Di antara bentuk kesesatan Syiah Rafidhah adalah perbuatan mereka yang mencela bahkan menghina ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha dengan perkataan atau perbuatan yang sangat keji dan mungkar. Padahal ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha merupakan Ummul Mukminin, isteri Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam dan merupakan isteri yang paling dicintai oleh baginda. Maka tindakan kumpulan Rafidhah yang mencela Ummul Mukminin Aisyah radhiyallahu ‘anha merupakan perbuatan yang tak boleh diterima atau dimaafkan oleh orang Islam.
Nama Dan Keturunan
Nama penuhnya ialah ‘Aisyah bintu Abi Bakr ‘Abdillah bin Abi Quhafah ‘Utsman bin ‘Amir bin ‘Amr bin Ka’b bin Sa’d bin Taim bin Murrah bin Ka’b bin Lu’ay al-Qurasyiyyah at-Taimiyyah al-Makkiyyah. (1 mukhtashor al kabir fi sirah rasul, maktabah syamilah)
Ayahnya adalah Abu Bakar Ash Shidiq, Amirul Mukminin yang mempunyai kemuliaan yang agong dalam Islam. Rasulullah Sallallahu ‘Alaihi Wa Sallam bersabda, “Sebaik-baik manusia setelah Rasulullah adalah Abu Bakar”. (HR Ibnu Majjah, disahihkan oleh Al-Albani dalam Sahih Ibnu Majjah)
Manakala ibunya pula adalah salah satu seorang pembesar sahabiyah iaitu Ummu Ruman binti ‘Amir. Seorang Sahabiyah yang banyak mengorbankan hartanya demi kemaslahatan agama Islam. (Sirah Sahabiyah Hal 131, Pustaka As-Sunnah)
Aisyah Aisyah radhiyallahu ‘anha lahir dalam Islam dan dilahirkan oleh orang tua yang mulia dan beriman kepada Allah. ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha berkata, “Ketika aku baru mula mengenal orang tuaku, kudapati mereka telah memeluk Islam. (Siyar A’lamin Nubala 2/139, Sirah Sahabiyah Pustaka As-Sunnah)
Celaan Syiah kepada ‘Aisyah Radhiyallahu ‘Anha
Di antara bentuk serangan Syiah untuk menjatuhkan Islam adalah dengan mencela dan menghina Ummul Mukminin, ‘Aisyah Radhiyallahu ‘Anha. Kerana dengan mencelanya, hilanglah seperempat syariat Islam yang dibawanya, sebagaimana yang disebutkan oleh Al-Hakim Abu Abdillah berkata, “Diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha seperempat syariat”.
Hal inilah yang cuba diusahakan oleh Syiah untuk menghancurkan Islam. Ketika seseorang muslim tidak memuliakan Ummul Mukminin ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, maka kesemua hadis yang diriwayatkan oleh Aisyah radhiyallahu ‘anha akan ditolak dan tidak akan dijadikan pedoman dalam syariat Islam.
Di antara bentuk celaan Syiah kepada ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha :
1. ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha mempunyai akhlak dan perangai yang buruk.
Hal ini diperkatakan oleh Ali bin Ibrahim Al Qummi di dalam tafsirnya 2/192. Didalam bukunya itu, beliau menyatakan bahawa isteri nabi sangatlah buruk perangainya dan tidak berakhlak.
2. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam meninggal dunia kerana diracuni oleh ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha.
Di dalam Tafsirul Iyasy 1/200, karya Muhammad bin Mahmud bin Iyasy menyebutkan bahawa yang menyebabkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam meninggal adalah kerana diracun oleh ‘Aisyah dan Hafshah.
3. Isteri-isteri nabi adalah para pelacur.
Di dalam kitab Ikhtiyar Ma’rifatur Rijal karya pemfitnah bernama At Thusi pada halaman 57-60 dikatakan bahawa Abdullah bin Abbas pernah berkata kepada Aisyah, “Kamu tidak lain hanyalah seorang pelacur dari sembilan pelacur yang ditinggalkan oleh Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam”
4. ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha adalah ibu dari syaitan.
Dikatakan oleh Al Bayadhi di dalam kitabnya Ash Shirathal Mustaqim 3/135 dan 161, bahawa Aisyah digelari dengan gelaran Ummu Asy-Syurur (ibu keburukkan) dan Ummu Asy-Syaitan (ibu syaitan). (Dikutip dari Bulletin Islam Al Ilmu Edisi 30/I/II/1425)
Lihatlah kedustaan kaum Syiah, bagaimana keji dan kejamnya Syiah dalam mencela ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha yang merupakan Ummul Mukminin, yang namanya disucikan oleh Allah dan diabadikan dalam Al Qur’an.
Untuk membantah tuduhan-tuduhan tersebut, lihatlah keutamaan-keutamaan dan kemuliaan ‘Aisyah di hadapan Allah dan Rasul-Nya.
