Oleh : AZMAN HUSSIN
BAHAGIAKAH manusia hidup dalam peradaban moden dan zaman teknologi ini?
Bolehkah kita mendakwa kita lebih maju, maka kehidupan kita lebih berbahagia berbanding orang-orang asli di hulu pedalaman dan pergunungan sana? Sebaliknya, apakah manusia tidak bertamadun di dalam hutan-hutan itu tidak berbahagia kerana mereka hidup secara primitif dan tidak bertamadun?
Inilah juga persoalan yang pernah diungkapkan oleh Albert Einstein, saintis tersohor berbangsa Yahudi.
Apakah ukuran kebahagiaan?
Mari kita renung dan bandingkan. Tamadun moden yang kita jalani dan sertai hari ini jelas berpaksikan kepada pencapaian lahiriah, fizikal atau jasadiah. Tamadun yang sentiasa berusaha dan bermotivasikan kepada pemuasan nafsu dan kehendak duniawi manusia semata-mata.
Jika dahulu manusia berbangga dengan kelajuan maksima sesebuah kereta adalah sekitar 300km sejam, sekarang teknologi pembuatan enjin dan casis kereta telah mencipta Buggati Veyron, Mercedes McLarren atau Lamborghini, misalnya, dengan kelajuan melebihi 400km sejam. Tetapi ini tidak akan berakhir di situ.
Usaha-usaha untuk meningkatkan kelajuan ini terus berjalan tanpa henti, kerana nafsu dan keinginan manusia ini tiada hadnya.
Tamadun moden telah dibanjiri produk-produk yang sebenarnya hanya untuk kemudahan dan keselesaan manusia seperti telefon, televisyen, komputer, kenderaan, makanan, pakaian, peralatan rumah, dan sebagainya. Sesuatu yang tidak kedapatan dalam masyarakat primitif. Ia bukanlah keperluan asas, melainkan kehendak. Dan kehendak-kehendak ini akhirnya telah menjadi keperluan asas manusia moden seperti telefon atau kereta.
Dalam masyarakat moden hari ini, setiap masa produk-produk itu dikemaskini menjadi lebih baik dan canggih, maka manusia akan berusaha mengejarnya untuk tidak dilihat ketinggalan dan untuk memuaskan nafsu mereka.
Benar, manusia moden kini tidak lagi mengalami kebuluran atau kekurangan sumber makanan. Hampir tiada lagi kedengaran kes-kes kematian kerana kelaparan atau tidak mendapat gizi makanan seimbang. Tetapi malangnya, manusia moden mati menderita berpunca daripada terlebih makan kerana menurut nafsu. Darah tinggi, obesiti, diabetis dan serangan jantung kerana kegelojohan nafsu makan dan sumber bahan makanan itu sendiri.
Sepatutnya semakin tinggi kemajuan peradaban manusia, maka semakin manusia lebih sejahtera dari segi fizikal dan mental.
Jika tamadun kita hari ini semata-mata mengejar material, kehidupan orang asli di dalam hutan adalah lebih baik dari segi fizikal dan mental. Musuh orang asli di dalam hutan adalah harimau, gajah, kala jengking, dan binatang buas lain. Dalam masyarakat moden, ramai manusia mati dalam kemalangan jalanraya dan penyakit aneh-aneh hasil akibat gaya hidup moden.
Suasana kerja manusia zaman moden dalam pejabat berhawa dingin dan tidak mengeluarkan peluh. Malangnya, untuk mengeluarkan peluh, mereka terpaksa ke gim untuk melakukan aktiviti dan senaman.
Dan sinisnya, caj atau yuran yang agak mahal dikenakan untuk aktiviti mengeluarkan peluh itu. Sedangkan orang asli bekerja secara semulajadi dengan tulang empat keras dan dalam masa yang sama mengeluarkan peluh.
Teknologi moden hari ini ternyata tidak lagi membuat manusia gembira. Tamadun yang meletakkan kepercayaan agama ke dalam tong sampah sejarah. Agama hanya menjadi suatu upacara tradisi yang semata-mata dihormati, tidak lagi dihayati dan diamalkan sepenuhnya. Apa yang ada hanyalah siapa kuat dan siapa lemah. Tidak wujud lagi tali persaudaraan dan tolong-menolong, melainkan syak-wasangka, persaingan yang tidak sihat dan saling dengki.
