintah baru ini menjatuhkan hukuman pancung atas kawan baiknya. Bergoleklah kepala Najdah dari tubuhnya, begitu pula berantakan kerajaan Khawarij di bawah pentadbiran Abu Fudaik.
Sebenarnya Kaum Khawarij mengimpikan manusia maksum memerintah mereka. Apabila penguasa tersebut tersalah maka mereka membangkang dan menurunkannya. Akibatnya kerajaan tidak mampu mentadbir dengan baik, rancangan dan gagasan yang telah digubal gagal dilaksanakan dengan sempurna, ironinya manusia tidak ada yang sempurna melainkan para nabi. Lihat dalam masa yang sama, Abdul Malik berjaya menyatupadukan seluruh kerajaannya yang berderai tatkala Muawiyah bin Yazid pergi tanpa sepatah kata. Pada tahun 73H, dibawah semboyan Panglima ‘Umar bin Abdullah bin Ma’mar, kerajaan Umayyah berjaya meranapkan kerajaan Khawarij yang kerjanya asyik melantik dan menurunkan pemerintah negara mereka.
Kita tidak perlu pergi jauh-jauh untuk menyelak lembar-lembar sejarah. Cukup kita meneropong ke Mesir. Tahun yang lalu mereka membanjiri Dataran Tahrir untuk menumbangkan Husni Mubarak. Setelah berjaya lalu mereka mengangkat Dr Mohamed Morsi. Tidak sampai berapa lama pemimpin baru ini mentadbir, maka mereka mula turun padang menjadi demonstran sekali lagi, dengan matlamat menumbangkan Dr Morsi yang kononnya gagal memerintah dengan adil. Percayalah jika Dr Morsi ini diturunkan lalu mereka melantik pemimpin baharu, selang masa nanti pasti mereka akan sekali lagi menjerit memekik untuk menukar pemimpin negara mereka. Putaran ini terus berlalu sehingga Mesir menjadi mundur dan rakyat menjadi hina, kemiskinan mewabak dan kebodohan melata.
Zakat Lambang Kemakmuran Negeri
Jika Malaysia mengalami nasib yang sama, tidak henti-henti rakyat keluar ke jalanan membentuk lautan, dengan tujuan melantik dan kemudian melucut jawatan Pemimpin Negara, tanpa sedar negara tercinta ini akan menjunam ke lembah kebinasaan. Penghidupan tidak berjaya dipulihkan, kemakmuran tidak mampu dilestarikan, kedaulatan akan rapuh dan goyang, mungkin-mungkin negara luar akan melancarkan serangan.
Lihat bagaimana Kelantan selama 21 tahun dibawah pentadbiran Mursyidul Am mereka, masih menjadi negeri yang miskin sampai-sampai bekalan air paip yang disalurkan keruh dan berkeladak. Tetapi dalam masa yang sama mereka menjanjikan air percuma kepada rakyat! Lebih menakjubkan Nik Aziz hanya mampu membina tiga buah masjid selama tiga penggal memerintah, walhal azan dan solat adalah syiar Islam yang terbesar. Antara ciri negara Islam yang diterangkan oleh para hukamah adalah adanya masjid yang dilambangkan.
Begitu juga nilai zakat yang dikumpulkan oleh Kejaraan Kelantan kurang berbanding negeri Pahang, misalnya pada tahun 2010 pungutan zakat Kelantan hanya berjumlah RM70j sementara Pahang berjaya mengutip RM80j. Walhal jumlah penduduk Muslim di Kelantan (1.52 juta Muslim) lebih banyak berbanding Pahang (1.11 juta Muslim). Hakikatnya kutipan zakat adalah indikasi rambang kepada kemajuan sesebuah negara. Diriwayatkan bahawa di zaman Khalifah Ali, Baitul Mal dipenuhi dengan emas menimbun lantas Ali memerintahkan agar harta baitul mal diagihkan sampai licin. Sedangkan di zaman Umar Abdul Aziz memerintah, Gabenor Afrika dan Wilayah Maghrib, Ismail bin ‘Ubaidillah tercari-cari orang yang layak mendapat zakat di sana!
Ketahuilah Islam adalah agama ilmu sekaligus menjadikan masyarakatnya bertamadun. Dunia telah menyaksikan kerajaan Islam dahulu menjadikan rakyatnya maju dan kaya raya, yang semuanya ini bermuara kepada ilmu pengetahuan. Namun tatkala Kelantan masih merangkak, pasti ada sesuatu yang lompong atau salah. Ternyata pemahaman pemerintah Kelantan iaitu PAS adalah memahaman yang melencong, yang diusung adalah aqidah Neo Khawarij dan menerima Syiah Rafidhah. Tetapi apakah kita bersedia untuk berislam dengan pemahaman yang benar-benar diambil dari generasi salaf as soleh? Inilah persoalan yang sukar dijawab, melainkan hidayah dari Tuhan Rabbul Jalil.
Kota Kinabalu, Sabah
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.