Kedudukan ‘Aisyah di hati Rasulullah
Diriwayatkan dari ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha: Aku berkata: “Wahai Rasulullah, siapa yang paling engkau cintai?” Baginda kembali bertanya: “Kenapa engkau tanyakan sebegitu?” Jawabku: “Agar aku mencintai orang yang engkau cintai”. Rasulullah berkata: “’Aisyah”. (lihat kitab Al Majma’ (15309), Sirah Sahabiyah, Pustaka assunnah)
Diriwayatkan pula dari ‘Aisyah, Rasulullah berkata: “Apakah engkau bersedia untuk menjadi isteriku di dunia dan akhirat?” Jawabku: “Tentu bersedia”. Demi Allah. Maka baginda bersabda: “Engkau adalah isteriku di dunia dan di akhirat”. (HR Al-hakim 4/10, sirah sahabiyah pustaka assunnah)
Dalam hadis yang lain, Amr bin Al-’Ash radhiyallahu ‘anhu pernah bertanya kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, “Siapakah orang yang paling engkau cintai?” Baginda menjawab: “Aisyah” (HR Bukhari no 3462 dan HR Muslim no 6328, maktabah syamilah)
Lihatlah bagaimana kedudukan dan keutamaan ‘Aisyah di hati Rasulullah, beliau adalah isteri Rasulullah di dunia dan di akhirat dan wanita yang sangat dicintainya.
Bukankah bentuk ketaatan dan kecintaan kepada rasul adalah dengan mencintai apa yang Rasul cinta dan membenci apa yang Rasul benci? Ketika Rasulullah sangat mencintai ‘Aisyah, maka wajarkah Syiah Ar-Rafidhah yang mengaku mencintai Rasulullah membenci dan mencela sesuatu yang disayangi oleh Nabi?
Keutamaan dan Kemuliaan ‘Aisyah
Banyak sekali keutamaan yang dimiliki ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, bahkan Rasulullah menggambarkan keutamaannya selayak tsarid (bubur daging dan roti) yang merupakan makanan paling utama dan kebanggaan bangsa arab.
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Orang yang mulia dari kalangan laki-laki banyak, namun yang mulia dari kalangan wanita hanyalah Maryam binti Imran dan Asiah isteri Fir’aun, dan keutamaan ‘Aisyah atas semua wanita seperti keutamaan tsarid atas segala makanan.” (HR. Bukhari (5/2067) dan Muslim (2431))
Di antara keutamaan ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha lainnya:
1. ‘Aisyah adalah wanita satu-satunya yang dinikahi Rasulullah dalam keadaan masih gadis.
Aisyah mengatakan, “Aku telah diberi sembilan perkara yang tidak diberikan kepada seorang pun setelah Maryam. Jibril telah menunjukkan gambarku tatkala Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam diperintah untuk menikahiku, beliau menikahiku tatkala aku masih gadis dan tidaklah beliau menikahi seorang gadis kecuali diriku, beliau meninggal dunia sedang kepalanya berada dalam dakapanku serta beliau dikuburkan di rumahku, para malaikat menaungi rumahku, Al-Quran turun sedang aku dan beliau berada dalam satu selimut, aku adalah puteri kekasih dan sahabat terdekatnya, pembelaan kesucianku turun dari atas langit, aku dilahirkan dari dua orang tua yang baik, aku dijanjikan dengan keampunan dan rezeki yang mulia.” (Lihat al-Hujjah Fi Bayan Mahajjah (2/398))
2. Pernikahan Rasulullah dengan ‘Aisyah berdasarkan wahyu Allah
“Engkau dinampakkan padaku dalam mimpi selama tiga malam; seorang malaikat datang membawamu dengan mengenakan pakaian sutera putih, lalu malaikat itu berkata, ‘Ini adalah isterimu’, maka aku menyingkap wajahmu dan ternyata engkau, lalu kukatakan, ‘Seandainya mimpi ini datangnya dari Allah, pasti Dia akan menjalankannya’.” (HR Bukhari no 3682 dan Muslim no 6436, Maktabah Syamilah)
3. Malaikat Jibril menyampaikan salam untuk ‘Aisyah
Diriwayatkan dari Ibnu Syihab, Abu Salamah berkata: “Sesungguhnya malaikat Jibril mengucapkam salam kepadamu”. Aisyah berkata: Lalu aku menjawab: “wa’alaihissalam wa rahmatullah”. (HR Bukhori 3045, HR Muslim 6454, maktabah syamilah)
4. Keberkatan umat islam dengan sebab ‘Aisyah
Bahawasanya ‘Aisyah pernah meminjam dari Asma’ sebuah kalung yang kemudian kalung tersebut hilang di dalam perjalanan, maka Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam mengutus seseorang mencarinya sampai akhirnya masuk waktu solat sementara mereka tidak ada air. Lalu merekapun solat, kemudian mereka mengadukan hal tersebut kepada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam, maka Allah pun menurunkan ayat tentang tayammum, maka Usaid bin Hudhair berkata kepada ‘Aisyah, “Semoga Alloh membalasmu dengan kebaikan, demi Allah tidaklah menimpamu sesuatu yang engkau benci melainkan Allah menjadikan padanya kebaikan bagimu dan bagi kaum muslimin.” (HR Bukhari no. 329, Maktabah Syamilah)
5. Wahyu turun ketika Rasulullah bersama ‘Aisyah
Rasulullah sallallahu ‘alaihi wa sallam bersabda, “Sesungguhnya Allah tidak pernah menurunkan wahyu kepadaku ketika aku sedang berada di selimut salah seorang di antara kalian selain ‘Aisyah. (HR Bukhari 3564, maktabah syamilah)
6. ‘Aisyah adalah wanita yang disucikan namanya dari langit ketujuh dan diabadikan dalam Al-Qur’an.
