DEMI KESTABILAN TERENGGANU. PILIH WAKIL YANG DIPERAKUI OLEH PEMERINTAH NEGERI DAN PUSAT

Oleh : Beruang Biru

PERATUSAN yang keluar mengundi di DUN Kuala Besut pada Pilihan Raya Umum Ke-13, 5 Mei lalu sekitar 86.70 peratus. Ramai waktu itu kerana hari pengundian Ahad.

Tetapi dalam pilihan raya kecil (PRK) kali ini jatuh pada Rabu, 24 Julai waktu kerja. Dijangka sebahagian besar mereka yang berhijrah ke luar Besut terutama golongan muda tak balik mengundi kali ini. 'Alang-alang' nak balik kena ambil cuti bukan sehari, mungkin tiga atau empat hari. Cuti pada Aidilfitri nanti mungkin kena balik lagi.

Penulis dimaklumkan oleh sumber-sumber jentera Barisan Nasional, Pas dan Suruhanjaya Pilihan Raya yang berkampung di Kuala Besut, senario kempen PRK melibatkan kedua-kedua parti di sana 'biasa sangat'. Tidak ada yang luar biasa. Ini sehinggakan media-media yang buat liputan 'kehabisan idea' untuk dijadikan berita utama.

Tidak banyak isu, sampaikan terpaksa pergi ke pasar-pasar biasa untuk dijadikan bahan berita.

Dari segi strategi kedua-dua parti bertanding, yang digalas oleh calon BN, Tengku Zaihan Che Ku Abd. Rahman dan Endot@Azlan dari Pas, dikatakan sama. Masing-masing dibantu oleh jentera luar terutama Pas dari Kelantan.

Kempen ceramah PRK ini di depan khalayak ramai tidak popular kerana bulan Puasa. Ia lebih kepada kempen dari rumah ke rumah. Pergerakan kedua-dua parti juga seiring dan seimbang, baik dari segi pengisian, program kemasyarakatan serta penglibatan belia.

Namun, jentera BN dikatakan lebih dominan - yang diharapkan akan diikuti pergerakan yang lebih berkesan dan berterusan oleh akar umbinya sehinggalah pagi Rabu depan.

Penulis juga dimaklumkan dari segi majoriti, BN dipercayai tidak berdepan masalah besar untuk mengekalkan kerusi DUN Kuala Besut ini melebihi 2,434 undi yang dicapai Mei lepas. Tambahan pula penduduk-penduduk Kuala Besut diketahui memang orang BN, apa lagi yang akan turun mengundi pada waktu hari bekerja nanti yang ramainya penduduk setempat.

Hakikatnya, mereka akur isu DUN 'tergantung' kerusi 16:16 bukanlah suatu idea bijak. Dengan Kuala Besut sendiri di bawah Parlimen yang diketuai Menteri Pendidikan II, Datuk Seri Idris Jusoh, pengundi cukup maklum - undi yang diberikan kepada Tengku Zaihan nanti tentu akan merangsang ekonomi Kuala Besut.

Kalau BN menang, manfaatnya lebih banyak berbanding 'carca marba' DUN di bawah pembangkang, Parlimen pula BN.

Cuma, oleh kerana segala strategi dan pengisian kempen, baik oleh BN dan Pas agak setara - yang lebih banyak berfokus pada kariah di masjid-masjid dan surau sempena Ramadan, maka seelok-eloknya BN lebih banyak memberi tumpuan kepada isu-isu setempat. Antaranya, percambahan industri kampung, IKS serta nelayan.

Demi kestabilan politik Terengganu... (Utusan)

Isu nelayan merupakan perkara pokok yang belum diberi keutamaan diuar-uarkan dalam kempen PRK ini. Sepanjang pengamatan penulis setakat semalam belum ada perkara ini diserlahkan.

Ini memandangkan Kuala Besut sendiri pada asasnya adalah kampung nelayan. Di sini juga terletak jeti bot untuk ke pulau-pulau peranginan iaitu Pulau Perhentian dan Pulau Redang. Faktor nelayan dan industri pelancongan memang mewarnai pengundi di kawasan ini.

Satu lagi faktor adalah kakitangan awam. Walaupun Kuala Besut bukan pusat bandar utama untuk daerah Besut kerana pusatnya terletak di Jertih, tetapi hampir kesemua pejabat kerajaan negeri dan pusat untuk daerah Besut terletak di Kampung Raja iaitu pekan utama dalam DUN Kuala Besut.

