TRANSFORMASI...INIKALI LAH... UBAH... REFORMASI....SELAMATKAN MALAYSIA!!! - PANDIKAR AMIN MULIA

Oleh : Noor Azam Shairi
Foto : Astro Awani

TAN Sri Pandikar Amin Mulia yang dilantik semula sebagai Yang di-Pertua Dewan Rakyat membuka sesi mesyuarat pertama bagi penggal pertama Parlimen ke-13 pada Isnin lalu dengan satu seruan yang sangat masuk akal. Beliau menyeru semua ahli Parlimen supaya berubah dan sama-sama berusaha untuk mengangkat martabat dewan yang mulia itu.

Ucapannya itu menarik perhatian kerana beliau memetik slogan dan retorik politik yang kini sudah tercatat dalam kamus politik negara — "ubah", "transformasi", "reformasi" dan "ini kalilah".

Pandikar ada tafsiran yang tersendiri tentang slogan dan retorik itu. Beliau melihatnya sebagai mesej seruan untuk mengubah sikap ke arah kebaikan. Atas semangat tafsirannya itu, beliau menyeru kepada semua ahli Parlimen untuk membudayakan perubahan itu di Dewan Rakyat.

"Ayuh kita ubah, kita mereformasi, kita bertransformasi, kalau bukan kita siapa lagi; kalau bukan sekarang bila lagi. Ini kalilah.

"Ini kalilah kita julang memartabatkan Parlimen Malaysia ke tahap yang tinggi," katanya dalam ucapan di Dewan Rakyat selepas terpilih sebagai Yang di-Pertua dewan yang mulia itu.


Ketawa pecah berderai di Dewan Rakyat beriring tepuk gemuruh menyambut ucapan Pandikar. Ucapannya itu bagai anak panah yang melayang tepat ke tengah sasaran. Malah tidak berlebih-lebihan dan keterlaluan kalau dikatakan bahawa apa yang dikatakan oleh Pandikar itu mewakili sebahagian besar harapan rakyat — walaupun ia mungkin tidak jadi bekas apa-apa kepada sesetengah wakil rakyat.

Beberapa minggu yang akan datang ini adalah tempoh yang sangat menarik untuk kita perhatikan selepas — apakah semua 222 wakil rakyat yang kita pilih itu faham tentang apa yang dikatakan oleh Pandikar atau apakah Pandikar mungkin bercakap dengan dinding dan tiang.


Kita jujur saja. Negara ini sudah cukup didera kerana politik. Dek sibuk main politik, ahli politik entah sedar atau tidak sedar bercakap pun berbelit-belit. Apa yang tidak baik pada suatu masa dulu jadi baik kerana politik. Sesuatu yang baik jadi tidak baik kerana menyokongnya bermakna mendokong lawan politik.

Ini kalilah — kalau boleh, kita minta mereka yang di Dewan Rakyat itu supaya menyokong bukan semata-mata kerana menyokong dan membangkang pun bukan semata-mata kerana membangkang. Apa yang baik, sokonglah — demi rakyat. Apa yang tidak baik, perbaikilah — juga demi rakyat.


Ini kalilah kita minta juga supaya ahli Parlimen menjaga tutur kata semasa berbahas. Namanya pun berbahas, bukan sesi ejek-mengejek. Makanya, jagalah adab berbahas. Silakanlah berhujah dan bukan mencaci cerca. Adat berbahas memang akan berbeza pendapat. Hormatilah pandangan orang lain sebagaimana kita mahu orang mendengar pandangan kita.

Ini kali — cubalah bertahan untuk tidak berkata sesuatu yang boleh membuatkan orang hilang hormat kepada ahli Parlimen dan memandang rendah kepada Dewan Rakyat. Kalau terlepas cakap, siapa yang malu. Ingat-ingatlah pepatah lama Melayu: Terlangsung perahu boleh balik, terlangsung cakap tak boleh balik.


Pandikar dalam ucapannya pada Isnin lalu turut berharap Pakatan Rakyat akan mewujudkan kabinet bayangan. Ini adalah permintaan yang wajar yang menjadi bukan saja harapan beliau tetapi harapan banyak orang lain yang mahu melihat perubahan sebenar berlaku dalam kaedah berpolitik di negara ini.

Sebelum pilihan raya umum yang lalu, Pakatan Rakyat tidak mahu menamakan bayangan barisan kabinet dengan pelbagai alasan. Sekarang ini, apa lagi alasannya?

Ini kalilah — harap-harapnya akan ada yang berubah.

Sumber : http://www.astroawani.com/

Post a Comment

0 Comments