Tamadun moden juga melahirkan pelbagai jenis penyakit fizikal dan mental. Serangan virus selesema burung, misalnya. Sementara jiwa manusia pula diserang pelbagai jiwa tekanan yang kronik seperti kemurungan, skizofrenia, imsonia, delusi, dan sebagainya.
Manusia kini tidak lagi memikirkan pencapaian kerohanian, tetapi pencapaian material. Televisyen, telefon, kenderaan atau kediaman yang selesa tidak akan dapat membantu pencapaian kerohanian. Tamadun yang membuat manusia semakin takut menghadapi hari-hari esok dan lebih percayakan wang daripada Tuhan. Kerana ketakutan itu mereka mengumpul wang sebanyak mungkin untuk jaminan masa depan mereka. Secara psikologi, tidak ada lagi pergantungan kepada tuhan.
Manusia tanpa sedar telah meletakkan wang adalah segala-galanya. Apabila manusia mempercayai wang, akan makin teguh sistem tamadun moden berajakan wang ini berputar membentuk lingkaran yang lebih luas dari semasa ke semasa, sehingga nilai duit semakin kecil walaupun pendapatan makin bertambah, sehingga wang adalah menjadi tujuan hidup.
Katakanlah bagi golongan miskin, mereka hidup di dalam kesempitan untuk membayar bil-bil dan keperluan-keperluan lain, yang sebenarnya hanya berpunca daripada kehendak-kehendak untuk memudahkan dan menyelesakan kehidupan, adakah golongan kaya dalam masyarakat moden hari ini berbahagia, jika dikatakan wang itu sumber kebahagiaan?
Mereka yang kaya juga terus bekerja-keras seperti golongan miskin dan sentiasa mengejar kekayaan seperti mereka ini tiada wang sebagaimana golongan miskin. Seolah-olah tiada bezanya miskin dan kaya dalam dunia hari ini.
Apakah manusia moden ini menikmati kehidupan? Bangun pagi, pergi kerja, balik dan tidur. Suatu ulangan seperti Sisyphus dalam dongeng Greek yang dihukum oleh Dewa Zeus menolak sebongkah batu ke atas bukit, kemudian digolekkannya kembali ke bawah, dan ia berulang-ulang. Kerja tidak lagi menggembirakan, tidak sebagaimana orang asli dalam hutan bergembira sewaktu keluar berburu babi hutan diiringi nyanyian dan bunyi-bunyian.
Lalu manusia moden ini memerlukan pakej percutian untuk menikmati kehidupan. Mereka mencari pulau, bukit-bukau atau tanah tinggi yang keasliannya masih terpelihara. Sinisnya, manusia moden kembali mencari alam semulajadi yang tidak dicemari tangan-tangan teknologi.
Jika kemajuan teknologi itu membuat manusia lebih baik, tentulah semakin turun indeks-indeks kes jenayah atau masalah kejiwaan manusia seiring dengan kemajuan teknologi.
Kita bukan ingin mengajak kembali ke zaman primitif. Tetapi, apakah kos kemajuan yang terpaksa kita bayar ini berbaloi untuk ketenteraman kerohanian dan fizikal kita?
Sama ada teknologi itu lebih baik atau tidak berbanding budaya primitif, yang jelas usaha untuk semua teknologi yang kita agungkan hari ini perlahan-lahan telah merosakkan bumi ini. Bukit-bukit diratakan, sungai dan lautan tercemar, udara dikotori jerebu karbon dioksida, telinga dengan bingit jentera, dan sampah-sarap industri yang bertoksik. Itulah korbannya.
Seperti kata orang-orang bijak-pandai, dunia ini umpama bayang-bayang; kita tak mungkin dapat mengejar atau memeluknya. Atau, dalam pengetahuan sains, ia seperti fatamorgana (ilusi atau maya) wadi air di tengah padang pasir yang luas. Setiap kali kita cuba menghampirinya, ia hilang. Atau juga kemajuan dan teknologi hari ini adalah seperti sebuah signboard baikpulih jalanraya yang tertulis: kerja-kerja pembinaan sedang dijalankan untuk kemudahan anda di masa hadapan.
Apa atau bilakah masa depan itu, iaitu apakah akhirnya teknologi itu?
0 Comments
بِسْÙ…ِ اللَّÙ‡ِ الرَّØْÙ…َÙ†ِ الرَّØِيم
السلام عليكم ورØمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.