Oleh: AZMAN HUSSIN
POLITIK demokrasi adalah berkenaan perebutan kekuasaan untuk memerintah negara. Apa yang masyarakat awam nampak hanyalah perkara-perkara luaran seperti ketidakadilan pemerintah, kenaikan harga-harga barangan keperluan, tol, rasuah pemerintah, kekayaan melampau pemerintah dan suku-sakat mereka, yang telah menjadi modal politik yang disebar dan diulang-ulang oleh pihak parti pembangkang.
Tamadun manusia sebenarnya digerakkan motif ekonomi, perebutan hasil kekayaan, dan semua itu hanya boleh dicapai dengan memegang kekuasaan negara, dan dengan menjadikan isu-isu kepentingan rakyat sebagai modal terbesar, agar rakyat menyokong dan mengangkat mereka ke puncak kekuasaan.
Hakikatnya isu-isu agama, sosial, keadilan, dan sebagainya hanyalah alat penarik sokongan daripada rakyat. Isu-isu ini hanya menjadi candu mengkhayalkan dan bahan hiburan kepada rakyat kebanyakan yang tertekan dalam dunia moden yang kompleks, yang tidak memahami isu dan keadaan sebenar yang mereka hadapi. Mereka hanya dieksploitasi untuk memuaskan nafsu besar sekelompok manusia.
Negara yang maju seperti Amerika Syarikat, yang menjadi pusat pemerintahan dan kiblat dunia moden, juga dikuasai secara belakang tabir oleh sekumpulan manusia yang sangat kaya-raya. Merekalah yang memainkan peranan penting menggerakkan jentera kempen politik, memberikan dana kewangan, publisiti media, dan pelbagai sokongan lain lagi. Mereka adalah pelabur dan kapitalis besar yang akan segera meraih keuntungan jika pihak yang bersekongkol menerima bantuan mereka menguasai pentadbiran sesebuah kerajaan.
Politikus-politikus yang berkuasa ini hanya akan lebih menjaga dan memenangkan para pelabur mereka ini, bukannya rakyat terbanyak jika mereka memerintah. Mereka akan menegakkan dasar-dasar yang memberi keuntungan lebih kepada pelabur-pelabur politik ini. Kepentingan-kepentingan rakyat hanya dilakukan untuk mengaburi mata rakyat dan untuk terus mengekalkan kekuasaan mereka.
Adakah keadaan yang sama juga sedang terjadi di Malaysia?
Politik adalah perniagaan yang besar. Politikuslah yang menentukan dasar-dasar ekonomi negara, sama ada ia akan merugikan ahli perniagaan tertentu atau sebaliknya. Politikus boleh bila-bila masa meranapkan atau membesarkan empayar perniagaan seseorang dengan menukar dasar-dasar tertentu berkaitan perniagaan.
Perlu difahami, jika anda memiliki wang yang bertrilion sekalipun, anda tidak dapat membeli sesebuah bank atau entiti perniagaan tertentu misalnya, kerana ia tertakluk di bawah undang-undang atau akta sesebuah negara itu. Itulah yang perlu dirombak. Dan untuk mengubah perkara ini, gergasi-gergasi kapitalis ini akan berusaha membeli politikus-politikus penggubal dasar negara.
Dan dalam dunia hari ini, tiada politikus yang akan berjaya ke takhta kekuasaan tanpa sokongan dan dana kewangan. Di situlah bermulanya urusniaga mereka.
Dunia ini telah disempitkan dengan idea globalisasi yang dibawa oleh pihak Barat sebagai peneraju (sebenarnya sekelompok manusia yang menguasai tamadun Barat) untuk memudahkan usaha-usaha mereka mengawal dan mengatur sistem dunia ini. Kerana itulah pemikir-pemikir mereka seperti Thomas L. Friedman menulis buku-buku berkenaan globalisasi, konsep dunia sama rata, idea-idea liberal, demokrasi, pluralisme, dan sebagainya untuk membesarkan empayar perniagaan sekelompok manusia tadi. Banyak buku beliau seperti The Lexus and the Olive Tree, The World is Flat atau Hot, Flat and Crowded membawakan idea-idea ini. Hal ini sangat kompleks untuk dijelaskan secara terperinci.
Barangkali perkara ini boleh difahami melalui analogi seperti di bawah:
Katakanlah sekumpulan gergasi korporat telah menguasai pentadbiran Amerika yang mengetuai negara-negara kuasa besar dunia.
Dengan pengaruh kewangan, ketenteraan, media dan sebagainya, mereka mahu meluaskan kekuasaan ekonomi mereka ke seluruh dunia. Di negara-negara yang ditadbir diktator, yang menutup pintu dan tidak mesra perniagaan dengan mereka, mereka menggalakkan revolusi dengan membekalkan senjata api dan bom kepada para pemberontak untuk menumbangkan kerajaan sedia ada seperti Libya, Mesir atau Tunisia.
Ini dilakukan untuk meletakkan boneka mereka sebagai pemerintah. Negara-negara yang menutup pintu seperti Afghanistan akan dibom, dan mereka mencipta pelbagai alasan melalui media mereka untuk menutup kekejaman mereka itu di mata masyarakat dunia.
Lihatlah apa yang telah terjadi kepada negara tersebut sesudah dijatuhkan. Gergasi-gergasi korporat telah berlumba-lumba memasuki negara tersebut. Pawagam, rumah pelacuran, butik pakaian moden, dan syarikat gergasi seperti Coca-cola misalnya, mulai tumbuh.