Inilah keutamaan terbesar yang diberikan Allah untuk ‘Aisyah. Surah An-Nur ayat 11-26 merupakan ayat yang turun berkenaan dengan berita dusta terhadapnya. Dengan turunnya ayat ini, maka terhapuslah tuduhan-tuduhan keji dan dusta tersebut.
Allah telah mengisyaratkan bahawa ‘Aisyah adalah wanita yang baik, wanita yang menjaga kesuciaannya dan bagi pendusta, azab yang pedih di dunia dan akhirat untuk mereka.
Allah Ta’ala berfirman,
إِنَّ الَّذِينَ يُحِبُّونَ أَنْ تَشِيعَ الْفَاحِشَةُ فِي الَّذِينَ آَمَنُوا لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَاللَّهُ يَعْلَمُ وَأَنْتُمْ لَا تَعْلَمُونَ
إِنَّ الَّذِينَ يَرْمُونَ الْمُحْصَنَاتِ الْغَافِلَاتِ الْمُؤْمِنَاتِ لُعِنُوا فِي الدُّنْيَا وَالْآَخِرَةِ وَلَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
الْخَبِيثَاتُ لِلْخَبِيثِينَ وَالْخَبِيثُونَ لِلْخَبِيثَاتِ وَالطَّيِّبَاتُ لِلطَّيِّبِينَ وَالطَّيِّبُونَ لِلطَّيِّبَاتِ أُولَئِكَ مُبَرَّءُونَ مِمَّا يَقُولُونَ لَهُمْ مَغْفِرَةٌ وَرِزْقٌ كَرِيمٌ
Kesaksian para sahabat akan keutamaan dan keilmuan‘Aisyah
Az-Zuhri berkata, “Kalau ilmu ‘Aisyah dibandingkan dengan ilmu seluruh perempuan, pasti ilmu ‘Aisyah lebih banyak”.
Urwah bin Zubair berkata, “Aku tidak pernah melihat orang lebih mengerti tentang fiqih, dunia perubatan dan tentang syair daripada ‘Aisyah”. (Thabaqat Ibnu Sa’ad 7/39-56, Sirah Sahabiyah Pustaka As-Sunnah)
Abu Musa Al-Asy’ari berkata, “Setiap kali kami para sahabat Rasulullah mendapat kesulitan tentang suatu hadis, kami selalu bertanya kepada ‘Aisyah, maka kami akan mendapatkan pengetahuan darinya”. (HR Tirmidzi 3883, Dia berkata: “Hadis hasan sahih gharib”)
Masruq pernah ditanya, “Apakah ‘Aisyah pandai dalam ilmu waris? Dia menjawab: “Demi Allah, Aku melihat para pemuka Sahabat Rasulullah bertanya kepada ‘Aisyah tentang ilmu waris”. (Min Akhlaqil ‘Ulama, hal 61)
Penutup
Hal di atas adalah segelintir dari keutamaan yang dimiliki oleh ‘Aisyah untuk membantah Syiah. Masih banyak hal yang perlu kita ketahui tentang peribadi ‘Aisyah radhiyallahu ‘anha, baik dalam segi akhlak, kezuhudan, kecerdasan, amal ibadah dan yang lainnya. Sehingga semakin sempitlah celah-celah untuk kedustaan padanya dan semakin besarlah kecintaan kita kepadanya.
Semoga dengan tulisan ini, dapat memberi gambaran bagi kita akan kedudukan ‘Aisyah dalam Islam, bagaimana kemuliaannya, bagaimana keutamaannya dan memberi menjawab fitnah dan tuduhan yang diberikan Syiah ke atas dirinya.
1 Comments
Hati2 ini Hate speech dasar pengikut iblis
ReplyDeleteبِسْمِ اللَّهِ الرَّحْمَنِ الرَّحِيم
السلام عليكم ورحمة الله وبركاته
PenaMinang.com tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui ruangan ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.
Segala caci maki, kutukan, fitnah adalah antara anda dengan ALLAH Azza Wa'jal. Berilah komen dan kritikan yang membina. Insyallah kami akan cuba membalas komen-komen anda.