INFO PRU 13 : 10 BENDA BARU DALAM PILIHANRAYA UMUM 2013!!!


Oleh : AntaraPos

Berikut adalah perkara-perkara yang diperkenalkan SPR untuk PRU-13:

i. Penggunaan dakwat kekal

Dakwat kekal merupakan salah satu perkara baru yang akan dilaksanakan oleh SPR dalam PRU-13 di mana setiap pengundi diwajibkan jarinya dicalit dengan dakwat kekal sebelum kertas undi dikeluarkan kepada pengundi.

Objektif dakwat kekal ialah untuk mengelakkan daripada berlakunya percubaan oleh mana-mana pengundi untuk mengundi lebih daripada sekali dan memastikan ketelusan dan integriti pilihan raya.

Perkara ini sejajar dengan salah satu daripada lapan tuntutan yang dikemukakan oleh Gabungan Pilihan Raya Adil dan Bersih (BERSIH) yang mendakwa penggunaan dakwat kekal boleh mengelakkan kewujudan pengundi hantu sewaktu hari pembuangan undi.

ii. Pengundian awal

Sebelum ini banyak pihak yang mempertikaikan ketelusan perjalanan proses Undi Pos kepada anggota dan tentera dan pasangan. Sebagai langkah mereformasikan sistem Undi Pos, SPR telah memperkenalkan proses Pengundian Awa bagi anggota tentera serta pasangan dan anggota polis serta pasangan kepada anggota Polis Gerakan Am (PGA).

Ditetapkan tiga hari lebih awal dari hari pengundian biasa, ia akan dijalankan di dalam suatu tempat mengundi yang ditetapkan SPR iaitu di Ibu Pejabat Kontinjen/Ibu Pejabat Daerah bagi polis; di kem bagi tentera.

Pengundian awal akan dijalankan mengikut kaedah pengundian biasa dengan dikendalikan oleh para petugas SPR dan tidak lagi menggunakan anggota-anggota polis atau tentera.

Tuntutan Bersih sebelum ini turut menggesa SPR supaya mereformasikan undi pos di mana dakwanya semua pengundi seharusnya dibenarkan untuk mengundi melalui undi pos atau mengundi lebih awal sekiranya seseorang individu itu tidak dapat berada di kawasan pengundian semasa hari mengundi.

iii. Pengubahsuaian susun atur dalam tempat mengundi (saluran)

Bagi meningkatkan ketelusan proses pengundian di tempat mengundi (saluran), SPR telah membuat keputusan untuk mengubah suai susun atur dengan meletakkna tempat duduk bagi Ejen Tempat Mengundi (ETM) berhadapan dengan peti undid an menghadap pintu masuk saluran.

Perubahan tempat duduk duduk ETM ini untuk memastikan mereka dapat melihat dengan jelas setiap pengundi yang masuk ke dalam tempat mengundi untuk mengundi.

iv. Membenarkan orang dipercayai oleh Orang Kelainan Upaya (OKU) untuk membantu proses pengundian.

Bagi maksud memberi kemudahan kepada OKU samada cacat penglihatan atau kecacatan fizikal lain pada hari pengundian, SPR telah meminda peraturan 19 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) 2012, diwartakan pada 13 Februari 2012.

Dengan pindaan kepada peraturan ini, mana-mana OKU boleh membawa mana-mana orang yang dipercayai oleh OKU untuk membantu semasa proses pengundian di tempat mengundi.

Orang yang dipercayai dan dinamakan oleh pengundi OKU itu hendaklah seorang warganegara berumur 21 tahun dan ke atas dan tidak semestinya berdaftar sebagai pemilih.

v. Pemansuhan bantahan terhadap kertas penamaan pada hari penamaan

Buat pertama kali, dalam PRU-13 ini, proses bantahan terhadap kertas penamaan pada Hari Penamaan Calon akan dimansuhkan. Ini selaras dengan pindaan Peraturan 7 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya) (Pindaan) (No.2) 2012 yang diwartakan pada27 April 2012 dan berkuatkuasa pada 30 April 2012.

