SEMPENA RAMADHAN TAHUN INI, SEJUMLAH 151.5 TAN METRIK KURMA JENIS SAFAWI AKAN DIEDARKAN KE SELURUH NEGARA BRUNEI DARUSSALAM SECARA PERCUMA.

Dipetik dari : Pelita Brunei

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Jun 2013 - Pada tahun ini, sebanyak 505,000 kotak kecil (151.5 tan metrik) kurma jenis ‘Safawi’ yang dibahagikan kepada sekotak (300 gram) untuk setiap seorang tanpa mengira had umur sedia untuk diagih-agihkan kepada seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di Negara Brunei Darussalam sebelum menjelangnya bulan Ramadan. Peningkatan sebanyak 3.5 tan metrik berbanding pada tahun lepas adalah bagi menampung jumlah penduduk beragama Islam yang semakin bertambah.

Alhamdulillah, pengagihan kurma kurnia peribadi Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Haji Omar 'Ali Saifuddien Sa'adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang diseliakan oleh Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (YSHHB) sudah pun berjalan sejak lebih dari 20 tahun yang lalu.

Pengurniaan ini merupakan salah satu amal jariah Kebawah Duli Yang Maha Mulia serta kaum kerabat baginda yang dihasratkan dapat dinikmati sebagai juadah berbuka puasa pada bulan yang penuh Mubarak oleh semua golongan rakyat dan penduduk Islam di negara ini. Ke arah mencapai hasrat berkenaan, tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan kepada penghulu-penghulu mukim serta ketua-ketua kampung sebagai pemimpin akar umbi sudah tentu akan lebih ringan dengan adanya penglibatan Ahli-ahli Majlis Perundingan Mukim dan Kampung seluruh negara untuk melaksanakan pengagihan kurma kurnia peribadi Kebawah DYMM ini.
Sehubungan itu, pihak-pihak yang telah diamanahkan untuk melaksanakan pengagihan kurma kurnia peribadi Kebawah DYMM akan dapat bekerjasama menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan dengan sebaik mungkin, di samping melakukan pemantauan berkesan bagi mengelakkan dari berlakunya kejadian umat Islam di negara ini tidak menerima pengagihan tersebut.

“Janganlah terdapat kejadian di mana ada umat Islam di negara ini yang tidak menerima buah kurnia peribadi Paduka Ayahnda itu. Jika ini terjadi, bermakna kita telah gagal menunaikan amanah yang dipertanggungjawabkan kepada kita semua dalam pengagihan buah kurma tersebut,” titah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Malik ibni Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu'izzaddin Waddaulah, Pengerusi Jemaah Tadbir YSHHB pada Majlis Pelancaran Pengagihan Kurma Kurnia Peribadi, Kebawah DYMM sempena bulan Ramadan 1434 Hijriah/2013 Masihi baru-baru ini.

Niat dan hasrat murni raja yang kita kasihi untuk bersedekah secara khusus iaitu kurnia peribadi berupa buah kurma merupakan suatu kurnia yang amat bermakna bagi kita dan sama-sama kita syukuri. Pengurniaan tersebut juga jelas memperlihatkan rasa kasih dan tanda ambil berat serta keprihatinan baginda kepada seluruh rakyat dan penduduk beragama Islam di negara ini.

Seluruh rakyat dan penduduk yang beragama Islam di negara ini merafakkan doa dan menyembahkan setinggi-tinggi menjunjung kasih ke hadapan majlis Kebawah DYMM atas limpah kurnia baginda serta kaum kerabat baginda untuk sentiasa berada di bawah pemeliharaan dan perlindungan Allah Subahanu Wata’ala, sihat sejahtera dan kekal memerintah negara aman bahagia di bawah petunjuk dan inayah Allah Subahanu Wata’ala.

Post a Comment

1 Comments

بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØ­ْÙ…َÙ†ِ الرَّØ­ِيم

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته

PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.