Ini bermakna, pengundi utama yang ada di Kuala Besut adalah nelayan, pegawai kerajaan dan mereka yang terlibat dengan industri pelancongan.

Faktor sempadan dengan Kelantan juga bakal menentukan corak kempen dan isu sepanjang pilihan raya ini. Ini kerana Kuala Besut bersempadan dengan Pasir Puteh yang terletak di Kelantan yang ditadbir oleh Pas.

Pelabuhan Tok Bali kini menjadi pelabuhan nelayan yang penting di sebelah pantai timur. Banyak bot nelayan laut dalam mendaratkan tangkapan mereka di situ.

Justeru, menjelang PRK Kuala Besut minggu depan, maka masih ada kesempatan lagi untuk jentera BN memberi jaminan atau setidak-tidaknya mengeluarkan 'hitam putih' janji - antaranya untuk mendalamkan kuala bagi kemudahan bot keluar masuk selain penyediaan pendaratan ikan yang sesuai.

Pada masa sama, projek-projek pembangunan IKS dan industri kampung '1produk 1kampung' yang diperkenalkan BN perlu banyak diperkatakan dalam lima hari mendatang ini.

Jentera kempen kenalah juga usahakan bantuan kepada mana-mana usahawan yang telah menunjukkan kecemerlangan di Kuala Besut dengan penyaluran peruntukan dan geran.

Tidak perlu terlalu bertumpu kepada usahawan besar dan yang telah berjaya. Fokuslah kepada industri kecil. Misalnya, perniagaan keropok lekor yang mana orang yang menyiang ikan pun akan dapat manfaatnya. Di sinilah peranan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) untuk tonjolkan apa yang telah pihak mereka usahakan selama ini di Kuala Besut.

Berapa ramai usahawan yang telah berjaya di Kuala Besut? Berapa usahawan baharu yang dibimbing telah berjaya? Apa program mentor-menteenya?

Katakan kepada penduduk dan pengundi Kuala Besut bahawa sekiranya BN diberi kepercayaan untuk mentadbir lagi kerusi itu, inilah peluang-peluang ekonomi yang akan menjadi imbalannya.

Jentera pilihan raya BN perlu 'zoom in' hasil ekonomi utama di Kuala Besut untuk manfaat penduduk tempatan sama ada peluang perniagaan dan pekerjaan selain menarik pelaburan luar ke situ. Ia umpama operasi sesebuah bank di satu-satu tempat. Bank tidak akan 'masuk' ke suatu tempat kalau peluang ekonomi di situ tipis. Dikhuatiri kelak pelanggannya simpan RM300 hari ini, esok keluarkan semula dengan cuma berbaki RM10 dalam akaun.

Penulis difahamkan, banyak kemudahan yang diperuntukkan Kerajaan Pusat kepada penduduk Kuala Besut, apatah lagi peranan yang dimainkan oleh agensi-agensi seperti LKIM dan pembiaya Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional kelolaan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Tinggal lagi, ia perlu diserlahkan secara meluas sebab peluang pekerjaan adalah isu yang menjadi perhatian.

Meskipun PRK Kuala Besut tampak 'tenang' namun realitinya amat kritikal untuk kerajaan negeri Terengganu.

Dengan kematian Dr. Rahman, jumlah kerusi adalah 16 di pihak BN manakala pakatan, 15. Jika pakatan menang dalam pilihan raya kecil ini nanti bermakna DUN Terengganu akan mempunyai bilangan ahli yang sama antara BN dan pakatan.

Pas pernah menang di kerusi itu pada 1969, sebelum menunggu 30 tahun lagi untuk merampasnya semula pada 1999. Mereka tentunya mahu menongkah 'aturan' itu 24 Julai nanti kerana kalau tidak, 'barangkali' hanya terdaya 'meraihnya' kembali (untuk 30 tahun lagi) pada tahun 2029.

Jentera BN di Kuala Besut mesti terus agresif. Hapuskan keyakinan boleh menang mudah sebelum masuk gelanggang. Hanya kemenangan BN dapat memastikan politik di Terengganu lebih stabil. Jika tidak, keadaan akan terumbang-ambing.

Post a Comment

0 Comments