Sebelum ini selepas tempoh penyerahan kertas penamaan calon (dari jam 9.00 pagi hingga 10.00 pagi), kertas penamaan itu akan dipamerkan untuk semakan atau bantahan oleh mereka yang layak membuat bantahan. Dengan pindaan tersebut, maka tidak ada lagi tempoh bantahan. Selepas setiap kertas penamaan diterima, Pegawai Pengurus akan menyemak secara teliti dari sudut kelayakan setiap bakal calon yang hendak bertanding dalam pilihan raya.

vi. Larangan menarik balik pencalonan pada hari penamaan

Penarikan balik pencalonan pada Hari Penamaan Calon dimansuhkan. Ini adalah selaras dengan pindaan Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya)(Pindaan)(No. 2) 2012 yang diwartakan pada 27 April 2012 dan berkuat kuasa pada 30 April 2012.

Dengan pindaan ini, maka tempoh untuk SPR mencetak kertas undi menjadi lebih cepat kerana tidak perlu menunggu ‘tempoh bertenang’ selama tiga hari seperti yang diamalkan sebelum ini.

vii. Memberi kemudahan mengundi secara pos kepada petugas media dan petugas SPR

Mulai PRU-13, SPR akan memberikan kemudahan untuk mengundi secara pos kepada petugas-petugas SPR pada PRU-13 nanti. Bagi petugas-petugas media, kemudahan mengundi secara pos diberikan kepada mereka yang bertugas untuk membuat liputan pilihan raya di luar kawasan pendaftaran sebagai pengundi.

Bagi petugas-petugas SPR pula, kemudahan mengundi secara pos ini diberikan kepada mereka yang mengundi di pusat mengundi yang berbeza dengan tempat dia bertugas.

viii. Memberikan kemudahan mengundi secara pos kepada warganegara Malaysia di luar negara mulai PRU-13.

SPR memberi kemudahan untuk mengundi secara pos kepada semua Warganegara Malaysia di luar negara yang layak serta memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan. Untuk ini, SPR telah mengadakan beberapa mesyuarat dengan Kementerian Luar Negeri dan Jabatan Imigresen Malaysia bagi membincangkan perkara-perkara berkaitan pelaksanaannya.

Warganegara Malaysia di luar negara yang memohon kemudahan untuk mengundi secara pos perlulah memenuhi syarat-syarat yang telah ditetapkan oleh SPR seperti yang berikut:

a) Mestilah seorang pemilih berdaftar
b) Pernah berada di Malaysia atau kembali ke Malaysia tidak kurang dari 30 hari dalam tempoh 5 tahun sebelum pembubaran Parlimen atau Dewan Undangan Negeri yang sedang berkuat kuasa.
c) Menetap di luar negara KECUALI bagi mereka yang tinggal di Selatan Thailand, Singapura, Brunei dan wilayah Kalimantan Indonesia yang idak layak untuk mengundi secara pos dan perlu balik mengundi pada hari pengundian dijalankan.

ix. Memanjangkan tempoh kempen kepada tidak kurang daripada 10 hari.

Satu lagi tuntutan BERSIH adalah supaya SPR melaksanakan masa kempen minima 21 hari. Ini kerana dakwa mereka, masa yang lebih panjang diperlukan untuk calon menyebarkan maklumat, terutamanya di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Namun begitu untuk PRU-13 ini, SPR cuma memanjangkan tempoh kempen kepada tidak kurang daripada 10 hari. Dengan adanya proses Pengundian Awal, tempoh kempen ialah sekurang-kurangnya sepuluh hari selaras dengan pindaan Peraturan 3 Peraturan-peraturan Pilihan Raya (Penjalanan Pilihan Raya)(Pindaan)(No. 2) 2012 yang diwartakan pada 27 April 2012 dan berkuatkuasa pada 30 April 2012.

Walau bagaimanapun, tempoh kempen sebenar adalah tertakluk kepada keputusan SPR yang akan dibuat semasa Mesyuarat Khas selepas Parlimen dibubarkan.

x. Memberikan akses media yang bebas dan saksama kepada calon yang bertanding.

SPR dengan kerjasama Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK), bersedia untuk memberikan akses kepada media awam kepada semua parti politik yang bertanding dalam PRU-13. Satu mekanisme pelaksanaannya telah ditetapkan, parti-parti politik yang bertanding perlu memohon kepada SPR untuk mendapatkan slot ‘air time’ di televisyen dan radio (RTM).

Setiap parti politik akan diberi tempoh masa siaran yang akan ditetapkan untuk mereka menyiarkan manifesto parti masing-masing dan siaran ini akan dibuat secara rakaman.


Post a Comment

1 Comments

بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØ­ْÙ…َÙ†ِ الرَّØ­ِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.