Sementara itu di negara-negara lain, yang menjalin hubungan perniagaan dengan mereka, mereka menyuburkan amalan demokrasi. Demokrasi menjadikan rakyat berpecah-belah dan kerajaan akan sentiasa berada di dalam keadaan tidak stabil. Jika dilihat kepada yayasan dan pertubuhan-pertubuhan yang kononnya bebas, yang memperjuang dan mempromosikan masyarakat terbuka, demokrasi, kebebasan media, sekelompok orang inilah yang menyalurkan dana kewangan yang sangat banyak. Mengapakah mereka begitu bermurah hati dalam hal ini?
Di negara-negara yang mengamalkan demokrasi ini, mereka menaja tokoh-tokoh parti pembangkang secara tidak langsung untuk menggugat dan melemahkan kerajaan. Mereka menganjurkan kebebasan media untuk menghuru-harakan masyarakat. Rakyat akan bebas bersuara dan mengkritik kerajaan. Apabila sesebuah kerajaan itu lemah, sibuk menghadapi penentangan dalaman setiap masa, hampir kehabisan dana untuk kegiatan politik, mereka akan datang mengambil peluang dengan menawarkan pinjaman wang misalnya.
Sekalipun kerajaan tidak meminjam pada masa itu, lambat-laun kerajaan tersebut akan kehabisan wang untuk menunaikan janji-janji mereka kepada rakyat dalam manifesto PRU mereka. Jika tidak ditunaikan janji-janji yang terpaksa dibuat untuk menyaingi janji-janji parti pembangkang, kerajaan tersebut mungkin akan tumbang pada PRU ke seterusnya ataupun lebih cepat melalui revolusi berdarah.
Pembangkang akan diberikan sokongan wang dan sebagainya. Dengan tuduhan-tuduhan oleh pembangkang yang kebanyakannya benar seperti korupsi, penyalahgunaan kuasa, kekayaan dan kemewahan melampau pemerintah, rakyat akan terhasut untuk bangun melawan, apatah lagi jika hal ini diulang-ulang. Rakyat akan buta hati melihat penyelewengan kerajaan yang dibesar-besarkan ini sehingga mereka tidak sedar bahawa mereka berjuang untuk sekelompok orang tadi.
Sebaliknya pula, parti pembangkang akan menjanjikan apa sahaja yang kelihatan lebih baik untuk rakyat dalam manifesto mereka. Misalnya menghapuskan tol, penurunan harga petrol, harga kereta, pendidikan percuma dan sebagainya. Mereka menggunakan pelbagai hujah yang mudah dan kelihatan logik untuk diterima rakyat kebanyakan. Rakyat yang tidak memahami bagaimana situasi yang berlaku di dalam negara, misalnya kenaikan harga petrol, berkait rapat dengan dunia luar, akan terpedaya. Rakyat kebanyakan akan mudah terkesan dan emosional.
Hal-hal ini mudah menawan minda rakyat kebanyakan yang tidak faham dan hanya memikirkan periuk nasi mereka. Untuk meredakan kebangkitan rakyat tersebut, pemerintah akan terpaksa menghabiskan banyak wang, misalnya membahagikan wang segera kepada rakyat. Kerajaan tidak lagi berfikir untuk kebaikan dan masa depan rakyat, tetapi terpaksa menuruti kehendak rakyat yang telah dihasut pembangkang. Negara akan terletak dalam keadaan tidak berduit dan mahu tidak mahu mereka terpaksa meminjam wang suatu masa nanti dengan kadar faedah yang tidak mungkin kerajaan tersebut berjaya melunaskan semua hutang tersebut sehingga negara tersebut akan tergadai.
Dalam keadaan ini, kerajaan akan terdesak dan diperas ugut untuk menandatangani perjanjian-perjanjian perdagangan bebas dan sebagainya, yang akan menyebabkan sekelompok gergasi korporat tadi dapat berleluasa memasuki negara tersebut untuk meluaskan empayar perniagaan mereka setelah tembok-tembok penghalang runtuh. Padang permainan telah menjadi rata.
Sama ada kerajaan bertukar atau tidak, kedua-dua keadaan ini hanya menguntungkan mereka.
Kerana sekelompok manusia ini memilik wang yang sangat banyak, seolah-olah mereka adalah mesin pencetak wang, mereka dapat membeli apa sahaja entiti perniagaan, melabur di mana saja jika perdagangan telah bebas sepenuhnya, maka rakyat sesebuah negara itu akan beralih tuan daripada kerajaan sedia ada kepada bertuankan sekelompok gergasi korporat tersebut tadi. Politikus-politikus hanya akan menjadi pentadbir dan penjaga amanah kepada sekelompok manusia tadi. Hal ini seperti pepatah Melayu, keluar dari mulut harimau akan masuk ke mulut buaya.
Seperti simbol mata satu Dajjal, semua perusahaan, bank, dan sebagainya di seluruh dunia, akan bergerak ke arah pergabungan menjadi satu, iaitu di bawah penguasaan oleh sekelompok manusia yang sangat kaya dan berpengaruh tadi. Mereka akan menguasai dunia ini dan menggubal undang-undang dunia untuk menjaga kepentingan mereka, dan memperhamba seluruh manusia.
*Penulis merupakan karyawan dunia sastera sejak tahun 1998 dan pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana 1998-1999 dalam kategori cerpen.
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.